Thursday, 16 January 2025 0 comments By: Naemah

ANAS ZAYDAN: TAMAT SEKOLAH RENDAH (SRAIPB)



Pejam celik-pejam celik. Tamat sudah pembelajaran Anas di sekolah rendah (SRAI Pekan Beranang). Sempurna sudah 6 tahun Anas di sekolah rendah, dan tak lama lagi bakal melangkah ke sekolah menengah pula.


2/1/2019 merupakan hari pertama Anas sebagai murid tahun 1 di SRAIPB. Anas yang kecil dan comel, ummi rindukan Anas yang dulu. Anak sulung ummi yang pada ketika itu baru melangkahkan kaki ke sekolah barunya. 


17/1/2025 merupakan hari terakhir Anas sebagai murid tahun 6 di SRAIPB. Masya Allah, anak yang kecil dulu membesar sudah. Baru 5 hari lepas menyambut hari lahir yang ke-13. Ketinggiannya pun dah melepasi ummi. Begitulah cepatnya masa berlalu. 6 tahun yang tak terlalu dirasakan.


Tahun 1 hingga tahun 6, tentunya banyak cerita dan kenangan Anas di SRAIPB. Seronok belajar dan berkawan, hingga ke hujung-hujung waktu ini, terasa amat sedih nak meninggalkan sekolah. 


Tahun 1 (2019), Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Pergi dan balik sekolah dengan riangnya. Bulan 8 Anas mula naik van sekolah sebab ummi lahirkan Suri. Sampailah ke hujung tahun, menjalani  hari persekolahan yang biasa dan menyeronokkan.


Tahun 2 (2020), tahun yang diuji dengan Covid-19. Sekolah ditutup dan mula belajar secara pdpr berbulan lamanya. Agak mencabar, baik pelajar, guru-guru dan juga ibubapa. Setahun yang ‘berbekas’ di hati semua. Menjalani kehidupan dan alam persekolahan yang tak seperti biasa. Belajar seadanya secara di atas talian.


Tahun 3 (2021), keadaan membaik walaupun sekolah sekejap buka, dan sekejap tutup kerana masih berada dalam situasi wabak. Lama kelamaan, sekolah dibuka macam biasa dengan normal baru, dan seterusnya lebih baik dan kembali kepada normal. Alhamdulillah. Tahun ni Anas dah tak naik van sekolah. Dan tahun ini juga Anas menyarung uniform pengawas.


Tahun 4 (2022), dah naik ke tahap dua. Dah jadi abang-abang, terlibat dengan KOKO, dan belajar seperti biasa. Keadaan back to normal. Mesra berkawan, tak perlu berjarak lagi.


Tahun 5 (2023), Anas berdepan dengan exam besar UPKK. Perlu mengikuti kelas tambahan, seminar dan bermacam lagi. Agak ‘busy’ tahun ni. Tapi Anas seronok dan enjoy saja. Alhamdulillah, dapat 7A1B untuk result UPKK. Tak sampai target, tapi syukur Alhamdullah setakat itu saja rezeki.


Tahun 6 (2024), semakin hampir kepada penamatnya. Sayang nak tinggal sekolah walaupun satu hari. Kehadiran penuh (kecuali hari exam UKKM dan PKSK). Tahun ni sekali lagi berdepan dengan exam besar PSRA, dan sepanjang tahun ‘busy’ juga dengan exam, kelas tambahan, seminar, dan pelbagai aktiviti di dalam dan luar sekolah. Alhamdulillah berjaya dapat MUMTAZ untuk exam PSRA dan itulah hadiah terindah untuk menutup langkah perjuangan di sini.


Majlis Apresiasi Tahun 6 sudah pun diadakan pada 4 Januari 2025 bertempat di  Bangi Golf Resort. Secara rasminya, tamatlah sudah perjuangan Anas di SRAIPB. 


Majlis Khatam Al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan pula diadakan pada 14 Januari 2025. Alhamdulillah, ada rezeki untuk naik pentas terima anugerah untuk kali terakhir di SRAIPB.


