Friday, 26 June 2026 By: Naemah

CATATAN HARI LAHIR



Umur 41 tahun.

Ada yang sedang bangkit daripada jatuhnya.
Ada yang sedang berada di titik terendah dalam hidupnya.
Ada yang sedang menikmati puncak kejayaannya.

Wanita di usia 41 tahun.

Ada yang sudah bermenantu dan bercucu.
Ada yang sedang sibuk membesarkan anak-anak.
Ada yang selesa dengan pangkat dan kedudukannya.
Ada yang masih belum berumahtangga.
Ada yang sedang menanti cahaya mata.
Ada yang sedang berjuang sebagai ibu tunggal.

Dan ada seribu satu kisah lagi yang tidak terlihat di mata manusia.


Aku pula bagaimana?

Pada usia ini, aku bersyukur kerana sedang membina keluarga yang pernah aku impikan. Ada suami yang setia, dan anak-anak yang menemani di setiap hariku.

Aku yang di usia ini, masih sibuk membesarkan anak-anak yang semuanya masih di bawah tanggungjawab ibu bapa. Hari-hariku dipenuhi dengan urusan yang tidak pernah habis; menghantar, menunggu, mendidik, mengingatkan, memujuk dan mendoakan.

Mungkin hidupku tidak sempurna di mata orang. Mungkin aku belum berada di puncak kejayaan seperti sebahagian yang lain. Namun, aku belajar bahawa kebahagiaan bukan tentang memiliki semuanya, tetapi tentang mensyukuri apa yang Allah pinjamkan untuk kita hari ini.

Di usia 41 tahun ini, aku tidak mengejar kehidupan yang kelihatan sempurna. Aku hanya ingin menjadi isteri yang menenangkan, ibu yang sentiasa ada dan sentiasa bijaksana mendidik, dan insan yang pulang kepada Allah dengan hati dan amal yang lebih baik daripada semalam. (Yang semuanya ini masih aku rasakan gagal untuk aku ‘jadi’- sehingga ke hari ini). 

Kerana pada akhirnya, setiap wanita mempunyai garis waktunya sendiri. Tidak perlu berlumba dengan sesiapa. Cukuplah kita terus bertumbuh, terus bersyukur, dan terus mencintai kehidupan yang sedang kita jalani.



41 years of grace. Alhamdulilah. Syukur, di sisi ku masih kamu yang terus setia menjaga dan mencintai. Syukur, bersama kita masih anak-anak yang riang menemani.




0 comments:

Post a Comment