Monday, 22 June 2026 By: Naemah

KITA SEBENARNYA SUDAH CUKUP


Kita sebenarnya sudah bahagia.

Kita hanya lupa, kerana terlalu sibuk melihat bahagia orang lain.


Kita sebenarnya sudah cukup.

Kita hanya merasa kurang apabila mula menghitung apa yang ada pada orang lain, bukan apa yang Allah telah letakkan dalam genggaman kita.


Kita sebenarnya baik-baik saja dengan kehidupan kita… sehinggalah kita mula membandingkan.


Kita ada suami yang bertanggungjawab, bekerja keras, cukupkan nafkah, menjaga keluarga sebaiknya. Namun apabila terlihat perkongsian tentang suami orang yang romantik, ringan tulang di rumah, selalu memberi hadiah dan kejutan, sering memuji, membawa makan di tempat mewah, tiba-tiba kita mula merasa, “Kenapa hidup aku tak seperti itu?”


Allah kurniakan kita anak-anak yang sihat, baik dan menjadi penyejuk hati. Tetapi apabila melihat anak orang lain petah bercakap, bijak bergaul, aktif di sekolah, cemerlang dalam pelajaran, berbakat dalam pelbagai perkara, kita mula memandang rendah pada anak sendiri, seolah-olah mereka tidak cukup istimewa.


Kita sebenarnya sudah mempunyai rezeki yang mencukupi. Ada makanan di atas meja, rumah untuk berteduh, keluarga untuk berkumpul, hujung minggu yang sederhana namun penuh bahagia. Tetapi apabila melihat orang lain bercuti ke luar negara, menjamu selera di restoran mahal, menikmati kemewahan yang tidak kita miliki, kita mula merasa kecil, serba kekurangan, dan tidak beruntung.


Begitulah sifat perbandingan. Ia perlahan-lahan merampas rasa syukur dan menjadikan nikmat yang ada di depan mata kelihatan tidak lagi berharga.


Sedangkan setiap orang sedang memikul cerita yang berbeza. Apa yang dikongsi hanyalah cebisan yang indah. Kita tidak tahu luka di sebalik senyuman, air mata di sebalik gambar, atau ujian di sebalik kemewahan. Tidak semua yang kelihatan bahagia itu benar-benar bahagia.


Allah tidak menciptakan hidup kita untuk menjadi salinan hidup orang lain. Setiap orang mempunyai jalan, rezeki, ujian, masa dan bahagiannya sendiri. Kita semua beruntung, cuma pada sudut yang berbeza.


Kadang-kadang, bukan hidup kita yang kurang. Tetapi mata kita yang terlalu lama memandang ke halaman orang lain sehingga lupa menghargai taman yang sedang mekar di halaman sendiri.


Belajarlah untuk melihat ke dalam sebelum melihat ke luar. Kurangkan membandingkan, perbanyakkan mensyukuri. Kerana sering kali, apa yang kita anggap biasa dalam hidup kita, sebenarnya adalah impian bagi orang lain. 

0 comments:

Post a Comment