Dan 17 Januari merupakan hari terakhir Anas di SRAIPB. Hari terakhir beruniform pengawas SRAIPB, eh.. ummi pula yang syahdu. Anak sulung ummi dah tamat belajar di sekolah rendah. Terasa bagai baru semalam sibuk mendaftar masuk ke darjah 1.


Tingkatan satu Anas, belum tahu lagi ke mana hala tuju. Tidak berjaya ke MRSM. Tiada rezeki di situ. Tak mengapa, itulah takdir. Kini masih menunggu keputusan ujian kelayakan SBP dan sekolah agama JAIS, dan akan menjalani satu lagi ujian kelayakan (sekolah agama tahfiz MAIWP), semoga Allah lancarkan semuanya. Biar bagaimana takdir, insya Allah kita terima ia sebagai takdir terbaik dari Allah buat hambaNya. 


Anas, selamat menutup langkah di sekolah rendah, dan selamat menempuh ‘dunia baru’ yang padanya ada cabaran dan kemanisan tersendiri yang akan Anas lalui dan temui.


Dalam hati ummi tetap ada debaran, untuk apa yang bakal Anas tempuhi di depan hari. Ummi serahkan segalanya pada Allah yang paling sempurna menjagamu..Apa pun jua di depan hari, ummi percaya Anas akan berjaya tempuhi dan harungi dengan izin Allah. Dan ummi percaya, kejayaan dan kecemerlangan sedang menanti Anas yang gigih dan berusaha. 

Ameen ya Allah. 


Ucapan TERIMA KASIH buat seluruh warga pendidik SRAI Pekan Beranang khususnya kepada yang pernah mendidik Anas dari tahun 1 hinggalah tahun 6. Untuk seluruh pencapaian Anas, ‘kredit’ semuanya pada guru-guru SRAIPB yang ikhlas mendidik dan memberikan yang terbaik, kerana Anas memang tak ambil kelas tuisyen luar, hanya bergantung pada pembelajaran harian di kelas dan kelas tambahan yang diadakan di sekolah. Alhamdulillah, untuk pencapaian Mumtaz PSRA  di tahun terakhir Anas di SRAIPB dan juga result UASA yang agak membanggakan. Terima kasih buat guru sekalian. 


Secebis kenang-kenangan Anas sepanjang 6 tahun di SRAI Pekan Beranang;



Tahun 1 (2019) Anugerah PBD Agama terbaik




Tahun 3 (2021) Anugerah terbaik kehadiran pdpr, matapelajar Bahasa Inggeris dan Jawi, Imlak, Khat.

(Majlis tertutup tanpa kehadiran ibubapa kerana masih di musim wabak)




Tahun 4 (2022) Anugerah terbaik matapelajaran Bahasa Inggeris




Tahun 6 (2024) Anugerah Mumtaz PSRA 








Majlis Apresiasi Tahun 6 pada 4 Januari 2025



Anas Zaydan pada 2 Januari 2019 (hari pertama masuk darjah 1) dan Anas Zaydan pada 17 Januari 2025 (hari terakhir sebagai murid tahun 6).


ALHAMDULILLAH  untuk 6 tahun perjuangan menimba ilmu di SRAIPB.



Tuesday, 14 January 2025 0 comments By: Naemah

MAJLIS KHATAM ALQURAN DAN HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN SRAIPB (2024/2025)



Telah berlangsung majlis Khatam al-Quran dan Hari Anugerah Kecemerlangan SRAIPB pada 14/1/2025.


Alhamdulillah ummi berpeluang sekali lagi untuk hadir pada tahun ini dan tengok anak naik pentas terima sijil dan hadiah. Anas dan Miqdad, masing-masing ada bahagian mereka. Tak banyak, tapi syukurlah ada juga rezeki. 


