Sunday, 28 July 2019 0 comments By: Naemah

BINGKISAN BUATMU YANG BAKAL LAHIR


Mengandungkanmu..

Bukan lagi masa untuk ditatang seperti mengandung kali pertama

 Dilayan bak puteri, atau diurus serba serbi,Bukan lagi seperti itu.

Ummi sibuk, banyak urusan termasuk urusan abang-abang yang juga masih kecil

Abi juga sibuk, banyak dalam fikirannya yang ummi pun tak jangkau, jadi ketua keluarga yang semakin bertambah dan membesar. 

Maka ummi sedar perhatiannya banyak perlu dibahagi.


Mengandungkanmu..

Ummi perlu jadi lebih berdikari, kuat dan tak lemah

Penuhi temujanji di klinik sendiri-sendiri, mengurus anak-anak yang lain sendiri, tika abi tiada, dan urusan rumah yang tak pernah sudah dan tak pernah sempurna ummi laksanakan.

Sakit-sakit badan, rasa lemah dan lesu, ummi belajar untuk diam dan tanggung sendiri saja, 


Mengandungkanmu..

Mungkin sudah punya pengalaman, ummi lalui lebih mudah. Tiada episod cemas. 

Tapi mungkin juga faktor usia, atau memang setiap pengalaman itu berbeza, sakit pinggang ummi lebih teruk kali ini. Mencengkam dan mencucuk tiap kalinya bangkit dari duduk dan tidur yang lama.

Cramp kaki dan jari yang datang sesekalinya, agak seksa menanggungnya seorang.

Dari awal mengandung sampai dah tunggu masa nak bersalin, belum ada peluang nak berurut, terasa urat dah bersimpul siur, tunggu masa nak dibetulkan. 

Jika minta abi lakukan urutan, abi akan boleh saja, tapi setiap kalinya ummi terlupa, dan tiap kalinya ummi sukar nak meminta, melihat kondisi abi yang ummi rasa tak sesuai nak meminta-minta 


Mengandungkanmu..

ummi tak letak harapan atau doa spesifik, mahukan anak lelaki atau perempuan.

Kerana ummi ok saja, tak pernah terlebih rasa mahu yang mana satu.

Jika lelaki ummi bahagia, jika perempuan ummi tetap syukuri dan akan cuba belajar untuk menjaga, kerana ummi tiada pengalaman.

Doa ummi seperti yang sebelum ini, agar mudah melahirkanmu, sihat tubuh badan serta sempurna kejadian. 

Lelaki atau perempuan, ummi akan sayang dan cinta sepenuh hati.


Mengandungkanmu...

Kini sudah menghampiri detik bersua denganmu

Kudrat dan daya ummi semakin berkurang 

Cepat penat dan lenguh badan

Sakit pinggang yang makin menjadi-jadi,

Langkah yang makin berat dan perlu lebih berwaspada,

Tunduk bangun dan menukar posisi badan yang tak semudah dulu,

Rasa mahu ia berakhir secepatnya,

Walau dalam takut untuk mendepani saatnya itu,


Anakku...

Mengapa ummi menulis semua ini?

Kerana ummi ingin memohon maaf atas banyaknya khilaf ummi sepanjang 9 bulan mengandungkanmu

Mungkin ummi tak banyak masa untuk ‘peduli’kanmu. 

Kurang masa ibadah, membaca al-Quran, berdoa, membelai dan menyedari kewujudanmu di dalam rahim ummi,

Juga emosi ummi yang tak terurus baik,

Dek sibuknya ummi dengan urusan lain

Dek penatnya ummi hingga ada ketika hanya mahu fikirkan diri sendiri sahaja..

MAAFKAN KHILAF UMMI.


Saatnya semakin hampir sayangku 

Ummi teruja untuk menatap wajahmu, menyentuh dan membelai kulitmu,

Walau sejak sekian lama dirimu menjadi teman ummi siang dan malam

Dan terasa amat dekat dirimu dan diri ummi

Tiba masanya nanti tempatmu bukan di rahim ini lagi

Kamu bakal temui yang lain, yang juga sedang menanti kehadiranmu.

Abi, abang-abangmu...

Juga tak sabar menanti kehadiranmu.


