Saturday, 31 October 2015 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 311015

Hari kedua suami di Labuan. Seperti biasa masa abi tiada di rumah ni juga la ummi sempat nak update blog dan cerita aktiviti anak anak di rumah :)

Seperti biasa Mussaab bangun lebih awal dari Anas. Ummi juga seperti biasa mengadap komputer di awal pagi untuk menambahkan koleksi video untuk anak anak ummi. Hari ni download video shawn the train dengan harapan Anas dan Mussaab suka dan belajar.

Seperti biasa juga ketika bersama ummi, ummi akan mulakan pagi Anas dan Mussaab dengan memperdengarkan bacaan juzuk amma, sambil membiarkan Anas dan Mussaab membuat aktiviti sendiri.

Tapi hari ni, ummi ada surprise untuk Anas. Semalam bertungkus lumus ummi buatkan car track untuk Anas. Nah, ummi hadiahkan untuk Anas dan Mussaab (share ye). Tak cantik sangat pun, sebab ummi tak kreatif :) tapi yang pasti Anas suka. Sebelum tu ummi minta Anas tasmik surah dulu. Anas akur dan seronok sangat dapat hadiah :) Mussaab pun sama juga suka walaupun sebenarnya kurang berminat lagi nak main macam along.



Selepas makan dan mandi, ummi benarkan untuk menonton video. Banyak video baru, tapi Anas dah pandai pilih pilih. Ada yang dia nak tengok, ada juga yang dia tak nak. Mussaab akan asyik menonton pada video yang dia suka, dan tak pedulikan video yang kurang menarik. Anas dan Mussaab, menonton dan bermain bersama. Ada ketika baik, ketawa dan bergurau. Ada ketika gamat berebut mainan dan masing masing dah pandai mengusik sampai menangis dibuatnya. Along dan adik, sama je...

Ummi berikan Anas kertas latihan yang ummi dah print dan laminate. Latihan yang berkaitan dengan tajuk favourite Anas, season, weather dan planet. Anas asyik melukis di kertas tersebut mengikut gayanya sendiri. Leka sekejap dengan aktiviti tersebut. Mussaab turut meminta pen dan kertas. Menconteng sepuasnya, tak cukup kertas muka, kaki dan dinding jadi sasaran :) ummi berikan pada Mussaab flash card huruf hijaiyyah bila nampak dia dah menconteng merata tempat :)




Lunch, ummi suapkan nasi berlaukkan ayam bakar dan sayur air. Anas makan berselera seperti biasa, Mussaab pula hanya makan ayam. Selepas itu masing masing minta vitamin, dah dua hari ummi lupa nak bagi. 

Ummi solat zohor selepas tidurkan Mussaab. Selepas itu ummi juga masuk tidur. Anas pun ikut sekali. Alhamdulillah semua tidur lena siang tadi. Mussaab yang pertama bangun. Senyap senyap keluar dan bermain sendiri. Lepas tu masuk kejut ummi dan along bangun. 

Sementara nak tunggu asar ummi gorengkan fries dan makan bersama. Ummi solat asar, sambil Anas dan Mussaab leka bermain. Rumah dah memang macam apa dah. Buku dan mainan banyak di lantai. Mussaab sering ke rak buku, mengambil dan membelek buku. Bacalah sayang...

Lepas tu boleh pulak minta dengan ummi dan berguling di atas kain baju yang baru diangkat dari jemuran. Anas janji nak kemas balik. Ummi pun layan sajalah, sambil snap gambar sekeping dua. Dah puas Anas masukkan semula kain baju ke dalam bakul. Hai anak... Macam macamlah.



Dalam pukul 5 petang ummi masuk ke dapur untuk masak. Ummi suapkan Anas dan Mussaab makan sehingga kenyang. Ummi masih tak lapar disebabkan makan fries tadi. Dah siap suapkan makan, ummi buat stok bergedil untuk disimpan. Potato dah lama beli, takut rosak tak pakai. Ummi biarkan Anas dan Mussab bermain dan menonton video. Anas dan Mussaab pun ok je...

Dah siap semua, Ummi mandikan Anas dan Mussaab. Dah nak maghrib, ummi pasang bacaan juzuk amma untuk kali kedua. Masing masing tenang bermain sambil ummi setelkan kerja ummi, mandi dan solat Maghrib.

