Tuesday, 1 February 2022 0 comments By: Naemah

CHINESE NEW YEAR: BALIK KAMPUNG




selepas 3 minggu anak-anak menempuh sessi persekolahan di tahun baru, akhirnya tiba masa untuk berehat seketika. Seminggu lamanya (cuti Tahun Baru Cina), kampung menjadi destinasi pilihan untuk percutian sekeluarga. Kebetulan abi juga baru balik dari kapal, maka tiada halangan untuk pulang ke kampung kali ini.


Bermula cuti sekolah pada 29/1/2022, tapi pada hari tersebut perlu hadiri majlis graduasi sekolah Miqdad (Little Diamond Kindergarten), maka plannnya nak bertolak balik selepas majlis. 


Selesai majlis sekitar jam 4.30 petang. Niat nak terus balik terpaksa dibatalkan kerana (cek melalui Google maps) kesesakan di Highway Karak yang sangat panjang dan lama. Rupanya ada kemalangan yang melibatkan beberapa buah kereta dan lori. Terpaksa tangguhkan perjalanan sehingga kesesakan berkurangan.


Akhirnya bertolak dari rumah sekitar jam 9.30 malam. Alhamdulillah perjalanan boleh dikatakan lancar walaupun banyak sangat kereta di jalan. Maklumlah, cuti panjang, semua menghala balik kampung barangkali.


Tanpa (driver) berhenti rehat dan tidur walaupun sekejap, akhirnya sampai di Jeli pada jam 4.30 pagi. Anak-anak sudah lena di awal perjalanan lagi. Ummi pula, sekejap lelap sekejap jaga, abi dah tentulah perlu fokus pada pemanduan. Hasratnya nak berhenti rehat sekejap di masjid Gua Musang, tapi bila berhenti terus tak mengantuk katanya. Maka teruskan perjalanan hingga ke destinasi. Alhamdulillah perjalanan lancar dan dijauhkan dari perkara yang tak diingini. 


Di kampung kali ini (di rumah mek) agak meriah sebab ramai yang balik. Seperti hari raya, dapat berkumpul dan jumpa ramai saudara. Walaupun berkumpul sekejap saja (sebab lepas tu masing-masing ke destinasi yang lain pula), tapi sangatlah bermakna. Walau hakikatnya kita masih hidup bersama covid-19, harapannya pertemuan kali ini memberikan kita 1001 kebaikan dan dijauhkan dari sebarang kemudaratan.


Selepas 2 hari di Jeli, akan ke Kota Bharu pula (rumah ibu mertua). Di sana mungkin meriah juga (atau lebih meriah). Tak pasti siapa yang balik dan siapa yang tidak. Anak-anak dah tak sabar nak jumpa sepupu di sana pula. Harap kepulangan kali ini akan memberikan keseronokan berganda pada anak-anak. Dan sentiasa mengharapkan kebaikan dari setiap pertemuan dan dijauhkan dari kemudaratan.


Alhamdulillah,  momen balik kampung sentiasa dinanti oleh anak-anak. Alhamdulillah masih bisa bertemu dengan ahli keluarga. Masih ada mek dan nenek (yang dah uzur), moga Allah pelihara mereka sentiasa. Harap lepas ni akan kerap dapat balik, kerap dapat ziarah orang tua dan berbakti yang sepatutnya. Insya Allah, kita akan usahakan biar dalam keterbatasan waktu dan kesibukan dengan urusan harian yang sukar untuk ditinggalkan.


Demi ibu yang telah tua dan uzur, moga Allah masih memberikan kesempatan waktu untuk kita pulang kepada mereka. 

Monday, 24 January 2022 0 comments By: Naemah

2022 SEPINTAS LALU


 Pejam celik pejam celik sudah berada pada tarikh 24 Januari 2022. Sudah 24 hari berada di tahun baru. Dan pejam celik pejam celik juga, dah masuk minggu ke-3 anak-anak bersekolah. Alhamdulillah, boleh dikatakan mengharungi hari-hari di tahun baru ini dengan baik, meskipun tak terlepas dari ujian dan cabaran yang tak mampu untuk diceritakan satu persatu. 

Januari ini, Anas dan Mussaab masih dalam darjah yang sama (Anas darjah 3 dan Mussaab darjah 1) sehingga akhir Februari ini. Bulan Mac nanti barulah melangkah ke darjah yang berikutnya. Panjang sungguh pengajian tahun ni (bermula Januari tahun lepas lagi). Bersabarlah..

Pada tahun ini Anas masih bersekolah secara bergiliran (kumpulan A dan B). Manakala Mussaab perlu hadir ke sekolah setiap minggu (tak ada kumpulan A dan B lagi untuk darjah 1). Setiap minggu jadual Mussaab padat berbanding yang lain sebab perlu hadir ke sekolah harian dan juga sekolah agama. Insya Allah Mussaab ok saja.

Miqdad pula sudah masuk ke tahun terakhir di sekolah tadika (6 tahun). Sekolah pun dah pindah ke lokasi lain. Jauh sikit la dari rumah. Namun syukur permulaan sekolah tahun ni tak ada drama air mata dah. Miqdad dah boleh ke sekolah dengan senang hati dan gembira. Dah besar kan :)

Dah minggu ketiga ni, hanya seminggu saja abi dapat uruskan penghantaran anak-anak ke sekolah. Di minggu ke-3 ini (minggu yang agak busy sebab semua sekolah) ummi perlu uruskan seorang diri. Agak penat. Tapi dah biasa. 

Tamat minggu ini, anak-anak akan bercuti selama seminggu bersempena Chinese New year. Insya Allah akan balik kampung bila abi balik nanti. 

Itu saja, sekadar coret-coret di awal tahun. Tak tahu bagaimana rasa, namun berusaha untuk teruskan hari-hari dengan baik. Tahun ini juga berada pada situasi yang berbeza. Sudah 2 tahun, Covid-19 masih menjadi sebahagian dari kehidupan. Cuma kini tak hidup berkurung lagi. Sudah ada kebebasan, cuma tetap perlu berhati-hati. Abi tetap masih perlu berkuarantin sebelum bertugas, cuma tempoh kuarantin sudah disingkatkan. Tapi tetaplah belum dapat kembali ke masa yang dulu. Masih perlu berkorban masa dan rasa, untuk memiliki saat bersama-sama yang terlalu mahal harganya. Insya Allah ada hikmah pada tiap sesuatu yang Allah takdirkan. 