Semoga baik-baik dirimu sayang

Mudah dan selamat perjalananmu ke dunia ini

آمين



Catatan dan ingatan

Bahawa kalian pernah sangat dekat dengan ummi

Menjadi teman siang dan malam


Wednesday, 24 July 2019 0 comments By: Naemah

PERTAMA KALI BERURUSAN DI HOSPITAL KAJANG

Kandungan sudah masuk minggu ke-36. Alhamdulillah :)

Bermakna sudah makin dekat dengan tarikh bersalin. Dan kehamilan kali ini berbeza dengan 3 kehamilan yang lepas, di mana aku berdepan dengan masalah GDM on insulin, yang memerlukan aku bersalin pada usia kandungan 38 minggu iaitu 2 minggu lebih awal dari tarikh jangka bersalin. Dan kerana ‘kes’ ini jugalah yang membawa aku ke Hospital Kajang pada hari ini untuk bertemu dengan pakar O&G. Hari ini aku akan diberikan tarikh untuk aku bersalin (induce). 

Temujanji ditetapkan pada pukul 8 pagi. Alhamdulillah suami ada di rumah hari ni dan boleh menghantar aku ke hospital. Selepas menghantar Anas dan Mussaab di sekolah, kami terus ke Hospital Kajang. Menempuh kesesakan jalan, akhirnya sampai di hospital sekitar jam 8.15 pagi. Sudah ramai patients yang menanti untuk mendaftar dan mengambil no giliran. Buku pink ibu mengandung juga sudah bersusun di kaunter. Sudah dapat agak, mungkin urusan hari ini akan mengambil masa yang lama. Sabar jelah. Suamiku mengambil tugas menjaga Miqdad dan meninggalkan aku untuk selesaikan urusan di sini. 

Dari menunggu angka giliran, kemudian perlu mendengar ceramah tentang penyusuan, beratur untuk cek urin, ambil tekanan darah dan timbang berat, semuanya perlu sabar beratur dan ikut turn. Rupanya memang hari ini hari yang memang khas untuk berjumpa pakar. Dan sudah begini lumrahnya bila berurusan dengan hospital kerajaan. Bukan kita seorang yang perlu dilayan dan diberi perhatian. Maka sabarlah. 

Pada jam 11.30, sampai giliranku berjumpa doktor. Doktor yang mengambil ‘kes’ aku pada hari ini adalah Dr Dalila. First time berurusan dengan beliau. Banyak yang ditanya, terutama tentang masalah GDM ketika mengandung ini. Lepas tu mengambil giliran untuk scan baby, Alhamdulillah pembesaran baby baik. Aku bertanya kalau-kalau nampak jantinanya (sebab sebelum ni tak nampak lagi), dan kata doktor nampaknya seperti ‘girl’. Hmm.. setakat itu sajalah. Dan segalanya adalah mungkin. Insya Allah yang terbaik dariNya.

Dari pertemuan dengan doktor pakar hari ini, tarikh untuk aku bersalin ditetapkan pada 13/8/19, tepat usia kandungan 38 minggu. Allah, bila diingat masanya yang semakin hampir, aku tak lepas dari rasa takut dan berdebar. Saat itu akan berulang lagi. Bezanya kali ini lebih awal aku perlu bersalin (sebelum ini semua anak cukup 40 minggu). Allah, semoga tenang dan mudah saja nanti. Allah sebaik-sebaik Penolong dan Pelindung ~Tarik nafas lega~

Urusanku selesai jam 12 tengahari. Suamiku sudah menunggu di luar bersama Mussaab dan Miqdad. Selepas itu kami terus menuju balik ke Semenyih. Sebelum itu singgah dulu makan tengahari di Mydin Semenyih, membeli sedikit roti dan terus balik ke rumah. Zohor pun sudah masuk waktunya.

Belum habis cerita, kebetulan hari ini juga aku ada temujanji di KD Rinching Tengah untuk rutin check up. Tepat jam 2 petang aku berseorangan ke klinik. Alhamdulillah orang tak ramai, dalam setengah jam saja sudah selesai urusan di klinik. Balik ke rumah, rehat dan tidur hingga masuk waktu asar. Penatnya Allah saja yang tahu. Kepala pun dah start pening. Anas, Mussaab dan Miqdad, serah pada suamiku untuk uruskan mereka sementara. 