Selepas maghrib ajarkan Anas al quran, dan sambung cerita surah al falaq. Alhamdulillah sikit demi sikit Anas dah dapat tangkap cerita di sebalik surah yang dihafaznya. Kemudian ummi makan, Anas minta nak tengok video upin ipin. Dah lama tak menonton cerita upin ipin. Mussaab pun layan sekali. Selepas itu baca buku bersama. Anas dan Mussaab tekun mendengar dan bertanya. Ummi happy sangat sangat sebab Mussaab dah banyak belajar dan dah banyak tahu. Ummi solat isyak, Anas dan Mussaab masih leka bersama buku.


Lepas isyak ummi tidurkan Mussaab. Anas kemudian menyusul, selepas ummi dengarkan surah surah hafazan yang dia dah hafaz bermula surah an Nas. Sampai surah al Qadr, Anas dah terlena. Alhamdulillah..

Semoga mimpi yang indah anak anak ummi.. Semoga membesar menjadi hamba Allah yang taat, dan menjadi anak ummi dan abi yang soleh. Insya Allah.

End of October 2015... 
Waiting for our hero..
May Allah bless and protect him..
Aameen..


Friday, 30 October 2015 0 comments By: Naemah

WARKAH RINDU UNTUK DIA


Hari ini dia kembali merantau, jauh mencari rezeki yang halal. Di situ tempat dia mengerah keringat, berjauhan seketika dengan anak dan isteri.

Hari ini episod perpisahan berulang lagi. Insya Allah ia hanyalah perpisahan sementara. Dalam hatinya pasti ada kerinduan, tetapi dia tetap perlu pergi. Untuk dirinya, dan untuk keluarganya yang tercinta.

Dia kini jauh di pandangan mata. Tetapi tetap dekat di dalam hati. Tak dapat untuk saling menatap dan menyentuh, tetapi masih mampu untuk saling mendoakan.

Saat adanya terasa indah, bahagia, menghiburkan, seperti mahu dia sentiasa ada di sisi. Saat tiadanya terasa kehilangan, kesunyian dan rindu yang tak tergambar. Tetapi inilah takdir yang pastinya terbaik di sisi yang Esa.

Dia istimewa, sekurang kurangnya untuk anak dan isteri. Dia anugerah, yang sukar dicari ganti. Dia yang terbaik, insya Allah cinta hingga ke syurga.

Kala jauh hati merindu. Rindu buat kekasih anugerah yang Esa. Dia tempat seorang isteri mencari syurga. Dia yang mencintai seikhlas hati. Sering memaafkan walau sering dilukai. 

Dia yang bernama suami.. 
Dia yang sangat kucintai..
Dia yang amat kudambakan keredhaannya..
Meski dengan kekurangan dan kelemahan yang banyak ini..

Semoga dalam rahmat dan kasih sayang Allah duhai suami...

DIARI ANAKKU: 301015

Hari ini suamiku kembali menyambung kerja setelah 2 minggu bercuti. Satu percutian yang sangat lama :)

Mussaab bangun seawal jam 6 pagi, sempat bersalam dengan abi. Kucupan kasih sayang abi seperti biasa buat Mussaab dan Anas yang masih lena. Abi menaiki teksi jam 6.40 pagi ke airport. Mussaab leka bermain sendiri. Ummi pula gigih mendownload video baru untuk anak anak ummi. Lagi video tentang 'weather' yang menjadi topik kegemaran Anas. Juga video video lain buat Mussaab juga. 

Anas bangun pukul 7.30 pagi. Abi dah tiada. Boleh pulak dia suruh abi balik sebab nak salam :) kelakar dan kesian.. Abi dah sampai airport sayang :)

Anas meminta untuk menonton video sebaik keluar dari bilik tidur. Ummi syaratkan untuk habiskan dulu video juzuk amma, makan dan mandi terlebih dahulu. Alhamdulillah Anas ikut syarat tersebut. Mussaab juga :)

Anas dan Mussaab breakfast dengan roti cheese dan nugget. Selepas mandi ummi buka video seperti yang dijanjikan. Masing masing excited menonton video baru. Mussaab sedikit bosan kerana ada video yang mungkin tak sesuai dengan umurnya :)