Anas menerima anugerah untuk kategori Mumtaz PSRA dan anugerah pengawas  (untuk semua pengawas tahun 6). Tiada bahagian untuk UASA, tapi tak mengapa, result Anas tetap cemerlang dan banyak improve dari UPSA lepas. Cuma tiada rezeki untuk berada di depan, kerana saingan Anas hebat-hebat semua. Hadiah PSRA ini dah cukup dan memadai. Mumtaz itu ‘besar’ nilainya.


Miqdad pula dapat anugerah matapelajaran terbaik (PJPK) dengan markah 100%. Tahun ni Miqdad di kedudukan no.7 dalam kelas (tahun lepas top 5 dapat terima anugerah). Tapi tak mengapalah, sebab result Miqdad pun cemerlang juga. Dapat kumpul banyak A dan improve berbanding UPSA. Sama seperti Anas, saingan Miqdad pun hebat dan pandai juga. Semoga Miqdad dapat giatkan usaha lagi pada sessi persekolahan akan datang, insya Allah.


Majlis bermula jam 8 pagi. Dimulakan dengan majlis khatam al-Quran, dan seterusnya seperti yang tercatat di dalam tentatif. Ummi datang seorang saja, Nuha tinggal di rumah dalam jagaan abi. Ummi sampai pun dah lambat (dah selesai majlis khatam Quran). Sempatlah mendengar ucapan dari guru besar, dan yang lain-lain. Kemudian tengok Miqdad naik pentas.


Selesai penyampaian hadiah untuk murid tahap satu, rehat dulu dalam setengah jam. Sambung pula dengan penyampaian hadiah pada murid tahap dua. Lama jugalah nak menunggu. Hati dah teringat pada Nuha. Tapi sebab abi yang jaga, ummi boleh bertenanglah dulu. Dapatlah tengok Anas pula naik pentas terima hadiah hingga tamat majlis (sekitar jam 12 tengahari). 


Alhamdulillah selesai sudah. Untuk Anas dan Miqdad, tahniah ummi ucapkan untuk seluruh pencapaian. Bukan hanya yang melayakkan Anas dan Miqdad naik pentas terima hadiah, tapi untuk keseluruhannya. Biar bukan yang berada di depan, tapi keseluruhannya sudah cukup membanggakan.


Cuma sudah tentu, ummi ingin berpesan agar anak-anak ummi terus berusaha gigih lagi di masa akan datang. Lebih baik lagi, dan lebih cemerlang lagi. Hal hadiah dan pengiktirafan itu kita letak tepi dulu. Yang penting anak-anak ummi terus berusaha untuk jadi yang lebih berjaya, insya Allah.


Hari ni ada yang dapat bawa balik banyak hadiah. Tahniah untuk kebanggaan ibuayah mereka. Ada pula yang tak terpilih untuk terima hadiah. Tak mengapa, kerana itu bukan memberi makna gagal atau takkan berjaya. Kerana tetap masih ada peluang untuk semua berusaha dan beroleh kecemerlangan di masa akan datang pula. Positif saja ya!


Dah selesai, singgah beli makan tengahari dan terus balik. Sampai di rumah sudah pukul 1 tengahari. Hari ini dalam sejarah, tempoh yang paling lama ummi berpisah dengan Nuha. Alhamdulillah, seperti dijangka Nuha baik-baik je kat rumah. 


Alhamdulillah untuk hari ini. Segalanya lancar dan dipermudahkan. Anak-anak mendapat bahagian masing-masing. Balik rumah, dan meneruskan hari seperti biasa. Cuti sekolah sudah semakin hampir. 3 hari berbaki, santai-santai sajalah :)













TAHNIAH ANAK-ANAK!




Pautan catatan hari kecemerlangan yang telah lepas; 


Tahun 2019 (Anas Tahun 1)


Tahun 2020 (tiada hari anugerah kerana PKP)


Tahun 2021 (Anas Tahun 3)


Tahun 2022 (Anas Tahun 4)


Tahun 2023 (Miqdad Tahun 1)

-hanya Miqdad yang terima anugerah-


Dan yang terkini adalah untuk sessi 2024/2025 

(Anas Tahun 6 dan Miqdad Tahun 2)

Monday, 13 January 2025 0 comments By: Naemah

HARI INI JUGA PUNYA CERITA



Coretan tentang laluan hari ini yang sedikit berliku.


