Friday, 21 December 2018 0 comments By: Naemah

CUTI YANG MASIH BERBAKI

Akan ada ketika dan masanya, terasa langsung tiada mood untuk menulis. Walau banyak benda ada di kepala, tapi langsung tak ada hati nak mencatat. Sudahnya, biarkan saja idea dan cerita berlalu. Ah, ruginya.. tapi ya benar, bukan semua mampu diluah. Dalam 1000 kisah, mungkin hanya 10 yang kita mampu ceritakan.


Hari ini tetap jalani kehidupan yang biasa-biasa, namun syukur Alhamdulillah segalanya baik :) hampir 2 minggu sudah meninggalkan kampung, orang tua dan keluarga. Masih meneruskan hari-hari berbaki 2018. Masih dalam musim cuti persekolahan, anak-anak 24 jam bersama :) Suami pula musafir kerja dan balik, seperti kebiasaan juga :)


Pejam celik pejam celik, sebenarnya dah tak lama tahun 2018 akan menutup tirainya. Lagi 11 hari saja lagi akan masuk tahun baru. Tahun baru, bakal mencipta kisah baru dan rutin baru juga. Yalah, Anas dah masuk sekolah baru, lebih jauh dan lebih lama pula sessi sekolahnya nanti. Mussaab pula setia bersama Little Diamond, tapi kali ni ke sekolah tanpa ditemani abangnya lagi. Harapnya akan baik-baik saja. Insya Allah.


Miqdad? Tahun depan masih setia jadi teman ummi di rumah. Miqdad yang semakin meningkat usia juga, Insya Allah makin cerdik dan lebih berdikari :)


Cuti yang masih berbaki ini insya Allah akan dimanfaatkan sebaik mungkin. Kini banyak masa bersama, esok-esok pasti rindu. Namun maafkan ummi, tetap punya banyak kekurangan, bukan setiap masa baik dan seronok. Banyak masa bersama, banyak drama juga. Bukan happy tiap masa. 


Yang nyata, destinasi cuti kali ini hanyalah ‘kampung ‘. Tak ada destinasi percutian yang lain :) tapi tetap syukur, kerana mampu jadikan itu destinasi utama berbanding yang lain. Supaya anak-anak juga nanti ingat dan tak lupa walau sejauh mana kembara dan musafir, tetap ingat untuk pulang! Jangan biar nanti ada hati yang merintih sedih dan rindu. 


Ok, cukup dululah coretan akhir tahun ini. Nak mulakan menulis memang berat, tapi bila dah start rasa banyak pula yang perlu ditulis. Tulis untuk ingat. Tulis untuk dibaca di kemudian hari. Tulis untuk jadikan peringatan diri. Menulis yang bermanfaat, insya Allah boleh jadikan pedoman.



Setia bersama











Friday, 14 December 2018 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 141218





Sudah hari ke-5 kembali ke rumah setelah lebih 2 minggu berada di kampung. Hari ini abi masih berada di rumah, lusa akan terbang ke Labuan. Mussaab pula, hari ni genaplah seminggu bersunat. Dah makin baik dan ok saja dia :)


Anas, Mussaab dan Miqdad bangun pagi seperti kebiasaan. Breakfast nasi dagang (abi masak) bersama. Dah kenyang semua, seperti biasa bermain dan buat aktiviti sendiri di dalam rumah. Bermacam aktiviti, biasalah bila dah mulakan hari. Rumah yang dah kemas kembali dipenuhi dengan segala macam barang. Bermain, beraktiviti dan bergurau senda tiga beradik. Part usik-mengusik sampai menangis pun ada juga. Biasalah....


Jam 9, semua ke halaman rumah ‘teman’ abi berkebun. Abi tanam pokok limau nipis, Anas tolong siram pokok. Halaman rumah masih dipenuhi semak samun setelah lama ditinggalkan. Abi kata nak beli mesin rumput, entah lah bila tu agaknya nak tunggu halaman rumah ni kemas dan clear balik :D


Masuk semula ke dalam rumah. Main dan buat aktiviti sama-sama lagi. Sekejap di bawah, sekejap di atas. Tak lupa membelek buku yang baru dibeli di Big Bad Wolf dan buat aktiviti dalam buku. Dan sempat juga ummi bacakan buku tentang 25 rasul yang juga baru dibeli. 


