Friday, 15 April 2022 0 comments By: Naemah

RAMADAN KALI INI



Alhamdulillah sudah berada di hari ke-14 Ramadan 1443h. Daripada 14 hari puasa, hanya 3 hari dapat berpuasa bersama suami tercinta. Atas tuntutan kerjanya, tahun ini sekali lagi menyambut Ramadan tanpanya, bersahur dan berbuka hanya dengan anak-anak. Hari ke-9 puasa, suami balik, tapi hanya untuk 3 hari. Kini sedang menyambung kuarantin untuk ke laut. Ya, masih wajib berkuarantin untuk pekerja offshore. Cuma syukur jugalah, tempoh kuarantin dah dikurangkan berbanding sebelum ini.


Sedang dan sentiasa mengajar hati untuk redha dengan takdirNya. Kerana nak lapang hati sentiasa, itu juga payah. Kerana aku juga manusia biasa lagi lemah. Melalui Ramadan bersama anak-anak pastinya agak mencabar. Di samping puasa (rutin mengejut sahur dan menyediakan juadah berbuka), perlu juga menyiapkan anak-anak ke sekolah setiap hari. 3 anak yang bersekolah (4 buah sekolah), tentunya banyak trip di jalan raya yang perlu ditempuh. 


Alhamdulilah tahun ini tambah lagi seorang anak yang berpuasa. Miqdad (6 tahun) dah mula berpuasa penuh seperti abang-abang. Setakat 14 Ramadan ini, Alhamdulillah ketiganya masih berpuasa penuh dan dikurniakan kesihatan yang baik. 


Di samping yang 3 itu, ada seorang lagi anak yang masih kecil (2 tahun setengah). Suri yang sebelum ini pernah dijangkiti covid (sekeluarga dijangkiti), keadaan kesihatan masih belum baik sepenuhnya. Long covid mungkin. Selepas sebulan, datang lagi selesema dan batuk yang masih berterusan hingga ke hari ni. Demam sekejap, Alhamdulillah cuma sehari. Resah dan risau juga bila si kecil ni tak sihat, abinya pula tak ada di rumah. Risau yang bukan-bukan. Sentiasa berdoa agar Allah jauhkan dari perkara yang tak mampu ditempuhi.


Masuk bab amal ibadat di bulan Ramadan ini, aku akui semuanya ala kadar saja. Namun moga Allah terima semuanya. Memberi sekadar ada, membaca al-Quran di celahan masa yang tak banyak (mungkin alasan saja), terawih yang berselang seli malam, dek anak yang mengajak untuk tidur, atau diri sendiri yang penat dan mengantuk, zikir yang masih belum basah di bibir, doa yang tak mampu dikarang panjang seperti dulu, aktiviti Ramadan bersama anak-anak yang langsung tak sempat kerana pada waktu tak ada apa nak buat, hanya memilih untuk ‘bersembunyi’ mencari ketenangan…


Entahlah… seperti banyak yang aku kesal pada diri sendiri. Lebih baik atau lebih teruk dari diriku yang sebelum ini? Allah saja yang mampu menilai. Moga Allah ampukan dosa-dosaku. Moga anak-anakku diberi kefahaman pada keadaan diri ibunya ini. Ketika marah, ia tak pernah bererti benci. Sayang dan cinta sentiasa. Moga suamiku sentiasa redha padaku meski pada banyak kekurangan aku dalam menjadi isterinya dan menjaga amanah mendidik anak-anak tanpanya. 


Ramadan masih berbaki separuh bulan lagi. Kalau boleh, mahu aku pecutkan amal ibadat, lebih banyak dan lebih berkualiti. Tapi mampukah aku? Moga Allah ampunkan tiap dosaku, moga Allah terima tiap amal ibadatku. Kerana aku juga hamba yang mengimpikan syurga.



Moga Ramadan ini bukan yang terakhir buat kita. Moga Ramadan ini menjadi titik permulaan untuk menjadi insan dan hamba yang lebih baik. Moga Aidilfitri yang bakal tiba memberi sinar kebahagiaan pada tiap hambaNya yang ikhlas berpuasa dan beramal keranaNya. Ameen.


Ramadan ini;



















Saturday, 9 April 2022 0 comments By: Naemah

RAMADAN 1443H: PUASA PERTAMA MIQDAD



Alhamdulillah, hari ni dah masuk 8 Ramadan, juga 8 hari umat Islam berpuasa. Sekejap saja masa berlalu.


