Wednesday, 9 December 2015 0 comments By: Naemah

CATATAN KEGUGURAN


Pada 19/11/15 ke klinik kesihatan Ayer Lanas untuk membuat ujian kehamilan. Kebetulan ketika itu juga demam, batuk dan selesema. Gembira dan bersyukur dengan keputusan ujian yang menunjukkan aku positif mengandung. Bermakna ini kehamilanku yang ke 4 (kandungan pertama gugur). 

Namun takdir Allah menentukan kandungan ini juga tidak bertahan lama. Akhirnya berlaku keguguran di minggu yang ke 7.

Catatan ringkas dari awal hingga terjadinya keguguran yang kedua ini:

28/11/15: hari pertama suamiku di Bintulu. Bleeding start di waktu petang sekitar pukul 6. Rasa mencucuk di pinggang. Darah coklat cair (spotting je)

29/11/15: bangun pagi takde apa apa pada pantiliner. Pergerakan yang banyak menyebabkan keluar darah lagi. Sikit juga, dan tak kena pada pantiliner. Hingga petang hari, keadaan masih sama.

30/11/15: tiada apa apa dari bangun pagi hingga tidur malam

1/12/15: berulang perkara yang sama seperti 29/11/15

2/12/15: suami ada di rumah. Darah lebih banyak dari semalam. Warna coklat cair dan kadang kemerahan. Ke klinik Dr Najwa di bandar baru bangi. Scan hanya nampak kantung, anggaran 5 minggu (kalau ikutkan dah 6++ minggu). Doc suruh repeat scan selepas 2 minggu. Ke wet world shah alam untuk meraikan anak anak. Tukar pantiliner setiap kali waktu solat, darah masih turun. 

3/12/15: hanya berehat di rumah. Semua kerja rumah dan anak anak diuruskan suami. Namun masih ada pendarahan seperti semalam dan tidak berkurang. 

4/12/15: ke Big Bad Wolf dan balik kampung. Keadaan masih seperti semalam. Tukar pad setiap 3-4 jam. Darah coklat gelap. Minta nasihat biras dr Nasibah. Kena repeat scan 

5/12/15: rehat di rumah mak mertua. Keluar sekejap beli barang di Kubang Kerian. Bleeding makin banyak dan darah bertukar merah terang (fresh blood)

6/12/15: check up di klinik kesihatan Badang. Upt positif, scan nampak kantung, tapi dah tak cantik, dan tiada bukaan rahim. Doc akan bagi tarikh appointment dengan pakar. Darah seperti hari ke 2-3 period, dan kadang kadang rasa cramp di bahagian rahim. Suami bertolak ke kl.

7/12/15: suami di labuan. darah kurang sikit hari ni. Rasa cramp sesekali datang. Ada darah bercampur lendir dan sedikit darah beku. Tidur malam terasa sakit belakang yang amat

8/12/15: bangun pagi untuk solat subuh, rasa seperti senggugut (tak teruk sangat) dan terasa keluar darah. Buka pad tiada darah, rupanya turun darah beku. Kali kedua ke toilet turun lagi seketul yang lebih besar. Bermakna sudah keguguran:'(

Begitu kisahnya..
Ia bermula dengan sebuah harapan dan khabar gembira. Di pertengahannya sebuah dugaan yang mengundang pelbagai rasa, sedih, kecewa, takut, juga bersama harapan yang belum padam. Akhirnya segalanya berakhir dengan ending yang agak mendukakan ini. Tapi benarlah, Allah menduga kerana dia tahu kita mampu menghadapinya. Hati ini redha menerima takdir ini meskipun di awalnya agak sukar. 

Tiada siapa yang dapat melawan takdirNya. Setiap ujian pasti ada hikmahnya.. Insya Allah.

Tuesday, 8 December 2015 0 comments By: Naemah

KEHILANGAN YANG DIGANTI



081215: berakhir penantian dan tanda tanya. Kandungan yang berusia 7 minggu berakhir dengan keguguran. Keguguran kedua yang perlu aku terima dengan hati yang redha. Keguguran pertama pada bulan Mac 2011, dan yang kedua ini pada Disember 2015.