Jam 11, masih juga asyik beraktiviti dan bermain bertiga. Alhamdulillah inilah teman susah senang :D ummi gorengkan donat untuk Anas, Mussaab dan Miqdad yang memang menggemari donat. Donat air tangan abi semalam, dah licin semuanya. Semua kenyang makan donat, hanya ummi dan abi yang makan nasi tengahari.


Masuk waktu zohor, Anas dan Mussaab ikut abi ke masjid untuk solat jumaat. Miqdad menangis nak ikut juga, tapi tak boleh. Miqdad masih kecil. Miqdad menangis semahunya. Ummi pujuk Miqdad dan susukan Miqdad. Baru kemudian tenang dan Miqdad akhirnya tertidur.


Miqdad bangun dari tidur sebaik abang-abang balik dari masjid. Siap bawa balik ais krim dan candy. Aduhai dapat upah pulak sesekali ke masjid. Miqdad turun ke bawah makan ais krim dan main dengan abang. Lepas tidur kembali bertenaga. Ummi turun ke bawah jam 3 petang. Anas, Mussaab dan Miqdad masih dengan aktiviti masing-masing. Mana boleh duduk diam. Kebetulan pula tv rosak, apalagi ‘bekerja’ sajalah sepanjang hari.


Masing-masing buat bot dan bermain di dalam bilik air. Puas main turun semula ke bawah. Tiba-tiba Ada air menitik turun dari tingkat atas. Rupanya tadi main di bilik air, keluar tanpa menutup paip. Pulak tu lubang untuk air mengalir ditutupnya. Entah kerja siapa. Abi naik sapu air dan clearkan semua. Oh anak... 


Lepas asar, Abi buka movie cars di laptop. Asyik sekejap tengok movie sambil makan fries. Tak habis tengok movie, sambung main. Lepas tu abi buka movie Finding Nemo pula. Asyik pula sekejap di depan laptop. 


Jam 6, makan malam sama-sama. Lepas makan sambung menonton lagi hingga hampir masuk waktu Maghrib. Semua naik ke atas, mandi dan siap berpakaian. Di kesempatan yang ada, Anas mencuba pakaian sekolahnya yang baru dibeli. Bila masuk Maghrib, solat sama-sama dan baca al-Quran macam biasa. 


Masuk waktu isyak, Anas ikut abi ke surau. Menangis meraung lagi Miqdad nak mengikut abi. Selesai solat, ummi terus susukan Miqdad hingga Miqdad terlena. Mussaab juga tidur sekali. Jam 9, dah tidur keduanya. 


Anas pula, balik dari masjid minta abi buatkan donat lagi. Anas tunggu dari menguli hingga siap. Bukan donat yang terhasil tapi roti sosej ,:) semuanya abi punya kerja. Ummi just goreng dan simpan buat stok. Pukul 10.30 barulah selesai semua. Anas naik ke atas dan bersiap untuk tidur. Tidak lama pun berbaring, terus lena bersama adik-adik. Alhamdulillah.


Alhamdulillah di atas kehidupan yang dilalui bersama hari ini. Semoga akan terus diberi usia dan kesihatan untuk meneruskan hari yang lebih baik. Semoga lena semua anak-anak ummi. Semoga bermimpi indah, semoga hari esok menjanjikan yang lebih baik buat kalian. Insya Allah


Ummi love you all.

Tuesday, 11 December 2018 0 comments By: Naemah

ANNIVERSARY, BIRTHDAY, BIG BAD WOLF AND AFF SUZUKI CUP 2018




Anniversary, birthday dan Big Bad Wolf, AFF Suzuki Cup, rangkum semua sekali dalam entri kali ini :)


(11.12.10-11.12.18)

Alhamdulillah genap 8 tahun usia perkahwinan dengan suamiku yang tercinta. Syukur yang tak terhingga, 8 tahun sudah menjalani hidup bersama. Aku yang banyak kekurangan, dan dia yang pasti tak sempurna, saling melengkapi dan menutupi setiap cela dan aib yang ada.