Thursday, 20 January 2022 0 comments By: Naemah

HADIAH HARI LAHIR : ZOO MELAKA DAN BAYOU LAGOON WATERPARK



12/1/2022
Genap usia Anas 10 tahun
Masya Allah dah masuk 2 angka dah umur Anas. Dah besar sangat dah anak sulung ummi dan abi. Alhamdulillah tiada yang lebih membahagiakan melihat kau membesar sihat dan mendapat pendidikan yang baik.

19/1/2022
Genap usia Mussaab 8 tahun.
Masya Allah, anak kedua pun dah makin besar (tapi badan tak besar-besar). Dari darjah satu, bakal melangkah ke darjah 2. Alhamdulillah, ummi bersyukur Mussaab juga membesar dengan baik dan sihat.

Entri kali ini khas untuk Anas dan Mussaab bersempena hari lahir kalian. Tak sempat ummi nak menulis, banyak hal dan kejadian, banyak urusan nak kena selesaikan.

Tahun ni hari lahir Anas dan Mussaab jatuh pada hari Rabu (hari sekolah). Makanya pada hari tersebut Anas dan Mussaab habiskan masa di sekolah. Bangun pagi, ke sekolah, balik sekolah dan masa berjalan macam biasa saja. Cuma yang pasti ummi dan abi tak lupa ucapkan selamat hari lahir untuk Anas dan Mussaab. Takkanlah ummi lupa!

Tiada yang special pada hari lahir, cuma abi dan ummi belanja makan sikit, belikan apa yang Anas dan Mussaab suka makan. Itu saja. Alhamdulillah pada hari lahir Anas dan Mussaab abi ada di rumah. Lengkap kita satu keluarga.

Tapi sudah tentu abi tak lupa untuk berikan hadiah istimewa untuk Anas dan Mussaab sebagai ingatan di hari lahir. (Atas permintaan Miqdad) abi plan bawa anak-anak ke Zoo Melaka. Lagipun dah lama tak pergi zoo. Kali terakhir pergi zoo negara tahun 2015. Mussaab masih kecil masa tu. Abi juga booking bilik di Bayou Lagoon Park Resort (pernah datang sini tahun 2017).

Kita bertolak ke Melaka pada 15/1/2022 sekitar jam 7.30 pagi. Terus ke Zoo Melaka. Berada di situ dari pukul 9 pagi sehingga pukul 12 tengahari. Kemudian ke Mydin Melaka untuk makan tengahari. Nasi Kandar menjadi menu pilihan tengahari ini. Sudah makan, terus check in hotel, dan berehat. Sekitar jam 4 petang turun mandi kolam di (Bayou Lagoon Waterpark). Semua happy dapat mandi kolam. Alhamdulillah cuaca juga baik, orang pun tak ramai sangat. Lebih kurang 2 jam berada di Waterpark.

Selepas Maghrib, abi belanja makan Mcd pula atas permintaan anak-anak. Lepas makan balik berehat dan tidur. Satu hari sudah berlalu dengan baik. Alhamdulillah.

Pada hari kedua, lepas check out dari hotel, kita terus balik. 'cuti' abi pun dah berakhir. Perlu self quarantine, kemudian sambung kuarantin lagi di hotel, dan akan kembali bekerja. Selepas 10 hari abi ada bersama, kini abi perlu kembali bertugas dan mencari rezeki.

Ummi harapkan 'hadiah' hari lahir ini mampu membuat kan Anas dan Mussaab gembira. Moga ia akan jadi antara kenangan hari lahir yang terindah dan takkan dilupakan. Ia bukan sekadar hadiah, bahkan ia kenangan yang kita cipta bersama satu keluarga.

Selamat hari lahir Anas!
Selamat hari lahir Mussaab!
Semoga Anas dan Mussaab sentiasa hidup di dalam kegembiraan dan tercukupkan segala keperluan.
Semoga tercapai segala impian yang ingin kau gapai anakku!
Moga jadi hamba Allah Yang soleh. Moga ditunjukkan jalan menuju kejayaan, kebahagiaan dan kecemerlangan dunia akhirat.
Ummi redha padamu. Moga Allah juga redha. 
Ummi sayang Anas dan Mussaab.
Ummi sayang semua.
Doa ummi akan sentiasa untuk anak-anak ummi.
Insya Allah.


Saturday, 1 January 2022 0 comments By: Naemah

DIARI KITA 2021


Januari 2021

Sebulan sudah melangkah ke tahun baru. Dari kampung, pulang ke rumah. 13 Januari bermula PKP 2.0. Sekolah masih belum dibuka. 20/1 bermula Pdpr, anak-anak sambung belajar d rumah seperti tahun lepas. Kes harian covid-19 mencanak naik sampai kes tertinggi sebanyak 5,728 pada 30/1/2021.

Abi, seperti bulan2 yg lalu juga, banyak habis masa dengan kuarantin, dan semakin jarang dapat duduk d rumah dengan keluarga. Anak-anak belajar untuk memahami dan menerima, walau jauh d sudut hati mengharapkan figura seorang abi utk ada di sisi.

Anas-genap usia 9 tahun
Mussaab-genap usia 7 tahun
Miqdad-melangkah masuk ke kindergarten
Suri-makin membesar sihat dn cerdik
Alhamdulillah atas setiap anugerah.

Kita dan mereka, masih d dalam kemelut ujian covid-19 yg masih belum berkesudahan. Terasa ia mendekat, hingga ada d kalangan ahli keluarga yg sudah dijangkiti. Saban hari kematian juga meningkat, gerun, namun pada Allah jua tempat kembalikan hati. PadaNya jua tempat mengadu dan memohon pertolongan. 

Ya Allah. UjianMu pasti diiringi hikmah. Tak diuji, melainkan kerana kami mampu mengharungi. Moga akan manislah takdir di depan hari. آمين





Februari 2021

Genap sebulan Februari 2021. Alhamdulillah bulan ni abi ada lama kat rumah-lebih kurang 2/3 bulan. 

