Beratnya jadi ibu yang sentiasa menyalahkan diri.
Bila anak tidak cukup berdisiplin; barang tidak diletakkan pada tempatnya, bilik dan rumah dibiarkan bersepah, bersiap dan mengemas buku sekolah di saat-saat akhir, hati ini seakan menyalahkan diri sendiri. Mungkin aku yang gagal mendidik mereka.
Bila anak memilih-milih makanan, tidak mahu makan, tidak suka sayur, sekali lagi aku menuding jari kepada diri sendiri. Mungkin aku yang tidak pandai mengajar mereka sejak kecil.
Bila adik-beradik bertelagah, seorang marah, seorang menjerit, dan rumah yang tadinya tenang tiba-tiba bertukar huru-hara, aku juga cenderung untuk salahkan diri sendiri. Kenapa aku belum berjaya mengajar mereka untuk lebih sabar dan lebih menyayangi antara satu sama lain?
Bila anak mengambil ringan tentang solat, melambat-lambatkan solat, kurang peduli tentang kebersihan dan perkara-perkara yang sepatutnya menjadi asas dalam kehidupan mereka, hati ini juga terasa berat. Aku sepatutnya lebih tegas. Aku sepatutnya lebih mengambil berat. Aku sepatutnya mendidik mereka dengan lebih baik.
Dan bila sesekali aku melihat mereka meniru sikapku yang aku sendiri tidak sedar selama ini, rasa bersalah itu datang bertimpa-timpa.
Seolah-olah segala yang kurang baik pada anak-anak adalah cermin kepada kekurangan diriku sebagai seorang ibu.
Mungkin kerana sebahagian besar masa mereka memang bersamaku. Aku yang paling dekat dengan mereka. Aku yang menguruskan banyak perkara tentang mereka. Aku yang paling banyak melihat dan dilihat mereka.
Maka apabila sesuatu yang buruk terlihat pada anak, seolah terlihat buruknya cara aku mendidik.
Dan apabila teguran tentang anak datang daripada orang lain, walaupun mungkin teguran itu bukan ditujukan kepadaku, hati ini tetap terasa seperti ditampar.
Seolah-olah ada suara yang berkata;
“Bagaimanalah ibunya mendidik anak?”
Sedangkan mungkin bukan begitu maksud mereka. Tapi maaf, aku terasa.
Tapi aku juga ingatkan diri, bahawa bukan semuanya adalah buruk tentang anak-anak ini. Aku tahu anak yang terlupa mengemas itu juga anak yang pernah membantu. Anak yang bertelagah itu juga anak yang boleh saling bermesra selepas bergaduh. Anak yang memilih makanan itu juga anak yang sedang belajar mengenal rasa dan menerima masakan ibunya. Anak yang lambat solat itu masih anak yang sedang belajar membina disiplin dan rasa tanggungjawab. Dan anak yang meniru kelemahanku itu juga anak yang setiap hari melihat aku cuba menjadi lebih baik.
Barangkali di sinilah aku perlu belajar sesuatu.
Mendidik anak bukan kerja sehari dua. Ia bukan tentang menghasilkan anak yang sentiasa kemas, sentiasa patuh, sentiasa tenang dan tidak pernah melakukan kesalahan.
Mendidik anak adalah proses yang panjang.
Ada hari mereka mendengar. Ada hari mereka lupa. Ada hari mereka membuat kita bangga. Ada hari mereka membuat kita hilang sabar.
Dan ada hari, kita sendiri sebagai ibu tidak cukup sabar, tidak cukup tenang, dan tidak cukup kuat. Itu tak bermakna kita ibubapa yang gagal kan?
Aku mahu belajar untuk berhenti meletakkan seluruh kesalahan di pundakku setiap kali anak melakukan kesilapan. Tapi aku juga sedar aku tetap perlu memperbaiki diri dalam mendidik mereka untuk menjadi yang lebih baik.
Aku mungkin masih perlu belajar menjadi lebih tegas, bukan bengis. Perlu lebih sabar dan lebih bijaksana dalam mendidik. Lebih banyak berbicara daripada hanya memarahi. Lebih banyak menunjukkan contoh daripada sekadar memberi arahan. Ya, hakikatnya aku sedar akan semua itu.
Aku mahu percaya bahawa anak-anak ini juga sedang belajar.
Belajar menjadi manusia.
Belajar mengurus emosi.
Belajar bertanggungjawab.
Belajar menghargai kebersihan.
Belajar menyayangi adik-beradik.
Belajar mencintai solat dan kebaikan.
Sebagaimana aku juga sedang belajar menjadi ibu.
Semoga Allah kurniakanku kesabaran yang lebih panjang, hati yang lebih tenang dan kebijaksanaan untuk tahu bila harus bertegas dan bila harus berlembut.
Semoga aku tidak terlalu cepat menghukum diriku atas setiap kesalahan mereka.
Semoga aku terus mempunyai kekuatan untuk membetulkan apa yang perlu dibetulkan, tanpa kehilangan keyakinan bahawa anak-anak ini masih boleh menjadi lebih baik.
Dan buat sesiapa yang melihat kekurangan anak-anak ini, semoga tak cepat menghukum. Kerana mungkin di sebalik anak yang kelihatan belum cukup baik itu, ada seorang ibu yang setiap hari sedang mencuba sedaya upaya.
Ada ibu yang penat.
Ada ibu yang tersilap.
Ada ibu yang menangis selepas memarahi.
Ada ibu yang berulang kali mengingatkan perkara yang sama.
Ada ibu yang setiap malam memikirkan apa yang boleh diperbaikinya esok.
Aku juga adalah ibu itu.
Aku mungkin belum mendidik mereka sebaik yang aku impikan. Tetapi aku juga belum berhenti mencuba.
Dan selagi aku masih mahu belajar, masih mahu memperbaiki diri dan masih mendoakan mereka, aku percaya perjalanan ini belum gagal.
Semoga suatu hari nanti, anak-anakku tumbuh menjadi manusia yang baik , bukan kerana ibunya sempurna, tetapi kerana sepanjang perjalanan membesarkan mereka, kami sama-sama belajar menjadi yang lebih baik.
0 comments:
Post a Comment