Friday, 3 December 2021 By: Naemah

TENTANG AKU



Ketika mula memahami tentang kehidupan, aku rasa hidup aku hanya berdua dengan ibuku. Mana taknya, ayah pergi ketika usia aku 3 tahun. Abang dan kakak pula berkahwin masa aku masih kecil (aku tak sedar pun bila mereka kawin). Yang paling last, kawin masa aku tingkatan 3. Sorang tu jelah yang aku ingat. 


Dan setelah itu, hiduplah aku berdua dengan ibu. Memang rumah sunyi, kecuali bila anak-anak saudara balik. Sedikit sebanyak, persekitaran masa kecil membentuk peribadi aku yang pendiam, dan sukakan ketenangan. Tak ramah mesra, tak sukakan suasana bising.


Masuk asrama, paling rasa stress bila suasana bising dan bingit. Dan susah nak berkawan, kecuali ada yang sudi datang dekat. Sebab tu kawan tak ramai. Tapi syukurlah tak ada musuh.  


Hingga masuk universiti, aku masih tetap aku yang pendiam dan lebih suka bersendiri. Tapi ada juga kawan yang mesra, yang ikhlas terima aku seadanya. Alhamdulillah hidup dengan baik-baik tanpa ada musuh dan orang tak suka kita. 


Kemudian hidup berumahtangga, dah hampir 11 tahun, Alhamdulillah. Aku masih tetap aku. Suami juga tak banyak cakap, tapi kami masih boleh mesra berkomunikasi. Malahan aku banyak bercerita pada dia, lantaran tak ada teman bicara selain dia. Tetap ada gurau senda suami isteri. Ya, tetap bahagia dengan cara kami yang tersendiri. Syukurlah, hubungan tidak ‘mati’ meski dengan watakku seperti ini. Yang paling penting, syukurlah dia terima aku seadanya.


Dengan kehadiran anak seorang demi seorang, kehidupan lebih ‘meriah’. Di sini bahagia, dan di sini juga ujian. Dulu yang susah dan ‘malas’ nak bersuara, kini perlu lebih banyak bersuara. Semakin banyak anak makin banyak suara. Jadi ibu, masakan boleh ‘diam’ saja. Dari mereka bayi sampai membesar seperti sekarang, banyaknya yang perlu diajar, dipesan, diingat, dileter :D haih.. penat tau nak jadi seorang yang banyak cakap, bila kita sebenarnya jenis tak banyak cakap!


Tapi ini aku anggap ujian dan perjuangan aku dalam kehidupan. Kerana ujian setiap orang tak sama. Yang dikatakan ujian untuk aku, mungkin pada orang lain hal remeh dan biasa saja. Begitu juga sebaliknya. Aku yang cepat stress dengan kebisingan, perlu ajarkan diri untuk hadapi kebisingan setiap hari dengan tenang. Apalagi saat berdepan dengan hal dan situasi tak terduga dan di luar kawalan diri. Susah.. aku memang ‘struggle’ nak tempuh semua itu saban hari. Lebih-lebih lagi bila terpaksa handle anak-anak seorang diri ketika suami tiada. Ada harinya aku sabar dan tenang, ada harinya juga aku berubah watak yang sebaliknya. Watak mana paling banyak menjelma? Tanyalah suami dan anak-anakku. Kerana mereka ‘lebih kenal’ aku. Di sudut ini ketenangan dan ketenteraman hati aku teruji. 


Kini dah hampir 11 tahun bergelar isteri dan ibu. Aku masih berjuang setiap hari menjadi yang lebih baik. Tak ingin aku bandingkan diri ini dengan sesiapa, kerana perbandingan itu lebih menyakitkan. Namun ada sosok yang boleh kujadikan contoh dan inspirasi dalam mengatasi kekurangan yang banyak ini.


Apapun aku bahagia dengan kehidupan yang Allah kurniakan buatku. Suami adalah yang terbaik, anak-anak juga adalah yang terbaik, untuk aku. Tiada yang lain.


Langkah demi langkah akan aku teruskan, selagi Allah masih meminjamkan usia untukku. Aku mahu menjadi yang paling bahagia, meski aku tahu jalan bahagia tetap berliku. Moga Allah anugerahkan kesabaran serta petunjuk, untuk melalui jalan yang benar. 




Ujian dan Anugerah










0 comments:

Post a Comment