Wednesday, 10 January 2018 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 110118




Hari ini abi kembali ke Bintulu. Hampir jam 5.30 pagi abi bertolak dari rumah memandu kereta ke Salak Tinggi seterusnya ke airport menaiki tren. Anas, Mussaab dan Miqdad of course masih lena. Ummi juga tak sempat hantar abi ke pintu. Kesian anak-anak ummi hari ni dah tak dapat jumpa abi. Semalam dah la tidur awal semuanya, ketika abi masih di masjid. Takpelah, insya Allah ahad nanti abi balik.

Mussaab yang pertama bangun pagi ini, ketika ummi tengah bersiap untuk memasak breakfast. Kemudian Miqdad dan akhirnya Anas. Mandi dan bersiap untuk ke sekolah. 

Ummi sediakan Maggie goreng untuk breakfast, tapi semuanya tak teringin nak makan :( ummi dengan Miqdad saja yang makan banyak. Anas makan beberapa mulut untuk ambil hati ummi saja :) Mussaab langsung tak nak. Anas makan biskut Lexus, dan menonton upin dan ipin. Masing-masing minta nak makan roti, tapi roti dah habis. Ummi buat roti menggunakan bread maker yang dah lama tak bersentuh. Balik sekolah nanti barulah siap rotinya. Harap jadilah :D

Hampir jam 8, bergerak ke sekolah. Ummi tinggalkan Anas dan Mussaab di sekolah, dan berjalan balik bersama Miqdad. Sempat video call sekejap dengan abi. Balik rumah duduk baring di sofa, susukan Miqdad. Rumah belum berkemas. Bila Miqdad dah boleh ummi lepaskan sendiri, ummi bukakan youtube ABC Kids tv untuk Miqdad. Asyik seketika Miqdad depan tv. Sambil-sambil ummi kemas rumah, masukkan kain ke dalam mesin basuh, cuci pinggan mangkuk, makan sekali lagi, sambil tunjukkan flash card untuk Miqdad. 

9.30, ummi dapatkan Miqdad kembali. Teman Miqdad menonton, dan Miqdad berjalan ke sana sini sambil ‘mengacau’ icky, baby Olly. Jam 10, ummi tidurkan Miqdad di bilik. Ummi masak dan prepare untuk ajar Anas abacus petang ni. Tapi belum sempat siap Miqdad dah bangun. Duduk teman Miqdad seketika. Kemudian Miqdad teman ummi buat kerja yang tak siap tadi.

Jam 11, ummi sambung memasak. Miqdad keluar masuk dapur. Sekejap menangis, sekejap ok. Ummi selesai memasak jam 11.45. Whatsapp sekejap dengan abi yang dah sampai Bintulu. Hidangkan lauk, dan keluar ambil Anas dan Mussaab di sekolah. Terpaksa memandu sebab hari hujan. Keduanya balik kelaparan. Mussaab menangis nak roti butter gula. Tak dapat buat lagi untuk Mussaab sebab roti baru masak dan masih panas. Miqdad pula tumpahkan nasi yang ummi letak di meja hingga jatuh ke lantai semuanya. Anas tolong kutipkan nasi yang tumpah. Tangisan Mussaab masih belum reda. Ummi suapkan nasi. Semua makan berselera. Abi pantau dari cctv tengok anak tengah makan :D

Lepas makan ummi potong roti untuk Anas dan Mussaab yang sedang menanti. Potongan agak kurang cantik. Anas makan roti cheese dan Mussaab makan roti butter gula. Kemudian menonton upin dan ipin. Miqdad bermain dan sepahkan barang di lantai. 

Jam 1 naik ke atas bersama Miqdad. Ummi susukan Miqdad tapi Miqdad masih tak nak tidur. Anas dan Mussaab masih melayan upin dan upin di bawah. Ummi jemur kain dan solat zohor. Miqdad berjalan ke sana sini dan panjat meja. Ambil buku iqra dan baca. Lepas solat ummi tidurkan Miqdad. Anas dan Mussaab masih tak bergerak di depan tv. Ummi tidur bersama Miqdad.

