Monday, 27 December 2021 By: Naemah

IMBAS: 11 TAHUN MEMBINA KEHIDUPAN BERSAMA


11/12/2010

Dengan takdirNya kita bersatu


Mengimbas kenangan 11 tahun membina kehidupan bersama.



Tahun pertama (2010/2011)


Selepas lebih kurang 2 minggu diijabkabulkan, kita ditakdirkan untuk berpisah kerana panggilan kerjamu waktu itu. Sebelum itu sempat kita honeymoon di Cameron Highland, sempat kau bawa aku interview guru j-Qaf, sempat juga aku temankanmu interview kenaikan pangkat di KL. 


Berkenalan baru 2 minggu, sudah perlu berpisah. Saat ini sakitnya rasa, kerana sudah mula mencintaimu. Namun akur jua pada takdirNya.


Ketika kau jauh, aku disahkan hamil, namun tiada rezeki, aku keguguran. Hadapi kesedihan sendirian tanpamu. Kehilangan yang pertama ini sangat menyakitkan. 


Asbab itu juga aku dapat ikut belayar bersamamu. Lebih kurang 2 bulan aku berada di kapal bersamamu. Meredah lautan, merentas sempadan negara. Kenangan terindah, takkan dapat diulang lagi kenangan yang serupa. Waktu ini kau sudah bergelar ‘chief officer’, lagi satu tangga nak bergelar Kapten.


Sekali lagi aku hamil, Alhamdulillah. Turun dari kapal dalam keadaan berbadan dua. Rupanya itu pelayaranmu yang terakhir, bila kau memilih untuk berhenti belayar dan meninggalkan MISC. 


Ketika aku sarat mengandungkan Anas, kau dapat interview kerja baru di Singapura. Alhamdulillah dapat kerja tu. Belayar juga, tapi di perairan dekat saja, dan tak lama tempoh kau pergi. 



Tahun kedua (2011/2012)


Aku selamat melahirkan Anas pada Januari 2012. Setahun sebulan usia perkahwinan kita. Alhamdulillah kau ada hampir sepanjang kehamilanku sehinga lahirnya putera sulung kita. 


Selepas melahirkan Anas, kau bertukar kerja lagi. Kali ni dah tak perlu belayar, tapi masih juga kerja kapal. Ye, itu memang sudah bidang kemahiranmu. 


Pada April 2012 kita berhijrah ke Melaka. Kita menyewa di Tanjung Bidara, dan kau bekerja di Petronas Sungai Udang. Di sini kita mulakan hidup dengan keluarga kecil kita, jauh dari keluarga. Bahagianya hampir setiap hari kau ada bersama.


Pada tahun yang sama juga kita berpindah dan menyewa rumah di Taman Bertam Setia. Rumah yang lebih besar dan selesa, dan lebih dekat dengan tempat kerjamu.



Tahun ketiga (2012/2013)


Aku hamil anak kedua. Juga melalui hari yang indah, bila kau ada bersama setiap hari. Berpisah hanya pada waktu kerja. Anas setiap hari dapat jumpa abi. Sebulan sekali balik kampung, pantang ada masa terluang akan keluar makan angin di bandar Melaka atau ke pantai. Bahagia mencipta kenangan bersamamu.



Tahun keempat (2013/2014)


Aku melahirkan Mussaab pada Januari 2014. Bertambah ahli keluarga kita, bertambah bahagia dan berseri hidup kita. Kau masih di tempat kerja yang sama. Anas dan Mussaab setiap hari dapat jumpa abi dan mendapat sepenuhnya kasih sayang dan perhatian abi.



Tahun kelima (2014/2015)


Pada Disember 2014 kau bertukar tempat kerja lagi (Xilog-company yang sekarang). Kali ini kau perlu kerap bermusafir dan meninggalkan keluarga. Mulanya agak berat untuk aku terima, namun ku pujuk hati untuk terima semua. Awalnya agak susah nak terima hakikat ‘ditinggal’kan dengan anak-anak, namun lama kelamaan mampu terima semua. Mungkin ini yang terbaik.


Januari 2015 kita berpindah ke Kajang, menyewa di Apartment Ria Prima. Di sini kita bertemu dan berpisah. Anas dan Mussaab mula belajar hidup berjauhan dengan abi. Sekejap abi di rumah, sekejap di Labuan, sekejap di Bintulu, video call jadi penghubung. Anas dan Mussaab membesar bersama di apartment ini. Berkurung saja di rumah time abi tiada, dan banyak berjalan dan balik kampung bila abi ada. 


Tahun ini (2015) juga aku keguguran kali ke-2. Kali ini ‘sakit’nya tak sesakit kali pertama, meskipun ada rasa sedih, kesal dan kecewa. Serah hati ini pada Allah untuk rawat segala rasa. 


Tahun ini juga kita membuat keputusan untuk membeli rumah (di Semenyih)




Tahun keenam (2015/2016)


Kita berpindah ke Taman Pelangi 2, Semenyih. Masih juga menyewa, kerana rumah yang dibeli masih dalam pembinaan.


Alhamdulillah aku hamil lagi, dan selamat melahirkan Miqdad pada Oktober 2016. Di Taman Pelangi Semenyih 2 ini juga jalani kehidupan seperti sebelum ini juga. Bertemu dan berpisah, atas alasan kerjamu. Namun kini, kau perlu meninggalkan isteri dengan 3 anak. Bertambah zuriat, bertambah tanggungjawab. Dan kau sentiasa tekun mencari rezeki, dan tetap bertanggungjawab pada keluarga. Juga tak berkurang nilai cinta dan kasih sayangmu pada kami. 