8 tahun yang sudah berlalu, dan insya Allah akan ada banyak tahun lagi untuk teruskan hidup bersama-sama, membina keluarga yang dihiasi sakinah, mawaddah dan rahmah. 



(11.12.82-11.12.18)

Genap 36 tahun usia suamiku. Ya, bukan muda lagi :) 

Sejak di kampung lagi Anas asyik bertanya bila nak buatkan kad birthday untuk abi. Dan asyik bertanya hadiah apa nak bagi kat abi :D dari kampung, balik ke rumah, belum ada kesempatan nak buatkan kad untuk abi. Nanti-nantilah Anas ya. 



(Big Bad wolf: 11.12.18)

Hari ini berkesempatan untuk ke pesta buku Big Bad Wolf setelah sekian lama merancang. Bertolak dari rumah sekitar jam 8.00 pagi, dan berada di sana jam 8.30 pagi. 

Mengunjungi pesta Big Bad Wolf menjadi aktiviti tahunan yang ‘wajib’ buat kami sekeluarga sejak tahun 2013 (masa ni anak baru sorang). Tahun ni Alhamdulillah sempat juga pergi dalam keadaan Mussaab yang baru  bersunat hari ke-5. 

Hari ini Anas, Mussaab dan Miqdad memilih buku-buku yang mereka suka. Seronok masing-masing dapat membeli buku-buku yang menarik yang terdapat di sini. Kami berada di sini selama 2 jam, dan membeli sebanyak 65 buah buku (buku aktiviti/latihan paling banyak). Semoga dapat dimanfaatkan semuanya, insya Allah :)

Di sini juga sempat menikmati makan ringan di cafe yang disediakan. Beli 1 slice cake (karipap dan pie) share 5 orang :D oklah tu, kita bukan penggemar kek pun kan. Selepas itu terus balik ke rumah, buka buku yang dibeli, dan asyik dengan buku semuanya :)


(11.12.18: AFF Suzuki Cup 2018)

Malam ini abi bawa Anas ke Stadium Bukit Jalil untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Malaysia lawan Vietnam. Semangat Anas nak ikut, oklah ummi benarkan Anas ikut malam ni untuk temankan abi (yang semangnya peminat bola). Dalam hati ummi ni risau juga malam-malam macam ni, dengan ramai orang lagi. Tapi takpelah, Allah jaga Anas dan abi. 

Anas dan abi bertolak selepas menunaikan solat asar, dalam keadaan hujan yang masih renyai turun. Alhamdulillah update dari sana, dah selamat sampai, dah makan dan dapat seat dan sedia untuk menonton perlawanan. Tinggal ummi, Mussaab dan Miqdad bertiga sajalah di rumah malam ni. 


Tamat sudah catatan ringkas pada tarikh istimewa hari ni, 11.12.18. 

Tarikh istimewa, tapi tak ada yang luar biasa pun, biasa-biasa saja. Tidak meraikan, namun tak mungkin untuk melupakan. Yang utama adalah syukur, atas anugerah yang dikurniaNya sehingga ke hari ini. Hadiah dan surprise tak perlu tunggu tarikh istimewa seperti ini pun, sebab selalu saja ada ‘hadiah’ tak menunggu masa dan tarikh tertentu untuk diraikan. Untuk family kita, insya Allah setiap momen adalah yang terindah untuk dikenang. Bukan hanya untuk hari dan tarikh ini.

Begitu juga ujian yang mendatangi. Semoga akan tetap diberikan kekuatan dan positif diri untuk sentiasa bersangka baik pada Allah. Kerana sudah lumrahnya hidup, tak akan selalunya senang dan gembira. Akan sesekali diuji untuk ingatkan hati yang sering lalai , dan untuk kembalikan hati kepada Dia.

Dalam setiap suka dan gembira, moga akan tetap beringat agar tak lupa diri dan tak lupa Tuhan.

Alhamdulillah.
Syukurku padamu ya Allah. Atas anugerah ‘keluarga’ dan ‘bahagia’ ini. Semoga diberi ruang dan petunjuk untuk saling berusaha menjadi yang lebih baik, dan saling memberikan yang terbaik untuk sebuah kerukunan rumahtangga dan kebahagiaan abadi yang diimpikan. 