Pdpr Anas dan Mussaab berjalan lancar, walaupun mencabar juga-sudah tentu. Yang penting takde kelas yang ter’miss’ (Anas satu je terlepas kelas sebab teman ummi gi check-up Suri hari tu), kerja sekolah semua complete, Alhamdulillah. 

Telah diumumkan hari pembukaan sekolah oleh KPM, Mussaab (darjah 1) bermula pada 1 Mac dan Anas (darjah 3) bermula 8 Mac. Bermakna Pdpr Mussaab dah pun berakhir, dan Anas seminggu saja lagi Pdpr sebelum masuk sekolah. 

Sedang mencukupkan kelengkapan sekolah, Alhamduillah abi pun dah balik, tugas abi beli dan cukupkan semua. Mussaab juga berdaftar di SRI Permata Nusaybah untuk kelas KAFA selain SK Kampung Rinching untuk sekolah harian.

Miqdad bersekolah sepanjang bulan ini tanpa sebarang masalah. Dah serasi dan seronok ke sekolah. Alhamdulillah :) Suri bulan ni genap setahun setengah. Dah cerdik banyak dah, cuma bab bercakap slow sikit, moga dilancarkan lisan Suri, insya Allah. 

Alhamdulillah untuk 2 bulan (2021) yang telah dijalani baik. Tiap dugaan dan ujian dapat diharungi dengan pertolonganNya. 

Covid-19- masih lagi pada angka yang tinggi. Alhamdulillah vaksin dah masuk Malaysia dan sudah ada sebahagian yang menerima suntikan. Mudah-mudahan hari yang mendatang akan lebih baik dan bercahaya. Moga kan lenyap covid-19, dengan izinNya.

Moga kita semua akan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik. Insya Allah.
.




Mac 2021

Bulan Mac sampai ke penghujungnya. Alhamdulillah bulan ini abi ada bersama, di minggu terakhir barulah abi kembali ke tempat kerja. 

Bulan ni juga Anas dan Mussaab dah mula bersekolah. Syukur abi ada di rumah, abi yang uruskan hal pergi dan balik sekolah Anas, Mussaab dan Miqdad. Sesekali saja ummi mengambil tugas bila abi ada urusan lain. Kebetulan cuti sekolah bermula, abi juga kembali bekerja.  Alhamdulillah susunan takdir Allah adalah yang terbaik. 

Kes covid-19 masih sama, turun naik pada angka yang masih tinggi. Belum dibenarkan merentas negeri, bahkan kerisauan melanda bila dah ada kes di sekolah-sekolah. Moga Allah lindungi anak-anak. 

Alhamdulillah Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri jalani kehidupan dengan baik. Ada sedikit tak sihat, batuk dan selesema (termasuk ummi dan abi). Alhamdulillah dah makin sihat semua. 

Setia menanti kepulangan abi. Moga tiap perpisahan sentiasa disusuli dengan pertemuan. Semoga tak ada lagi episod berpisah lama, semoga sentiasa ada kemanisan di sebalik ujian dariNya. 

Allah Maha Pengasih, damai dan tenteramkan hati-hati kami pada tiap takdirMu.



 

April 2021

April melabuhkan tirai. Menyambut puasa pada 13/4 bersama anak-anak. Abi dah terlebih dulu ke Bintulu, sambut Ramadan di sana dalam tempoh kuarantinnya.

Jadual ummi bulan ni agak padat dan memenatkan. Uruskan anak-anak sekolah termasuk hantar dan ambil untuk beberapa trip sehari. Sepanjang abi tak ada, diuji juga dengan yang tak pernah. Namun Alhamdulillah sentiasa ada jalan keluar dengan petunjuk dan pertolonganNya.

Jadual sekolah full sebulan. Weekend saja dapat berehat di rumah. Anas dan Mussaab berpuasa dan bersekolah, berbeza dengan Ramadan tahun lepas. Alhamdulillah dapat bertahan keduanya. 

Video call pengubat rindu pada abi yang jauh, berpuasa sendirian di dalam ‘kurungan’. Mek dan nenek dalam keadaan tidak sihat di kampung. Hanya doa yang dapat dikirimkan. 

Kes covid-19 menaik lagi saban hari. Entah bila kan berakhir pandemik ini. Raya tahun ni nampaknya di sini jugalah kita. Abi juga, kemungkinan tak dapat beraya bersama. Pasrah dan terus bersabar dengan ujian ini. 

Ya Allah. Anugerahkan kami kesabaran dan temukan kami pada hikmah dan kemanisan di sebalik ujianMu ini.





Mei 2021

Mei berakhir, menuju Jun 2021 pula. Alhamdulillah sebulan lagi menempuh hari dengan sangat baik, meski tetap diiringi ujianNya.

Menyambung Ramadan, dan menyambut Syawal pada 13/5/2021. Sempat berpuasa beberapa hari dengan abi, sebelum abi kembali berkuarantin dan bertugas di Bintulu. Aidilfitri mencipta sejarah lagi, bila abi tak dapat balik beraya di rumah dan kita semua juga tak dapat balik beraya bersama keluarga di kampung untuk kali ke-2. Dah 4 bulan tak balik kampung. Sabar dan redha.

Anas dan Mussaab bersekolah sehingga 5/5/21 sebelum sekolah ditutup kerana cuti raya dan kembali kepada pdpr (kerana kes covid-19 yang semakin meningkat). Miqdad pula bersekolah macam biasa. Cuti sekolah pertengahan tahun bermula pada 29/5/2021.

Abi balik ke rumah pada 23/5 (11 Syawal). Alhamdulillah. Untuk beberapa hari (sebelum abi kembali bekerja), dapatlah spend masa berkualiti dengan abi walaupun tak dapat ke mana-mana (sebab PKP)

Covid-19 mencatat rekod tertinggi pada 29/5/21 iaitu sebanyak 9020 kes juga jumlah kematian tertinggi pada hari yang sama iaitu sebanyak 98 kematian. Total lockdown’ telah diumumkan, dan akan bermula pada 1 Jun -14 Jun. Semoga ianya ‘berkesan’ untuk turunkan kes dan kembali ‘bebas’ dari wabak ini. Walaupun kelam kelihatannya, namun Allah jua tempat kita mohon pertolongan. Tiada mustahil dengan kehendakNya. Tiada satu pun yang dia tak mampu!

Moga Allah lindungi kita semua.

