Saturday, 1 January 2022 By: Naemah

DIARI KITA 2021


Januari 2021

Sebulan sudah melangkah ke tahun baru. Dari kampung, pulang ke rumah. 13 Januari bermula PKP 2.0. Sekolah masih belum dibuka. 20/1 bermula Pdpr, anak-anak sambung belajar d rumah seperti tahun lepas. Kes harian covid-19 mencanak naik sampai kes tertinggi sebanyak 5,728 pada 30/1/2021.

Abi, seperti bulan2 yg lalu juga, banyak habis masa dengan kuarantin, dan semakin jarang dapat duduk d rumah dengan keluarga. Anak-anak belajar untuk memahami dan menerima, walau jauh d sudut hati mengharapkan figura seorang abi utk ada di sisi.

Anas-genap usia 9 tahun
Mussaab-genap usia 7 tahun
Miqdad-melangkah masuk ke kindergarten
Suri-makin membesar sihat dn cerdik
Alhamdulillah atas setiap anugerah.

Kita dan mereka, masih d dalam kemelut ujian covid-19 yg masih belum berkesudahan. Terasa ia mendekat, hingga ada d kalangan ahli keluarga yg sudah dijangkiti. Saban hari kematian juga meningkat, gerun, namun pada Allah jua tempat kembalikan hati. PadaNya jua tempat mengadu dan memohon pertolongan. 

Ya Allah. UjianMu pasti diiringi hikmah. Tak diuji, melainkan kerana kami mampu mengharungi. Moga akan manislah takdir di depan hari. آمين





Februari 2021

Genap sebulan Februari 2021. Alhamdulillah bulan ni abi ada lama kat rumah-lebih kurang 2/3 bulan. 

Pdpr Anas dan Mussaab berjalan lancar, walaupun mencabar juga-sudah tentu. Yang penting takde kelas yang ter’miss’ (Anas satu je terlepas kelas sebab teman ummi gi check-up Suri hari tu), kerja sekolah semua complete, Alhamdulillah. 

Telah diumumkan hari pembukaan sekolah oleh KPM, Mussaab (darjah 1) bermula pada 1 Mac dan Anas (darjah 3) bermula 8 Mac. Bermakna Pdpr Mussaab dah pun berakhir, dan Anas seminggu saja lagi Pdpr sebelum masuk sekolah. 

Sedang mencukupkan kelengkapan sekolah, Alhamduillah abi pun dah balik, tugas abi beli dan cukupkan semua. Mussaab juga berdaftar di SRI Permata Nusaybah untuk kelas KAFA selain SK Kampung Rinching untuk sekolah harian.

Miqdad bersekolah sepanjang bulan ini tanpa sebarang masalah. Dah serasi dan seronok ke sekolah. Alhamdulillah :) Suri bulan ni genap setahun setengah. Dah cerdik banyak dah, cuma bab bercakap slow sikit, moga dilancarkan lisan Suri, insya Allah. 

Alhamdulillah untuk 2 bulan (2021) yang telah dijalani baik. Tiap dugaan dan ujian dapat diharungi dengan pertolonganNya. 

Covid-19- masih lagi pada angka yang tinggi. Alhamdulillah vaksin dah masuk Malaysia dan sudah ada sebahagian yang menerima suntikan. Mudah-mudahan hari yang mendatang akan lebih baik dan bercahaya. Moga kan lenyap covid-19, dengan izinNya.

Moga kita semua akan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik. Insya Allah.
.




Mac 2021

Bulan Mac sampai ke penghujungnya. Alhamdulillah bulan ini abi ada bersama, di minggu terakhir barulah abi kembali ke tempat kerja. 

Bulan ni juga Anas dan Mussaab dah mula bersekolah. Syukur abi ada di rumah, abi yang uruskan hal pergi dan balik sekolah Anas, Mussaab dan Miqdad. Sesekali saja ummi mengambil tugas bila abi ada urusan lain. Kebetulan cuti sekolah bermula, abi juga kembali bekerja.  Alhamdulillah susunan takdir Allah adalah yang terbaik. 

