Thursday, 30 January 2020 0 comments By: Naemah

CNY BREAK: KE KOTA KINABALU




(23/1/20-28/1/20)

Cuti sekolah bersempena Tahun Baru Cina sudah pun berakhir. Kali ini destinasi kunjungan kami sekeluarga ialah ke Kota Kinabalu, Sabah. Kunjungan kali ke-4, tapi dalam suasana yang berbeza.  


Berbeza kerana kali ini bukan semata untuk makan angin, tapi bersilaturrahim dengan keluarga yang baru berpindah ke sana. Berbeza juga kerana kali ini datang bersama ahli keluarga yang lain (dari kampung).


Ada dua tujuan utama dari musafir ke Kota Kinabalu kali ini. Pertama, kerana dah lama tak join family trip, jadi kali ni berpeluang untuk ‘ikut’ (di samping dapat harga tiket murah). Kedua, nak bawa anak-anak jumpa sepupu rapat mereka yang dah agak lama tak jumpa. Kiranya sebagai ‘surprise’ hari jadi Anas dan Mussaab la :)


Seperti yang dijangka, anak-anak seronok dapat jumpa sepupu mereka. Berkawan dan bermain tak henti. Riuh rendah tiap masa. Naik kereta pun tak nak berpisah. Kena naik kereta yang sama :)


Kunjungan kali ini, kami tak terlalu mengejar masa. Banyak habiskan masa di rumah. Kami cuba elakkan tempat-tempat yang dikunjungi orang ramai memandangkan sekarang tengah menular wabak penyakit- novel coronavirus


Sepanjang hampir 1 minggu di sana, kami sempat mengunjungi Muzium Sabah, Petrosains yang bertempat di perpustakaan awam, naik ke Kundasang, ke pantai (dalam kawasan UMS), Masjid terapung, Perdana Park, dll. 


Untuk percutian kali ini, bersyukur atas kegembiraan anak-anak kami bertemu sepupu mereka; Umar, Uwais, Urwah, dan Sumayyah yang dulunya selalu ‘sambut’ mereka bila balik kampung. Sekarang tak lagi, bila ibubapa mereka (Dr Azim dan Dr Nasibah) terpaksa bertukar tempat kerja. Entah la bila lagi agaknya akan bersua.


Syukur juga segala urusan di sana sangat dipermudahkan. Walau sebelum pergi ada timbul sedikit ‘masalah’ dan ada kebarangkalian untuk membatalkan hasrat untuk pergi :) tak apalah, simpan semua buat pengajaran. Alhamdulillah dah selamat pergi dan balik pun.


Kini Anas dan Mussaab kembali ke kehidupan realiti yang biasa. Kembali ke sekolah, kembali meneruskan kehidupan dengan hanya ‘kita’. Pun tetap bersyukur kerana masih dikurniakan kehidupan dan kesihatan untuk terus berusaha memperbaiki diri dan menjadi hamba yang lebih baik. Insya Allah :)


Antara potret kenang-kenangan di sana;




First trip Suri ke k.kinabalu





































Sunday, 19 January 2020 0 comments By: Naemah

ILHAM MIQDAD: 3 TAHUN 3 BULAN





Catatan di hari lahir Anas dan Mussaab sudah, untuk Suri yang berusia 5 bulan pun sudah. Macam tertinggal je sorang lagi :D ummi kena menulis juga la untuk Miqdad, walaupun birthday baru je lepas bulan Oktober lepas. Oklah, ini catatan bersempena usia Miqdad 3 tahun 3 bulan pada bulan ni :)


Tahun ini, Miqdad masih jadi teman setia ummi di rumah setiap hari. Teman ummi dan Suri. Kalau ikutkan Miqdad memang teringin nak bersekolah, tapi belum masanya sayang. Seperti ummi pernah tulis sebelum ni, awal tahun ni nak fokus potty train. Lepas tu baru fikir nak hantar Miqdad sekolah tau tak tahun ni. 