Untuk urusan hari ini, aku bersyukur ada suami yang boleh tolong jagakan Miqdad. Kalau terpaksa bawa dia sekali, boleh bayangkan tahap ‘bosan’nya dia kerana perlu menunggu terlalu lama. Ada juga beberapa orang ibu yang perlu bawa anak kecil bersama hari ini, ada yang meragam dan tak duduk diam. Aku faham macamana sukar dan tahan sabarnya ibu tersebut untuk handle anak-anak mereka. Dalam keadaan mengandung, nak control anak-anak dalam khalayak ni, memang penat. Kadang-kadang boleh sampai tahap cemas. Masa ni doa, sabar dan cuba bertenang sajalah yang mampu :)

Apapun syukur aku panjatkan kepada Allah kerana telah mempermudahkan urusan hari ini. Syukur suami ada di rumah (esok dia ada meeting di KL), syukur anak-anak dijaga dan diuruskan oleh suamiku, syukur pergi dan balik dihantar suamiku, syukur kandungan baik-baik saja, syukur berurusan dengan doktor dan nurse yang friendly dan banyak membantu, dan syukur atas semuanya. 

Alhamdulillah :)



Menunggu giliran: 2041



Pamphlet tentang penyusuan ibu. Seperti mendapat ilmu baru 



Catatan doktor- faham juga la sikit-sikit



Miqdad jalan-jalan naik MRT dengan abi





Lunch-My Nasi Kandar, Mydin Semenyih

Tuesday, 23 July 2019 0 comments By: Naemah

WEEKEND: SERONOK BERSAMA SEPUPU



Cerita 2 minggu lepas. Baru sempat nak menulis :)

Pada 13/7/19 menerima kunjungan daripada keluarga mertua (emak, adik ipar Azim dan keluarganya, dan adik ipar Aisyah). Mereka berada di sini selama 3 hari 2 malam. 

Anas, Mussaab dan Miqdad paling happy sebab dapat jumpa sepupu rapat mereka, yang selama ini jadi teman bermain bila balik kampung. Bukan senang mereka nak berkunjung ke rumah, maklumlah parents mereka keduanya pasangan doktor dan sudah tentu selalu busy :)

Kebetulan ibu mereka (birasku) ada meeting di sini, maka mereka semua datang menginap di rumah kami. Emak dan adik ipar bongsu, pun juga datang sambil di dalam perjalanan menyinggah di rumah jiran-jiran lama mak ketika tinggal di Bentong dulu.

Dari hari mereka sampai (Sabtu) hinggalah hari mereka balik (Isnin), seronok masing-masing bermain dan berkawan. Meriah jadinya rumah ini dengan kehadiran mereka. Umar, Uwais, dan Urwah, semuanya dekat usia Anas dan Mussaab, sebab tulah ngam! Miqdad pun tak terkecuali, ikut bermain dengan abang-abang walaupun dia yang paling kecil. Oh ya, ada sorang lagi Sumayyah baby girl yang baru berusia setahun lebih :)

Selain Umar dan adik-adiknya, Eiman (sepupu yang tinggal di Pajam) juga datang dan tidur semalaman di rumah. 

Pada hari pertama abinya bawa ke Taman South Creek, bermain dan berbasikal di sana. Malamnya ke Kajang dan makan malam di sana. Hari kedua ke Adventure Park, dan petang harinya ke Hulu Langat menziarahi kawan nenek. Hampir setiap masa bersama, tak boleh berenggang. Di rumah pula main mainan, beyblade, berbasikal dan banyak menonton video bersama. Begitulah masa mereka lalui bersama.

Hari Isnin Anas dan Mussaab berpagian ke sekolah. Sepupu juga sudah bersedia untuk balik. Lepas menikmati breakfast mereka beransur meninggalkan rumah. Rasa sepi seketika. Anas dan Mussaab turut rasa ‘kehilangan’. Tapi perlahan menerima hakikat, yang setiap pertemuan akan disusuli dengan perpisahan. Namun Insya Allah, akan disusuli dengan pertemuan yang lain. Sekali lagi, dan dalam suasana yang lebih baik lagi, Insya Allah.