Yang pertama, lebih menyakitkan dan lebih menghibakan. Tika itu, usia kandunganku 11 minggu, dan tika itu juga suami tiada di sisi kerana jauh di lautan.  Belayar hingga ke Jepun. Emel saja penghubung ketika itu. Tambahan pula itu kandungan pertama. Bayangkan kesedihanku. Benar benar merasakan kehilangan dan kesunyian.

Hari ini berhadapan dengan situasi yang sama. Cuma dugaan ini lebih ringan aku rasakan. Tidak sesakit dulu, tidak sehiba dulu. Suami juga tiada di sisi, tapi tidak terpisah jauh, malah boleh kerap berhubung melalui telefon atau whatsapp. Namun tetap merasakan kehilangan. Pun begitu, hati redha dan pasrah, mungkin belum rezeki untuk kami. 

Mengenangkan kesedihan yang lalu, sebenarnya sudah hampir melupakannya. Malah Allah sudah gantikan apa yang telah aku kehilangan. Anas dan Mussaab, pengubat luka yang lalu. Luka yang sudah sembuh sepenuhnya. Luka yang sudah dilupakan. Masya Allah... Perancangan Allah itu yang terbaik, takdirNya yang terbaik, meski dalam keadaan sukar untuk kita menerimanya.

Kesedihan hari ini, hakikatnya adalah sebuah kelegaan. Beberapa hari lepas dalam mood kecewa, sedih dan penuh tanda tanya. Tika itu juga hati sudah bersedia untuk menerima takdir Allah. Kerana Anas dan Mussaab juga yang menjadi ubatnya. Allah telah kurniakan aku anak anak yang sihat dan cerdas ini. Jika takdirnya ini bukan rezeki buat kami, aku redha sepenuh hati, dan aku yakin akan ada rezeki yang lain di masa yang akan datang. Insya Allah.

Kesedihan itu biarkan ia berlalu. Kehilangan itu, pasti akan diganti dengan yang lebih baik. Kerana kita hakikatnya tak punya apa, dan tak punya kuasa. Allah memberi pinjam, dan berhak mengambil semula. Allah menduga, kerana Dia tahu kita kuat untuk menghadapinya. 

Redhalah wahai hati yang sedang bersedih..



Monday, 7 December 2015 0 comments By: Naemah

ANAKKU: DI RUMAH NENEK

Hari ketiga di kampung, juga hari pertama tanpa suamiku. Alhamdulillah dia selamat tiba di Labuan. 

Aku dan anak anak meneruskan hari di rumah ibu mertuaku di Kota Bharu. Anas dan Mussaab keduanya bangun awal hari ini. Alhamdulillah ada sepupu mereka yang boleh tolong tengokkan mereka. Bebas bermain di rumah nenek yang besar dan luas. Ummi pun tak dipedulikan. Hanya sesekali mencari ummi di bilik, takut ummi hilang :) Mussaab pula mencari ummi bila nakkan susu.

Di rumah nenek, memang agak bebas dan seronok bermain. Pagi pagi lagi dah bermain pasir, berlari dan berbasikal. Puas main barulah mandi. Breakfast dengan kuih cakoi dan pulut serunding.

Hari ini sempat membelek buku yang dibeli di Big Bad Wolf. Banyak buku yang dibawa keluar dari bilik dan buku buku itu juga berjaya buat Anas dan Mussaab asyik dengannya. Kalau ikutkan mahu dibawa keluar semua buku yang ada, apakan daya beg berat ummi x larat nak angkat dan keluarkan bukunya.

Ummi banyak berehat di bilik. Anas dan Mussaab ummi biarkan bermain di luar. Mujurlah ada abang Rizqin, abang Faiz, Kak Zawiah dan mak su yang boleh tolong tengokkan Anas dan Mussaab. Jadi takdelah ummi risau sangat. Entah main apa, ummi pun tak tahu. Yang pasti bila naik rumah, habis badan berpasir. 

