Wednesday, 31 December 2025 By: Naemah

DIARI KITA 2025

 


[Januari 2025]

Januari 2025 akhirnya menutup tirai. Begitu pantas masa berlalu.  Sebulan sudah kita harungi di tahun 2025 ini.

Januari juga punya banyak cerita. Di mana pada bulan ini anak-anak meneruskan persekolahan di minggu-minggu terakhir sessi 2024/2025 sebelum bercuti panjang dan melangkah ke sessi pengajian yang seterusnya.

Bulan ni masing-masing beraktiviti bebas saja di sekolah, dah tak belajar. Ada jamuan, dan ada majlis anugerah kecemerlangan. Tahniah pada anak-anak ummi yang sudah mencuba sebaiknya sepanjang satu tahun ini. Yang akan datang, cuba yang lebih baik ye semua!

Anas ada majlis apresiasi di Bangi. Dengan rasminya, tamat belajar di sekolah rendah. Tahniah anakku, 6 tahun yang sudah dilalui dengan kental dan gigih. Selamat menempuh fasa yang seterusnya. Perlu lebih gigih, insya Allah Anas boleh!

Siri ujian kelayakan ke tingkatan 1 diteruskan di sekolah-sekolah pilihan (SMAP Bentong, MITS Bagan Terap dan SMISTA MAIWP). 2 keputusan sudah keluar dan keduanya tak berjaya (MRSM dan SBP ULULALBAB). Takpelah, bukan rezeki di situ nampaknya. Kita tunggu yang lain. Dan tawakkal sesungguhnya. 

Dan bulan ini genap usia Anas 13 tahun, dan genap usia Mussaab 11 tahun. Membesar cepatnya, semoga jadi hamba Allah yang baik dan sentiasa mendamba redaNya. 

Cuti sekolah juga sudah bermula. Kampung menjadi tujuan utama. Balik rumah mek, dan balik rumah nenek. Alhamdulillah abi ada lebih masa bersama, sebelum akhirnya kembali ke laut lagi untuk mencari rezeki. Meninggalkan ummi dan anak-anak di kampung, sehingga berjumpa lagi pada bulan depan, insya Allah.

Menutup Januari di rumah mek, tanpa abi. Insya Allah dipertemukan kembali. Semoga kita semua sihat dan baik-baik saja meneruskan hari yang mendatang. Moga ada sinar, berita gembira, rezeki yang melimpah, bebas dari hutang dan kesulitan, tetap teguh di jalanNya, dan terlepas dari segala musibah dan ujian yang tak mampu kita bersabar dengannya. Ameen.

Februari kita akan lebih baik, insya Allah.





[Februari 2025]

Februari sudah berlalu. Memberi ruang pada Mac pula.

Membuka Februari di kampung, dan masih cuti sekolah. Agak lama dapat spend masa di kampung kali ni. Alhamdulillah.

Kembali ke rumah, lengkapkan keperluan sekolah dan sessi persekolahan bermula pada 17/2/2025. Anas ke SMK Bandar Rinching (tiada rezeki ke sekolah berasrama). Dah jadi pelajar menengah dan perlu membiasakan diri dengan suasana sekolah baru, dan kawan baru. 

Mussaab masuk tahun 5, Miqdad tahun 3, dan Suri di tahun terakhirnya di tadika. Semuanya di sekolah yang berbeza. Tugas menghantar dan mengambil anak sekolah menjadi lebih kerap. Alhamdulillah untuk permulaan ini, abi masih ada bersama untuk uruskan semua.

2 minggu persekolahan selesai. Alhamdulillah semuanya sihat dan kehadiran ke sekolah juga penuh. Minggu depan akan kembali ke sekolah dalam suasana Ramadan pula. Semoga tetap dipermudahkan urusan semua. Menimba ilmu sebanyaknya. 

Bulan ini genap usia Nuha setahun. Alhamdulillah. Nuha membesar baik dan sihat. Ceria dikelilingi ahli keluarga yang menyayangi.

Alhamdulillah untuk Februari ini. Masih Allah cukupkan segala-galanya buat kita. Ujian juga ada, namun sudah tentu hadirnya ia bersama hikmah yang banyak, insya Allah.

Semoga Mac akan lebih baik dan berkat bersama hadirnya Ramadan. Semoga dosa diampunkan, doa dimakbulkan. Ameen.






[Mac 2025]

Mac menutup tirai. Membukanya dengan Ramadan, dan menutupnya dengan Syawal. Masya Allah!

1 Ramadan tahun ini jatuh pada 2/3/2025, di minggu ke-3 anak-anak bersekolah. Sebulan berpuasa, dan Aidilfitri disambut pada 31/3/2025.

Sepanjang Mac/Ramadan ini sempat balik kampung sekali (balik weekend je). Kemudian abi sibuk dengan kerja, dan anak-anak juga sibuk dengan sekolah.

Alhamdulillah semuanya sihat dan berpuasa penuh (kecuali Suri dan Nuha). Kehadiran ke sekolah juga penuh. Menjalani Ramadan bersama-sama. Saat sahur dan berbuka yang pasti akan dikenang. 

Seminggu sebelum Aidilfitri abi terbang ke Sarawak untuk bekerja. Dan kita semua juga tak dapatlah nak balik beraya di kampung. Raya seadanya di Semenyih. Ulang episod PKP, tetapi lebih baik situasinya Alhamdulillah.