Miqdad pada ummi, istimewa dan punya kelebihan yang tersendiri. Dan mungkin kerana ada dua abang, Miqdad banyak belajar dari abang-abang. Miqdad petah bercakap dan banyak bertanya. Dan yang penting, Miqdad sihat dan membesar baik. Alhamdulillah.


Miqdad sekarang dah pandai menulis dan melukis. Alah, kalau untuk budak umur 3 tahun memang dah cantik sangat lah tu lukisan Miqdad :D yang specialnya, Miqdad boleh melukis menggunakan kedua tangan kiri dan kanan. Penat kiri, tukar kanan, penat kanan, tukar kiri. Dua-dua bekerja. Harapnya sampai besar pun memang ‘berfungsi’ keduanya dan beri kebaikan untuk Miqdad :)


Miqdad sekarang memang satu geng dengan Anas dan Mussaab. Tapi selalu nak menang, sampai abang-abang stress. Hehe. Tak dapat yang Miqdad nak, mula la pukul-pukul atau menjerit. Haish.. ummi tahu Miqdad masih di fasa yang ini. Moga cepat matang dan jadi good boy ya Miqdad. Kesian abang-abang selalu kena marah, dan selalu kena mengalah. Besar nanti kena sayang dan hormat Abang ya. 


Ok, setakat ini dulu catatan ummi untuk Miqdad di awal tahun baru ini. Ada masa ummi akan menyambung catatan lagi. Ummi sayang Miqdad. Sayang semuanya. Tiada siapa ‘lebih’. Kerana tiapnya ‘special’ dengan kelebihan tersendiri.


Moga kehidupan Miqdad sentiasa dalam rahmat dan berkat Allah. Moga sentiasa dikasihi dan dicintai Allah. Moga bahagia, cemerlang, dan mulia di sisiNya selamanya.


آمين



Geng’








SELAMAT HARI LAHIR ABDULLAH MUSSAAB




19/01/14

Pada tarikh ini, 2 tahun 1 minggu selepas melahirkan Anas, Mussaab pula hadir dalam hidup ummi dan abi.


Hari ini genap sudah usia Mussaab 6 tahun. Mussaab sudah di tahun terakhir sebagai student kindergarten. Insya Allah tahun depan melangkah ke tahun satu. Masya Allah.. cepat masa berlalu.


Hari ni abi tiada bersama. Hanya ummi dan adik beradik Mussaab (yang sentiasa bersama). Dari minggu lepas (pada hari lahir Anas) Mussaab dah tak sabar nak tunggu hari istimewa Mussaab. Mussaab juga nak ummi masak makanan special kesukaan Mussaab. Tapi tahu apa yang Mussaab minta? Hmm.. nasi lemak! Kalau nasi lemak.. tak adalah special sangat. Setiap minggu rumah kita ni menjamu selera dengan nasi lemak. Ummi suggest yang lain, Mussaab tetap nak nasi lemak.


Ok, pagi ni terhasil nasi lemak special untuk Mussaab. Rasa dia mungkin sama macam yang ummi selalu masak, tapi yang specialnya ialah kita ‘picnic’ nasi lemak kat luar rumah. ‘Luar rumah’ jerrr... tapi Mussaab happy and suka sangat! Walaupun abi tak ada bersama, tak apalah masih best, masih bermakna.


Petang hari abi sampai di rumah. Abi belanja makan malam di kedai makan Harraz, belanja Nasi goreng USA kesukaan Mussaab. Alhamdulillah.


Tamat ‘sambutan’ hari lahir Mussaab yang ke-6 tahun. Best ke tak best? 


Kini Mussaab dah mula faham maksud ‘birthday’. Tak ada kaitan pun dengan kek atau hadiah semua tu, sekadar secebis ingatan bahawa hari ini hari ummi berjuang melahirkan Mussaab. Nak makan-makan special sikit boleh je. Apa salahnya. Cuma ummi tak nak ajar untuk terlalu meraikan. Seadanya saja ya! 


Kalau Mussaab nak tahu, yang paling bahagia pada tarikh ini dah tentulah ummi, sebab menerima kehadiran cahaya mata yang ummi kandung dan berjuang melahirkan. Bukan sedikit bahagia yang ummi rasa. Bahagia dan bersyukur sangat Allah hadiahkan Mussaab untuk ummi.