Tiba turn video yang ajar drawing, Anas mencari kertas dan pen dan minta ummi lukis seperti di dalam video. Ummi lukis, kemudian Anas tambah. Lepas tu asyik dok minta kertas nak lukis lagi. Lukisan Anas masih berkaitan dengan minatnya. Ada awan, pokok, matahari, angin, hujan,  jalan, dll. Alhamdulillah ada improvement dalam lukisan Anas :) ummi biarkan Anas leka melukis. Mussaab pula pantang tengok ummi duduk, terus cakap nak tido (nak susu sebenarnya:))

 Mussaab tidur sekejap sekitar jam 10-10.30 pagi. Kemudian bangun dan aktif bermain semula. Sempat bacakan buku untuk Anas dan Mussaab. 

Makan tengahari ummi suapkan nasi dengan sup daging dan ikan bawal goreng. Keduanya masih makan bersuap :) dan keduanya berselera makan. Teringat pada abi yang tak makan pagi tadi gara gara nak kena timbang berat badan hari ni :D

Selepas waktu zohor ummi seperti biasa nak rehat dan lelapkan mata. Tapi sukar dek kerana Mussaab yang tengah aktif dan tak mahu tidur, tapi asyik minta susu saja. Macamana ummi nak tidur... Anas pula asyik dengan video dan masih belum puas melukis. Kerap pula minta kertas. Hai... Macamana ummi nak tidur.. Tapi sempat juga la lelap dalam 15 minit :)

Pukul 3.30 ummi keluar layan Anas dan Mussaab semula. Anas dan Mussaab makan aiskrim, ummi sempat update blog sementara tunggu nak solat asar. Selepas itu masing masing asyik dengan mainan. Sesekali riuh berebut mainan. Sabar jelah... 

Selepas solat asar, layan Anas dan Mussaab dengan buku lagi. Mussaab asyik dengan soalannya, 'what is this' dan ummi perlu menjawab setiap soalannya. Alhamdulillah Mussaab mengenal hampir semua colors, dan shapes. Juga sedang tekun belajar parts of body. Good job Mussaab!!

Ummi kemudian masuk ke dapur memasak untuk makan malam pula. Anas dan Mussaab membuat aktiviti masing masing. Kedengaran suara riang ketawa, diselangi jeritan dan tangisan juga. Hai anak... 

Kemudian menikmati makan malam jam 6 petang. Anas berselera makan, Mussaab pula banyak main. Tak banyak makan macam siang tadi. Dah siap semuanya, ummi kemaskan meja dan pinggan mangkuk dicuci. Segala makanan tumpah disapu. Anas juga menurut arahan untuk mengemas segala buku dan permainanya yang bersepah. Alhamdulillah kemas dah :)

Selepas itu Anas dan Mussaab mandi. Sekali lagi ummi dengarkan juzuk amma Mussaab terlena dalam pukul 7 malam. Selepas solat maghrib ajar Anas al Quran dan kali ni sempat cerita sedikit tentang surah an Nas. Permulaan untuk tadabbur al Quran bersama anak soleh ummi. Semoga dapat diteruskan dan semoga al Quran menjadi penerang dan penyuluh jalan anak anak ummi.

Anas kemudian tidur juga jam 8 malam. Ummi kemudian sendiri. Ada tugas lagi yang belum selesai. Semoga segalanya dipermudahkan dan semoga lena tidur anak anak ummi. 

Ummi love Anas and Mussaab 
Ummi love abi too...



BUKTI DIA CINTA

picture: here


Cinta 'dia' yang bernama suami. Setiap insan berbeza dalam menterjemahkan cinta. Hanya kita sendiri yang dapat mengenal pasangan, memahami bahasa cintanya, lantas bersyukur :)

Bukti dia cinta;
Dia tahu cinta mana yang sepatutnya menjadi keutamaan dalam hidupnya. Allah dan Rasul menjadi cinta utamanya, disusuli cinta pada ibubapanya. Selepas itu barulah cinta buat isterinya. Bukan cinta isteri yang pertama, hingga lupa pada cinta yang lebih utama.

Bukti dia cinta;
Dia bertanggungjawab mencari rezeki untuk menanggung kehidupan anak isterinya. Dia rajin bekerja, dia ikhlas bekerja, dia cuba cukupkan keperluan isteri dan anak anaknya dengan kadar kemampuan dan kudratnya meskipun tak seberapa hasilnya.