Dan Kita kan ‘bebas’.
Kita kan kembali kepada detik yang seperti dulu





Jun 2021

Jun melabuhkan tirai. Bermakna sudah setengah tahun (2021) telah berlalu, dan setengah tahun lagi bakal kita lalui. Dan bermakna juga, sudah setengah tahun -tahun ini- kita patuh pada saranan ‘duduk di rumah’, tak boleh merentas negeri mahupun daerah. Anak-anak mengikuti pengajian di rumah (pdpr), dan kes covid-19 masih pada angka tertinggi setiap hari, malahan tiada tanda untuk menurun dan entahkan bila kita semua akan boleh ‘bebas’. 

Anas, Mussaab dan Miqdad mengikuti kelas pdpr setiap hari. Alhamdulillah lancar semua, meski tetap mencabar. Abi pada bulan ini ada masa ‘lebih’ di rumah, juga Alhamdulillah. Esok lusa akan kembali bekerja lagi, dan mungkin akan pergi lama lagi. Moga Allah tabahkan hati kita menempuh perpisahan yang panjang lagi. 

Suri membesar sihat, jalani kehidupan seharian bersama abang-abang yang sentiasa ada di rumah. 

Tiada apa sangat yang berbeza berbanding bulan-bulan sebelum ini. Hanya berkisarkan tentang kehidupan di rumah semata. 

Sudah sangat penat mendepani situasi semasa. Namun di luar sana lebih ramai yang lebih penat, perit dan sesak hidup mereka kesan dari pandemik yang masih belum berkesudahan.

Syukur sentiasa atas kehidupan ini. Sabar menempuh ujian dariNya. Pendam kerinduan pada keluarga yabg sudah lama tak jumpa. 

Moga kan ada sinarnya. Yakin Allah sebaik Perancang. 

Insya Allah




Julai 2021

Dan Julai pun berlalu. Sama seperti bulan-bulan yang lepas, kita masih tidak dapat ke mana-mana. Kes harian covid-19 masih tinggi dan sangat tinggi sehingga 17k++ yang tertinggi setakat ini, di bulan ini.

Pdpr diteruskan seperti biasa, ikut jadual yang sedia ada, berehat seminggu cuti penggal dan Aidiladha. Alhamdulillah Aidiladha dapat beraya dengan abi, walaupun masih tak dapat balik kampung.

Satu kenangan yang tak mungkin dilupakan ialah, apabila abi disahkan positif covid-19 ketika sedang bertugas di Terengganu. Abi ditahan di pusat kuarantin di sana, dan balik beberapa hari kemudiannya. Alhamdulillah abi semakin sihat.

Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri jalani kehidupan bersama setiap hari, tidak terpisah dan tak kemana-mana.

Ummi menerima suntikan vaksin (abi dah cucuk bulan lepas). Alhamdulillah ok je, sehari je lemah dan lesu sikit. 

Masih tak tahu bila akan dapat balik kampung jumpa family. Abi masih ada, belum dipanggil bekerja. Insya Allah dapat spend lebih masa lagi dengan abi. 

Semoga dapat jalani kehidupan yang baik dan tenang, meskipun dalam situasi yang masih seperti ini. Allah masih mahu menguji kita.

Doa sentiasa, moga tetap dikurniakan kesihatan berpanjangan, jauh dari wabak yang sudah mengambil banyak nyawa ini. Moga Allah jaga kita dan seluruh ahli keluarga yang jauh di mata.

Insya Allah, semua ini kan berakhir juga nanti. Sabarlah. 




Ogos 2021

Ogos juga berlalu meninggalkan kita dengan banyak kenangan. Tapi sekadar kenangan di sini, di rumah kita. 

Alhamdulillah bersyukur dapat bersama abi dalam tempoh yang agak panjang berbanding biasa. Lebih sebulan abi di rumah, syukur sesungguhnya. Kesihatan abi semakin baik, insya Allah. Kita semua juga dalam keadaan sihat sejahtera. Alhamdulillah.

Anas, Mussaab dan Miqdad masih meneruskan pdpr. Bulan ni kelas full, hanya cuti awal Muharram dan Merdeka. Selebihnya sibuk dengan kelas dan tugasan yang diberikan. 

Bulan ni juga genap usia Suri 2 tahun pada 15/8/2021. Alhamdulillah Suri dah besar, sihat dan ceria. Pada tarikh yang sama, Miqdad bersunat di usia 4 tahun 10 bulan. Cuti pdpr seminggu, Alhamdulillah dah semakin baik. 

Abi berkuarantin di Terengganu pada 25/8 untuk kembali bekerja setelah lama bercuti. Pasrah melepaskan abi pergi, sudah itu medan abi sejak dulu. Doa dan harapan setiap masa, moga perpisahan akan tetap disusuli dengan pertemuan. Insya Allah. Allah pasti jaga abi dan kita semua. Syukur juga, abi dah lengkap 2 dos vaksin sebelum kembali bekerja.

COVID-19? Masih pada angka kes harian tertinggi sehingga 24k+ pada bulan ini. Sabar dan terus sabar, yakin pada kuasa Allah. Semua ini kan berakhir juga. Moga kita semua kan dilindungi sentiasa.

September menjengah tiba. Sudah dekat dengan penghujung tahun. Pantas masa berlalu, 8 bulan kehidupan kita di rumah semata. Ya Allah moga akan ada sinar yang terang benderang menanti di depan hari.  Aameen





September 2021

Masa berjalan yang tak terlalu dirasa, berakhir sudah September. 

Alhamdulillah sudah lebih 2 minggu abi ada bersama. Masih bercuti, masih di rumah.

Tapi September ini cerita kita hanya berkisarkan aktiviti di rumah juga. Walaupun abi ada, belum dapat keluar jalan-jalan makan angin lagi sebab ummi masih belum complete vaksin. Alhamdulillah dah cucuk vaksin dos ke-2 pada 28/9. Masih perlu tunggu 14 hari lagi untuk ‘bebas’.

Pdpr bercuti seminggu (11/9-19/9). Tapi habiskan masa di rumah saja. Main game dan mandi kolam, serta akiviti sampingan yang lain. Sekali abi bawa ke taman permainan, dan sesekali bawa pusing-pusing naik kereta. Itu saja.