Alhamdulillah anak-anak juga berpuasa penuh selama 8 hari. Juga 8 hari ini, abi tiada bersama atas tuntutan kerja. Insya Allah abi akan balik tak lama lagi.


Yang seronoknya, tahun ni juga merupakan tahun pertama Miqdad berpuasa penuh di usia Miqdad sekarang 5 tahun setengah. Masya Allah! Setakat ni masih cukup puasa Miqdad. Alhamdulillah Miqdad ada abang-abang yang boleh dijadikan inspirasi untuk bertahan berpuasa setiap hari. Tahun lepas Miqdad pernah cuba puasa juga, tapi separuh hari saja. Lagipun Miqdad belum betul-betul faham lagi erti puasa.


Tahun ni berbeza, walaupun Miqdad tak sepenuhnua faham, hanya puasa ikut-ikutan, tapi sekurangnya Miqdad ada ‘kekuatan’ untuk menahan lapar dan dahaga di sepanjang hari. Itu latihan untuk Miqdad untuk teruskan berpuasa pada tahun-tahun yang akan datang. 


Pada mulanya ummi tak bercadang nak suruh Miqdad berpuasa. Biarlah atas kerelaan Miqdad sendiri. Lagipun Miqdad belum pun 6 tahun lagi. Dan bagi ummi, Miqdad ni paling ‘manja’, mudah menangis dan banyak ‘drama’ berbanding yang lain. Nak disuruh puasa, ummi rasa belum masanya. Tapi abi suruh juga latih Miqdad berpuasa tahun ni. Ummi akur, tapi sebolehnya tak nak memaksa. Bila ditanya, Miqdad dengan senang hati cakap nak puasa.


Hari pertama, tiada masalah untuk kejut Miqdad bersahur. Makan pun berselera saja. Namun sudah tentu, hari pertama menjadi hari paling mencabar untuk Miqdad (dan untuk orang lain juga). Tak tahan nak menunggu waktu berbuka. Makin dekat waktunya, makin terasa lemah. Ummi hanya mampu pujuk dan pujuk, sampailah akhirnya berjaya sempurnakan sehari puasa. Alhamdulillah.


Hari kedua dan seterusnya lebih mudah. Miqdad memang yang paling mudah dikejutkan untuk bangun sahur, dan yang paling berselera makan sahur. Siang hari dah tak selemah hari pertama. Dah makin serasi dengan suasana bulan puasa, dah rasa ‘biasa’ tak makan dan minum di siang hari. Di sekolah juga Miqdad tak join kawan-kawan makan di waktu rehat. Alhamdulillah, kuat Miqdad menahan lapar dan dahaga. Ummi bangga dengan Miqdad.


Pada hari ke-7 puasa Miqdad dan abang-abang menerima suntikan vaksin dos ke-2. Alhamdulillah kali ni Miqdad lebih berani dan volunteer untuk jadi yang pertama dicucuk vaksin. Selepas 24 jam menerima vaksin, Alhamdulillah tiada yang luar biasa, anak-anak ok saja dan dapat meneruskan puasa dengan baik. 


Untuk hari-hari yang mendatang, semoga Miqdad dan abang-abang akan dapat meneruskan puasa hingga sempurna. Ya, ummi tak akan memaksa Miqdad, dan sentiasa memantau keadaan Miqdad. Setakat ini ummi tengok Miqdad cergas saja di siang hari. Apatah lagi bila dapat main game (ummi terpaksa bagi bulan puasa ni walaupun di hari sekolah untuk Miqdad tak fikirkan sangat pasal lapar dahaga). 


Untuk itu, tahniah Miqdad atas kejayaan Miqdad berpuasa pada tahun ini. Untuk 8 hari pertama ini, itu sudah cukup membanggakan dan ummi percaya Miqdad akan mampu teruskan hingga ke akhirnya, insya Allah. 


.

.

.

V


PUASA PERTAMA ANAS


PUASA PERTAMA MUSSAAB


Friday, 1 April 2022 0 comments By: Naemah

DI AMBANG RAMADAN

Di ambang Ramadan. Hati sayu semacam rasa. Banyak hal dan asbab. Tak tertulis dan terluah semuanya. Allah saja Maha Mengerti dan menguruskan semua untuk hambaNya.


