Tuesday, 14 December 2021 By: Naemah

LANTARAN RINDU…





Masih nak menulis ‘tentang kita’. Mungkin sebab banyak masa di kampung. Mungkin sebab merindukanmu yang jauh. Walau hakikatnya apa yang aku rasakan di hati ini takkan termampu aku luahkan dengan tulisan atau kata-kata.


11 tahun usia pernikahan, 11 tahun juga usia perkenalan aku denganmu. Tak lebih. Kerana kita tak lalui episod percintaan sebelum berkahwin. Kerana kita tak saling mengenali sebelum berkahwin. Bertunang pun, tak pernah berkenal-kenalan lebih dari mengenal nama, usia dan pekerjaan. 


Beberapa tahun sebelum kita ‘diperkenalkan’, aku mula berkenalan dengan adikmu (zaman MCIIUM). Adikmu banyak bercerita tentang  keluargamu, tentang adik beradiknya yang ramai, tentang abang-abangnya (sesekali tentang abangnya yang belayar), tentang kakak dan adik-adiknya, tentang ibu ayahnya, seronok aku mendengar cerita tentang keluarga besarmu. Sudah pastinya tak terlintas langsung tentang jodoh. Rupanya itulah permulaan pada segalanya. 


Berganjak tahun, dari MCIIUM ke IIUM, hubungan kami makin dekat. Dari sahabat sekuliyyah, kemudian sahabat satu mahallah, akhirnya sahabat berjiran bilik (dikira sebilik juga la sebab bilik aku boleh menembusi bilik dia). Ya, masa tu hubungan kami lebih rapat dan lebih mesra, di samping roomate lain yang ceria dan menghiburkan setiap masa. Rindulah…


Sampai ke tamat pengajian, langsung tak terdetik tentang jodoh antara aku denganmu. Takkanlah, kenal pun tidak. Seperti dulu juga, hanya mendengar cerita-cerita tentang keluargamu dari adikmu. Ya, dia memang suka bercerita tentang keluarganya. Itu tanda dia berbangga dengan keluarga besarnya. Aku juga seperti selalu, suka mendengar. Sesekali disuakan gambar ahli keluarga. Aku melihat sepintas lalu. Ada rupa yang kuingat, ada juga tidak (termasuk dirimu). Sungguh, selain Azim aku tak tahu ada abangnya yang masih bujang. Bila Azim berkahwin, aku kira dah ‘habis’lah abangnya yang sedang mencari jodoh :D


Tak lama selepas tamat pengajian (dah balik kampung pun), masa tengah tak tahu nak buat apa lepas habis belajar, datang pertanyaan tentang jodoh ‘aku dan kamu’. Akhirnya kita bertemu buat pertama kali, akhirnya kita ikat tali pertunangan, akhirnya kita dijabkabulkan.  Ya, pada tahun yang sama aku tamat pengajian, bertunang dan berkahwin. Masya Allah, Maha Hebat Allah yang mengatur semuanya untuk kita. Aku dan kamu ditemukan, disatukan, hidup berdua,   kemudian dihadirkan zuriat, dikurniakan bahagia, bahagia dengan cara kita tersendiri. Masya Allah.


11 tahun dah berlalu. Kadang aku rasakan masa terlalu pantas berlalu. Mengenang detik hubungan ini bermula, terlalu manis aku rasakan. Walaupun kita tak seperti pasangan lain yang bermula dengan cinta, kita masih mampu bahagia bersama cinta yang hadir selepas terlafaznya ijab dan kabul. Bercinta denganmu sangat membahagiakan. 


11 tahun ini, kita melalui hari-hari yang tak sentiasa indah dan gembira. Seperti pasangan lain juga, diuji dengan pelbagai. Namun Alhamdulillah, tetap utuh cinta dan ikatan, walaupun ada ketika dan waktunya kita pilih untuk berbeza. Biarpun berbeza, kita tetap bersama. Kita tetap memilih cinta dan kesetiaan. 


Terima kasih suamiku yang tercinta. Seperti aku katakan, tiada lafaz untuk aku gambarkan betapa aku mencintaimu. Cukup kau tahu, aku mencintamu kerana Allah. Aku cinta dan setia padamu kerana Allah. Kau anugerah terbaik dariNya untukku. 


11 tahun menyemai cinta bersamamu. Moga selama-lamanya tetap cinta dan semoga Allah satukan kita hingga ke syurgaNya. Ameen

0 comments:

Post a Comment