Alhamdulillah semuanya dalam keadaan sihat dan dilindungi Allah. Sakit-sakit ringan saja, tak ada yang teruk. 

Kes covid-19 dah menurun banyak tapi masih belasan ribu juga. Alhamdulillah, at least dah nampak sinar dan cahaya yang bakal muncul. Insya Allah. Katanya, akan dibenarkan merentas negeri bila kadar vaksinasi negara dah sampai 90%. Sekarang dah lebih 80%. Dah tak lama lagi dah, insya Allah. Ke mana kita? Tentulah nak balik kampung. 
 
Untuk hari esok, tumpukan dulu pada pdpr dan hal-hal di rumah. Kalau ada rezeki dan kesempatan, dapatlah kita keluar ke mana-mana sebelum abi kembali bekerja. 

Semoga Allah permudahkan segala urusan kita. Semoga Allah jaga dan lindungi kita, juga semua insan yang kita sayangi.

Insya Allah, bakal bersua dengan semua yang kita rindu. 





Oktober 2021

Oktober melabuhkan tirai. 2 bulan lagi nak habiskan tahun 2021. 

Alhamdulillah sudah dibenarkan untuk merentas negeri bermula pada 11/10/2021. Setelah 9 bulan tak pulang ke kampung (sejak 17/1/2021), akhirnya kampung menjadi destinasi rentas negeri pertama kita. Alhamdulillah, terubat rindu dapat jumpa mek dan nenek, dan ahli keluarga dekat yang lain. Masih belum ada rezeki nak jumpa semua, insya Allah akan berjumpa juga di suatu hari. Semoga tak ada lagi larangan merentas negeri. Cukuplah…

Berakhirnya Oktober, bermakna bakal bermula episod baru dan rutin baru. Sekolah akan dibuka pada 1/11/2021. Bergiliran secara mingguan belajar secara bersemuka dan pdpr. Moga akan dipermudahkan jua untuk anak-anak semua. 

Miqdad pula dah seminggu kembali ke sekolah. Alhamdulillah baik-baik saja. Suri masih bertemankan abang-abang setiap hari sepanjang Oktober ini. November ini akan ada hari-hari yang akan Suri lalui hanya berdua dengan ummi, atau bertiga dengan abi. Suri akan ok saja, insya Allah. 

Abi berkuarantin di Terengganu sejak 17/10 (sebaik balik dari kampung) dan kini sudah tamat tempoh kuarantin dan sedang bertugas di laut. Moga Allah permudahkan urusan abi dan semoga Allah pertemukan kita kembali. 

Alhamdulillah atas nikmat hidup bersama-sama, nikmat pertemuan dengan yang dirindui, nikmat kesihatan yang jarang disyukuri, nikmat kehidupan yang mudah dan lapang, juga syukur atas segala ujian yang mampu kita tempuh dan atasi dengan pertolonganNya.

Syukur atas segalanya. 

November yang bakal menyusul.
Moga kan kita lalui dengan baik-baik juga.
Insya Allah.





November 2021

November berakhir. Berbaki sebulan lagi untuk mengakhiri tahun 2021. 

Alhamdulillah 11 bulan yang dilalui baik, meski tak terlepas dari ujian dan liku-liku di perjalanan hidup. 

1 November bermula persekolahan (secara bergiliran). Anas kumpulan A, Mussaab  kumpulan B. Miqdad pula bersekolah macam biasa. Pun begitu, kehadiran bulan ni kurang memuaskan, kerana kurang sihat (batuk dan selesema) dan atas sebab yang lain. 

Abi balik selepas berkuarantin dan bertugas, kini masih ada bersama dan menunggu masa untuk kembali bertugas lagi. 

Berbaki 2 minggu untuk bercuti sekolah dan pdpr. Walaupun cuti tak panjang sangat macam dulu-dulu, moga sempatlah untuk balik kampung dan rehatkan minda anak-anak selepas setahun tanpa henti menghadap pdpr dan tugasan sekolah. Anak-anak penat. Ummi pun penat.

Bulan ni belum sempat balik kampung. Insya Allah cuti sekolah nanti kita balik. Alhamdulillah sempat juga keluar ‘bercuti’ untuk pertama kali selepas dibenarkan merentas negeri. 

Covid 19? Masih mennjadi sebahagian dari kehidupan kita, cuma kes tak mencanak naik macam dulu lagi. Tapi masih pada angka yang tinggi. Masih juga perlu berjaga-jaga. Bahkan muncul pula varian baru. Moga Allah lindungi kita dari tiap yang memudaratkan. 

Syukur atas perjalanan yang lepas, mengharapkan langkah yang lebih baik di hari yang mendatang. Moga terang langkah bersuluhkan cahayaNya. Ameen.





Disember 2021

Disember berlalu, menutup tirai 2021.

Alhamdulillah melalui hari-hari dengan baik, meskipun tak terlepas dari ujian dari pelbagai sudut.

Cuti sekolah bermula pada 11/12/2021

Bulan ini menerima tetamu buat pertama kali setelah sekian lamanya, bulan ni abi tak berkuarantin di hotel, tapi ‘terperangkap’ pula di laut dek cuaca yang kurang baik. Balik kampung dengan makde, dan menunggu kepulangan abi di kampung. Selepas 16 hari, back to ‘home sweet home’ bersama abi. Abi jalani kuarantin di rumah dan bakal kembali bertugas lagi.

Menutup tahun 2021 di rumah, jalani hari seperti biasa, Alhamdulillah abi masih ada bersama, esok akan kembali bermusafir. Moga Allah permudahkan urusan.

Alhamdulillah untuk setahun (2021) yang telah kita lalui bersama. Tahun ini menempuh episod perpisahan (dengan abi) yang kerap dan panjang. Ujian covid-19 masih belum reda, malahan Malaysia diuji dengan bencana banjir yang luar biasa. Tahun ini juga menyaksikan banyak nyawa yang terkorban oleh pelbagai tragedi. Maha Kuasa Allah yang mentakdirkan semua itu terjadi.

Melangkah ke tahun baru. Moga kan baik-baik saja, tenang dan bahagia menjalani hidup bersama. Moga tiap saat mendapat rahmat dan kasihNya. آمين



Monday, 27 December 2021 0 comments By: Naemah

IMBAS: 11 TAHUN MEMBINA KEHIDUPAN BERSAMA


11/12/2010

Dengan takdirNya kita bersatu


Mengimbas kenangan 11 tahun membina kehidupan bersama.