Hari ni ummi perlu uruskan anak-anak sendiri sebab abi bawa Anas temuduga di Sabak Bernam. Uruskan anak-anak sekolah adalah perkara biasa. Malahan pagi ni kurang seorang (Anas), tentu lebih santai sebab boleh sampai lewat sikit sebab tak bawa pengawas sekolah pagi ni. 


Tapi pagi ni juga, selain hantar anak sekolah, ummi ada temujanji di klinik juga (jam 8 pagi). Maka pagi ni kena siapkan semuanya sebelum keluar rumah, termasuklah Nuha. Siap mandikan dan tukar pampers segala.


Dalam pukul 6.50 bergerak keluar dari rumah. Hantar Mussaab, hantar Miqdad dan akhir sekali Suri. Sikat dan ikat rambut semua dalam kereta je. Tak sempat kat rumah tadi. Dah selesai Suri, unmi terus bergerak ke klinik. Temujanji pukul 8, Alhamdulillah 9.30 selesai. Kira cepatlah tu dari biasa. Itupun lenguh mendukung Nuha yang asyik meronta nak bebas. Duduk di kerusi pun tak boleh lama. 


Balik rumah, rehat dan keluar beli pampers Nuha yang dah tinggal sekeping. Lepas tu ambik Suri jam 12. Lepas tu ambik Mussaab jam 1.20. Tak bawa balik dah Mussaab, siap bawa kelengkapan sekolah agama, dan belanja makan dulu. Biasanya ambik transit pada hari isnin kalau abi tak ada sebab gap masa antara tamat waktu sekolah pagi dan petang sekejap sangat. Tapi hari ni rasa sayang pulak nak bayar rm25. Ummi uruskan sendirilah Mussaab hari ni. Dan selesailah dulu Mussaab.


Balik rumah, abi dan Anas dah sampai dulu. Ujian dah selesai pagi tadi. Abi kepenatan, dan tidur. Ummi keluar ambil Miqdad jam 3.30, tinggal Nuha bersama abi. Bawa balik Miqdad, dan selesai. Tinggal ambik Mussaab sorang lagi. Jam 5.45 abi ambik Mussaab. Selesailah dulu hal anak-anak hari ni. Alhamdulillah.


Kisah biasa dan mendatar saja kan? Namun pada hakikatnya laluannya taklah selancar mana. Entah kenapa, hari ni terasa sedikit lari fokus ini. Tak seperti hari-hari biasa. 


Dua kali kena hon di jalan. Entahla, ke mana larinya fokus. Lupa tengah berkongsi jalan dengan orang lain juga. Syukurlah, tiada sebarang kemalangan jiwa. Biasalah, kena hon sikit kasi sedar.


Hampir terlupa hari ni jam 12.30 keluar result tawaran MRSM. Anas whatsapp minta cek, baru ummi ingat. Ya, tak berjaya. Takde rezeki. Sedikit kecewa, tapi tak terlalu memberatkan jiwa. Layanlah kecewa sejam dua, ia pulih seiring berjalannya waktu. Insya Allah, ada rezeki yang lebih baik. Biarpun hanya di sini, tetap itu jualah yang terbaik. Bukankah begitu?


Dalam perjalanan dari ambik Miqdad (hampir jam 4 petang), baru teringat belum solat zohor. Ya Allah, tak pernahnya sampai begini. Rupanya tadi keluar ambik Mussaab belum masuk waktu zohor, selesai dia terus balik dan baring bersama Nuha yang dah lelap dulu dalam kereta. Macamana boleh tak ingat belum solat zohor? Alhamdulillah sempat balik solat sebelum masuk waktu asar (waktu solat kan semakin lambat sekarang). Aduii.. penat. Di antara waktu tu settle kain baju yang di dalam mesin basuh tu dulu. Ada jubah Anas yang nak dipakai ke majlis sekolah esok. 


