Kini Jun membuka tirainya. Alhamdulillah masih dalam keadaan sihat dan berkecukupan.
1 Jun, bermula dengan perjalanan balik kampung. Malamnya (11.30) suami sampai dari Kota Kinabalu. Jam 4.45 pagi bertolak balik ke Kota Bharu. Suamiku, pulangnya tak lama. Nanti akan ke Kemaman pula. Kerana itu perlu segera hantar anak isteri balik kampung. Yelah, rugilah cuti sekolah tak balik kampung. Walau dia sendiri kepenatan, namun pecut juga supaya tak terlepas balik kampung.
Hari ini hari kedua di kampung. Esok suami akan bertolak pergi, dan tinggalkan aku dan anak-anak di kampung. Aidiladha juga dah tak lama (7 Jun), mungkin kami akan meraikan tanpa suami bersama. Lepas raya haji, nak berkejar balik Semenyih pula. Ada yang akan menghadapi exam di hari pertama sekolah dibuka. Harapnya suamiku akan cepat pulang, sebelum cuti sekolah tamat. Dan semoga Allah permudahkan segalanya buat kami. Ameen.
Jun ini, juga merupakan bulan kelahiranku. Yang paling bermakna, mungkin! Sebab tahun ni genap usiaku 40 tahun. Tahun yang menyentakkan aku bahawa aku tak muda lagi. Bahawa aku perlu lebih serius mengingatkan diri akan hidup ini tak lama. 40 sudah aku jalani hidup di dunia ini. Hakikatnya tak terasa lama pun. Dan bakinya, mungkinkah ada 40 tahun lagi? Sedarlah hakikat, yang usia makin hampir pada pengakhirannya. Dan apakah persediaan diri untuk menghadapi saat itu?
Semoga Jun ini dapat ku jalani lebih baik, bersama suami dan anak-anak tercinta. Tahun ini dan seterusnya, mungkin menempuh cabaran yang berbeza, kerana anak-anak juga makin meningkat usia, ada bermacam ragam dan perangai nak kena handle, mudah-mudahan Allah berikan petunjuk dan kekuatan untuk mendidik dengan baik agar tiada penyesalan di kemudian hari.
Selamat datang Jun! Semoga Allah kurniakan sihat, bahagia dan kecukupan untuk menjalani hari-hari. Ameen.
1 June 2025
Perjalanan balik kampung
0 comments:
Post a Comment