Tak lama lagi dah nak balik raya haji, dan cuti sekolah selama seminggu. Lepas tu Umar and family akan berhijrah ke Sabah, atas arahan pertukaran tempat kerja parents mereka Dr Azimullah dan Dr Nasibah. Semoga dipermudahkan urusan mereka. 

Tak mengapa, kita pasti dapat bertemu dan berkumpul lagi. Semoga tiap perpisahan akan sering disusuli dengan pertemuan yang lebih manis. Bertemu dan berpisah kerana Allah. Moga selamanya terjaga ukhuwwah persahabatan dan persaudaraan ini. Itu harapan dan doa ummi. Insya Allah :)


Gambar kenang-kenangan bersama sepupu;


























Sunday, 21 July 2019 0 comments By: Naemah

CAMERON HIGHLAND: PERCUTIAN SINGKAT TANPA DIRANCANG

Setelah agak lama tak bercuti satu family, akhirnya berpeluang ‘berjalan jauh’ sikit di hujung minggu ni. Unplanned vacation orang kata, tak plan nak sampai Cameron Highland dalam masa terdekat ni, tapi sampai juga :)

Oleh kerana suamiku baru saja balik pada hari Khamis malam, aku fikirkan lebih baik dia berehat saja dulu pada hari Jumaat tu. Nak kemana-mana pun, tunggu hari Sabtu pun boleh. 

Tiba hari Jumaat, tepat jam 11 pagi suamiku cuba booking hotel di Cameron Highland untuk penginapan malam ini sehingga esok harinya (Sabtu). Kelam kabut mengemas pakaian, sambil mengejar masa untuk ambil Anas dan Mussaab di sekolah jam 12. 

Lepas ambil Mussaab dan Anas, terus kami meluncur ke destinasi. Anak-anak pun terpinga dan tertanya-tanya, ke mana mahu pergi. Abi punya kerjalah ni, buat keputusan last minute. Pun begitu, anak-anak sudah tentulah happy, maklumlah dah lama tak berjalan, dek sibuknya abi dengan kerja :)

Percutian kami ini adalah percutian yang singkat (2 hari 1 malam)dan lebih santai, sekadar ‘ambil angin’ Cameron dan tak terkejar nak mengunjungi banyak tempat. 

Catatan ini aku fokuskan pada perbelanjaan kami di sana :)


Hari pertama  (19/7/19)

Dalam perjalanan, kami singgah di R&R Rawang. Anas dan Mussaab mandi dan menukar pakaian, kami menunaikan solat dan juga mengisi perut (lunch) di sini. Kemudian perjalanan diteruskan. 

Lunch di R&R Rawang: rm 50


Kami tiba di Cameron Highland sekitar jam 5 petang. Suamiku meninggalkan aku dan anak-anak di Taman Pertabalan di Tanah Rata untuk anak-anak bebas bermain di taman yang luas ini, sementara dia ke Natasya Resort untuk urusan chek in.

Penginapan (Natasya Resort): rm 185









Kemudian sekitar jam 6 petang kami ke Pasar Malam (juga di Tanah Rata) dan berbelanja sakan di sini. Di sini kami membeli aneka nasi dan lauk untuk makan malam, jagung dan ubi rebus, strawberry, madu terapi batuk, sambal strawberry, t-shirt dan permainan beyblade untuk anak-anak, dan membeli air mineral di dalam perjalanan balik ke hotel.

Belanja di Pasar Malam: rm 176









Kami balik ke bilik penginapan bila waktu sudah menghampiri Maghrib. Selepas mandi dan solat, kami menjamu selera bersama. Malam ini sudah tidak ke mana-mana. Semua sudah penat menempuh perjalanan, berjalan di pasar malam dan bermain di taman. Kami hanya berehat di bilik, meriah suasana dengan suara anak-anak bermain beyblade. Namun oleh kerana masing-masing juga sudah penat dan mengantuk, semuanya tidur awal. 










Hari kedua (20/7/19) 

Kami menikmati nasi lemak untuk hidangan breakfast. Nyaman rasanya menikmati udara sejuk di beranda  sambil menikmati makanan yang dibeli. Anak-anak juga makan dengan sangat berselera.