Dapur tak berasap hari ni. Sibuk dengan urusan itu dan ini, terlupa pula hanya sempat makan pagi je (balik dari klinik). Petang baru jumpa makanan balik (abi beli burger dan ayam goreng). Alhamdulillah. 


Ada sela waktu untuk berehat dan lelap sebentar sementara nak ambil anak sekolah. Tapi entah mengapa, tak mampu nak lelap biarpun mata berat sangat. Terasa otak dan fikiran sedang sibuk bekerja.


Begitulah serba sedikit kisah dan cerita hari ini. Ada sedikit kelam kabut, penat berkejaran dengan masa, hilang fokus, dan sedikit hampa dan kecewa. 


Namun tetap hari ini telah dilalui dengan sebaiknya. Lepas segala cabaran, dan dilindungi dari segala musibah. Dan pada penghujung harinya, kembali berkumpul dengan seluruh ahli keluarga yang tercinta. 


Syukur hanya padaMu ya Allah. Segalanya atas takdirMu jua ya Allah. Aku reda dan terima dengan ikhlas. 


Malam ni sibuk dengan bunga telur untuk disiapkan dan dibawa ke sekolah untuk majlis khatam al-Quran dan anugerah kecemerlangan (SRAIPB). Ya, esok pagi akan sibuk lagi. Ummi dan abi akan hadir ke sekolah juga. Anak-anak perlu dihantar ke sekolah masing-masing juga. Semoga Allah permudahkan jua untuk menempuh hari esok dan memberikan ‘rasa’ yang lebih baik pada hati ini. Ameen. 

Sunday, 12 January 2025 0 comments By: Naemah

SELAMAT HARI LAHIR ANAS ZAYDAN



12 Januari 2012-12 Januari 2025.


Genaplah usia anak sulung ummi Anas Zaydan, 13 tahun. Masya Allah makin berganjak usia, makin membesar dewasa anakku. Di alam remaja sudah kamu..


Berbaki seminggu saja lagi untuk Anas tamatkan pengajian di sekolah rendah. Bulan depan akan melangkah pula di sekolah menengah. Di mana Anas akan melangkah, masih menjadi rahsia. Insya Allah di sekolah yang terbaik untuk Anas.


Tiada yang istimewa di hari lahirmu. Hanya ingatan dan ucapan ikhlas dari ummi yang melahirkanmu. 


Di hari lahir, abi bawa Anas ke Sabak Bernam untuk Anas menghadapi temuduga MITS (Maahad Integrasi Tahfiz Selangor) pada keesokan harinya (13/1/2025). Kali ni ummi tak dapat ikut sebab adik-adik bersekolah, dan ummi pula ada temujanji klinik. Dari jauh, ummi mendoakan Anas agar dapat jawab yang terbaik. Insya Allah. 


Alhamdulillah, syukur pada Allah yang menghadirkan Anas buat ummi dan abi. Dari yang sulung inilah ummi belajar bertatih menjadi seorang ibu. Dihadiahkan rasa yang belum pernah dirasakan sebelum ini. Untuk segala yang ‘pertama kali’ Anas belajar dan capai, itu jualah yang menghadirkan rasa keterujaan ummi dan abi yang tak mampu diterjemahkan dengan kata. 


Selamat hari lahir anakku, Anas Zaydan. Doa ummi kan sentiasa mengiringi tiap langkah perjalananmu. Berusahalah untuk jadi hamba Allah yang baik dan berperibadi mulia. Anas dah besar, dah tahu baik buruk, faham dosa pahala, please.. berusahalah ke arah yang mendatangkan kebaikan buat akhiratmu, bukan sebaliknya. 


Jaga langkah kakimu anakku. Pilih jalan yang kau tahu Allah suka dan reda. Laluilah jalan itu. Hanya yang itu. 