آمين


  
;Di Pesta Buku Big Bad Wolf hari ini































Friday, 7 December 2018 0 comments By: Naemah

071218: MUSSAAB BERKHATAN




2 tahun lepas dah tulis cerita tentang 


Kini tiba giliran Mussaab. Kalau Anas bersunat pada usianya 4 tahun 5 bulan, Mussaab pula pada usia 4 tahun 11 bulan.



Plan untuk khatankan Mussaab 


Mula bercadang untuk khatankan Mussaab bila Mussaab asyik mengadu ‘panas’ pada kemaluannya. Masa ni dia dah sekolah, adalah ketikanya dia mengadu panas, dan asyik pegang di ‘situ’. Risau juga, entah apa pula sebabnya. 


Suamiku mula merancang untuk khatankan Mussaab. Anas juga dulu ‘bermasalah’ di situ, sebab tulah khatankan dia awal. Lepas dah berkhatan, segalanya baik. Tak ada masalah lagi. Untuk Mussaab juga, harapnya begitulah juga. Dari pertengahan tahun lagi sudah merancang untuk khatankan Mussaab, tapi selalu ada kekangan. Bahkan, susah nak cari klinik  untuk berkhatan, jika bukan di musim cuti sekolah. Ada juga yang perlukan temujanji, tapi masa tak mengizinkan.



Mussaab excited nak berkhatan


Haa.. kalau orang lain takut nak berkhatan, Mussaab pula lain. Dia semacam excited nak berkhatan. Pertama sebab dah pujuk-pujuk dari awal, kalau nak jadi ‘besar’ macam Anas dan abi, dia kena berkhatan dulu :) selalu cakap bersunat tak sakit, macam gigit semut saja. Then, janji lagi dengan hadiah mainan yang dia suka, bertambahlah excited dia :) 


Mussaab sebenarnya dia masih ingat masa dia temankan Anas berkhatan dulu. Masa tu umurnya 2 tahun 5 bulan. Dia ingat dan boleh cerita lagi macamana Anas menangis dan meronta masa tu :) ya, masa Anas dulu memang sangat mencabar ,:) 


Tapi Mussaab berani dan tiada gentar. Malah semangat nak jadi ‘dewasa’ :D



Tetapkan tarikh dan hari


Selepas sekian lama merancang dan selalu plan tak jadi, akhirnya tarikh berkhatan ditetapkan pada 7/12/18 (hari Jumaat), jam 12pm di Klinik Perdana Jalan Bayam, Kota Bharu. Kebetulan suamiku bercuti lama, senanglah nanti dia uruskan hal berkhatan dan menjaga Mussaab selepas berkhatan dari memberi ubat dan sapu ubat semua. Ummi? Hai.. ummi seram sikitlah bab nak menghadap luka dan darah ni semua :} yang jari Miqdad tu pun lepas dah kering lukanya baru ummi berani nak tengok tangan dia. Tapi jika terpaksa, insya Allah boleh :)



Tiba hari berkhatan


Kami bertolak meninggalkan rumah ibu mertuaku jam 10 pagi. Anas terpaksa ditinggalkan di rumah nenek untuk temankan Eiman (sepupu) yang keseorangan di rumah nenek. Kalau ikutkan ummi nak bawa Anas sekali untuk teman dan support Mussaab, tapi kesian pula pada Eiman tak ada kawan pula nanti. Maka kami bergerak pergi tanpa Anas.