Jam 4 petang, riuh rendah dalam bilik bila Anas dan Mussaab naik ke atas. Miqdad juga bangun dan bermain bersama. Bilik bersepah, luar bilik pun bersepah jadinya. Ummi biarkan Anas, Mussaab dan Miqdad bermain sementara menunggu masuk waktu asar. Lepas solat asar, turun ke bawah. Anas dan Mussaab minum susu coklat, Miqdad makan megi goreng. Banyak juga makannya. Lepas makan dan minum, lepak depan tv lagi. Ummi buka video Omar dan Hana untuk Miqdad. Ummi ajarkan Anas abacus asas jari-1. Mussaab juga minta abacus tapi main sendiri. Miqdad sesekali datang ‘mengganggu’. Anas dah faham operasi tambah, cuma masih konfius dalam penggunaan jari. Insya Allah, nanti buat worksheet akan lebih faham. 

Jam 6, menonton tv sama-sama. Mussaab dah terlena. Dapat video call dengan abi. Miqdad yang banyak bercakap dengan abi. Lepas tu sambung menonton lagi. Mussaab masih lena. Ummi vakum lantai yang berterabur dengan makanan tumpah dan basuh pinggan mangkuk. Anas dan Miqdad seronok melayan upin ipin lagi. 

Jam 7 naik ke atas. Mussaab juga dah bangun, mahu ummi mengangkatnya naik ke atas. Ummi angkat Mussaab, dan Miqdad naik sendiri mengikut Anas. Anas, Mussaab dan Miqdad mandi dan main air. Lepas mandi siap berpakaian tidur. Ummi solat maghrib dan ajar Anas al Quran dan tasmik hafazan. Mussaab baca iqra, menyebut huruf yang masih terkeliru. Miqdad juga baca bersama. Kemudian turun ke bawah kerana Mussaab mengadu lapar. Ummi suapkan Mussaab makan nasi. Anas dan Miqdad turut makan sekali. Lepas nasi, Mussaab makan roti butter gula pula. Lepas tu bermain dan sepahkan lagi. Segala peralatan dapur diangkut. Adui la anak. Ummi dah rasa penat sangat. Selesema dan batuk, rasa sangat tak selesa dan lemah badan. Tak mampu nak kemas sekali lagi. 

Sebelum naik ke atas, Anas dan Mussaab makan ubat cacing. Mussaab banyak yang diludah semula, berbanding yang ditelan. Lepas tu naik ke atas. Miqdad sudah menangis mengantuk. Ummi susukan Miqdad, Anas dan Mussaab turut lena bersama. Alhamdulillah. Jam 9 malam rumah dah sunyi sepi. 

Semoga lena anak-anak ummi semuanya. Ummi sayang Anas, Mussaab dan Miqdad. Terlalu sayang. Maafkan atas segala kekurangan ummi dalam memberi dan mendidik. Semoga hari esok akan lebih baik buat semua. Semoga abi di sana juga di dalam rahmat dan kasih Allah. Semoga jumpa lagi. Semoga keluarga kita sentiasa bahagia. Insya Allah.
Sunday, 7 January 2018 0 comments By: Naemah

RUTIN YANG BERBEZA





Tahun 2018 sudah membuka tirai. Melangkah ke tahun baru lagi kita :) Alhamdulillah di atas usia yang masih dipinjamkanNya. 

Rutin harianku sebagai isteri dan ibu juga ada perbezaannya pada tahun ini, berbanding dengan tahun lepas.

