15 Ogos 2026
Genap usia puteri sulungku 7 tahun.
Alhamdulillah kakak membesar dengan sangat baik. Kini sudah pun melangkah ke tahun satu. Satu sekolah dengan Angah, SK Kampung Rinching. Dan bersekolah KAFA di KAFA Integrasi Al Mustaqim. Sedar tak sedar, dah di hujung penggal kedua kakak belajar di tahun 1. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar saja. Dan dah hampir sebulan kakak pergi dan balik sekolah dengan Aireen (naik kereta Aireen dengan bayaran bulanan).
Hari ni, birthday kakak kebetulan jatuh pada hari Sabtu. Abi pula baru balik dari Terengganu malam tadi. Pagi ni semua berada di rumah. Tentunya ummi tak lupakan hari lahir kakak, walaupun kakak tak excited sangat sebab takde ‘apa-apa’. Breakfast macam biasa, buat aktiviti macam biasa. Tapi sempatlah ummi ambik gambar kenangan di hari lahir kakak.
Atas permintaan kakak juga, abi bawa makan tengahari di restoren Marrybrown. Alhamdulillah kita menikmati rezeki bersama-sama di hari lahir kakak. Syukur atas nikmatNya. Juga terima kasih buat abi yang sentiasa meraikan dengan makan sedap-sedap.
Begitulah seadanya mengingati hari lahir kakak. Kakak diingatkan bahawa kakak dah besar, tak boleh tinggal solat, solat di awal waktu, di samping pesan-pesan yang lain.
Dan hari ini tetap ada gembira dan tak gembiranya. Tenang dan kecohnya. Kakak menjalani hari bersama ummi, abi, abang-abang dan adik. Inilah dunia kakak hari ini.
Oh anakku, kau membesar sudah. Ummi bersyukur atas kehadiranmu. Ummi bersyukur melihatmu membesar dengan baik dan sihat. Namun ummi juga kesal tak mampu menjadi role model terbaik dalam membentuk peribadi dan akhlak sebagai muslimah sejati. Banyak kurangnya ummi ini. Maafkan ummi. Semoga kakak akan jauh lebih baik dari ummi.
Ummi akan sentiasa meredaimu dan merestui perjalanan hidupmu. Semoga tersuluh terang jalanmu menuju kebaikan dan keredaan Allah. Semoga terpelihara maruah dan malumu kerana Allah. Semoga dirimu sentiasa dilimpahi bahagia, berkat dan rahmat. Semoga cemerlang dirimu dunia dan akhirat. Semoga syurga tempat kembalimu duhai puteriku.
Ameen.
Selamat hari lahir Suri Lilyana.
Ummi sentiasa menyayangimu.
0 comments:
Post a Comment