Anas langsung tak tidur hari ni. Hanya Mussaab yang tidur dari jam 12.30-2.30 petang. Lepas tu leka bermain lagi dan tak hiraukan ummi dah. 

Dalam pukul 6 petang, adik ipar datang ke rumah mak. Bertambah lagi kawan Anas dan seronok bermain dengan sepupu walaupun banyak bergaduh juga. Biasalah budak budak :)

Di waktu malam, suasana lebih meriah kerana semua ada di rumah. Tambahan pula cucu cucu mak yang tak tahu erti rehat. Sentiasa aktif bermain dan bergurau, termasuk anak anakku. Mainlah sayang, kat rumah kita pastinya tak semeriah ini. 

Alhamdulillah dalam asyik dan leka anas bermain sempat juga baca surah hafazan bersama. Hari ni baca surah al fajr dan al ghasyiah lagi, sambil surah hafazan yang seterusnya (al-a'la) diperdengarkan. Hajatnya mahu kembali fokus pada hafazan bulan ini, tetapi dalam keadaan sekarang mungkin tak mampu nak fokus sepenuhnya juga. Tak mengapa.. Cuba sedaya yang mampu. Insya Allah.

Malamnya, keduanya sukar untuk disuruh tidur. Masih nak bermain walaupun sebenarnya mata dah mengantuk. Akhirnya terlena juga lebih kurang pukul 9.30 malam. 

Alhamdulillah untuk kehidupan hari ini. Alhamdulillah anak anakku sihat dan ceria. Bermain dan bergembira menerika kehidupan di zaman kecil mereka. Semoga hari esok menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Insya Allah :)






PASTI AKAN BERAKHIR



Allah telah memberi kesihatan yang panjang. Sesekali diuji dengan kesakitan dan tidak sihat badan. Masa sakit ini baru berfikir betapa nikmatnya sebuah kesihatan. Nikmat kesihatan yang jarang disyukuri.

Di situasiku hari ini. Bukanlah sakit perit atau terlantar lemah. Masih sihat, cuma ada emosi yang sedang bermain. Takut dan gentar, dan dihantui berbagai sangkaan dan tekaan di atas apa yang bakal berlaku pada diri. Apakah keadaan diri akan semakin baik atau sebaliknya. Keadaan yang hanya akan difahami oleh insan bergelar wanita, yang pernah mengalami situasi begini.

Tapi diri perlu kuat untuk menempuh segala. Perlu positif, agar tidak terasa terbeban. Tambahan pula suami tiada di sisi. Aku akui, kehadirannya membuat diri jadi lebih 'manja' kerana ada bahu untuk bersandar, melepaskan keluhan dan meluah rasa terpendam. Boleh menangis dan ada yang sudi memujuk.

Namun bila dia tiada, aku perlu kuat berdiri sendiri. Aku punya anak anak yang memerlukan jagaan dan perhatianku. Tiada lagi bahu untuk aku bersandar dan mencurah rasa. 

Namun masih bersyukur di rumah ibu mertua ini, aku diberi kerehatan yang banyak, meski mungkin sedikit sebanyak menjadi beban buat mak. Aku rasa bersalah, tapi aku tahu hatinya lebih mulia untuk mengerti keadaanku dan menerima kehadiranku bersama anak anak.

Dugaan 'sakit' ini masih terlalu kecil jika ingin dibandingkan dengan kesakitan lain. Aku juga percaya, semua ini hanya untuk seketika. Allah pasti akan membawa diri ini keluar dari kesukaran ini. Pasti...


Sunday, 6 December 2015 0 comments By: Naemah

BIG BAD WOLF AND ROAD TO KAMPUNG

Alhamdulillah berkesempatan mengunjungi pesta buku Big Bad Wolf yang berlangsung di The Mines, Seri Kembangan. Kali ke tiga kami mengunjungi pesta buku ini yang diadakan setiap hujung tahun. 

