Wednesday, 5 February 2025 By: Naemah

NIKMATI PERJALANAN DAN SYUKURI SEGALANYA


Pada 8/10/2024 Anas menduduki ujian PKSK untuk permohonan ke SBP (Sekolah Berasrama Penuh). Tak lama kemudian (6/1/2025) dipanggil temuduga SBP TMUA (Tahfiz Model Ulul Albab) di SMAP Bentong.


Pada 16/10/2024 Anas menduduki ujian UKKM di MRSM Bagan Datuk untuk permohonan ke MRSM Ulul Albab. Pada hari yang sama, perlu menduduki ujian kelayakan (secara online) dan temuduga. 


Pada 8/1/2025 Anas menduduki UKK, ujian kelayakan MITS (Maahad Integrasi Tahfiz Sains-JAIS) di SRAIPB (ujian secara online). Kemudian pada 13/1/2025 mendepani temuduga di MITS Bagan Terap, Sabak Bernam. 


Pada 18/1/2025 Anas menduduki ujian bertulis dan temuduga untuk permohonan ke SMISTA (Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz-MAIWP). 


Selesai 4 ujian kelayakan yang semuanya adalah permohonan ke sekolah tahfiz dengan harapan, diterima masuk untuk salah satunya pun dah syukur yang amat. 


Pada 13/1/2025 semakan keputusan MRSM-Tidak berjaya. Pada 31/1/2025 keluar keputusan SBP-Tidak berjaya. Pada 1/2/2025 semakan keputusan MITS- tidak berjaya. Pada 5/2/2025 semakan keputusan SMISTA-juga tidak berjaya. 


4 siri ujian kelayakan dan temuduga sudah Anas hadapi. Alhamdulillah untuk semuanya, meskipun keputusannya tidak seperti yang kita mahu dan harapkan.


Kecewa. Sudah tentu ada. Masakan tidak, kita memohon dan menempuh segalanya dengan harapan untuk diterima, at least pada salah satunya. Namun apakan daya, kuasa Allah melebihi segalanya.


Dan kita perlu menerima semua ini sebagai takdirNya yang terbaik. Kerana Allah tak pernah menzalimi. Allah lebih tahu yang terbaik buat kita. Dan percayalah, Allah pandang semua usaha dan pengorbanan kita. Tiada satu pun yang sia-sia.


Maka nikmatilah perjalanan ini. Kenanglah apa yang telah kita lalui bersama. Sekurang-kurangnya, ada memori dan pelajaran hidup buat kita untuk menjadi lebih dewasa.


Kenangan membawa Anas ke Bagan Datuk tanpa abi, itulah kenangan ummi mula memberanikan diri memandu jauh hanya untuk Anas mendepani ujian. Kenangan memandu diiringi tangisan Nuha yang panjang, kenangan abang-kakak Nuha yang berzikir panjang untuk pujuk Nuha, kenangan Anas membantu ummi membaca peta jalanan, dll. 


Kenangan sekeluarga menginap di Bentong untuk Anas menjalani ujian sekali lagi. Kenangan abi meninjau di setiap kawasan yang menjadi tempat membesarnya dulu di bandar Bentong, kenangan bertemu keluarga Mohd dan menikmati makan malam dengan penuh kemeriahan, kenangan menjamu selera di restoren Ramli dan Warung Saidina, kenangan membeli apam balik crispy dan agihkan pada abang-abang yang menjaga di pagar sekolah, dll.


Kenangan Anas berdua dengan abi ke Sabak Bernam untuk temuduga MITS. Pasti banyak pesanan dan nasihat abi di sepanjang perjalanan pergi dan balik. Kenangan makan berdua dengan abi di kedai makan pilihan Anas,dll. Bukan senang nak dapat spend masa berdua dengan abi kan?


Dan tak lupa kenangan sekeluarga membawa Anas menduduki ujian dan Temuduga di SMISTA, sekali dengan perjalanan balik kampung untuk bercuti panjang. Kenangan menunggu lebih kurang 4 jam di masjid sehingga Anas selesai, dengan penuh doa, harapan dan tawakkal. 


Apakah semua itu tidak memberi apa-apa erti hanya kerana ujian kelayakan itu tidak berjaya? 


Perancangan Allah tidak pernah mampu kita jangkakan. Namun bila takdirNya tidak menyatu dengan harapan dan impian kita, semoga kita tetap percaya takdir itulah yang lebih baik.


Kita berusaha, dan Allah yang menentukan. Barangkali takdirNya masih mahukan Anas ‘dekat’ dengan ummi dan abi. Belum masanya untuk duduk di asrama. 


Jadi tak perlu simpan kecewa berlebihan. Lapang dada terima ketentuan. Yang terbaik buat Anas bukan di sana. Tapi mungkin di sini, insya Allah. 


Cuti sekolah berbaki tak lama. Keperluan sekolah Anas masih belum ready. Dah dapat semua keputusan permohonan ke tingkatan 1, dah lega dah sebenarnya. Tak tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya lagi mana nak tuju. Fokus pada yang dekat. Tak perlu jauh. Insya Allah akan meneruskan sessi persekolahan dengan baik, tenang, dan terus bersemangat untuk menempa kejayaan cemerlang. 


Ummi akan doa dan support sentiasa!


Ummi menulis ni pun sebagai satu langkah ‘move on’ dan terus melangkah ke depan. Tiada apa yang nak dikecewakan, kerana pada hakikat, cerita perjalanannya lebih menang di hati. 



Kenangan;

Moga setiap langkah dikira sebagai ‘perjuangan’ di sisiNya



PKSK di SK Semenyih

(8/10/2024)



UKKM dan temuduga (ulul albab) di MRSM Bagan Datuk

(16/10/2024)



Temuduga TMUA di SMAP Bentong
(6/1/2025)


Temuduga di MITS Bagan Terap

(13/1/2025)



Ujian kelayakan dan temuduga di SMISTA
(18/1/2025)

Allah saksi dan Allah mengira tiap perjuangan kita.

0 comments:

Post a Comment