Ummi mahu Mussaab tahu bahawa ummi sangat menyayangi Mussaab sama seperti yang lain. Tak ada beza. Terima kasih selama ini Mussaab jadi anak ummi yang sangat baik. Nakal-nakal sikit tak apalah, memang ummi marah tapi marah ummi kerana sayang. Mahu Mussaab jadi yang lebih baik.


Doa ummi sentiasa untuk Mussaab. Semoga Mussaab sentiasa dikurniakan kebaikan dalam meniti hari-hari di dunia ini. Semoga Mussaab akan berada di tempat yang selayaknya untuk Mussaab. Ummi tahu Mussaab seorang yang tekun dan punya daya kreativiti. Semoga cemerlang bersama kecenderungan itu. Ummi akan sentiasa menyokong dan mendoakan.


Semoga sentiasa berakhlak baik dan menyenangkan. Semoga jadi hamba Allah yang bertaqwa dan tiap masa rasa diri berTuhan. Insya Allah bahagia milik Mussaab. Dunia dan Akhirat.


آمين


Ummi, abi, along dan adik-adik sayang mussaab.

Sayang sampai syurga. Insya Allah 



Birthday Picnic










Petang hari-menunggu kepulangan abi



Alhamdulillah abi dah balik!!



Saturday, 18 January 2020 0 comments By: Naemah

SURI LILYANA: GENAP 5 BULAN






(15/8/19-15/1/20)

Genap sudah usia Suri 5 bulan

Alhamdulillah 


Paling ummi bersyukur, Allah kurniakan anak ummi ini kesihatan yang baik. Perkembangan yang baik juga. Alhamdulillah 


Baru lepas check-up Suri di Klinik Kesihatan Rinching Tengah. Perkembangan Suri baik dan normal, tiada apa-apa masalah.


Suri di usia ini sudah boleh meniarap, bergolek dan berguling, memang tak boleh biarkan atas katil tanpa pantauan. Suri juga dah boleh mencapai objek yang nampak kat depan mata. Capai dan masuk terus ke mulut. Sangat bahaya kalau biarkan dengan abang-abang yang tengah asyik bermain. Especially kalau tengah main lego.


Suri comel sangat dan sentiasa manis dengan senyuman. Pantang ditegur :) tapi kalau menangis pun kuat juga. Sangat nyaring, tak seperti abang-abang dulu. Mungkin girl memang macam ni kot! Maklumlah ummi takde pengalaman. Tapi bila Suri menangis memang rasa nak luruh jantung, perlu segera bergegas tenangkan Suri.


Namun pada ummi Suri sangat mudah dijaga. Pada kebanyakan masa Suri baik-baik saja. Paling tenang pada waktu malam. Lena sangat tidur Suri. Hanya sesekali bangun menyusu. Cuma waktu-waktu tertentu saja Suri tak nak duduk, menangis tak mahu diletak. Nak tak nak, ummi kena buat kerja sambil memegang Suri atau terpaksa cari waktu lain untuk sempurnakan kerja ummi.


Apapun ummi bersyukur Suri hadir dalam hidup ummi. Menjadi anak perempuan yang pertama, banyak juga yang ummi belajar. Yang pasti, ummi sayang sangat pada Suri. Tak dapat ummi nak gambarkan rasa sayang ini. Sayang ummi pada seorang anak perempuan.


Bahkan bukan hanya ummi. Abi, dan abang-Abang Suri juga sayangkan Suri. Time ummi sibuk, along dah boleh diharap untuk jagakan Suri seketika. Angah dan achik pun selalu nak meriba Suri. Sayang sangat kat baby girl ni.


Semoga Suri akan terus membesar sihat dan sempurna. Jadi gadis yang baik, yang berakhlak mulia dan terpuji. Moga diberkati perjalanan hidup Suri. Menemui kebahagiaan dan kesejahteraan. Dunia dan akhirat, insya Allah.