Oleh kerana turn Mussaab ialah pada pukul 12, kami singgah dulu di Aeon Kota Bharu untuk belikan mainan untuk Mussaab (juga untuk Anas dan Miqdad). Berada di sini sekitar setengah jam, dan kemudian terus menuju ke Klinik Perdana Jalan Bayam. Sebelum tiba giliran, Mussaab asyik bermain dengan kereta mainan yang dibeli tadi. Langsung tak ada tanda nerveous atau takut. Malahan asyik bertanya Kenapa lama sangat menunggu ,:)


Selepas hampir satu jam menunggu giliran, nama Mussaab dipanggil. Mussaab masuk bersama abi dengan tenang. Aku dan Miqdad juga ikut serta masuk ke bilik berkhatan. Mussaab berbaring di katil khas yang disediakan, abi teman di sisi sambil memberi kata semangat. Sepanjang proses berkhatan, dari awal hingga sudah Mussaab langsung tak menangis. Cuma sedikit mengaduh ketika dibius. Lepas tu dah ok, segalanya lancar berjalan. 10 minit dah selesai. Alhamdulillah :)


Sangat-sangat berbeza dengan Anas :) tapi takpe la, Anas pun dah lama lepas. Biasalah tu anak sulung ‘manja’ lebih :D



Penjagaan selepas berkhatan


Balik ke rumah, memang tiada masalah untuk menjaga Mussaab. Senang makan ubat, CUMA ada ketikanya menangis, sakit katanya. Bila kencing, takut nak dibasuh dengan air. Dapat pula abang yang suka mengusik nak sentuh tempat dia bersunat tu, bingit suara menangis dan mengusik. Geram pulak rasanya ummi!


Dah masuk hari kedua. Mussaab semakin baik, tapi masih tak berani nak pakai kain takut tersentuh kat tempat tu. Lebih selesa berbaju tanpa seluar, dah boleh berjalan keluar masuk bilik, buang air kecil pun dah tak sakit, tapi masih takut nak basuh, padahal dah tak sakit pun ,:)


Hari ini juga bertolak balik ke rumah mek, dan Insya Allah tak lama lagi akan balik ke Semenyih. Semoga Mussaab akan cepat baik dan cepat sembuh. Boleh main dan boleh ke pesta buku Big Bad Wolf yang sedang berlangsung. Insya Allah.


Mussaab. 

Mussaab dah besar dah. Dah sama macam abi dan Anas dah :) terima kasih kerana jadi anak yang baik sangat. Baik dan mudah diuruskan. Terima kasih Mussaab. Ummi dan abi sayang Mussaab. Sayang sangat!




Breakfast pagi Jumaat 





Dalam perjalanan. Main dan bergurau dengan adik 





Memilih mainan di Aeon Kota Bharu





Mainan pilihan Mussaab 





Anas punya! Dah lama dia teringin benda ni




Menunggu giliran





Dah selesai. Alhamdulillah 






Di rumah nenek





On the way KB-Jeli

Tuesday, 4 December 2018 0 comments By: Naemah

DUA MINGGU DI KAMPUNG

Sudah 2 minggu Anas, Mussaab dan Miqdad berada di kampung. Ulang alik rumah mek (Jeli) dan rumah nenek (Kota Bharu). 


Dalam tempoh 2 minggu ini juga Anas, Mussaab dan Miqdad banyak main dan beraktiviti bertiga saja. Di rumah nenek, belum ada lagi cucu nenek yang balik bercuti. Sempat 2 hari bermain dengan Umar, Uwais dan Urwah. Itupun main waktu petang dan malam saja sebab mereka perlu hadiri program cuti sekolah. Dan sekarang mereka balik KL, rumah nenek mereka di sana pula. 


Kat rumah ada juga kak Zawiah, tapi kak Zawiah pun busy pagi-pagi perlu hadiri kelas tambahan. Yang lain-lain, masih belum jumpa. Walaupun dah cuti sekolah, ibubapa mereka pula yang busy dan ada komitmen lain, jadi tak dapatlah balik. Setakat ini Anas, Mussaab dan Miqdad sajalah yang memeriahkan rumah nenek :) Insya Allah esok boleh jumpa Eiman (sebaya Anas).


Di rumah Mek pula, lagi lah tak ada kawan sebab sepupu semua dah besar taraf dewasa dah semua. Ada la dua tiga orang yang masih bersekolah rendah. Dapat la juga main dengan abang Faris dan Kak Zana sekejap masa ke rumah mereka hari tu. Dan dapat main dengan Muhammad (anak sepupu) yang sebaya Anas. Itu sajalah kawan.