Tahun pertama (2010/2011)


Selepas lebih kurang 2 minggu diijabkabulkan, kita ditakdirkan untuk berpisah kerana panggilan kerjamu waktu itu. Sebelum itu sempat kita honeymoon di Cameron Highland, sempat kau bawa aku interview guru j-Qaf, sempat juga aku temankanmu interview kenaikan pangkat di KL. 


Berkenalan baru 2 minggu, sudah perlu berpisah. Saat ini sakitnya rasa, kerana sudah mula mencintaimu. Namun akur jua pada takdirNya.


Ketika kau jauh, aku disahkan hamil, namun tiada rezeki, aku keguguran. Hadapi kesedihan sendirian tanpamu. Kehilangan yang pertama ini sangat menyakitkan. 


Asbab itu juga aku dapat ikut belayar bersamamu. Lebih kurang 2 bulan aku berada di kapal bersamamu. Meredah lautan, merentas sempadan negara. Kenangan terindah, takkan dapat diulang lagi kenangan yang serupa. Waktu ini kau sudah bergelar ‘chief officer’, lagi satu tangga nak bergelar Kapten.


Sekali lagi aku hamil, Alhamdulillah. Turun dari kapal dalam keadaan berbadan dua. Rupanya itu pelayaranmu yang terakhir, bila kau memilih untuk berhenti belayar dan meninggalkan MISC. 


Ketika aku sarat mengandungkan Anas, kau dapat interview kerja baru di Singapura. Alhamdulillah dapat kerja tu. Belayar juga, tapi di perairan dekat saja, dan tak lama tempoh kau pergi. 



Tahun kedua (2011/2012)


Aku selamat melahirkan Anas pada Januari 2012. Setahun sebulan usia perkahwinan kita. Alhamdulillah kau ada hampir sepanjang kehamilanku sehinga lahirnya putera sulung kita. 


Selepas melahirkan Anas, kau bertukar kerja lagi. Kali ni dah tak perlu belayar, tapi masih juga kerja kapal. Ye, itu memang sudah bidang kemahiranmu. 


Pada April 2012 kita berhijrah ke Melaka. Kita menyewa di Tanjung Bidara, dan kau bekerja di Petronas Sungai Udang. Di sini kita mulakan hidup dengan keluarga kecil kita, jauh dari keluarga. Bahagianya hampir setiap hari kau ada bersama.


Pada tahun yang sama juga kita berpindah dan menyewa rumah di Taman Bertam Setia. Rumah yang lebih besar dan selesa, dan lebih dekat dengan tempat kerjamu.



Tahun ketiga (2012/2013)


Aku hamil anak kedua. Juga melalui hari yang indah, bila kau ada bersama setiap hari. Berpisah hanya pada waktu kerja. Anas setiap hari dapat jumpa abi. Sebulan sekali balik kampung, pantang ada masa terluang akan keluar makan angin di bandar Melaka atau ke pantai. Bahagia mencipta kenangan bersamamu.



Tahun keempat (2013/2014)


Aku melahirkan Mussaab pada Januari 2014. Bertambah ahli keluarga kita, bertambah bahagia dan berseri hidup kita. Kau masih di tempat kerja yang sama. Anas dan Mussaab setiap hari dapat jumpa abi dan mendapat sepenuhnya kasih sayang dan perhatian abi.



Tahun kelima (2014/2015)


Pada Disember 2014 kau bertukar tempat kerja lagi (Xilog-company yang sekarang). Kali ini kau perlu kerap bermusafir dan meninggalkan keluarga. Mulanya agak berat untuk aku terima, namun ku pujuk hati untuk terima semua. Awalnya agak susah nak terima hakikat ‘ditinggal’kan dengan anak-anak, namun lama kelamaan mampu terima semua. Mungkin ini yang terbaik.


Januari 2015 kita berpindah ke Kajang, menyewa di Apartment Ria Prima. Di sini kita bertemu dan berpisah. Anas dan Mussaab mula belajar hidup berjauhan dengan abi. Sekejap abi di rumah, sekejap di Labuan, sekejap di Bintulu, video call jadi penghubung. Anas dan Mussaab membesar bersama di apartment ini. Berkurung saja di rumah time abi tiada, dan banyak berjalan dan balik kampung bila abi ada. 


Tahun ini (2015) juga aku keguguran kali ke-2. Kali ini ‘sakit’nya tak sesakit kali pertama, meskipun ada rasa sedih, kesal dan kecewa. Serah hati ini pada Allah untuk rawat segala rasa. 


Tahun ini juga kita membuat keputusan untuk membeli rumah (di Semenyih)




Tahun keenam (2015/2016)


Kita berpindah ke Taman Pelangi 2, Semenyih. Masih juga menyewa, kerana rumah yang dibeli masih dalam pembinaan.


Alhamdulillah aku hamil lagi, dan selamat melahirkan Miqdad pada Oktober 2016. Di Taman Pelangi Semenyih 2 ini juga jalani kehidupan seperti sebelum ini juga. Bertemu dan berpisah, atas alasan kerjamu. Namun kini, kau perlu meninggalkan isteri dengan 3 anak. Bertambah zuriat, bertambah tanggungjawab. Dan kau sentiasa tekun mencari rezeki, dan tetap bertanggungjawab pada keluarga. Juga tak berkurang nilai cinta dan kasih sayangmu pada kami. 


Tahun ni kita mula membiasakan diri di tempat baru (Semenyih), nanti memang akan menetap dan menjadi penduduk di sini.



Tahun ketujuh (2016/2017)


Tahun 2017 Anas (5 tahun) dah mula masuk sekolah. Genius Aulad adalah sekolah pertama Anas. Aku mula beranikan diri untuk memandu kereta untuk hantar dan ambil Anas dari sekolah. 


Bulan Februari 2017 kita masuk rumah baru, rumah yang kau beli untuk keluarga kita. Alhamdulillah, syukur atas rezeki ini. Kau masih pada pekerjaan yang sama. Sekejap di rumah, sekejap di laut. Setiap pertemuan sentiasa yang terindah buatku.  