Tahun ini Mussaab juga dah mula bersekolah di usianya 4 tahun. Bukan kerana nak hantar sangat dia sekolah, tapi kerana dia yang ‘nak sangat’ sekolah. Anas dan Mussaab keduanya bersekolah di tadika yang sama iaitu tadika Little Diamond yang baru dibuka pada tahun ini, berdekatan dengan rumah kami. Bermakna, tahun ini tak perlu drive hantar dan ambil anak sekolah lagi. Berjalan kaki saja pergi dan balik sekolah :)

Bila Anas dan Mussaab bersekolah, hanya tinggal Miqdad di rumah. Kalau abinya tak kerja, tinggallah kami tiga beranak di rumah. Rumah jadi kurang meriah tanpa Anas dan Mussaab. Dalam tempoh 4 jam Anas dan Mussaab di sekolah, masa ni juga perlu menumpukan sepenuh perhatian pada Miqdad dan memecut membuat kerja rumah dan memasak.

4  jam masa berlalu kadang-kadang rasa sekejap sangat. Selalunya ada saja kerja yang tak siap, lebih-lebih lagi kalau Miqdad meragam tak nak duduk main sendiri. Masa dia tidur sajalah perlu pecut membuat kerja :) Tapi time Miqdad ok, banyak juga kerja yang dapat diselesaikan. Yang penting, masak mesti beres sebab Anas dan Mussaab balik selalunya lapar nak makan :)

Jam 12, Anas dan Mussaab balik dari sekolah. Makan, menonton dan membuat aktiviti sendiri mengikut mood. Lepas solat zohor aku memilih untuk berehat saja dan tidurkan Miqdad sekali lagi. Anas dan Mussaab jarang sekali nak tidur siang kecuali kalau sangat mengantuk. 

Lepas asar mula ‘bekerja’ semula. Layan anak-anak, buat aktiviti, ajar apa yang patut, dan siapkan makan malam. Kadang-kadang ke halaman ‘berkebun’ konon-kononnya :D 

Dari siang bawak ke malam. Lega bila anak-anak dah lena tidur semuanya. Masa ni nak kemas apa yang patut, nak rehat, nak update planner, nak blogging atau apa saja. Tapi waktu juga agak terhad, tak boleh nak buat semua. Mata pun dah kembali mengantuk. Esok kena bangun awal lagi, sediakan breakfast dan siapkan anak-anak ke sekolah :)

Begitulah rutin harian di tahun 2018. Ada ketikanya melalui hari yang sukar juga bila suami tiada bersama. Semuanya kena uruskan sendiri dari pagi hingga ke malam hari. Tapi masih dalam kemampuan, dan dapat lakukan semuanya dengan izin Allah. Bila suami bercuti, terasa lebih ringan dan mudah. Suami banyak membantu dalam banyak perkara. Alhamdulillah :)

Semoga dapat melalui tahun ini dengan lebih positif. Semoga dipermudahkan segala urusan harian. Semoga dapat menempuh segala cabaran dengan sabar dan yakin. Ya. Allah sentiasa ada bersamaku. Jangan risau dan jangan takut. Jangan mengeluh, terus melangkah dengan tenang. Insya Allah :)



Thursday, 4 January 2018 0 comments By: Naemah

OLLY SI KUCING PARSI


Hari ni nak update kisah si kucing Parsi peliharaan kami iaitu si Olly :) Olly hadir dalam keluarga kami pada bulan Februari 2016. Masa tu usia dia baru 3 bulan. Maka di bulan Januari 2018 ini dia sudah berusia lebih kurang 2 tahun 2 bulan. Sudah tua kan? Sedar tak sedar dah 2 tahun rupanya dia bersama kami. Sebelum Miqdad, dia dulu yang wujud dalam keluarga ini :)

Olly adalah kucing betina. Masa kecil dulu memang comel sangat. Dah besar ni pun comel juga, tapi dah kelihatan wajah tuanya :D Olly juga dah dua kali bunting dan beranak. Anaknya yang pertama semuanya mati. Entah sebab apa. Yang kedua ni pula hanya seekor saja yang hidup, dah berusia 2 bulan lebih. Tak seperti dia yang sangat berwajah ‘parsi’, anaknya hanya seperti kucing biasa. Ikut bapaknya la tu :/



Olly-today


Wednesday, 3 January 2018 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 040118





Hari ini hari ke-3 abi di Bintulu, dan hari ke-3 juga Anas dan Mussaab bersekolah. Seperti kebiasaan, Miqdad yang pertama bangun hari ini seawal jam 5.30 pagi. Kemudian Mussaab pula bangun ketika ummi sedang solat subuh. Anas masih melayan mengantuknya. Ummi mandikan Mussaab dan Miqdad, dan turun ke bawah memasak nasi goreng. Tinggalkan Miqdad dan Mussaab menonton Omar dan Hana. 