Baik-baik saja perjalananmu di dunia ini, insya Allah. Allah menjagamu sentiasa, anakku. Ummi reda padamu untuk seluruh perjalananmu, Insya Allah. Moga kau beroleh kecemerlangan dunia dan akhirat. Dan semoga bahagia hidupmu dunia dan akhirat. Ameen 




Anas dan abi

Sebelum bertolak ke Sabak Bernam.



Tuesday, 7 January 2025 0 comments By: Naemah

ANAS: TEMUDUGA TMUA DI SMAP BENTONG



Susulan dari exam PKSK (Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus) tingkatan 1 pada 8 Oktober 2024, Anas menerima panggilan untuk temuduga TMUA (Tahfiz Model Ulul Albab) di SMAP Bentong. Tarikh temuduga ialah pada 6 Januari 2025.


Alhamdulillah abi ada di rumah. Baru 2 hari balik dari laut. Lega hati ummi, tak perlu pening nak fikir macamana nak bawa Anas exam. 


Pada mulanya abi nak pergi dengan Anas je, tapi last minute abi ajak pergi semua. Ambik hotel kat bandar Bentong. Anas pun nak ummi dan semua ikut sekali. Maka satu keluarga ke Bentong pada hari Ahad, 5/1/2025.


Selepas check in hotel, keluar makan di restoren Ramly. Lepas tu pusing-pusing bandar Bentong (tempat abi membesar). Abi bawa ke sekolah lamanya, balai polis (kuarters keluarga abi menetap), dan tempat-tempat yang menjadi kenangan abi sepanjang tinggal di Bentong (dari abi kecil hingga ayah abi pencen kerja polis).


Pada malam hari makan malam bersama keluarga Kak Jah (anak saudara ummi yang tinggal di Karak) di restoren Dapur Kita. Seronoklah semuanya, dapat jumpa anak sepupu walaupun sekejap cuma. Riuh rendah dengan suara mereka yang penuh keriangan bermain bersama.


Esok harinya semua ikut hantar Anas ke SMAP Bentong/SUPERB. Anas ditinggalkan mengikut tempoh masa ujian yang telah ditetapkan (9.15-11.30 pagi). Balik semula ke hotel, rehat dan check out jam 10.30 pagi.


Selesai sessi  temuduga Anas, dan bersedia untuk pulang ke rumah. Sebelum tu singgah dulu di Warung Saidina untuk makan tengahari, dan terus bergerak balik. Alhamdulillah selesai sudah.


Dua permohonan (MRSM dan SBP) sudah selesai ujian kelayakannya. Hanya tunggu keputusan saja. Sekali lagi, tawakkal kita hanya kepada Allah.


Masih ada ujian lain yang perlu Anas hadapi. Permohonan ke sekolah JAIS-akan jalani ujian pada 8/1 (online) dan 13/1 (temuduga). Dan satu lagi, permohonan ke sekolah agama Wilayah Persekutuan-belum ada tarikh ujiannya. Insya Allah, akan dipermudahkan jua. 


Ummi hanya mampu berdoa, agar Allah tempatkan Anas di sekolah yang memang terbaik buat Anas. Yang akan Anas suka dan serasi, yang akan Anas jumpa guru dan kawan-kawan yang baik buat Anas, dan biarlah suasana sekolah tersebut mampu membentuk Anas menjadi insan dan hamba yang lebih baik di sisi Allah.


Terserah di mana. Semua Allah dah aturkan. Anas pun dah buat yang terbaik kan? Kita tawakkal saja kepadaNya.


Kenangan di Bentong;























Wednesday, 1 January 2025 0 comments By: Naemah

MELANGKAH KE TAHUN BARU 2025




Selamat Tahun Baru 2025

Alhamdulillah, menutup 2024 dan bersua pula dengan 2025. Berpeluang lagi kita melangkah ke tahun baru.