Bukti dia cinta; 
Dia cuba meluangkan masa yang berkualiti buat keluarganya meskipun sebentar. Sedikit masa di rumah tetapi penuh pengisian jauh lebih baik dari banyak masa di rumah tetapi hal anak isteri langsung tak dipeduli.

Bukti dia cinta;
Dia mengajar anak isteri ilmu agama. Kenalkan mereka pada Allah dan Rasul. Ingatkan mereka tentang dosa pahala. Ajarkan mereka tentang akhlak mulia. Menegur di kala salah, dan tak lupa mengambil berat bab pakaian dan aurat isteri.

Bukti dia cinta; 
Dia cuba memahami kepenatan isteri menguruskan rumahtangga. Tidak marah kala rumah tak terurus sempurna, malah membantu tika ada kelapangan. Memasak untuk keluarga jika ada bakat di dapur, atau sesekali bawa isteri menikmati hidangan di luar sambil rehat dari kesibukan urusan rumahtangga yang tak pernah sudah.

Bukti dia cinta;
Dia menjaga tahap kebebasan sosial isteri agar tidak terlalu bebas, malah lebih baik di rumah saja saat dia tiada bersama. Kerana dunia luar penuh dengan cubaan dan dugaan. Dia mengambil tahu kenalan isteri, aktiviti isteri dan topik perbualan dan perbinacangan isteri agar tidak hanyut tersasar. Bukan untuk mengongkong, sekadar untuk menjaga.

Bukti dia cinta;
Dia cuba bersabar dengan segala karenah isteri yang adakalanya sukar difahami. Isteri yang kuat rajuk, kuat marah, kuat merungut, kuat berleter, dan segala macam sikap wanita, dirai dan ditangani dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan sesuai dengan watak seorang suami sebagai seorang pemimpin dan perlu bijaksana dalam memimpin.

Bukti dia cinta;
Dia tidak menjauhkan isterinya dari ibubapa dan keluarga isteri meskipun kini dia yang menjadi keutamaan pada isterinya. Dia sedar betapa ibubapa mertua dan keluarga itu yang pernah menjaga dan berjasa pada isterinya sebelum kehadirannya, dan betapa keluarga itu memberi makna kehidupan yang besar buat isterinya.

Bukti dia cinta;
Dia tidak memandang pada kecantikan semata. Dia bersabar dengan kekurangan isteri, tidak terlintas di hati untuk membuat perbandingan dengan wanita lain yang pastinya akan mengundang cemburu di hati isteri malah membuat isteri kecil hati kerana kekurangannya. 

Bukti dia cinta;
Sesekali berada di rumah dia mengambil tugas melayan dan menguruskan anak anak yang ternyata agak mencabar. Fahami isteri yang hampir setiap hari, malah setiap masa melayan karenah anak yang berbagai, menguruskan hal mereka dalam setiap perkara. 

Bukti dia cinta;
Dia tidak akan sesekali menjatuhkan maruah isteri di hadapan sesiapapun termasuk di depan ibu ayahnya. Dia cuba  sedaya upaya menutup segala keaiban isterinya, cukup sekadar dia yang tahu. Malah lebih baik, dia menonjolkan segala kebaikan isterinya di depan ibubapa dan ahli keluarganya agar isterinya tetap dihormati dan disayangi.

Yang di atas itu hanya cebisan dari bukti cinta seorang suami buat isterinya. Wahai isteri, ambil sedikit masa merenung kebaikan suami buat dirimu lantas bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sedang mencintaimu dengan ekspressinya yang tersendiri.

Suami kita takkan sama dengan suami orang. Mereka punya cara tersendiri dalam membuktikan cinta. Hanya kita yang lebih mengenal suami kita dan bagaimana cara dia mempamerkan cinta, meski bukan dengan luahan atau ungkapan cinta.

Hakikatnya cinta yang hadir bersama tanggungjawab adalah lebih bermakna buat sang isteri. Bukan sekadar cinta, bukan sekadar luahan kata manis dan indah semata.