Tahun ni kita mula membiasakan diri di tempat baru (Semenyih), nanti memang akan menetap dan menjadi penduduk di sini.



Tahun ketujuh (2016/2017)


Tahun 2017 Anas (5 tahun) dah mula masuk sekolah. Genius Aulad adalah sekolah pertama Anas. Aku mula beranikan diri untuk memandu kereta untuk hantar dan ambil Anas dari sekolah. 


Bulan Februari 2017 kita masuk rumah baru, rumah yang kau beli untuk keluarga kita. Alhamdulillah, syukur atas rezeki ini. Kau masih pada pekerjaan yang sama. Sekejap di rumah, sekejap di laut. Setiap pertemuan sentiasa yang terindah buatku.  


Aku jadi lebih berdikari, maklumlah dah berani bawa kereta. Oh ya, tahun ni juga kau beli kereta viva second hand untuk aku mudah ulang alik ke sekolah Anas. 



Tahun kelapan (2017/2018)


Anas (6 tahun) dan Mussaab (4 tahun) masuk sekolah baru Little diamond Kindergarten, tak jauh dari rumah. Jalan kaki saja ke sekolah. Anak-anak kita dah besar dah. Kita juga makin berusia, makin matang dalam perhubungan, walaupun masih tetap punya banyak kekurangan yang perlu diperbaiki. Yang pasti, aku tetap mencintaimu, dan aku bahagia hidup bersamamu.



Tahun kesembilan (2018/2019)


Anas dah masuk darjah satu. Dah besar anak sulung kita. Anas berjaya masuk SRAI Pekan Beranang, agak jauh dari rumah. Aku perlu lebih berani di jalan raya. Aku mengambil tugas menghantar dan mengambil Anas dari sekolah semasa ketiadaanmu. 


Rezeki Allah, aku hamil anak keempat kita. Tugas dan tanggungjawab lebih berat demi memberi yang terbaik untuk anak-anak. Kau setia dan tekun dengan kerjamu. Aku pula menggalas tanggungjawab dengan sebaik yang aku mampu. 


Suri selamat dilahirkan pada Ogos 2019. Bulan Ogos juga Anas dah mula naik van ke sekolah. Kehidupan lebih meriah, lebih berseri dan lebih mencabar dengan 4 cahaya mata, amanah dan tanggungjawab dari Allah. 




Tahun kesepuluh (2019/2020)


Anas darjah 2, sementara Mussaab masih di Little Diamond tahun ke-3. 


Tahun 2020 diuji dengan wabak Covid-19 seluruh dunia. Ujian besar buat semua orang termasuk kita. Kes jangkitan bertambah dan meningkat, sekolah ditutup, lockdown demi lockdown, pendek kata huru hara satu dunia. Tahun ni tak dapat balik raya, dan banyak berkurung di rumah. Paling teruji, bila kita perlu berpisah lebih lama bila kau terpaksa jalani episod kuarantin yang panjang dan kerap.

 

Anak-anak mula belajar berjauhan dengan abi dalam tempoh yang lama. Aku pula perlu biasakan diri untuk lebih berdikari menguruskan diri bersama 4 anak kita.


Anak-anak belajar secara pdpr, hanya sempat beberapa bulan hadir ke sekolah tahun ini.



Tahun kesebelas (2020/2021)


Anas melangkah ke tahun 3, Mussaab masuk darjah satu dan Miqdad pula masuk tadika. Dari 2 orang, kini dah 3 orang anak kita bersekolah. Dah makin besar kan anak-anak kita?


Tahun ini, kita masih dalam ‘perangkap’ covid-19. Hidup masih belum bebas. Sekolah tutup, sempadan negeri tutup, hidup terkurung. Kita perlu terus hadapi episod perpisahan yang panjang. Raya tahun ini juga tak dapat balik kampung, bahkan kau juga jauh di hari lebaran yang lalu. 


Satu lagi ujian, bila kau juga ditakdirkan positif covid-19 pada Julai 2021. Ujian ini sangat menyakitkan, namun pasti terkandung 1001 hikmah buat hambaNya.


Lama kelamaan ujian ini reda, walaupun masih tetap ada. Masih tetap perlu lebih berhati-hati. Bebas, tapi pantang alpa.


Oktober 2021 dah boleh balik kampung, dah boleh bercuti. Dan kita juga dah menerima tetamu di rumah. Anak-anak juga kembali ke sekolah.


Disember 2021 dah tak perlu berkuarantin lama di hotel atas tujuan kerja. Sudah banyak lega, dan perlu banyak bersyukur atas semuanya ini. 


11/12/2021, Alhamdulillah genap 11 tahun melayari bahtera rumahtangga bersamamu.


Untuk tahun ke-12 dan seterusnya (andai dipanjangkan usia kita), moga Allah sentiasa berkati ikatan antara kita. Moga Allah permudahkan perjalanan hidup dan cinta kita. Semoga Allah lorongkan kita ke jalan yang diredainya. Semoga bersatu selamanya kita, dunia dan akhirat. 



11 years and still counting


0 comments:

Post a Comment