Kes covid-19 masih sama, turun naik pada angka yang masih tinggi. Belum dibenarkan merentas negeri, bahkan kerisauan melanda bila dah ada kes di sekolah-sekolah. Moga Allah lindungi anak-anak. 

Alhamdulillah Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri jalani kehidupan dengan baik. Ada sedikit tak sihat, batuk dan selesema (termasuk ummi dan abi). Alhamdulillah dah makin sihat semua. 

Setia menanti kepulangan abi. Moga tiap perpisahan sentiasa disusuli dengan pertemuan. Semoga tak ada lagi episod berpisah lama, semoga sentiasa ada kemanisan di sebalik ujian dariNya. 

Allah Maha Pengasih, damai dan tenteramkan hati-hati kami pada tiap takdirMu.



 

April 2021

April melabuhkan tirai. Menyambut puasa pada 13/4 bersama anak-anak. Abi dah terlebih dulu ke Bintulu, sambut Ramadan di sana dalam tempoh kuarantinnya.

Jadual ummi bulan ni agak padat dan memenatkan. Uruskan anak-anak sekolah termasuk hantar dan ambil untuk beberapa trip sehari. Sepanjang abi tak ada, diuji juga dengan yang tak pernah. Namun Alhamdulillah sentiasa ada jalan keluar dengan petunjuk dan pertolonganNya.

Jadual sekolah full sebulan. Weekend saja dapat berehat di rumah. Anas dan Mussaab berpuasa dan bersekolah, berbeza dengan Ramadan tahun lepas. Alhamdulillah dapat bertahan keduanya. 

Video call pengubat rindu pada abi yang jauh, berpuasa sendirian di dalam ‘kurungan’. Mek dan nenek dalam keadaan tidak sihat di kampung. Hanya doa yang dapat dikirimkan. 

Kes covid-19 menaik lagi saban hari. Entah bila kan berakhir pandemik ini. Raya tahun ni nampaknya di sini jugalah kita. Abi juga, kemungkinan tak dapat beraya bersama. Pasrah dan terus bersabar dengan ujian ini. 

Ya Allah. Anugerahkan kami kesabaran dan temukan kami pada hikmah dan kemanisan di sebalik ujianMu ini.





Mei 2021

Mei berakhir, menuju Jun 2021 pula. Alhamdulillah sebulan lagi menempuh hari dengan sangat baik, meski tetap diiringi ujianNya.

Menyambung Ramadan, dan menyambut Syawal pada 13/5/2021. Sempat berpuasa beberapa hari dengan abi, sebelum abi kembali berkuarantin dan bertugas di Bintulu. Aidilfitri mencipta sejarah lagi, bila abi tak dapat balik beraya di rumah dan kita semua juga tak dapat balik beraya bersama keluarga di kampung untuk kali ke-2. Dah 4 bulan tak balik kampung. Sabar dan redha.

Anas dan Mussaab bersekolah sehingga 5/5/21 sebelum sekolah ditutup kerana cuti raya dan kembali kepada pdpr (kerana kes covid-19 yang semakin meningkat). Miqdad pula bersekolah macam biasa. Cuti sekolah pertengahan tahun bermula pada 29/5/2021.

Abi balik ke rumah pada 23/5 (11 Syawal). Alhamdulillah. Untuk beberapa hari (sebelum abi kembali bekerja), dapatlah spend masa berkualiti dengan abi walaupun tak dapat ke mana-mana (sebab PKP)

Covid-19 mencatat rekod tertinggi pada 29/5/21 iaitu sebanyak 9020 kes juga jumlah kematian tertinggi pada hari yang sama iaitu sebanyak 98 kematian. Total lockdown’ telah diumumkan, dan akan bermula pada 1 Jun -14 Jun. Semoga ianya ‘berkesan’ untuk turunkan kes dan kembali ‘bebas’ dari wabak ini. Walaupun kelam kelihatannya, namun Allah jua tempat kita mohon pertolongan. Tiada mustahil dengan kehendakNya. Tiada satu pun yang dia tak mampu!

Moga Allah lindungi kita semua.