6.45, ummi suapkan Mussaab dan Miqdad makan. Anas masih belum bangun. Ummi kejutkan Anas jam 7.15. Anas mandi dan terus berpakaian sekolah. Mussaab juga siap berpakaian sekolah. Anas makan sedikit, tiada selera katanya. Anas menonton video kesukaannya. Mussaab dan Miqdad turut serta sementara menunggu masa untuk ke sekolah. Abi whatsapp dari laut, bertanyakan khabar anak-anak. Alhamdulillah dapat berhubung. Jarang sekali nak dapat internet di tengah-tengah laut tu :)

Jam 7.55, berjalan ke sekolah yang jaraknya hanya beberapa meter sahaja dari rumah. Ummi dan Miqdad balik ke rumah. Miqdad temankan ummi siram pokok di halaman. Kemudian ummi cuba meminta tolong dari jiran untuk selamatkn baby Olly yang jatuh dalam longkang. Entah bila lagi. Mungkin semalam, sebab semalam dia tak masuk ke rumah. Kesian. Tapi tak mampu nak selamat kan dia sebab dia lari bila melihat orang datang dekat. Hai. Macamana nak tolong. Ummi dan Miqdad masuk ke dalam rumah. Mudah-mudahan akan dapat bawa dia naik nanti. 8.30, Ummi tidurkan Miqdad yang sudah meragam dan mengantuk. Ummi buat kerja di dapur.

Ummi keluar menjenguk Olly di luar. Alhamdulillah Olly ada bersama anaknya. Entah siapa yang selamatkan. Mungkin Olly sendiri, mungkin juga ada insan lain. Terima kasih. Moga Allah mengganjarinya. 

Jam 9 Miqdad dah bangun. Sekejap sangat tidurnya. Ummi susukan Miqdad lagi. Miqdad sambung lena. Ummi sambung masak dan solat dhuha. Tak lama kemudian Miqdad bangun dan menangis mencari ummi. Ummi baca Quran sambil memangku Miqdad. Kemudian layan Miqdad sekejap, dan buka video untuk Miqdad. Tapi pantang ummi bergerak, Miqdad akan menangis. Tak lama lepas tu Miqdad dah ok. Ummi tinggalkan Miqdad dengan video ABC kids Tv. Ummi selesaikan urusan memasak. Jam 11.30 ummi temankan Miqdad menonton dan tunggu masa nak ambil Anas dan Mussaab dari sekolah.

Jam 12, Anas dan Mussaab balik dari sekolah. Miqdad berjalan dari rumah ke sekolah dengan girangnya. Happy setiap hari dapat berjalan :) Anas dan Mussaab sudah kelaparan. Ummi suapkan Anas dan Miqdad makan nasi. Mussaab pula hanya makan roti butter gula. Dah pandai buat sendiri :) masing-masing makan hingga kenyang, sambil menonton video. Lepas makan, main dan mandi. Kemudian naik ke atas. Bermain di bilik, membelek buku, main iPad, dan menonton YouTube di komputer. Buku dan diari lama ummi juga habis diselongkar dan dibahagikan adik beradik ,:]

Jam 2, Ummi tidurkan Miqdad yang sudah kembali mengantuk dan meragam. Ummi juga tidur sekali. Tinggalkan Anas dan Mussaab dengan aktiviti dan hal sendiri. Mussaab juga ikut tidur di sebelah Miqdad kemudiannya. Tinggal Anas tak duduk diam, ada saja aktivitinya. Nak tidur, tak mungkin! 