Namun wahai isteri, saat hati tertanya apakah dia benar benar cinta, mungkin saat itu kita perlu merenung diri melihat kadar mana cinta kita untuknya dan kerana apa kita mencintainya. Hanya kerana kita ikhlas mencintai, insya Allah kita juga akan ikhlas dicintai..
Tuesday, 27 October 2015 0 comments By: Naemah

JOM MASAK KAT RUMAH!!


picture: here

Malaysia masih dilanda masalah jerebu. Jerebu yang semakin teruk, tak tahu bila akan berakhir. Satu ujiandan peringatan dari Allah buat seluruh hambaNya.

Tak cukup dengan jerebu, masalah masalah lain turut hadir bersama. Salah satunya ialah masalah wabak kepialu yang sedang merebak di negara kita yang tercinta ini. Satu demi satu wabak penyakit yang melanda dan mengundang rasa takut kita semua. 

Kerana wabak yang sedang melanda ini juga, kita semua dinasihatkan untuk tidak membeli makanan di luar demi menjaga kebersihan dan mengelakkan jangkitan penyakit ini. 

Ya, satu saranan yang sangat baik dan patut diberi perhatian. Kerana kebanyakan kita hari ini suka untuk membeli makanan di luar kerana kesuntukan masa untuk memasak di rumah, terutamanya bagi ibu ibu yang berkerjaya.

Namun tak dinafikan, masih ada ibu bekerja yang rajin ke dapur dan berusaha memasak sendiri makanan untuk keluarga. Dan tak dinafikan juga, isteri yang tak bekerja pun ada juga yang jarang masuk dapur dek kerana lecehnya tugas memasak. Beli kat luar kan lagi mudah :)

Apapun, perlu kita renungkan bersama, mengapa pentingnya untuk kita terutamanya para isteri dan ibu untuk memasak sendiri di rumah, dan tidak bergantung pada makanan luar. 

Ya, yang pertamanya tentang kebersihan, yang menjadi punca tersebarnya pelbagai penyakit termasuk demam kepialu yang sedang kita hadapi hari ini. 

Jika memasak di rumah sudah pasti kita sangat mengambil berat bab kebersihan ni. Kalau bab masakan kita tak jaga, mungkin kita sendiri pun tak lalu nak makan agaknya. 

Tapi bila makan di kedai, kita tak tahu bagaimana penyediaannya. Sejauh mana mereka mengambil berat bab kebersihan makanan yang nak dijual tu. Mereka memasak dalam kuantiti yang banyak, jadi agak meragukan juga la bab kebersihan tu. Namun bukan nak kata makanan di luar tu semuanya tak bagus. Ada juga yang ambil berat bab kebersihan. Kalau kita pasti tempat mana yang terjamin bersih tu, silakanlah. Tak salah pun beli di luar.

Cuma sebagai langkah berjaga jaga, kita digalakkan untuk tidak bergantung pada makanan di luar. Dan yang pasti, masakan sendiri lebih terjamin bersih dan berkhasiat, di samping manfaat manfaat lain buat seluruh ahli keluarga, terutama anak anak kita.

Yang penting cuba dan usahalah untuk memasak sendiri di rumah. Mungkin masakan kita kurang sedap, mungkin kita kurang cekap di dapur, mungkin kita kesuntukan masa, mungkin kita sering buntu nak masak apa, tapi kita tetap perlu mencuba untuk rajin ke dapur demi suami dan anak anak. Sayangi mereka dengan menjaga makan mereka. Cuba untuk menyediakan hidangan terbaik buat santapan mereka. 

Insya Allah bila kerap ke dapur, mutu masakan kita dapat diperbaiki. jika kerap ke dapur, skill kita dapat diimprove, lama kelamaan kita akan jadi biasa. suami dan anak anak juga jadi biasa dengan gaya dan citarasa masakan kita. Air tangan ibu dan isteri pasti lebih bermakna dan dapat menambat hati suami dan anak anak. Yang lebih penting, kita sebagai isteri sudah pasti memasak dengan ikhlas dari hati. Setiap suapan yang masuk ke mulut suami dan anak anak, pasti membuahkan kepuasan dan kebahagiaan dalam hati kita. percayalah!!