Breakfast (Nasi lemak dan kopi panas): rm 30
















Jam 8.30 kami check out dari Natasya Resort. Hari ini sudah mahu kembali ke rumah. Namun masih ada tempat yang mahu kami kunjungi di sini. Memang tak plan nak pergi banyak tempat oleh kerana masa yang suntuk, cukup beberapa tempat yang dirasakan berbaloi untuk singgah. Lagipun tak nak bersesak dengan pengunjung lain yang akan tiba di Cameron Highland hari ini, maka kami berpagian menuju ke tempat pilihan. 

Tempat pertama yang kami kunjungi pada pagi ini ialah Kea Farm, sebuah pasar yang menjual aneka hasil tanaman di tanah tinggi ini seperti sayur, buah-buahan, juga cenderamata, dan lain-lain lagi. Di sini kami membeli sayur-sayuran seperti kacang buncis, tomato, cili, pucuk labu, timun dan banyak lagi. Tak lupa juga memborong jagung di sini, yang menjadi kesukaan anak-anak. Selain itu masing-masing sekali lagi diberi ‘saguhati’ berupa mainan burung (seorang satu)

Belanja di pasar Kea Farm: rm 100








Destinasi kedua pagi ini ialah cactus point, juga antara tempat yang terkenal di sini. Sudah banyak kali juga kami ke sini untuk membeli anak-anak pokok seperti bunga, kaktus, cili, dll. Tapi hari ini oleh kerana  datang dengan menaiki viva, kami hanya membeli 6 jenis anak pokok kaktus yang dipilih oleh anak-anak (eh, untuk anak lagi). Mereka yang beriya sangat nak pokok kaktus. 

Belanja di Cactus Point: rm 11










Selepas itu kami singgah ke destinasi terakhir di Cameron Highland ini iaitu di Big Red Strawberry Farm. Ini adalah kali ke-3 kami datang di sini, untuk menikmati kopi strawberry dan fire crackers kesukaan anak-anak. Terdapat pelbagai menu menarik di sini seperti aiskrim, teh strawberry, scones, cheese cake, dll.  Tempatnya juga agak cantik dan menarik untuk bergambar :)

Kopi, aiskrim dan fire crackers: rm 40












Dah selesai di sini, akhirnya kami beransur turun dari tanah tinggi Cameron Highland. Dalam perjalanan balik, sempat singgah membeli petai jualan orang asli di tepi jalan. 

Petai: rm 15


Dalam perjalanan balik ke Semenyih, sempat kami singgah di Lata Iskandar. Agak ramai juga pengunjung di sini hari ini, yang datangnya dari merata tempat. Dalam dan luar negara juga.

Selepas hampir 1 jam bermain di air terjun, kami meninggalkan Lata Iskandar. Anak-anak kepuasan dapat bermandian di sini. Ia juga antara perhentian ‘wajib’ kami setiap kali pergi/balik dari Cameron Highland. 










Kami singgah makan tengahari di sebuah restoren di Tapah. Sampai di sini, azan zohor sudah berkumandang. Masing-masing sudah kelaparan (kecuali Mussaab), Alhamdulillah sekali lagi kekenyangan menikmati hidangan.

Destinasi akhir ialah R&R Tapah, di sini kami menunaikan solat, dan membeli roti di stesen minyak. Selepas itu meneruskan perjalanan pulang.

Lunch dan roti: rm 50


Kami selamat tiba di Semenyih sekitar jam 5.30 petang. Alhamdulillah, sebuah perjalanan yang singkat, tapi sudah cukup memuaskan, dalam singkatnya masa yang ada. 

Terima kasih suami, sudah mencuba untuk berikan yang terbaik untuk anak dan isteri. Kerana mungkin juga ini ‘percutian terakhir ‘ sebelum aku melahirkan anak kami tak lama lagi :) dalam keadaan sekarang, memang dah tak sesuai nak bercuti dan berjalan jauh. Tunggu masa saja..