Aku jadi lebih berdikari, maklumlah dah berani bawa kereta. Oh ya, tahun ni juga kau beli kereta viva second hand untuk aku mudah ulang alik ke sekolah Anas. 



Tahun kelapan (2017/2018)


Anas (6 tahun) dan Mussaab (4 tahun) masuk sekolah baru Little diamond Kindergarten, tak jauh dari rumah. Jalan kaki saja ke sekolah. Anak-anak kita dah besar dah. Kita juga makin berusia, makin matang dalam perhubungan, walaupun masih tetap punya banyak kekurangan yang perlu diperbaiki. Yang pasti, aku tetap mencintaimu, dan aku bahagia hidup bersamamu.



Tahun kesembilan (2018/2019)


Anas dah masuk darjah satu. Dah besar anak sulung kita. Anas berjaya masuk SRAI Pekan Beranang, agak jauh dari rumah. Aku perlu lebih berani di jalan raya. Aku mengambil tugas menghantar dan mengambil Anas dari sekolah semasa ketiadaanmu. 


Rezeki Allah, aku hamil anak keempat kita. Tugas dan tanggungjawab lebih berat demi memberi yang terbaik untuk anak-anak. Kau setia dan tekun dengan kerjamu. Aku pula menggalas tanggungjawab dengan sebaik yang aku mampu. 


Suri selamat dilahirkan pada Ogos 2019. Bulan Ogos juga Anas dah mula naik van ke sekolah. Kehidupan lebih meriah, lebih berseri dan lebih mencabar dengan 4 cahaya mata, amanah dan tanggungjawab dari Allah. 




Tahun kesepuluh (2019/2020)


Anas darjah 2, sementara Mussaab masih di Little Diamond tahun ke-3. 


Tahun 2020 diuji dengan wabak Covid-19 seluruh dunia. Ujian besar buat semua orang termasuk kita. Kes jangkitan bertambah dan meningkat, sekolah ditutup, lockdown demi lockdown, pendek kata huru hara satu dunia. Tahun ni tak dapat balik raya, dan banyak berkurung di rumah. Paling teruji, bila kita perlu berpisah lebih lama bila kau terpaksa jalani episod kuarantin yang panjang dan kerap.

 

Anak-anak mula belajar berjauhan dengan abi dalam tempoh yang lama. Aku pula perlu biasakan diri untuk lebih berdikari menguruskan diri bersama 4 anak kita.


Anak-anak belajar secara pdpr, hanya sempat beberapa bulan hadir ke sekolah tahun ini.



Tahun kesebelas (2020/2021)


Anas melangkah ke tahun 3, Mussaab masuk darjah satu dan Miqdad pula masuk tadika. Dari 2 orang, kini dah 3 orang anak kita bersekolah. Dah makin besar kan anak-anak kita?


Tahun ini, kita masih dalam ‘perangkap’ covid-19. Hidup masih belum bebas. Sekolah tutup, sempadan negeri tutup, hidup terkurung. Kita perlu terus hadapi episod perpisahan yang panjang. Raya tahun ini juga tak dapat balik kampung, bahkan kau juga jauh di hari lebaran yang lalu. 


Satu lagi ujian, bila kau juga ditakdirkan positif covid-19 pada Julai 2021. Ujian ini sangat menyakitkan, namun pasti terkandung 1001 hikmah buat hambaNya.


Lama kelamaan ujian ini reda, walaupun masih tetap ada. Masih tetap perlu lebih berhati-hati. Bebas, tapi pantang alpa.


Oktober 2021 dah boleh balik kampung, dah boleh bercuti. Dan kita juga dah menerima tetamu di rumah. Anak-anak juga kembali ke sekolah.


Disember 2021 dah tak perlu berkuarantin lama di hotel atas tujuan kerja. Sudah banyak lega, dan perlu banyak bersyukur atas semuanya ini. 


11/12/2021, Alhamdulillah genap 11 tahun melayari bahtera rumahtangga bersamamu.


Untuk tahun ke-12 dan seterusnya (andai dipanjangkan usia kita), moga Allah sentiasa berkati ikatan antara kita. Moga Allah permudahkan perjalanan hidup dan cinta kita. Semoga Allah lorongkan kita ke jalan yang diredainya. Semoga bersatu selamanya kita, dunia dan akhirat. 



11 years and still counting


MASIH ‘EMPAT’




Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri, empat cahaya mata penyeri kehidupanku dan suami. Ya, masih empat. Belum hadir yang kelima.


Dulu selepas lahirkan yang sulung, rasa tak sabar nak dapatkan yang kedua. Alhamdulillah umur Anas setahun lebih, dah mengandungkan Mussaab. Jarak umur mereka 2 tahuh genap (Januari 2012-Januari 2014). Masa tu memang dah bersedia sangat nak timang anak kedua walaupun pada perkiraan, agak rapat umur mereka.


Bila dah anak dua, teringin yang ketiga pula. Memang berimpian nak anak ramai. Tapi perlu sedar juga tahap keupayaan diri, dan terserah pada rezeki yang Allah nak bagi. 


Mengandungkan Miqdad ketika Mussaab berusia 2 tahun (Sebelum tu mengalami keguguran). Dan melahirkan Miqdad pada usia Mussaab 2 tahun 9 bulan (Januari 2014-Oktober 2016). Alhamdulillah, makin berseri kehidupan rumahtangga. 3 orang pun sudah cukup meriah. Tapi masih berhasrat untuk punya anak lagi.


Alhamdulillah mengandungkan Suri dan melahirkan Suri pada Ogos 2019. Jarak usia Miqdad dan Suri pula ialah 2 tahun 10 bulan (Oktober 2016-Ogos 2019). Alhamdulillah semuanya pada jarak yang sudah dirancangkan bersama. 


Kini Suri sudah berusia 2 tahun 4 bulan. Dan Suri masih lagi yang ‘bongsu’. Bongsu selamanya atau akan jadi kakak, itu belum pasti. Bergantung pada rezeki Allah.


Kalau ikutkan kemahuan hati, masih nak tambah anak lagi. Walaupun sebenarnya rasa macam ‘tak larat’ nak tempuh episod kehamilan dan bersalin yang mencabar dan menguji. 


Tapi untuk anak yang seterusnya, aku rasa aku perlu berada pada persediaan yang lebih baik. Baik fizikal mahupun mental. Banyak faktor perlu diambil kira. 