Pertama, episod di’serang’ covid-19 satu keluarga sudah hampir tamat ceritanya. Bermula dengan Anas, diakhiri dengan abi. Seorang demi seorang, dijangkiti virus  yang selama ini kita mahu lari dan mengelak darinya. Melihat seorang demi seorang lemah dan tak bermaya, runtunnya hati ini Allah saja yang tahu. Kebetulan abi jauh, ummi perlu kuat tempuh semuanya sendiri bersama anak-anak. Namun Allah Maha Baik, kita sekeluarga tak berdepan dengan sakit teruk dan mencemaskan. Semuanya dalam keadaan dan situasi yang mampu kita tempuhi. 


Abi yang balik dari laut turut dijangkiti. Sebaik sihat perlu kembali ke berkuarantin dan bertugas di laut. Sudah di fasa endemik kita? Katanya aktiviti pelancongan sudah dibenarkan, sempadan negara dibuka seluasnya. Tiada lagi kuarantin. Tapi abi… episod kuarantinnya belum berakhir. Maka kerana itu juga, kita menyambut Ramadan tanpa abi lagi tahun ini. Allah.. jika ini ujianMu, kami percaya ia terkandung hikmah yang banyak.


Hari ini abi bermusafir ke Terengganu. Hari ini ummi bawa anak-anak ke kelas berenang (kelas setiap Sabtu). Hari ini kita jalani kehidupan biasa, seadanya menanti untuk menyambut Ramadan. Insya Allah sudah siap mental dan fizikal. Kita akan lalui Ramadan ini bersama. Insya Allah akan ada sinarnya di bulan penuh berkat dan rahmat ini.


Minggu pertama Ramadan ummi akan sibuk dengan urusan sekolah anak-anak, akan sendirian menguruskan semuanya. Moga Allah akan permudahkan, seperti selalunya Allah permudahkan. Dalam payah, sentiasa ada jalan keluarnya. Sentiasa!


Abi, dalam keadaan yang masih belum sihat sepenuhnya (sudah kali kedua abi dijangkiti covid), semoga Allah sentiasa melindungi abi. Semoga abi akan kembali sihat sepenuhnya, diberikan kekuatan dan mendapat kesihatan tubuh badan yang lebih baik untuk jalani ibadat puasa, berterawih dan sebagainya. Abi yang jauh, Allah saja yang mampu menjaganya.


Kita juga yang di sini tanpa abi, moga Allah akan sentiasa anugerahkan kesihatan dan dapat melakukan rutin di bulan Ramadan ini dengan sebaiknya. Insya Allah.


Moga puasa kita sempurna dan diterima. Moga kita akan kembali bersatu sebagai sebuah keluarga sempurna. Bertemu dan berpisah yang sentiasa membuahkan bahagia hendaknya. Ramadan dan Syawal, moga tahun ini memberikan kenangan manis dan indah buat kita. Insya Allah.






Monday, 14 March 2022 0 comments By: Naemah

CAMERON HIGHLAND WITH FAMILY MEK



Percutian tanpa dirancang bersama keluarga mek (7-8 Mac 2022).


Pada mulanya plan nak bawa anak buah (yang dah 2 tahun balik dari Sabah tapi tak berkesempatan lagi berjalan-jalan sebab pandemik dan kesibukan yang lain). Kesian mereka tak ke mana sejak pindah Kelantan. Kalau kat Sabah dulu, pantang cuti akan berjalan-jalan di sana.


Mulanya minta izin abah mereka untuk bawa anak-anak mereka ke Cameron Highland. 3 orang yang confirm ikut, 2 orang lagi ada kelas dan tengah exam SPM. 


Lepas tu tanya pula anak buah yang lain (yang dah besar). Mereka juga nak ikut. Bincang punya bincang, ramai juga la yang nak ikut. Kira punya kira, 16 orang semuanya yang confirm akan ke Cameron Highland, termasuk mek yang dah uzur dan tak larat sangat dah nak berjalan. Suami book homestay (rumah teres 2 tingkat) yang memuatkan kami sekeluarga.


Kami bertolak dari Jeli (dengan 2 buah kereta; Avanza dan Innova) pada 7/3 sekitar jam 8.30 pagi dan sampai di Cameron Highland pada jam 1 tengahari. Destinasi pertama kami ialah Kea Farm, untuk membeli jagung, teh dan sayur untuk makan malam nanti. 


Kemudian kami ke restoren KHM Strawberries & Jam untuk makan tengahari. Selepas itu terus check in di homestay yang telah kami booking. Lokasinya ialah Golden Hills (area Pasar Malam). Rehat sekejap di homestay dan keluar semula menuju ke Time Tunnel.


