Selamat Tahun Baru 2025
Alhamdulillah, menutup 2024 dan bersua pula dengan 2025. Berpeluang lagi kita melangkah ke tahun baru.
2024 ditinggalkan dengan 1001 cerita dan kenangan. 2024 yang manis dengan kehadiran Nuha Khadeeja, di samping banyak kemanisan yang lain, dan 2024 yang mencabar, juga selepas hadirnya Nuha Khadeeja, bila 4 menjadi 5, dan di samping banyak cabaran yang lain yang perlu dihadapi dan ditangani. Untuk semua itu, syukur Alhamdulillah kerana tiada satu detik yang dilalui tanpa ada Dia bersama.
2025 baru bermula. Di depannya, pasti ada kemanisan dan cabaran yang menanti.
2025 yang setiap orang meningkat satu angka lagi usia. Ummi masuk ke fasa 40an. Ya Allah, dah tua kan? Walaupun tak berapa nak mengaku tua lagi. Tapi perlulah terima hakikat, dan bersedia untuk berubah ke arah yang lebih baik. Entah berapa lama lagi Allah nak pinjamkan usia ni. Semoga hati lebih cenderung pada urusan akhirat.
2025 anak sulung ummi bakal menamatkan pembelajaran di sekolah rendah. Akan melangkah pula ke sekolah menengah. Belum tahu hala tuju ke mana, namun ummi mendoakan Anas ditempatkan di tempat terbaik, sekolah terbaik, dan bertemu guru dan kawan-kawan yang baik yang akan bersama Anas meneruskan perjuangan.
2025 Mussaab pula akan ‘bertemu’ exam besar, UPKK. Dah selesai Anas, perlu fokus pada Mussaab pula. Kena selalu ‘gerak-gerakkan’ supaya tak leka. Ummi positif saja, Mussaab juga mampu cemerlang, insya Allah!
2025 Miqdad tak lagi ber’abang’ di sekolah. Seorang diri pergi dan balik. Miqdad ok saja kan?
2025 Suri di tahun terakhirnya di tadika. Banyak nak kena pecut, untuk persediaan ke tahun satu. Insya Allah, Suri juga boleh seperti abang-abang!
2025 yang apakah mungkin abi akan menamatkan kerjayanya di laut (?) rasa-rasanya sudah setahun abi berkira-kira nak resign dari kerja. Ah.. panjang ceritanya. Tapi boleh dikatakan buat masa sekarang, laut masih menjadi hala tuju abi untuk mencari rezeki. Dan kita saksi usaha dan kerja keras abi untuk menafkahi keluarga. Untuk seterusnya, kita serah pada takdirNya.
2025 yang tak lama lagi kita akan bertemu Ramadan yang penuh kemuliaan, insya Allah. Semoga kita bertemu dengannya dan mengumpul banyak amalan dan pahala di dalamnya. Ameen.
2025 yang mungkin tiada banyak yang berubah. Ummi akan terus sibuk dengan urusan anak-anak bersekolah. Cuma mungkin kalau Anas masuk asrama, ummi hanya perlu fokus pada yang empat di rumah. Dan masing-masing perlu meneruskan sessi persekolahan yang selanjutnya.
2025 akan kita cipta lebih banyak lagi kenangan manis bersama, insya Allah.
Dan yang pasti, 2025 yang bakal kita lewati semuanya masih menjadi rahsia yang hanya Allah saja yang tahu akan bagaimana perjalanan kita seterusnya. Nikmat dan ujian, akan terus mendatangi. Nikmat untuk kita belajar lebih mensyukuri, ujian yang inginkan kita lebih bersabar dan tabah mengharungi hidup, di samping hikmah yang pasti ada bersamanya.
Menyusuri 2025 ini, semoga Allah melorongkan kita ke jalan yang benar dan diredai. Semoga Allah cenderungkan hati kita untuk bersama kebenaran. Semoga Allah teguhkan iman kita dan tak goyah pada tarikan dunia yang melampau.
Semoga 2025 ini kita semua akan berada dalam situasi tenang dan damai, sihat tubuh badan, kasih sayang yang melimpah, rezeki yang tak putus, hutang yang dilangsaikan, dan bertemu jalan keluar untuk semua kesulitan hidup.
Ameen ya Allah.
Pergantungan kami hanya kepadaMu semata.
0 comments:
Post a Comment