Ibu surirumah.
Kau bukan tidak menyumbang apa-apa.
Cuma sumbanganmu bukan dalam bentuk wang ringgit.
Kau menyumbang waktu yang tidak pernah dihitung. Tenaga dan keringat yang dikerah tanpa gaji bulanan. Kesabaran yang sering diuji, namun tetap kau kumpulkan semula setiap hari.
Kau sediakan makan minum, mengurus rumah, menjaga anak-anak, menghafal jadual mereka, pakaian mereka, keperluan mereka, sedang tiada siapa memberikanmu bayaran untuk semua itu.
Kau mungkin tidak membawa pulang wang setiap bulan, tetapi kaulah yang memastikan wang yang dibawa pulang itu punya tempat untuk digunakan, dan sebuah keluarga punya ruang untuk terus berjalan.
Jangan kecilkan perananmu hanya kerana kau tak menyumbang pada kewangan keluarga. Kerana ada sumbangan yang tidak masuk ke akaun bank, tetapi nilainya hidup dalam sebuah keluarga.
Maka ibu surirumah, jangan merasa rendah dan merasakan dirimu tak menyumbang apa-apa. Jangan kau ukur apa yang kau berikan untuk keluargamu itu dengan wang ringgit kerana hakikatnya ia takkan pernah terbanding.
Terus berjuang dengan ikhlas, di lapanganmu itu. Jangan dikira, jangan dihitung penatmu. Jangan dibanding, jangan dianggap kau suri rumah yang tak ada apa keistimewaan dan nilai. Kerana tidak semua perjuangan perlu disaksikan manusia untuk menjadi sesuatu yang besar di sisi Tuhan.
0 comments:
Post a Comment