Dan Kita kan ‘bebas’.
Kita kan kembali kepada detik yang seperti dulu





Jun 2021

Jun melabuhkan tirai. Bermakna sudah setengah tahun (2021) telah berlalu, dan setengah tahun lagi bakal kita lalui. Dan bermakna juga, sudah setengah tahun -tahun ini- kita patuh pada saranan ‘duduk di rumah’, tak boleh merentas negeri mahupun daerah. Anak-anak mengikuti pengajian di rumah (pdpr), dan kes covid-19 masih pada angka tertinggi setiap hari, malahan tiada tanda untuk menurun dan entahkan bila kita semua akan boleh ‘bebas’. 

Anas, Mussaab dan Miqdad mengikuti kelas pdpr setiap hari. Alhamdulillah lancar semua, meski tetap mencabar. Abi pada bulan ini ada masa ‘lebih’ di rumah, juga Alhamdulillah. Esok lusa akan kembali bekerja lagi, dan mungkin akan pergi lama lagi. Moga Allah tabahkan hati kita menempuh perpisahan yang panjang lagi. 

Suri membesar sihat, jalani kehidupan seharian bersama abang-abang yang sentiasa ada di rumah. 

Tiada apa sangat yang berbeza berbanding bulan-bulan sebelum ini. Hanya berkisarkan tentang kehidupan di rumah semata. 

Sudah sangat penat mendepani situasi semasa. Namun di luar sana lebih ramai yang lebih penat, perit dan sesak hidup mereka kesan dari pandemik yang masih belum berkesudahan.

Syukur sentiasa atas kehidupan ini. Sabar menempuh ujian dariNya. Pendam kerinduan pada keluarga yabg sudah lama tak jumpa. 

Moga kan ada sinarnya. Yakin Allah sebaik Perancang. 

Insya Allah




Julai 2021

Dan Julai pun berlalu. Sama seperti bulan-bulan yang lepas, kita masih tidak dapat ke mana-mana. Kes harian covid-19 masih tinggi dan sangat tinggi sehingga 17k++ yang tertinggi setakat ini, di bulan ini.

Pdpr diteruskan seperti biasa, ikut jadual yang sedia ada, berehat seminggu cuti penggal dan Aidiladha. Alhamdulillah Aidiladha dapat beraya dengan abi, walaupun masih tak dapat balik kampung.

Satu kenangan yang tak mungkin dilupakan ialah, apabila abi disahkan positif covid-19 ketika sedang bertugas di Terengganu. Abi ditahan di pusat kuarantin di sana, dan balik beberapa hari kemudiannya. Alhamdulillah abi semakin sihat.

Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri jalani kehidupan bersama setiap hari, tidak terpisah dan tak kemana-mana.

Ummi menerima suntikan vaksin (abi dah cucuk bulan lepas). Alhamdulillah ok je, sehari je lemah dan lesu sikit. 

Masih tak tahu bila akan dapat balik kampung jumpa family. Abi masih ada, belum dipanggil bekerja. Insya Allah dapat spend lebih masa lagi dengan abi. 

Semoga dapat jalani kehidupan yang baik dan tenang, meskipun dalam situasi yang masih seperti ini. Allah masih mahu menguji kita.

Doa sentiasa, moga tetap dikurniakan kesihatan berpanjangan, jauh dari wabak yang sudah mengambil banyak nyawa ini. Moga Allah jaga kita dan seluruh ahli keluarga yang jauh di mata.

Insya Allah, semua ini kan berakhir juga nanti. Sabarlah. 




Ogos 2021

Ogos juga berlalu meninggalkan kita dengan banyak kenangan. Tapi sekadar kenangan di sini, di rumah kita. 

Alhamdulillah bersyukur dapat bersama abi dalam tempoh yang agak panjang berbanding biasa. Lebih sebulan abi di rumah, syukur sesungguhnya. Kesihatan abi semakin baik, insya Allah. Kita semua juga dalam keadaan sihat sejahtera. Alhamdulillah.

Anas, Mussaab dan Miqdad masih meneruskan pdpr. Bulan ni kelas full, hanya cuti awal Muharram dan Merdeka. Selebihnya sibuk dengan kelas dan tugasan yang diberikan. 