Ummi sayang Suri



Hari check up Suri di klinik 










Sunday, 12 January 2020 0 comments By: Naemah

SELAMAT HARI LAHIR ANAS ZAYDAN






Assalamualaikum Anas Zaydan; kesayangan ummi dan abi


Alhamdulillah hari ini (12/1/20) genap usia Anas 8 tahun. Dah besar anak sulung ummi kan? Dah melangkah ke darjah 2, dan insya Allah sudah semakin cerdik dan boleh berfikir baik buruk sesuatu perbuatan yang dilakukan.


Seperti tahun-tahun yang lepas juga, kita ‘raikan’ dengan cara yang tersendiri. Lupakan kek, lupakan parti, lupakan hadiah. Pun begitu, ummi tetap nak jadikan tarikh keramat ini satu momen yang akan dikenang. 


Bangun pagi hari ni, Alhamdulillah ummi dan abi tak lupa untuk ucapkan selamat hari lahir kepada Anas. Anas membalas dengan senyuman. Anas tahu hari ni special.


Sebagaimana yang Anas request, hari ni ummi prepare bahan untuk masak lasagna kesukaan Anas. 3 tahun berturut (atas permintaan Anas sendiri) lasagna menjadi hidangan istimewa di hari lahir. Bezanya kali ini, ummi hanya sediakan bahan dan tunjuk ajar, langkah demi langkah, Anas yang buat sendiri. Alhamdulillah, terhasil lasagna yang sedap dari air tangan Anas. Habis licin semuanya.


Untuk makan malam pula, abi belanja makan KFC, juga favourite Anas. Satu lagi sebab esok abi akan kembali bertugas, itulah abi nak bagi anak-anak happy sebelum dia pergi. 


Namun hari ini tetap berjalan seperti biasa. Anas bersama adik-adik, berkawan, bergurau senda dan kerap juga bergasak. Hari ni juga tak lepas Anas dimarah ummi dan abi bila buat salah.


Anas, maafkan ummi dan abi jika Anas tak rasa hari ni istimewa untuk Anas. Tapi ummi percaya Anas akan ingat dan akan hargai momen bersama keluarga ini. Termasuk apa yang ummi dan abi pesankan tadi, apa yang abi berceramah panjang tadi, apa punca yang sampai buat Anas menangis tadi... insya Allah Anas akan faham, bahawa ummi dan abi sangat-sangat menyayangi Anas. Mahukan yang terbaik untuk Anas, mahukan Anas sentiasa berusaha menjadi yang lebih baik.


Anas yang selalu tolong ummi kemas rumah, moga akan sentiasa rela hati untuk menolong ummi. Anas yang selalu tolong jagakan adik, moga akan selalu sayangkan adik. Anas yang pintar dalam pelajaran, moga akan sentiasa berdiri sebagai seorang pelajar yang cemerlang, Anas yang bercita-cita menjadi saintis, moga jadi saintis Muslim yang paling hebat dan mampu diteladani. Apa saja yang Anas suka, moga semua bermanfaat untuk Anas.


Dan ummi doakan segala impian Anas menjadi kenyataan yang indah dalam hidup Anas. Semoga Allah kurniakan Anas kesihatan, kecemerlangan, kebahagiaan dan kemuliaan di dunia dan akhirat. 


آمين


Ummi dan abi sangat-sangat menyayangi Anas 

Adik-adik, juga menyayangi Anas, sentiasa melihat Anas untuk dicontohi.

Jadi, Anas jadi yang baik-baik saja ya!
















Friday, 10 January 2020 0 comments By: Naemah

KERANA RINDU




 Potret tahun 2013. Masa ni aku tengah mengandungkan Mussaab. Ini antara percutian keluarga yang paling best dan menjadi kenangan manis. 


Pertamanya sebab ini kali pertama sampai di Kota Kinabalu. Keduanya sebab meriah, datang ramai-ramai dengan famili suami. Memang tak cukup semua, tapi tetap meriah juga. 


Bila bercuti ramai-ramai macam ni, feel dia berbeza dengan hanya keluarga kecil kita. Ia dua keseronokan yang berbeza. 