Sebelum ni perjalanan agak jauh, kerana kami menetap di Melaka. Kini dah berpindah ke Kajang, jadi jarak juga semakin dekat. 

Oleh kerana kami merancang untuk balik kampung pada hari tersebut, maka kami ke pesta buku di awal pagi. Kebetulan pula hari itu adalah hari pertama ia berlangsung, maka terpaksa beratur panjang untuk menunggu ia dibuka. Jam 7 pagi, semua masuk ke dalam dewan dan memulakan pencarian buku buku.

Seperti biasa, pilihan buku sangat banyak, untuk peringkat usia kanak kanak hingga dewasa. Kesimpulannya, banyak dan murah. 

Kerana kami juga sedang mengejar masa, hanya fokus pada buku kanak kanak. Sangat banyak buku yang menarik. Harga antara rm6-rm15. Buku juga berkualiti. Memang rasa rugi kalau tak beli.

Lebih kurang 2 jam berada di situ, kami membuat pembayaran dan meninggalkan tempat tersebut. Anas pun dah mula tunjuk rasa kepuasan, penat berjalan dan lapar. Mussaab pula asyik nak berdukung je. Mungkin cukuplah dulu apa yang sempat dicapai. Agak banyak juga. Lebih kurang 100 buah buku dengan harga sekitar rm700. Rasanya sangat berbaloi dan berpuas hati. 

Kami meninggalkan tempat itu, dan terus menuju ke kampung. Sempat breakfast di Leha Kelfood yang terletak di Taman Melati. Kemudian meneruskan perjalanan ke Kelantan melalui Terengganu. Dalam perjalanan, anak anak asyik membuka buku yang dibeli tadi. Masing masing happy dapat buku baru. Perjalanan yang jauh juga tak membosankan. 

Singgah di Pantai Bukit Keluang untuk kesekian kalinya. Makan malam di sini, dan sempat mandi laut juga. Memang tak sah la kalau tak mandi. Hari Jumaat, ramai pengunjung dan meriah sekali. Hampir 2 jam di situ, kami bertolak balik ke Kota Bharu. Tiba di rumah mak dalam pukul 8 malam.

Satu perjalanan yang panjang dan memenatkan. Tapi masing masing seronok, dapat buku baru dan dapat mandi pantai. Alhamdulillah... Aku juga tumpang seronok melihat anak anak yang ceria. Suamiku yang pastinya lebih penat, memandu dari awal hingga akhir perjalanan tetap ceria dapat memuaskan hati anak anak. Dia yang paling awal tidur, kemudian anak anak dan akhirnya aku juga..

Alhamdulillah :)






MEREKA INSAN BERJASA



Hari ini, 07/12/15. Alhamdulillah masih diberi kehidupan, meskipun dalam keadaan kesihatan yang tidak berapa baik. 

Masuk hari ke tiga di kampung, di rumah mertuaku. Suami pula hari ini terbang ke Labuan untuk menyambung tugas. Juga akan berada di sana selama seminggu. Tinggal aku dan anak anak di kampung.

Kandunganku dianggarkan berusia 7 minggu, tapi diuji dengan pendarahan sejak seminggu yang lalu. Darah yang semakin banyak, tanda tanda diancam keguguran. Mungkin berehat di rumah mak mertua lebih baik, walaupun sebenarnya berbelah bagi nak tinggal sini atau rumah ibuku. Akhirnya memilih untuk tinggal di sini atas banyak sebab.

Pun begitu, aku hanya ingin menyatakan rasa terharu dan rasa disayangi di atas sikap seluruh ahli keluarga terhadapku. Khas buat keluargaku dan keluarga mertuaku seluruhnya.

Dalam keadaan aku sekarang, meskipun bukan dalam keadaan sakit terlantar, tetap mereka mengambil berat dan menjaga. Tambahan pula suamiku kini jauh. 

