Pagi ini kembali kepada rutin-menguruskan anak-anak bersendirian.
Subuh, kejut bangun semua, ready breakfast (ummi goreng wedges je), dan siap untuk hantar Mussaab dan Miqdad.
Nuha pagi ini bangun sekali dengan ummi. Dia yang demam sejak semalam, kurang lena tidurnya malam tadi. Asyik terjaga dan menangis. Badan panas. Ummi risau, tapi rasa-rasanya tidak teruk sangat panasnya (ummi lupa nak cek pakai termometer).
Bangun pagi ni ummi rasa panasnya dah kurang. Tapi masih meragam.
Hantar Mussaab dulu, kelihatannya kurang bersemangat ke sekolah. Sakit perut katanya. Ummi tak bertanya lebih lanjut. Hantar saja. Air mukanya muram. Tapi ummi mengejar masa. Perlu hantar Miqdad pula. Ummi iringkan doa, semoga Mussaab baik-baik saja di sekolah. Balik nanti dalam keadaan yang lebih baik, insya Allah.
Hantar Miqdad, hari ni hari ketiga UPSA (Matematik dan Akhlak). Semalam plan nak bantu Miqdad ulangkaji, tapi sibuk dengan hal lain. Ulangkaji entah ke mana. Ummi harap Miqdad dapat jawab exam dengan cemerlang. Insya Allah.
Pulang menempuh sesaknya jalan. Nuha yang sekejap ok, dan sekejap menangis nak ummi ambik dia. Tidak tenang memandu. Beriringan rasa sedih dan sayu. Terasa ‘berat’ di hati.
Balik rumah settlekan Suri pula. Siap makan dan hantar ke sekolah. Malam tadi ada mengadu sakit kepala. Tapi nampak macam ok je pagi ni, ummi hantar ke sekolah juga. Selepas itu mengisi minyak kereta yang dah tinggal 1 bar. Abi terlupa nak isi sebelum pergi semalam. Terpaksalah, sebab nak tempuh trip pergi balik sekolah yang entah berapa kali lagi ni.
Kembali ke rumah. Hanya bertiga dengan Nuha dan Anas. Anas tadi layan mengantuk, sebab semalam penat sekolah pagi petang (ada koko). Kini turn Nuha pula untuk rehat dan tidur. Tadi bangun awal dengan ummi. Makan pun tak selera sangat. Nak susu saja. Akhirnya lelap juga. Badan masih panas. Tapi dah kurang berbanding semalam. Harapnya makin sihat. Kalau tak, merengek saja, ada saja yang tak kena. Ummi pula tak boleh nak fokus sepenuhnya pada dia. Kesian Nuha.
Now, ummi ambil masa untuk tenang dan rehat. Recharge. Bersama sedikit ruang yang ada. Lepas ni nak kejar masak, ambil dan hantar sekolah lagi, dan seterusnya hingga menutup hari.
Baik-baik sajalah semua, anak-anakku. Kalau tak kerana Allah, takkan kuat ummi nak tempuh segala. Ini baru cerita pagi. Tidaklah sukar, kerana pasti ada yang lebih sukar situasinya berbanding kita. Cuma terasa di’tekan’ sedikit, namun pastinya sekadar mampu kita. Tidak lebih dari itu.
Alhamdulillah untuk cerita pagi ini yang sudah ditempuh. Semoga anak-anak ummi dalam rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa. Terus berjuang menjadi manusia berilmu. Jangan sia-siakan segala cerita pagi kita. Pagi hingga ke malamnya. Moga segalanya diiringi hikmah dan kebaikan yang banyak. Ameen.
0 comments:
Post a Comment