Pertamanya, faktor usia yang jelas, dah mendekat angka 40. Insya Allah, tak ada lagi selepas usia 40 tahun (aku serah urusan zuriat ini pada Allah semata). 


Keduanya faktor kesihatan. Bila semua kehamilan aku perlu berdepan dengan masalah gdm (kencing manis), rasanya serik nak berdepan dengan masalah yang sama lagi. Dengan keadaan diri yang sekarang (berat badan berlebihan), dengan selera makan yang ‘luar biasa’ ni, memang surelah gdm akan bertandang lagi kalau mengandung sekarang. Gdm bukan yang biasa-biasa dah. Sampai tahap cucuk insulin. Hmm.. 


Ketiga faktor mental dan emosi yang masih belum bersedia. Dengan keadaan sekarang (pandemik), kehidupan yang berubah pada banyak sudut, juga kepenatan menguruskan anak-anak bersendirian (ketika suami tiada), rasanya tak tahu macam mana nak uruskan emosi bila dah ada yang kelima nanti. Risau, kesannya nanti adalah pada anak-anak.


Dalam masa yang sama, masih menghitung dan berkira-kira, bila nak tambah anak lagi. Nak kejar usia yang dah nak masuk 40 ni lagi, dalam masa yang sama nak fizikal sihat, mental bersedia sepenuhnya. Mampukah aku? 


Tahun 2022 bakal menjengah. Itu juga belum pasti apakah akan hadir yang kelima untuk aku dan suami? Jika bukan tahun depan, tunggulah tahun seterusnya. Ya, sebelum usia 40 tahun, harapannya akan ada rezeki untuk menimang cahaya mata lagi. Selepas itu, terus fokus pada urusan membesarkan anak-anak dan berusaha untuk memberikan pendidikan yang terbaik untuk mereka.


Namun perancangan ini hanyalah perancangan kami semata, manusia yang lemah dan tiada keupayaan. Kita merancang, Allah yang menentukan. Dan perancangan Allah sudah pastinya yang terbaik. 


Akhirnya, aku serah segala urusan zuriat dan seluruh takdir kehidupan ini hanya kepada Allah. Tiada yang berkuasa melainkan Dia.


Untuk kehidupan yang sekarang. Moga ku sentiasa berbahagia dengan suami dan yang ‘empat’ ini. Alhamdulillah. Mereka anugerah terindah dalam hidupku. 

Sunday, 26 December 2021 2 comments By: Naemah

GENAP SETAHUN MIQDAD DI LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN



Alhamdulillah setahun berlalu. Miqdad mula masuk Tadika Little Diamond pada 20/1/2021. Seminggu pertama agak mencabar, melayan ragam Miqdad yang tak nak ke sekolah, yang perlu berteman ketika di sekolah, yang banyak berdrama air mata, dan sebagainya.


Namun Alhamdulillah masuk minggu kedua Miqdad dah OK, tak perlu berteman lagi dan tak susah dah nak bersiap ke sekolah. Miqdad dah mula sukakan sekolah, suka ada kawan dan teacher yang baik melayan.


Namun alam tadika Miqdad tak sama macam Anas dan Mussaab. Mula bersekolah di zaman pandemik, banyak hal yang berubah. Tapi pasti ada hikmahnya jua. Miqdad tetap pergi dan balik sekolah dengan seronok.


Bermula Jun 2021, Miqdad juga perlu belajar secara pdpr kerana semua sekolah termasuk tadika tak dibenarkan beroperasi. Terpaksalah Miqdad belajar dengan menggunakan gadjet pula, secara online. Setiap hari hadiri kelas (1 jam sahaja) tanpa jemu. Bila pdpr, di samping abang dan adik, fokusnya tak sama seperti di kelas. Perlu sentiasa ada teman di sisi, agar fokus belajarnya tak lari.


Berbulan menjalani pdpr, akhirnya Miqdad kembali semula ke sekolah pada Oktober 2021. Alhamdulillah berpeluang juga untuk balik ke sekolah tahun ni, sementara Anas dan Mussaab masih menyambung pdpr.


Sepanjang tahun ini, tak banyak event/program yang diadakan di Little Diamond Kindergarten. Banyak yang terpaksa dibatalkan gara-gara PKP. Tapi ada juga la, seperti pada bulan Merdeka ada buat konvoi Merdeka bersama teacher dan ibubapa. Ada birthday celebration, lawatan sekolah (Miqdad tak dapat join sebab ada hal lain), dan yang terkini ialah Fun Carnival (ganti hari sukan). Kira oklah, ada juga aktiviti untuk anak-anak sertai dari tak ada langsung kan. 


Oh ya, graduation day yang ‘wajib’ ada setiap tahun juga masih belum diadakan lagi. Mungkin awal tahun depan. 


Lagi satu, ketika Miqdad dah start bercuti (ikut cuti abang-abang dia), kawan-kawan Miqdad dah berpindah ke sekolah baru (Little Diamond Kindergarten dah tukar lokasi). Kini lokasinya jauh sikit dari rumah. Insya Allah Miqdad akan masuk sekolah baru tahun depan (2022).


Alhamdulillah perjalanan Miqdad dari awal tahun 2021 kini dah sampai ke penghujung tahun. Dari segi pencapaian tertentu, Miqdad kini dah semakin lancar membaca English dan Bahasa Melayu, dah boleh selesaikan operasi matematik (tambah dan tolak) yang simple-simple. Alhamdulillah. Apapun masih banyak lagi yang Miqdad kena belajar. Banyak lagi terkurang sana-sini. Ummi pun tak sempat nak fokus pada Miqdad juga. 


Syukur untuk perjalanan tahun pertama Miqdad di alam tadika. Tinggal setahun lagi, untuk persediaan melangkah ke tahun satu. Semoga tahun 2022 membuka lembaran baru untuk masa depan yang lebih cerah dan lebih baik. Insya Allah. Moga Allah lancarkan dan permudahkan semuanya untuk perjalanan Miqdad di alam pengajian. Ameen.


Alhamdulillah sudah selesai membuat bayaran pendaftaran Miqdad untuk tahun depan. Dah besar kan Miqdad…



Gambar-gambar kenangan Miqdad sepanjang tahun 2021 sebagai student tahun pertama