Friday, 15 April 2022 By: Naemah

RAMADAN KALI INI



Alhamdulillah sudah berada di hari ke-14 Ramadan 1443h. Daripada 14 hari puasa, hanya 3 hari dapat berpuasa bersama suami tercinta. Atas tuntutan kerjanya, tahun ini sekali lagi menyambut Ramadan tanpanya, bersahur dan berbuka hanya dengan anak-anak. Hari ke-9 puasa, suami balik, tapi hanya untuk 3 hari. Kini sedang menyambung kuarantin untuk ke laut. Ya, masih wajib berkuarantin untuk pekerja offshore. Cuma syukur jugalah, tempoh kuarantin dah dikurangkan berbanding sebelum ini.


Sedang dan sentiasa mengajar hati untuk redha dengan takdirNya. Kerana nak lapang hati sentiasa, itu juga payah. Kerana aku juga manusia biasa lagi lemah. Melalui Ramadan bersama anak-anak pastinya agak mencabar. Di samping puasa (rutin mengejut sahur dan menyediakan juadah berbuka), perlu juga menyiapkan anak-anak ke sekolah setiap hari. 3 anak yang bersekolah (4 buah sekolah), tentunya banyak trip di jalan raya yang perlu ditempuh. 


Alhamdulilah tahun ini tambah lagi seorang anak yang berpuasa. Miqdad (6 tahun) dah mula berpuasa penuh seperti abang-abang. Setakat 14 Ramadan ini, Alhamdulillah ketiganya masih berpuasa penuh dan dikurniakan kesihatan yang baik. 


Di samping yang 3 itu, ada seorang lagi anak yang masih kecil (2 tahun setengah). Suri yang sebelum ini pernah dijangkiti covid (sekeluarga dijangkiti), keadaan kesihatan masih belum baik sepenuhnya. Long covid mungkin. Selepas sebulan, datang lagi selesema dan batuk yang masih berterusan hingga ke hari ni. Demam sekejap, Alhamdulillah cuma sehari. Resah dan risau juga bila si kecil ni tak sihat, abinya pula tak ada di rumah. Risau yang bukan-bukan. Sentiasa berdoa agar Allah jauhkan dari perkara yang tak mampu ditempuhi.


Masuk bab amal ibadat di bulan Ramadan ini, aku akui semuanya ala kadar saja. Namun moga Allah terima semuanya. Memberi sekadar ada, membaca al-Quran di celahan masa yang tak banyak (mungkin alasan saja), terawih yang berselang seli malam, dek anak yang mengajak untuk tidur, atau diri sendiri yang penat dan mengantuk, zikir yang masih belum basah di bibir, doa yang tak mampu dikarang panjang seperti dulu, aktiviti Ramadan bersama anak-anak yang langsung tak sempat kerana pada waktu tak ada apa nak buat, hanya memilih untuk ‘bersembunyi’ mencari ketenangan…


Entahlah… seperti banyak yang aku kesal pada diri sendiri. Lebih baik atau lebih teruk dari diriku yang sebelum ini? Allah saja yang mampu menilai. Moga Allah ampukan dosa-dosaku. Moga anak-anakku diberi kefahaman pada keadaan diri ibunya ini. Ketika marah, ia tak pernah bererti benci. Sayang dan cinta sentiasa. Moga suamiku sentiasa redha padaku meski pada banyak kekurangan aku dalam menjadi isterinya dan menjaga amanah mendidik anak-anak tanpanya. 


Ramadan masih berbaki separuh bulan lagi. Kalau boleh, mahu aku pecutkan amal ibadat, lebih banyak dan lebih berkualiti. Tapi mampukah aku? Moga Allah ampunkan tiap dosaku, moga Allah terima tiap amal ibadatku. Kerana aku juga hamba yang mengimpikan syurga.



Moga Ramadan ini bukan yang terakhir buat kita. Moga Ramadan ini menjadi titik permulaan untuk menjadi insan dan hamba yang lebih baik. Moga Aidilfitri yang bakal tiba memberi sinar kebahagiaan pada tiap hambaNya yang ikhlas berpuasa dan beramal keranaNya. Ameen.


Ramadan ini;



















0 comments:

Post a Comment