Oklah, rumusan perbelanjaan kami untuk 2 hari 1 malam di Cameron Highland adalah seperti berikut; (dah over budget dah sebenarnya ni. Hehe)


Tol: rm 60

Petrol (viva): rm 50

Lunch (day1): rm 50

Penginapan: rm 185

Pasar malam: rm 176

Breakfast (day2): rm 30

Kea Farm: rm 100

Cactus point: rm 11

Big Red Strawberry Farm: rm40

Lunch (day2): rm 46

Roti: rm 4

Petai: rm 15


Total Spending: rm 777






Tuesday, 16 July 2019 0 comments By: Naemah

TIAP KESUSAHAN AKAN DIIRINGI DENGAN KESENANGAN



Entri yang pertama untuk bulan ini :) tak sempat dan tak ada mood nak menulis sejak akhir-akhir ini. Terasa suntuk sangat masa, dan masa yang ada terasa hanya mahu rehat saja. Maklumlah, sudah di minggu-minggu terakhir kehamilan :)

Sejak balik dari cuti Aidilfitri, suamiku juga agak busy. Seakan tiada cuti untuknya, setiap weekend berada di laut kerana jadual kerja yang padat. Sehari dua di rumah, kembali lagi ke laut. Anak-anak juga hampir kekurangan masa dengan abinya, especially Anas yang bersekolah dari pagi hingga ke petang hari. Malam pula tidur awal, sampai hari minggu abi pula sudah kembali bekerja. Memang terasa sangat dia..

Aku pula, dalam keadaan sekarang yang makin sarat memang agak penat bila suami tiada di rumah. Semuanya perlu uruskan sendiri. Cuba lakukan semua kerja sekadar termampu. Terutama bab uruskan anak-anak setiap hari bangun pagi, bersiap, hantar dan ambil dari sekolah, memasak, mengangkut pakaian untuk dicuci dan dijemur, membersihkan segala pinggan mangkuk dan peralatan masak, menyapu lantai, membuang sampah... alah, kerja yang memang tak boleh kalau tak buat. Remeh saja nampaknya segala kerja ni, tapi inilah yang ‘wajib’ dihadap suri rumah setiap hari, dan rasanya seperti kerja ini berulang-ulang dan tak pernah siap-siap ,:)

Kaum suami, silaplah kalau harapkan balik rumah dalam keadaan segalanya siap terurus. Kalau tak pernah cuba mengambil peranan dan membantu, memang susah nak faham apa yang dilalui isteri seharian di rumah. Terutama bila ada anak kecil, akan ‘ada saja’ situasi yang tak terjangka, ragam yang tak terduga. Ada kerja tertangguh dan tak termampu nak disempurnakan sebaiknya. Jika suami sendiri sukar untuk faham dan hanya tahu melihat salah dan kurang, ‘makan hati’lah isteri. Siapa lagi yang diharapkan isteri untuk memahami penat lelahnya memainkan peranan di rumah, jika bukan suaminya :)

Segala penat lelah dan setiap detik sukar yang perlu aku lalui ketika bersendiran menguruskan anak-anak dan rumahtangga ini, aku anggap ujian untuk aku jadi yang lebih baik. Jadi lebih kuat, belajar dari setiap kesilapan yang aku tak terlepas darinya, belajar bertahan bersama sabar, dan belajar membisikkan redha. Bahawa bukan sia-sia semua ini yang perlu aku lalui. Dan akan sentiasa, beriringan dengan kesusahan itu adalah kemudahan dan kesenangan. Insya Allah.

Jika ibu bekerja mungkin ada sedikit sesalan dalam hatinya, kerana kekangan masa bersama anak-anak, sesal tak selalu ada bersama anak, tapi bagi ibu suri rumah sepertiku pula, dalam banyaknya masa bersama anak-anak, sering juga diusik rasa sesal dan bersalah, andai ‘masa’ itu sebenarnya tak memberi apa-apa manfaat untuk mereka, dek sibuknya dengan kerja, dek penatnya dengan urusan harian hingga terkalah dengan emosi, dan bermacam bentuk ketakutan. Takut jadi ibu yang tak memberi apa-apa pada anak-anak.

Ya selagi masih ada ruang untuk bermuhasabah dan memperbaiki diri, maka selagi itu masih ada peluang untuk jadi yang lebih baik. Aku juga seperti yang lain, mahu beri dan jadi yang terbaik untuk suami dan anak-anak. Dan di sini, di medan kecil inilah dunia untuk aku terus berjuang, dan terus berjuang hingga ke akhirnya. 

Semoga Allah sentiasa pandang dengan rahmat dan kasihNya..

آمين