Apa yang membuatkan Anas teruja dan seronok nak balik kampung setiap kalinya ialah kerana nak jumpa dan main dengan sepupu (yang ramai). Tapi kali ini memang tak ada rezeki nak main sepuasnya walaupun dah 2 minggu balik. Belum puas bermain, dah terpaksa berpisah. 


Tak apalah, sekurang-kurangnya Anas, Mussaab dan Miqdad dah ‘bertiga’, cukup untuk berkawan dan bermain. Esok-esok pun, insya Allah inilah kawan dan saudara sejati. Ummi sentiasa doakan semoga Anas, Mussaab dan Miqdad akan sentiasa baik, mesra dan rapat. Lalui susah senang bersama. Saling menyokong, saling membantu dan mendoakan. Jangan pernah meninggalkan walau seorang di belakang.


Cuti sekolah masih berbaki. Insya Allah nanti akan ada kawan yang lain. Mereka semua tu juga akan balik ke rumah nenek, cuma lambat sedikit. Mainlah dulu bertiga. Kita pun tak pasti berapa lama akan berada di kampung. Abi dah plan nak balik ke Semenyih sebab hakikatnya abi memang tak boleh berlama di kampung. Bila-bila masa saja akan ‘dipanggil’.


Oh ya Pesta buku Big Bad Wolf pun tak lama lagi akan berlangsung. Anas dan Mussaab dah tak sabar nak ke BBW, dah berkira-kira nak beli buku apa. Insya Allah jika ada rezeki dapatlah sekali lagi mengunjungi pesta buku BBW yang saban tahun dikunjungi tak pernah miss sejak tahun 2013 :)



‘Bertiga’























Saturday, 1 December 2018 0 comments By: Naemah

KEMBALIKAN HATI UNTUK DIA

Sepi.

Anak-anak semua ikut ke rumah cik (Mak saudara). Tiada suara riuh rendah seperti kebiasaannya. Dapat lah ummi berehat dan tenangkan diri sebentar . sekejap je ni. Lepas ni kembali riuh semula :)


Bila diam, banyak perkara yang hadir dalam fikiran. Rasa banyak benda nak tulis dan catat. Sebab banyak sangat, last-last langsung tak tulis apa :)


Hakikatnya kini sedang berdepan dengan ujian dari Dia lagi. Ujian dan gembira, tak sah jika tak seiring. Itulah hakikat hidup.


Namun untuk menulis dan berbicara tentang kisah sedih atau duka, itu bukan pilihanku. Cukuplah sendiri mendepani segala, kecuali sampai masa harus bercerita dan padanya pula terkandung pengajaran, mengapa tidak?


Apa yang aku ingin ingatkan pada diri dan semua. Beginilah hakikat hidup ini. Gembira bukan selamanya. Suka duka akan silih berganti. Ujian dan dugaan hidup hadir dalam bermacam bentuk. Ujian untukmu tak sama denganku, dugaan buatku berbeza denganmu. Yang sama ialah kita masing-masing teruji! Diuji dalam kemampuan dan keupayaan masing-masing.


Berat dan sakit, itulah rasanya semua. Tetapi jika Tuhan memberi, itu kerana kita mampu menempuh dan mengharungi.


Apa yang utama buatku. Bersangka baik dulu kepada Dia! Mohon kekuatan untuk menempuh segala yang ditakdirkan untuk diri. Sedih dan luluhnya hati, mohon Allah rawat bersama iringan waktu yang terus berjalan. Tak lupa mohon jalan untuk keluar. Keluar dari kesukaran dan kesedihan ini. Dengan kasih, rahmat dan sifat belasNya, aku yakin Allah akan mengakhiri segalanya ini. Percaya, selepas kesusahan akan datang kesenangan. Bersama kesukaran, beriringan dengannya kemudahan. 


Tidak! Allah tidak pernah menzalimi.

Bersama peritnya rasa, ketahuilah itu adalah panggilan rindu DIA. Untuk diri lebih ingat dan lebih dekat pada DIA. Kerana jika tanpa rasa ini, hanyut lalainya hati, rasa tak bergantung pada Dia. 


Benar! Allah mahu hati ini KEMBALI! Kembali mengingati dan menghayati hakikatnya DIA.