Bulan ni juga genap usia Suri 2 tahun pada 15/8/2021. Alhamdulillah Suri dah besar, sihat dan ceria. Pada tarikh yang sama, Miqdad bersunat di usia 4 tahun 10 bulan. Cuti pdpr seminggu, Alhamdulillah dah semakin baik. 

Abi berkuarantin di Terengganu pada 25/8 untuk kembali bekerja setelah lama bercuti. Pasrah melepaskan abi pergi, sudah itu medan abi sejak dulu. Doa dan harapan setiap masa, moga perpisahan akan tetap disusuli dengan pertemuan. Insya Allah. Allah pasti jaga abi dan kita semua. Syukur juga, abi dah lengkap 2 dos vaksin sebelum kembali bekerja.

COVID-19? Masih pada angka kes harian tertinggi sehingga 24k+ pada bulan ini. Sabar dan terus sabar, yakin pada kuasa Allah. Semua ini kan berakhir juga. Moga kita semua kan dilindungi sentiasa.

September menjengah tiba. Sudah dekat dengan penghujung tahun. Pantas masa berlalu, 8 bulan kehidupan kita di rumah semata. Ya Allah moga akan ada sinar yang terang benderang menanti di depan hari.  Aameen





September 2021

Masa berjalan yang tak terlalu dirasa, berakhir sudah September. 

Alhamdulillah sudah lebih 2 minggu abi ada bersama. Masih bercuti, masih di rumah.

Tapi September ini cerita kita hanya berkisarkan aktiviti di rumah juga. Walaupun abi ada, belum dapat keluar jalan-jalan makan angin lagi sebab ummi masih belum complete vaksin. Alhamdulillah dah cucuk vaksin dos ke-2 pada 28/9. Masih perlu tunggu 14 hari lagi untuk ‘bebas’.

Pdpr bercuti seminggu (11/9-19/9). Tapi habiskan masa di rumah saja. Main game dan mandi kolam, serta akiviti sampingan yang lain. Sekali abi bawa ke taman permainan, dan sesekali bawa pusing-pusing naik kereta. Itu saja.

Alhamdulillah semuanya dalam keadaan sihat dan dilindungi Allah. Sakit-sakit ringan saja, tak ada yang teruk. 

Kes covid-19 dah menurun banyak tapi masih belasan ribu juga. Alhamdulillah, at least dah nampak sinar dan cahaya yang bakal muncul. Insya Allah. Katanya, akan dibenarkan merentas negeri bila kadar vaksinasi negara dah sampai 90%. Sekarang dah lebih 80%. Dah tak lama lagi dah, insya Allah. Ke mana kita? Tentulah nak balik kampung. 
 
Untuk hari esok, tumpukan dulu pada pdpr dan hal-hal di rumah. Kalau ada rezeki dan kesempatan, dapatlah kita keluar ke mana-mana sebelum abi kembali bekerja. 

Semoga Allah permudahkan segala urusan kita. Semoga Allah jaga dan lindungi kita, juga semua insan yang kita sayangi.

Insya Allah, bakal bersua dengan semua yang kita rindu. 





Oktober 2021

Oktober melabuhkan tirai. 2 bulan lagi nak habiskan tahun 2021. 

Alhamdulillah sudah dibenarkan untuk merentas negeri bermula pada 11/10/2021. Setelah 9 bulan tak pulang ke kampung (sejak 17/1/2021), akhirnya kampung menjadi destinasi rentas negeri pertama kita. Alhamdulillah, terubat rindu dapat jumpa mek dan nenek, dan ahli keluarga dekat yang lain. Masih belum ada rezeki nak jumpa semua, insya Allah akan berjumpa juga di suatu hari. Semoga tak ada lagi larangan merentas negeri. Cukuplah…

Berakhirnya Oktober, bermakna bakal bermula episod baru dan rutin baru. Sekolah akan dibuka pada 1/11/2021. Bergiliran secara mingguan belajar secara bersemuka dan pdpr. Moga akan dipermudahkan jua untuk anak-anak semua. 

Miqdad pula dah seminggu kembali ke sekolah. Alhamdulillah baik-baik saja. Suri masih bertemankan abang-abang setiap hari sepanjang Oktober ini. November ini akan ada hari-hari yang akan Suri lalui hanya berdua dengan ummi, atau bertiga dengan abi. Suri akan ok saja, insya Allah. 

