Wednesday, 25 June 2025 By: Naemah

RUPANYA SUDAH JAUH MELANGKAH



Jun 1985

Aku selamat dilahirkan ke dunia. Di sebuah rumah, di dalam kebun getah, di tepi anak sungai, di kampung terpencil. Kelahiran ke-11, dan yang ke-5 berjaya ‘survive’ hingga ke hari ini (dengan izinNya). Menjadi anak bongsu kepada mek dan ayah yang sudah berusia. 


Jun 1995

10 tahun berlalu. Sudah berada di tahun 4 di sekolah rendah. Sudah 7 tahun bergelar ‘anak yatim’. Hidup berdua dengan ibu yang sudah tua, tapi masih berkudrat mencari rezeki. Hidup bebas sepertimana budak-budak kampung yang lain, masuk hutan, mandi sungai, panjat pokok dan bukit, dan bermain dengan riangnya. Tak fikirkan masalah kehidupan. 


Jun 2005

20 tahun berlalu. Di usia muda belia. Sedang berada di Matrikulasi UIA. Dah tak lama nak ke UIA Gombak. Dari kampung berhijrah ke kota demi pendidikan. Biar dengan watak yang masih agak ke’kampung’an, berjaya tamatkan pengajian dan membina persahabatan juga. Cinta hati? Tiada.


Jun 2015

30 tahun berlalu. Sudah berumahtangga dan sudah mempunyai 2 cahaya mata, 3 tahun dan 1 tahun. Berjodoh dengan insan yang tak pernah ku kenal, tapi 10 tahun dulu pernah mendengar tentangnya. Mendengar tanpa menyangka bahawa itulah jodoh. Dari Melaka kini stay di Kajang. Bertemu dan berpisah dengan suami yang kerjayanya di laut. Menjadi ibu yang masih kurang pengalaman dan masih perlu banyak belajar.


Jun 2025

40 tahun sudah? Masya Allah! Kini sudah bergelar ibu kepada 5 cahaya mata, dari peringkat usia bayi hingga remaja. Mendepani cabaran baru dalam dunia keibubapaan yang tak mudah. Semakin sibuk dengan urusan harian bila anak-anak semua dah bersekolah (kecuali yang kecil). Sibuk di rumah, dan sibuk di luar juga. Penat dan lelah, Allah saja yang tahu. Kesihatan juga dah tak sebaik dulu. Dah kena ambik ubat rutin, dan perlu lebih berjaga-jaga dalam bab kesihatan diri. 


Ya Allah, telah jauhnya kaki ini melangkah di bumiMu. Tak sedar, tak terkejar. Dari kecil menjadi dewasa. Mendekat pula ke usia tua. Dari sendiri, kemudian berpasangan dan dihadirkan zuriat. Dari lemah menjadi kuat, dan ke fasa lemah kembali. Dari tak tahu apa, diberikan ilmu dan kematangan menjalani hidup. 


Ya Allah, sungguh aku syukuri nikmat usia yang kau kurniakan buatku. Masih kau panjangkan usia ini, dan memberikan ruang untuk aku memperbaiki diri yang masih terlalu banyak kurang ini.


Ya Allah, izinkan aku terus melangkah lebih baik. Menjadi isteri yang mentaati suami, hingga dia sentiasa senang dan reda denganku. Menjadi ibu yang lebih berhikmah mendidik anak-anak, dan sempat melihat mereka membesar menjadi manusia berguna untuk agama dan ummah, tanpa ada sebarang sesal pada hati ini. 


Ya Allah, Kau tahu aku tak cukup baik di sisiMu Banyak khilaf dan dosa. Moga hidayahMu sentiasa menerangi hidupku, agar aku tetap memilih jalanMu yang benar. Pimpinlah langkahku ya Allah. Ameen. 

0 comments:

Post a Comment