Monday, 26 October 2015 0 comments By: Naemah

FAMILY PICNIC: PANTAI BUKIT KELUANG BESUT

Alhamdulillah berkesempatan untuk bersama keluarga (mertua) berpiknik dan berehlah di Pantai Bukit keluang, besut Terengganu pada hari sabtu yang lepas (24/10/15)

Kami bertolak dari rumah mak di Kota Bharu sekitar jam 9.00 pagi dengan menaiki 3 buah kereta. Agak ramai juga, walaupun sebenarnya masih tak cukup adik beradik suamiku yang 10 orang tu. Kalau semua ada pasti bertambah meriahnya. Hanya 6 beradik saja anak mak yang boleh join, dengan 2 menantu serta cucu seramai 11 orang. Semuanya berjumlah 21 orang termasuk mak dan bibik adik iparku. Ramai sangat dah tu :)

Kami tiba di sana dalam pukul 10 pagi. Orang dah ramai kat sana, tapi Alhamdulillah dapat juga tempat yang agak selesa dan luas untuk kami sekeluarga. sesampainya di sana kami agak risau juga kerana keadaan yang mendung macam nak hujan. sebaik tikar dihampar dan barang barang diangkut turun, hujan mula turun rintik rintik. First sekali payung diambil dan diberikan pada mak yang tengah menghidupkan api untuk bbq. Tikar ditutup semula untuk mengelakkan basah. Anak anak saudara masih berlarian di tepi pantai tanpa menghiraukan hujan. Aku pula  membawa anak anak berteduh di pondok, sedang suamiku sibuk membantu apa yang patut bersama mak dan adik adiknya. 

Alhamdulillah hujan tak lama. Bila sudah reda, kami teruskan piknik kami. Yang nak mandi terus berlari ke laut, termasuk suami dan anak anakku. Mak terus membakar ayam dibantu adik ipar serta kakak iparku. Aku hanya memerhati. Sesekali berjalan ke tepi pantai melihat mereka yang asyik mandi manda. Jelas terpancar keseronokan mereka bermain air :)

Agak lama mandi di pantai, masing masing naik untuk mengisi perut. Ayam pun dah banyak yang siap dibakar. Makan dengan nasi goreng, bihun goreng, nasi putih pun ada. Sangat berselera makan semuanya dek kerana penat bermain air. 

Selepas makan mereka ke kawasan bukit keluang untuk melihat suasana di situ. Jalan jalan dan ambil gambar. Ramai orang di sekitar kawasan situ. Masing masing dengan aktiviti tersendiri. 

Kemudian mereka kembali ke laut untuk mandi second round. Tak puas mandi lagi rupanya :) aku hanya memerhati suami yang asyik mandi manda bersama anak anak dan anak saudara. Kemudian mak pula datang menjenguk dan mengajak pulang kerana dah hampir masuk waktu zohor. Masing masing mengikut perintah.

Kami mengemaskan apa yang patut. Clearkan segala sampah sarap, dan tinggalkan kawasan tersebut dalam keadaan bersih seperti kami mula datang tadi. Saat berangkat pulang kedengan azan zohor berkumandang. Kami singgah solat zohor di masjid berdekatan dan sambung perjalanan pulang yang mengambil masa dalam 1 jam. Anak anak dan anak saudara yang keletihan semuanya terlena tidur di dalam kereta. 

Sampai di rumah dalam pukul 3 petang. Alhamdulillah rehlah keluarga yang memuaskan dan memberi kesan mendalam di hati. Gembira dapat bersama sama keluarga yang jarang jarang dapat berkumpul bersama. Berpuas hati juga kerana dapat menikmati suasana pantai yang masih cantik dan selamat untuk mandi manda :) 









Wednesday, 21 October 2015 0 comments By: Naemah

AIR DICINCANG TAK AKAN PUTUS




Adik beradik itu ibarat air, dicincang tidak akan putus. Satu perumpamaan yang biasa didengar, diingat sampai bila bila. 

Adik beradik, apatah lagi beribu dan berbapa yang sama. Punya pertalian dari darah yang sama. Tak bisa ditukar, tak bisa diubah. 

Ingat masa lalu yang pasti indah. Ketika kecil, dunia kita hanya ibubapa dan adik beradik. Mereka cinta terawal yang hadir dalam hidup kita. Tiada yang lain, hanya ibu ayah dan adik beradik inilah.