Balik dari Time Tunnel kami singgah di pasar malam dan membeli apa yang perlu. Balik ke homestay, masak dan makan malam bersama. Waktu malam, santai di homestay, makan-makan, main sahibba, main game, tonton tv, dan tidur kepenatan.


Esok harinya check out dari homestay seawal jam 9.30 pagi dan menuju ke Taman Agroteknologi Mardi, dan kemudian ke Big Red Strawberries Farm. Selepas itu beransur untuk balik semula ke kampung. Kerana kesuntukan masa, itu saja tempat yang sempat kami jejak bersama keluarga kali ini. 


Alhamdulillah sampai di Jeli jam 5 petang. Penat dan seronok dapat luangkan masa bersama. Lagipun susah nak berjalan ramai-ramai macam ni. Selalunya berkumpul di kampung saja time ramai yang balik. Ini pun belum cukup semua. Tak ada wakil dari family abang yang sulung. Insya Allah ada rezeki boleh plan percutian yang lain. Kalau lagi ramai dapat join, alangkah meriahnya. 


Berakhir sudah percutian di kampung. Esok harinya, pagi-pagi lagi dah bertolak balik ke Semenyih. Ada urusan yang masih belum selesai. Suami juga dah hampir tiba waktunya untuk kembali bertugas. 


Alhamdulillah atas rezeki yang Allah kurniakan. Alhamdulillah atas kenangan yang tercipta bersama keluarga tercinta. 



Kenangan tercipta;




































































Saturday, 12 March 2022 0 comments By: Naemah

SEMINGGU DI KAMPUNG

(Catatan 6/3/2022)


Mac kita bermula di kampung. Alhamdulillah sudah seminggu berada di kampung. Alhamdulillah abi masih bercuti, dapatlah balik kampung lama sikit. 


Kat rumah nenek, tak ramai yang balik. Hanya dapat jumpa sepupu kecil (Adwa, Ibrahim, Safiyya dan Nu’man). Dan sepupu besar (Abang Faiz dan Kak Zawiah). Sepupu sebaya dan sepermainan tak dapat balik, bila ibubapa masing-masing perlu bertugas dan ada urusan lain. Makanya, bermainlah sesama sendiri dan seadanya saja di rumah nenek.


Sempat juga ke pesta buku Big Bad Wolf yang diadakan di Pasaraya Lotus. ‘Borong’ lebih kurang 30 buah buku, dengan harga jauh lebih mahal dari Big Bad Wolf sebelum ni. Abang Faiz dan Safiyya juga ikut sekali.


Selepas 4 hari di rumah nenek, balik pula ke rumah mek. Di rumah mek juga tiada siapa, tapi rumah mak cik pak cik semua tak jauh. Dapatlah ziarah dan jumpa dengan sepupu. Walaupun hanya dengan Hafiz dan Kak Aimi, itupun sudah meriah. Syukurlah ada kawan juga.Maklumlah, sepupu di sebelah sini (sebelah ummi) semuanya dah besar dewasa. 


Last minute plan, kita sepakat untuk naik ke Cameron Highland pada hari Isnin (7/3/2022). Insya Allah akan bertolak dengan 2 buah kereta. Semoga dipermudahkan urusan nanti, dan semoga dapat mencipta kenangan terindah bersama keluarga.


Kini di hari-hari terakhir di kampung. Balik dari Cameron Highland nanti akan kembali ke Semenyih pula. Ada banyak lagi urusan di sana (berkaitan sekolah) yang belum selesai. Miqdad belum daftar darjah satu lagi. Perlu beli keperluan Mussaab di sekolah, dan perlu ke sekolah Anas untuk ambil buku. Dan swimming class yang tertangguh kerana balik kampung. Nak tak nak, kena cepat balik ke rumah juga.


Cuti abi juga dah tinggal seminggu. Abi akan kembali berkuarantin dan bekerja. Alhamdulillah, cukup masa yang Allah dah berikan untuk bersama. Abi perlu kembali mencari rezeki dan kita perlu berpisah lagi untuk sementara. Akan bertemu lagi, insya Allah.


Alhamdulillah atas peluang yang Allah kurniakan ini. Besar nikmat Allah terhadap kita. Semoga di hari-hari yang mendatang dapat kita harungi dengan tenang dan baik. Insya Allah. 



Kampung sepintas lalu;