2024 ditinggalkan dengan 1001 cerita dan kenangan. 2024 yang manis dengan kehadiran Nuha Khadeeja, di samping banyak kemanisan yang lain, dan 2024 yang mencabar, juga selepas hadirnya Nuha Khadeeja, bila 4 menjadi 5, dan di samping banyak cabaran yang lain yang perlu dihadapi dan ditangani. Untuk semua itu, syukur Alhamdulillah kerana tiada satu detik yang dilalui tanpa ada Dia bersama.


2025 baru bermula. Di depannya, pasti ada kemanisan dan cabaran yang menanti. 


2025 yang setiap orang meningkat satu angka lagi usia. Ummi masuk ke fasa 40an. Ya Allah, dah tua kan? Walaupun tak berapa nak mengaku tua lagi. Tapi perlulah terima hakikat, dan bersedia untuk berubah ke arah yang lebih baik. Entah berapa lama lagi Allah nak pinjamkan usia ni. Semoga hati lebih cenderung pada urusan akhirat.


2025 anak sulung ummi bakal menamatkan pembelajaran di sekolah rendah. Akan melangkah pula ke sekolah menengah. Belum tahu hala tuju ke mana, namun ummi mendoakan Anas ditempatkan di tempat terbaik, sekolah terbaik, dan bertemu guru dan kawan-kawan yang baik yang akan bersama Anas meneruskan perjuangan. 


2025 Mussaab pula akan ‘bertemu’ exam besar, UPKK. Dah selesai Anas, perlu fokus pada Mussaab pula. Kena selalu ‘gerak-gerakkan’ supaya tak leka. Ummi positif saja, Mussaab juga mampu cemerlang, insya Allah!


2025 Miqdad tak lagi ber’abang’ di sekolah. Seorang diri pergi dan balik. Miqdad ok saja kan?


2025 Suri di tahun terakhirnya di tadika. Banyak nak kena pecut, untuk persediaan ke tahun satu. Insya Allah, Suri juga boleh seperti abang-abang!


2025 yang apakah mungkin abi akan menamatkan kerjayanya di laut (?) rasa-rasanya sudah setahun abi berkira-kira nak resign dari kerja. Ah.. panjang ceritanya. Tapi boleh dikatakan buat masa sekarang, laut masih menjadi hala tuju abi untuk mencari rezeki. Dan kita saksi usaha dan kerja keras abi untuk menafkahi keluarga. Untuk seterusnya, kita serah pada takdirNya. 


2025 yang tak lama lagi kita akan bertemu Ramadan yang penuh kemuliaan, insya Allah. Semoga kita bertemu dengannya dan mengumpul banyak amalan dan pahala di dalamnya. Ameen.


2025 yang mungkin tiada banyak yang berubah. Ummi akan terus sibuk dengan urusan anak-anak bersekolah. Cuma mungkin kalau Anas masuk asrama, ummi hanya perlu fokus pada yang empat di rumah. Dan masing-masing perlu meneruskan sessi persekolahan yang selanjutnya. 


2025 akan kita cipta lebih banyak lagi kenangan manis bersama, insya Allah. 


Dan yang pasti, 2025 yang bakal kita lewati semuanya masih menjadi rahsia yang hanya Allah saja yang tahu akan bagaimana perjalanan kita seterusnya. Nikmat dan ujian, akan terus mendatangi. Nikmat untuk kita belajar lebih mensyukuri, ujian yang inginkan kita lebih bersabar dan tabah mengharungi hidup, di samping hikmah yang pasti ada bersamanya.


Menyusuri 2025 ini, semoga Allah melorongkan kita ke jalan yang benar dan diredai. Semoga Allah cenderungkan hati kita untuk bersama kebenaran. Semoga Allah teguhkan iman kita dan tak goyah pada tarikan dunia yang melampau. 


Semoga 2025 ini kita semua akan berada dalam situasi tenang dan damai, sihat tubuh badan, kasih sayang yang melimpah, rezeki yang tak putus, hutang yang dilangsaikan, dan bertemu jalan keluar untuk semua kesulitan hidup.


Ameen ya Allah. 

Pergantungan kami hanya kepadaMu semata.