Ummi bangun jam 3.30. Anas bertanya banyak perkara. Miqdad juga bangun dan ceria bermain. Mussaab bangun bila dikejutkan. Jam 4, turun ke bawah. Ummi goreng keropok lekor, hanya Miqdad yang makan. Itupun sedikit. Anas dan Mussaab minum kopi. Mussaab makan roti butter gula lagi. Time nak makan nasi semua katanya kenyang. Miqdad juga tak nak makan. Maka nasi tak terusik petang ni. Masing-masing bermain dan menonton tv. 

Jam 5, ummi ajar Anas Abacus, introduction dulu. Oleh kerana sebelum ni Anas dah pernah belajar, maka Anas cepat tangkap. Hari ni belajar kira 1-20 je dulu. Itupun agak mencabar bila Miqdad pun tumpang ‘belajar’ sekali. Insya Allah next week sambung lagi. Tahun ni nak cuba fokus ajar Anas Mental Arithmetic. Ummi pun tengah belajar juga. Alhamdulillah ada kelas online :)

Jam 6, Anas dan Mussaab tolong ummi kemas rumah, vakum, mop lantai dan lap meja dan rak tv. Alhamdulillah, ringan sikit kerja ummi. Nanti kena selalu tolong ummi ya :)

Jam 7 naik ke atas, mandi dan berpakaian tidur. Solat maghrib dan baca al-quran. Anas sambung baca surah al-baqarah dan mula hafazan surah an-Naba’. Mussaab baca al-Fatihah dan iqra’. Masih dalam usaha nak betulkan huruf dan sebutan yang tertukar. Insya Allah, Mussaab juga akan pandai membaca al-Quran nanti. Miqdad pula sangat terlebih rajin :) iqra’ nak baca, al-quran pun nak baca. Alhamdulillah, Miqdad dah mengenal banyak huruf. Insya Allah, nanti cepat dapat baca al-Quran dan belajar al-Quran sama-sama dengan Anas dan Mussaab :)

Dah selesai semua, ummi tidurkan Miqdad. Jam 8.20 Miqdad dah lena. Alhamdulillah. Tinggal Anas dan Mussaab tengah main iPad dan belek buku di luar. Dapat video call dari abi. Anas dan Miqdad bercakap sebentar dengan abi.

Lepas isyak turun ke bawah. Ummi dan Anas makan nasi. Mussaab pula makan keropok lekor. Dua kali terpaksa turun naik bila Miqdad menangis dan terganggu tidurnya. Kemudian Mussaab pula masuk ke bilik dan tidur. Anas masih di bawah, tunggu ummi turun. Ummi basuh pinggan dan kemaskan apa yang patut. Lepas tu gosok pakaian sekolah Anas dan Mussaab. Puas suruh Anas naik tidur, akhirnya naik juga tunggu ummi di bilik.

Dah selesai, ummi naik ke atas. Anas masih belum tidur. Ummi temankan Anas tidur. Jam 10.30, semuanya dah lena. Alhamdulillah. Tak lupa ummi mendoakan Anas, Mussaab dan Miqdad yang sudah lena dibuai mimpi. Doa untuk kesejahteraan dan rahmat dariNya buat anak-anak ummi tercinta. Maaf atas segala kekurangan ummi. Ummi akan cuba lagi, untuk jadi yang lebih baik. Insya Allah.

Semoga esok menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab dan Miqdad. Tak lupa juga buat abi di sana. Semoga sentiasa dalam rahmat dan kasihNya. Insya Allah esok akan bersua dengan abi lagi :)

Tuesday, 2 January 2018 0 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN: FIRST DAY OF SCHOOL



Permulaan entri tahun ini ialah tentang hari pertama persekolahan Anas dan Mussaab iaitu pada 2/1/18. 

Alhamdulillah Anas dan Mussaab memulakan persekolahan bersama pada tahun ini. Berbeza dengan tahun lepas, jarak sekolah lebih dekat dengan rumah, dan ummi tak perlu drive ke sekolah. Anas dan Mussaab pergi dan balik berjalan kaki, sambil hirup udara pagi :) of course, ummi dan Miqdad hantar sekali, tak harap nak lepaskan berjalan berdua saja. 

