Sunday, 4 February 2018 By: Naemah

BILA ALLAH TAKDIRKAN KITA JAUH

Masuk hari ke-4 suamiku di Bintulu. Sepatutnya hari ini ialah penerbangan baliknya. Tetapi Allah merancang sebaliknya. Suamiku masih tak dapat ke laut disebabkan laut yang kuat bergelora. Dia hanya stand by di hotel. Sudah 4 hari. Hanya menanti waktu yang yang sesuai dan selamat untuk ke laut dan bertugas.

Sudah lama tiada kejadian seperti ini, di mana suamiku terpaksa pergi lama berbanding kebiasaan (4 hari). Kali ini mungkin hingga seminggu atau lebih. Bergantung pada keadaan. Dan ia juga pastinya di atas kehendak dan takdir Allah.

Pernah lama dulu, dia perlu berada di laut dalam tempoh yang lama seperti ini. Ada ketikanya hingga aku langsung tak dapat khabar beritanya lebih dari 2 hari (sehari tu dah biasa) Situasiku ketika itu ialah risau dan sedikit gelisah. Hanya mampu berdoa moga Allah menjaga suamiku yang jauh. 

Kali ini, sejak sekian lama, ia berulang lagi. Atas faktor cuaca, suamiku tak dapat melaksanakan tugas mengikut jadualnya. Namun syukur dia masih belum ke laut, jadi dapatlah berhubung tiap masa dan bertanya khabar. Anak-anak masih dapat bercakap dan melihat muka abi melalui video call setiap hari. Jika dia sudah ke laut dan ‘terkandas’ dek cuaca di sana, langsung kami terputus hubungan. Ketika itu tawakkal dan doa saja yang mampu tenangkan hati.

Aku faham kerjaya suamiku. Awal bernikah lagi sudah redha dan maklum yang dia itu pelaut. Akan banyak masa di laut. Akan sentiasa berjauhan. Namun ketika itu mungkin ‘masih belum cinta' dan masih belum benar-benar mengerti kerjaya seorang pelaut. Maka aku anggap, aku akan ok! Berpisah hingga 3-6 bulan, pun akan baik-baik saja!

Nyata sangkaan itu silap. Bila sudah bernikah, bila sudah mencintai, bila dapat menghayati kehidupan seorang pelaut, aku tak lepas dari rasa risau dan bimbang. Aku tak lepas dari menanggung kerinduan hingga menitiskan air mata.

Tapi itu cerita lama. Kini suamiku dah tinggalkan dunia pelayaran. Dia  korbankan cita-cita (yang sudah dia hampir capai) demi untuk lebih dekat dengan keluarga. Tapi dunia dia tetaplah laut dan kapal. Nak kemana lagi kan?

Kini walau dah beralih arah, dia masih perlu berjauhan sesekali dengan keluarga. Perlu keluar mencari rezeki di dunia lautan yang luas. Lautan yang kadang-kadang tenang dan kadang-kadang bergelora. Namun aku tetap pegang pada hakikat, tidak ada kemudaratan di tanah, di langit atau di lautan melainkan dengan kehendak Allah! Maka aku lebih tenang, bersama iringan doa, ALLAH pasti akan menjaganya.

Mengapa kita perlu sentiasa berjauhan? Kadang aku terfikirkan juga. Namun aku percaya Allah takdirkan kita berpisah atau jauh, kerana ia lebih baik buat kita, untuk masa ini. Banyak sekali hikmah Allah yang jelas dan masih sembunyi. Aku cuba untuk sentiasa ingatkan diri, untuk sabar, redha dan bersyukur tiap masa. Jangan mengeluh, jangan mempersoalkn takdir. Kerana aku sendiri jelas, betapa nikmat Allah tak pernah putus. Betapa Dia sentiasa ada untukku meskipun kamu jauh.

Semoga Allah memudahkan urusan suamiku di sana. Semoga cuaca akan kembali baik, dan suamiku dapat menjalankan tugasan dengan sempurna. Anugerahkan kami rezeki yang halal dan berkat. Hasil keringat di laut yang luas tak bertepi itu.

Allah jaga dia untukku. Allah jaga kami untuknya.
Cukup!





0 comments:

Post a Comment