Abi berkuarantin di Terengganu sejak 17/10 (sebaik balik dari kampung) dan kini sudah tamat tempoh kuarantin dan sedang bertugas di laut. Moga Allah permudahkan urusan abi dan semoga Allah pertemukan kita kembali. 

Alhamdulillah atas nikmat hidup bersama-sama, nikmat pertemuan dengan yang dirindui, nikmat kesihatan yang jarang disyukuri, nikmat kehidupan yang mudah dan lapang, juga syukur atas segala ujian yang mampu kita tempuh dan atasi dengan pertolonganNya.

Syukur atas segalanya. 

November yang bakal menyusul.
Moga kan kita lalui dengan baik-baik juga.
Insya Allah.





November 2021

November berakhir. Berbaki sebulan lagi untuk mengakhiri tahun 2021. 

Alhamdulillah 11 bulan yang dilalui baik, meski tak terlepas dari ujian dan liku-liku di perjalanan hidup. 

1 November bermula persekolahan (secara bergiliran). Anas kumpulan A, Mussaab  kumpulan B. Miqdad pula bersekolah macam biasa. Pun begitu, kehadiran bulan ni kurang memuaskan, kerana kurang sihat (batuk dan selesema) dan atas sebab yang lain. 

Abi balik selepas berkuarantin dan bertugas, kini masih ada bersama dan menunggu masa untuk kembali bertugas lagi. 

Berbaki 2 minggu untuk bercuti sekolah dan pdpr. Walaupun cuti tak panjang sangat macam dulu-dulu, moga sempatlah untuk balik kampung dan rehatkan minda anak-anak selepas setahun tanpa henti menghadap pdpr dan tugasan sekolah. Anak-anak penat. Ummi pun penat.

Bulan ni belum sempat balik kampung. Insya Allah cuti sekolah nanti kita balik. Alhamdulillah sempat juga keluar ‘bercuti’ untuk pertama kali selepas dibenarkan merentas negeri. 

Covid 19? Masih mennjadi sebahagian dari kehidupan kita, cuma kes tak mencanak naik macam dulu lagi. Tapi masih pada angka yang tinggi. Masih juga perlu berjaga-jaga. Bahkan muncul pula varian baru. Moga Allah lindungi kita dari tiap yang memudaratkan. 

Syukur atas perjalanan yang lepas, mengharapkan langkah yang lebih baik di hari yang mendatang. Moga terang langkah bersuluhkan cahayaNya. Ameen.





Disember 2021

Disember berlalu, menutup tirai 2021.

Alhamdulillah melalui hari-hari dengan baik, meskipun tak terlepas dari ujian dari pelbagai sudut.

Cuti sekolah bermula pada 11/12/2021

Bulan ini menerima tetamu buat pertama kali setelah sekian lamanya, bulan ni abi tak berkuarantin di hotel, tapi ‘terperangkap’ pula di laut dek cuaca yang kurang baik. Balik kampung dengan makde, dan menunggu kepulangan abi di kampung. Selepas 16 hari, back to ‘home sweet home’ bersama abi. Abi jalani kuarantin di rumah dan bakal kembali bertugas lagi.

Menutup tahun 2021 di rumah, jalani hari seperti biasa, Alhamdulillah abi masih ada bersama, esok akan kembali bermusafir. Moga Allah permudahkan urusan.

Alhamdulillah untuk setahun (2021) yang telah kita lalui bersama. Tahun ini menempuh episod perpisahan (dengan abi) yang kerap dan panjang. Ujian covid-19 masih belum reda, malahan Malaysia diuji dengan bencana banjir yang luar biasa. Tahun ini juga menyaksikan banyak nyawa yang terkorban oleh pelbagai tragedi. Maha Kuasa Allah yang mentakdirkan semua itu terjadi.

Melangkah ke tahun baru. Moga kan baik-baik saja, tenang dan bahagia menjalani hidup bersama. Moga tiap saat mendapat rahmat dan kasihNya. آمين



0 comments:

Post a Comment