Friday, 26 June 2026 By: Naemah

HARI INI PUN-ALHAMDULILLAH



Bangkit pagi seperti biasa. Solat dan kejutkan anak-anak. Sediakan sarapan, dan siap untuk hadir ke sekolah Suri untuk Hari Bicara Akademik. 


Selesai jam 8.30 pagi. Balik rumah, suami masih ada. Sudah siap untuk ke Kuala Terengganu. Masa untuk kembali bekerja setelah 2 minggu berada di rumah. Sempat bersamanya keluar sekejap beli makanan kucing dan isi minyak kereta. 


Jam 10 pagi dia bertolak ke Kuala Terengganu. Kini aku perlu kembali ‘sibuk’ dengan urusan anak-anak. Sendiri-sendiri. Hanya Allah tempat berpaut sepenuhnya. 


11 pagi, keluar membeli makan tengahari untuk anak-anak. Tak berapa rajin nak masak hari ni. Bungkus nasi sorang satu. Dan self reward buat diri sendiri. Hiburkan jiwa sendiri. Orang lain (termasuk suamiku) berpuasa di hari Asyura (10 Muharam), tapi aku lebih fikirkan penat dan tak larat. Lemahnya aku! Ruginya aku! Moga Allah masih sudi menerima segala kekuranganku.


Selesai bab makan, memecut mengambil Miqdad dan Mussaab. Balik rumah, makan sama-sama. Sembang panjang, sebelum masuknya waktu Zohor. Bersiap, hantar anak-anak lelaki untuk solat Jumaat, dan hantar Suri ke sekolah sessi petang. Kemudian ambil Mussaab dan Miqdad dari surau (Anas dah berjalan kaki ke sekolah yang tak jauh dari surau). Hantar pula Mussaab ke sekolah sessi petang. Balik. Rehat. 


Tiba masanya, jemput pulang Mussaab, Suri dan Anas. Selamat semuanya kembali ke rumah. Hidang makan malam pula. Apa adanya. 


Malam menjengah. Satu hari sudah berjaya ditempuh. Dengan baik-baik saja, Alhamdulillah. 


Tiada cerita besar di hari lahir. Tiada hadiah istimewa dan mewah. Tiada surprise, tiada moment yang sweet. Cuma hari yang seakan sama dilalui setiap harinya.


Namun syukur di sisiku masih suami yang setia, penyayang dan bertanggungjawab, serta anak-anak yang menjadi peneman di setiap hariku. 


Terima kasih buat suamiku yang tak melupakan. Walau sekadar ucapan yang sempat kau bisikkan sebelum bermusafir jauh, tetap itulah yang paling manis. 


Terima kasih ya Allah.

Hari ini tubuhku masih sihat, walau tak segagah dulu. Tiada sakit yang tak mampu untuk bangkit. Tiada sesak yang menyekat aku dari bernafas tenang. 


Masih aku mampu meneruskan hari bersama yang tersayang. Masih aku mampu menjadi ibu yang menguruskan anak-anak dengan kudrat sendiri. 


Alhamdulillah untuk seluruh nikmatMu ya Allah. 


Sesungguhnya, bahagia itu bukan pada luar biasanya sebuah hari. Tetapi pada hadirnya nikmat-nikmat kecil yang Allah hadirkan setiap hari, tanpa pernah putus.





0 comments:

Post a Comment