Perasaan sendiri sering diusik rasa sedih, kerana merasakan aku hanya sendirian menghadapi ketakutan ini. Namun hakikatnya ya, tak siapa merasa apa yang aku tanggung, tapi hakikatnya juga, masih ada yang sudi mengerti dan mengambil berat. Dan aku percaya, suamiku yang jauh pastinya x jemu mendoakan aku. 

Di sini, di rumah ini, setiap orang juga memainkan peranan dalam menunjukkan rasa simpati dan empati dengan cara tersendiri. Dengan mak mertua yang sangat baik, juga ipar duai yang sangat membantu. Aku tak rasa aku keseorangan. 

Tak lupa juga family ku yang sentiasa baik padaku dari dulu hingg kini. Abang abangku, kakak dan kakak ipar, juga anak anak saudara. Mereka tak lupakan aku, ziarah dan kata kata yang menyuntik semangat. 

Tak lupa juga pada ibuku. Aku sebenarnya masih belum khabarkan keadaan aku pada dia. Tapi aku percaya dia sudah tahu, dan aku percaya dia antara insan yang sedang risaukan aku dan dia juga insan yang takkan jemu mendoakan aku, anaknya. 

Allah.. Terima kasih kerana menghadirkan mereka dalam kehidupanku. Meskipun aku hanyalah yang begini, tetap juga aku merasakan aku dihargai dan disayangi. Yang pasti, aku tak merasakan aku hanya sendirian menempuh semua ini. Walau hakikatnya aku tahu, selamanya aku takkan sendiri kerana Allah sentiasa ada untukku.

Di saat begini juga, aku diberi masa untuk bermuhasabah. Betapa berharganya setiap insan di sekelilingku ini. Sikit atau banyak, mereka tetap berjasa padaku. Aku tak mampu untuk membalasnya, hanya Allah yang layak membalas segala kebaikan mereka. Aku mendoakan kesejahteraan dan kebaikan dalam kehidupan mereka dan kehidupanku. Aameen

Sesekali diuji... Saat mengukur tahap sabar dan redha, saat muhasabah segala dosa dan khilaf. Namun hakikatnya, Allah menguji tanda Dia kasih. Dan setiap kesulitan pasti hadir kesenangan. Dan pada setiap ujian ini pasti terkandung hikmah. Insya Allah

Redhalah wahai hati...


KITA SEMUA AKAN MATI

Dalam menjalani hidup ini, sering kita terlupa bahawa kematian pasti datang menjemput. Kita menjalani hidup, seolah kita akan hidup untuk selamanya. Hingga  berlaku kematian demi kematian di depan mata, baru kita tersentap dan berfikir. 

Namun ada juga, saat menerima berita kematian orang lain, kita jadi lupa yang kita juga akan mati. Alangkah malangnya..

Sedang kita diingatkan agar banyak mengingati mati, dan banyak berbekal untuk sebuah kematian. Kerana janji Allah itu benar, setiap yang hidup pasti akan mati. 

Kita tak tahu bila kita akan mati, di mana dan bagaimana bentuk kematian kita. Kita mengharapkan kematian yang baik, namun terlalu sedikit amal baik yang kita lakukan. Malah, kematian itu sering menggerunkan hati, kerana sedar betapa diri tidak bersedia untuk menghadapinya. 

Kadang sedih memikirkan diri yang hanyut dengan dunia. Mahukan kesenangan hidup, hingga lupa hidup hanya untuk sementara. Mahukan keselesaan, kemewahan, kecantikan, dan segala yang kononnya dapat memberi kepuasan pada diri. Hakikatnya, semua itu hanya untuk sementara, jika ianya hanya untuk dunia semata.

Betapa hati ini perlu sentiasa dibersihkan. Agar sentiasa ingat pada kematian yang pasti.

Ya, mati itu pasti. Aku dan kamu... Akan pasti menghadapinya di suatu masa yang  kita sendiri tidak tahu..