Minggu ini juga agak mencabar kerana ummi perlu uruskan anak-anak sendirian kerana abi berada di Bintulu. Insya Allah ummi mampu lakukan yang terbaik.

Hari pertama sekolah, ummi kejutkan Anas dan Mussaab bangun pagi. Agak tak biasa buat Anas, kerana tahun lepas bersekolah sessi petang. Tapi Alhamdulillah, Anas dan Mussaab tak susah (sangat) nak bangun pagi. Malamnya abi dah temankan Anas dan Mussaab tidur awal. Bangun, mandi, berpakaian sekolah dan bersarapan bihun goreng. Lepas tu berjalan ke sekolah. Ummi excited ambil gambar di hari pertama persekolahan Anas dan Mussaab :D

Di sekolah juga tiada drama. Mussaab paling senang, duduk bermain blocks bersama kawan. Anas masih tak lepaskan ummi, dan tak mahu bermain. Katanya nak melukis. Bila teacher berikan kertas barulah Anas lepaskan ummi balik. Ummi tak boleh nak tunggu lama kerana Miqdad dah meragam dan menangis. Ummi balik ke rumah, tak lupa doakan Anas dan Mussaab baik-baik saja dan seronok di sekolah :)

Di rumah, teacher update gambar aktiviti hari pertama students di sekolah di group whatsapp. Happy tengok anak-anak ummi baik-baik saja di sekolah. Alhamdulillah.

Jam 12, ummi jemput Anas dan Mussaab di sekolah. Anas dan Mussaab cakap best main kat sekolah. Mussaab kelihatan penat dan mengantuk. Mussaab tidur lebih awal pada malamnya. Anas tidur seperti biasa. 

Alhamdulillah untuk hari ini. Semoga Anas dan Mussaab sentiasa bersemangat untuk ke sekolah setiap hari. Anas dan Mussaab happy, ummi dan abi juga happy :)


Kenangan hari pertama di Little Diamond Kindergarten 























Saturday, 30 December 2017 0 comments By: Naemah

OUR 7TH ANNIVERSARY






Alhamdulillah.
Sudah genap 7 tahun usia perkahwinan kita pada 11/12/17. Syukur ku panjatkan pada Allah atas rahmatNya yang tak pernah putus. Baru hari ini aku berkesempatan untuk menulis dan mencoret, mengingati detik yang terindah dalam hidup ini.

Tiada apa yang mampu aku persembahkan. Hanya syukur yang tak terhingga, atas kurniaan Allah dalam hidupku iaitu dirimu dan juga anak-anak. 

Semakin meningkat usia kita, dan semakin meningkat juga usia pernikahan kita. Aku bahagia kerana dikurniakan insan sepertimu dalam hidup ini.

Namun aku akui kehidupan kita bukan sempurna. Ikatan ini, banyak lagi yang perlu diperbaiki. Perlu sama-sama bermuhasabah dan memperbaiki. Aku dan juga kamu.

Sayang.

Aku bahagia ada kamu. Namun aku tak pasti apakah kamu bahagia bila bersamaku.

Aku terhibur dengan setiap sendamu. Namun aku juga tak pasti sejauh mana aku mampu menghiburkan hatimu sebagai seorang isteri.

Aku bangga kerana suamiku adalah kamu. Tapi sejauh mana aku mampu membuatmu bangga dengan apa yang ada padaku, sebagai seorang isteri.

Aku percaya padamu sebagai ayah yang baik, penyayang dan bertanggungjawab pada anak-anak kita. Namun aku tak pasti sejauh mana kepercayaanmu padaku sebagai ibu yang terbaik untuk anak-anak.

Kerana aku tahu terlalu banyak kurangnya aku. Aku sedar betapa aku masih kurang matang dalam memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Banyak episod kegagalanku. Banyak yang aku kesali. Bingung adakalanya memikirkan bagaimana aku mahu menjadi yang lebih baik untukmu dan anak-anak.