Masa kecil, kita berkawan mesra, bergaduh dan berbaik semula, bercerita, bergurau, bermain, menikmati hidup dan berbagi kasih sayang ibu dan ayah yang sama.

Kita membesar bersama, melalui kehidupan kanak kanak, bersekolah, dan akhirnya menjadi dewasa. Antara kita mungkin ada jarak, tidak serapat dan seakrab dulu. Kerana kita punya langkah dan tujuan hidup yang berbeza. Namun kita percaya, meski jauh dan jarang bertemu kita masih tetap adik beradik. Tidak terputus ikatan ini. Dalam hati kita masih tetap saling menyayangi meski tanpa ungkapan yang dilafazkan. Kerana rasa sayang ini lumrah dan wujud di sanubari sejak mula kita menjadi adik beradik.

Meskipun akhirnya kita mempunyai kehidupan sendiri dan bertemu jodoh, kita masih adik beradik. Hubungan kita masih tidak akan terputus, dan darah yang sama masih tetap mengalir di dalam tubuh kita. Andai suami dan isteri yang saling mencintai itupun, bisa dipisahkan, tetapi adik beradik, selamanya TIDAK akan terputus. 

Bertanya pada hati, wujudkah rasa kasih dan sayang itu, buat mereka yang bergelar adik beradik. Ya, kita disibukkan dengan urusan kerja, rumahtangga, anak isteri/suami, hingga ingatan pada adik beradik timbul tenggelam. Tapi percayalah, rasa sayang itu tetap teguh di hati. Tidak berubah sedikit pun. 

Barangkali antara kita ada ketikanya tegang, berbeza pendapat, berbeza fahaman, berbeza dalam banyak perkara, hingga ada yang makan hati, memendam rasa dan mencetus marah. Tetapi... Kita tetap adik beradik kan? Kita tetap sayang kan? Ibu dan ayah kita tetap menjadi titik pertemuan dan persamaan kita kan? 

Lumrah yang lebih tua, kedudukannya lebih dekat dengan ibu dan ayah. Layaknya dia dihormati, dirujuk dalam hal penting, dan diutamakan dalam sesuatu urusan dan perbincangan. Lumrahnya yang lebih muda, mahu disayang dan diberi perhatian. Disapa, dimesra dan diambil berat dari yang lebih tua. 

Maka wajar kita fikirkan, di mana tempatnya kita. Andai kita yang lebih tua, berikanlah perhatian, kasih sayang, dan mulakan kemesraan dengan yang lebih muda. Jika kita yang lebih muda, hormati yang lebih tua dengan melibatkan dirinya dalam setiap urusan keluarga dari sekecil kecil hingga sebesar besar urusan. Minta pendapat, minta nasihat, laporkan permasalahan, hingga sampai masej padanya bahawa dia orang penting dalam keluarga, dan menjadi pengganti ayah dan ibu bila mereka sudah tua atau sudah tiada. 

Ya, muhasabah itu kunci yang terpenting dalam menjaga hubungan mesra adik beradik. Apakah kita telah cuba menjadi abang/kakak/adik yang terbaik buat adik beradik kita. Mungkin kita jarang bertemu, tapi tidak sukar untuk bertanya khabar. Mungkin kita jauh, namun kita boleh merancang untuk saling ziarah demi silaturrahim. Mungkin kita segan nak mengucapkan sayang, tapi kita masih mampu untuk saling mendoakan sebagai tanda kasih. Mungkin antara kita ada segan dan malu, tapi kita masih boleh mencuba... 

Ya, kita adik beradik selamanya. Kita punya ibu dan ayah yang sama. Kita berkongsi kasih dan sayang ibu ayah yang sama. Antara kita ada pertalian erat yang tak boleh dipisahkan. 

Ayuhlah sama sama kita jaga ikatan ini, biar semakin teguh dan erat, semakin dekat dan rapat. Kita saling menjaga hati, saling bertindak atas kebenaran, saling mendoakan, saling memaafkan sekaligus saling bermuhasabah dan memperbaiki diri. Kerana kita tak sempurna, ada salah silap yang kita tidak menyedari. Pokoknya, mulakan dengan diri kita demi sebuah kejernihan dalam hubungan kekeluargaan ini.

Kita.. Adik beradik, saudara seibu dan sebapa. Jangan dilukai hati orang tua dengan sengketa kita.