Tapi ini semua kenangan lama. Dah tak ingat, bila kali terakhir ikut family trip macam ni. Duduk satu rumah, berjalan sana sini sama-sama, makan sama-sama, gelak ketawa sama-sama... seronok... jadi kenangan yang manis untuk disimpan dan dikenang. Hubungan kekeluargaan pun makin rapat, asbab musafir bersama. 


Dan rasa ingin mengulangi kenangan lalu sentiasa ada. Tapi kekangan masa sering menghalang. Masing-masing dengan komitmen tersendiri. Sukar nak merancang percutian bersama.


Rindu sebenarnya nak mengulangi kenangan manis masa lalu. Rindu nak dekat dan bergelak ketawa dengan semua. Walau mungkin hari ini kita semua berbeza dengan yang dulu. Semakin berusia, semakin bertambah ahli keluarga... dan semakin banyak halangan untuk bertemu.


Andai takdirNya ada rezeki untuk bersama-sama lagi, semoga dapat mengulangi kenangan manis bersama lagi.


Namun biar dalam keadaan kita semua bersedia. Bersedia untuk saling menerima. Sama seperti dulu.


Saja mencoret di sini. Sebab bukan hanya aku yang rindu. Kami suami isteri.. sama-sama rindu. Entah rindu ini berbalas atau tidak :,)


~Allah saja yang tahu kenapa rasa sedih dan sayu~

Thursday, 2 January 2020 0 comments By: Naemah

2020: KEMBALI KE SEKOLAH



Alhamdulillah dah melangkah ke tahun baru 2020. Anak-anak juga dah kembali bersekolah. Sekolah bermula pada 2/1/20, iaitu pada hari Khamis. Bermakna 2 hari saja sekolah minggu ni dan rehat lagi 2 hari, dan minggu depan barulah kembali bersekolah macam biasa. Tapi cuti sempena tahun baru cina pun dah tak lama. Kiranya banyak bercuti jugalah anak-anak bulan ni :)


Hari pertama sekolah, Alhamdulillah segalanya lancar. Alhamdulillah suami juga ada di rumah. Urusan hantar dan ambil anak-anak dah settle. Cuma hari ke-2 aku terpaksa ambil anak di sekolah sebab suami ada meeting di KL. Anak-anak pun dah faham rutin mereka, so tak ada masalah sangat. Jauh lebih baik dari awal tahun lepas. Alhamdulillah :)


Tak ada feeling yang luar biasa untukku, sebab situasi lebih kurang sama je dengan tahun lepas, sekadar Anas yang dari tahun 1 kini dah melangkah ke tahun 2, Mussaab pula dari 5 tahun kini dah jadi 6 tahun. Dan keduanya masih di sekolah yang sama :)


Minggu depan juga Anas akan kembali menaiki van ke sekolah. Lepas dipertimbangkan sebaiknya, akhirnya decide nak sambung naik van sekolah. Insya Allah itu yang terbaik.


Mussaab pula dah masuk tahun ke-3 di Little Diamond Kindergarten. Betul-betul jadi ‘produk’ Little Diamond. Harapannya Mussaab tak jemu, sentiasa ada semangat nak ke sekolah setiap hari, jumpa guru dan kawan-kawan, belajar perkara baru setiap hari, enjoy sepuasnya sebagai ‘budak tadika’. Tahun depan dah bertukar uniform.


Miqdad pula, masih lagi menjadi teman ummi dan Suri di rumah. Awal tahun ni nak fokus pada potty train. Bila dah betul-betul bebas pampers barulah boleh fikir pasal sekolah. Kalau ikutkan layak, memang layak sangat dah. Cerdik sangat dah :D


Alhamdulillah untuk 2 hari yang pertama ini. Untuk anak-anak ummi, doa ummi akan sentiasa untuk kalian. Moga Allah terangkan hati dalam menuntut ilmu. Moga sentiasa seronok belajar. Moga Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri Allah jadikan sebagai insan yang berilmu dan beramal soleh. Yang beradab dan berakhlaq mulia. 


آمين



 First day








Second day






Surat cinta untuk sulungku