Sekali lagi maafkan aku sayang. Doakan aku sayang. Aku percaya pada cinta ikhlasmu. Namun aku juga tahu, aku perlu lebih berusaha untuk menjadi isteri yang lebih menyenangkan hatimu.

Semoga masih ada harapan dan peluang. Untuk sama-sama memperbaiki setiap kekurangan yang ada. Moga Allah panjangkan usia kita, setiap detik mencipta bahagia bersama. Pimpin tanganku sayang. Bersama kita menggapai redhaNya. Insya Allah.

Doaku, semoga kita akan tetap bersama di dunia dan akhirat. Aameen.

Selamat ulangtahun perkahwinan yang ke-7 sayang.
Dan selamat hari lahir sayang.
Love u forever. Lillahi Taa’la.
Wednesday, 27 December 2017 0 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN : REGISTRATION

Anas dan Mussaab dengan rasminya berdaftar di tadika Little Diamond untuk sessi persekolahan tahun 2018. Pendaftaran dibuat pada 27/12/17, dengan pembayaran sepenuhnya yuran pendaftaran dan yuran untuk bulan Januari 2018. Anas dan Mussaab bersekolah half day (8-12pm)


Tahun depan Anas tidak bersekolah di Genius Aulad lagi. Bukan kerana sekolah itu tidak bagus, tapi selepas membuat pertimbangan sebaiknya (insya Allah) Anas didaftarkan di sekolah ini. Dari segi ‘nama’ sudah tentu tak dapat mengalahkan Genius Aulad yang sudah dikenali ramai dan terdapat banyak pula cawangannya di seluruh Malaysia. Sedangkan sekolah yang ini, masih baru nak bertapak dan anak-anak kami adalah batch pertamanya :) Namun insya Allah, anak-anak tetap akan menerima pendidikan terbaik sebagaimana di sekolah-sekolah lain.

Mussaab tahun depan berusia 4 tahun. Kalau ikutkan tak nak hantar sekolah lagi, tapi memandangkan dia yang beria nak sekolah, kami daftarkan juga dia sekolah. Mudah-mudahan Mussaab akan happy di sekolah. Anas pula, dia sebenarnya kurang excited nak sekolah. Entahlah, mungkin dia rasa sekolah tu ‘boring’. Bila dijanjikan dengan aktiviti-aktiviti menarik di sekolah baru, dia nampaknya lebih berminat. Namun, tak seperti Mussaab yang nampaknya lebih excited nak bersekolah. Harapannya, Anas juga akan sukakan sekolah barunya nanti.

Tahun 2018, akan ada kelainannya. Bab sekolah, nampaknya Anas dan Mussaab keduanya dah bersekolah. Tak sedar masa berlalu pantas. Anak-anak  ummi dah besar :)  Anas akan merasai pengalaman baru di sekolah baru, dan Mussaab yang sebelum ini teringin sangat nak bersekolah, akan dapat rasa juga bagaimana ‘bersekolah’. Tahun depan juga masing-masing perlu bangun pagi, kerana sekolah akan bermula jam 8 pagi. Tak seperti sessi persekolahan lepas di mana Anas bersekolah waktu petang. Dan sekolah baru ini juga jaraknya lebih dekat, ummi tak perlu drive untuk menghantar Anas dan Mussaab ke sekolah :)

Semoga Allah permudahkan segalanya. Semoga pilihan ini adalah yang terbaik untuk Anas dan Mussaab, untuk masa ini dan kali ini. Semoga dapat menimba sebanyaknya ilmu dan sentiasa seronok mencari ilmu. Insya Allah.

Bye Genius Aulad. Anas tak pernah lupa. Genius Aulad juga telah memberikan yang terbaik untuk Anas. Bukan Anas tak suka, cuma Anas ingin mencari kelainan pula :)


Hari pendaftaran Anas dan Mussaab