Penantian dah tak lama, insya Allah. Abi akan pulang, dan kita akan menuju ke kampung bersama-sama. Meski terlewat, Syawal masih panjang untuk kita raikan. Tak mengapa tahun ini suasana berbeza, tentu ada hikmah bersamanya. 

Melangkah ke bulan April pula. Bukan lagi dalam suasana Ramadan, namun semoga berkat Allah sentiasa mengiringi langkah kehidupan kita. Semoga kita sentiasa bersama petunjukNya agar tetap lurus jalan kita. Ameen. 





[April 2025]

April 2025 bersamaan Syawal 1446H. Sama-sama hadir dan sama-sama berlalu.

April yang dilalui seiring dengan kemeriahan syawal. Raya di sana sini. Makan bermacam juadah. Dan Alhamdulillah, pertama kali juga kita buat open house kat rumah ni.

Sekolah tetap berjalan seperti biasa. Belajar macam biasa. Sambutan raya tak dilupa. Semua sekolah tak terlepas meraikannya. 

Abi balik pada 2 Syawal (1 April) dan esok hari terus balik ke kampung bertemu keluarga dan sanak saudara yang sempat. Balik tak lama, perlu kembali kerana anak-anak bersekolah.

Alhamdulillah, Syawal yang penuh rahmat. Dapat makan sedap, dapat duit raya, dapat bersilaturrahim.

Di penghujung April, abi perlu kembali bekerja lagi. Sempat bawa anak-anak mandi kolam sebelum pergi. Insya Allah Mei, kita jumpa lagi.

Alhamdulillah, menikmati hari yang tetap baik, meski diasak ujian dalam pelbagai bentuk dan rupa. Ujian untuk ajar diri lebih bersabar dan lebih matang dalam menghadapi segalanya dalam hidup ini. 

Mei mendatangi. Semoga segala keadaan akan menjadi lebih baik. Ameen. 




[Mei 2025]

Mei pun berakhir jua. Alhamdulillah, menempuh hari yang baik dan sukar, namun dipermudahkan semuanya.

Syukur PadaNya, semua sihat dan boleh ke sekolah setiap hari. Belajar macam biasa, dan menyertai aktiviti anjuran sekolah dan aktiviti di luar sekolah juga.

Abi dah makin sibuk, kerap ke Sabah dan Sarawak. Sekejap ada, sekejap tiada. Moga anak-anak memahami akan sibuknya abi.

Alhamdulillah sempat balik kampung bulan ni walaupun sekejap. Insya Allah akan balik lagi. 

Anas dan Mussaab (SRIPN) menghadapi exam pertengahan tahun. Selesai exam, dan cuti penggal 1 bermula pada 29/5/2025. (Sekali cuti raya haji). Tapi belum masanya untuk balik kampung, perlu tunggu sehingga tugas abi selesai. Insya Allah, akan balik juga. 

Syukur atas segala nikmat dan anugerah dariNya. Segala hal baik dan buruk yang hadir dalam hidup kita, hakikatnya itu takdir terbaik yang Allah tentukan buat kita. Semoga banyak bermuhasabah diri, memperbetulkan apa yang silap, dan mampu menjadi yang lebih baik pada setiap harinya. 

Jun menanti untuk perjalanan seterusnya. Pimpin kami ya Allah. Jauhkan kami dari segala ujian yang kami tak mampu. 





[Jun 2025]

Menutup Jun dengan kisahnya yang tersendiri.

Jun bermula dengan perjalanan balik kampung sempena cuti sekolah (penggal 1) sekaligus meraikan Aidiladha-tanpa abi kerana abi perlu bekerja.

Seminggu di kampung, kemudian meneruskan hari-hari persekolahan seperti biasa. Mussaab dan Miqdad menghadapi UPSA, dan masing-masing sibuk dengan pembelajaran dan aktiviti koko. Di hujung minggu hanya berada di rumah, tidak ke mana-mana.

Abi pula, jadual padat dengan kerja. Balik hanya untuk sehari dua, dan keluar bekerja lagi. Begitulah hingga sebulan berlalu. 

Kerana abi sering di laut, ummi memikul tanggungjawab di rumah seperti selalunya. Berkejar dengan urusan sekolah anak-anak, dengan hal rumah yang tak pernah sudah. Lelah. Tapi semua orang pun ada bahagian ‘lelah’ masing-masing yang perlu dihadap. Jadi, ajarkan sentiasa hati untuk sabar, ikhlas dan reda. Insya Allah, rahmatNya pasti lebih besar.

Alhamdulillah, semua dalam keadaan baik dan sihat (ada jugalah diuji batuk selesema). Dapat belajar dan bermain, bebas sebebasnya. Makan minum juga cukup, tak bercatu. Walau sering berpisah, sentiasa ada kemanisan pada setiap pertemuan kembali.

Menutup Jun dengan perjalanan balik kampung dan percutian singkat di Himalaya Camp Resort, Gopeng bersama 1001 kenangan yang takkan dilupakan. 

Nikmat apa lagi yang nak kita dustakan?
Syukur pada Allah yang merencana jalan kehidupan yang terbaik untuk kita.

Julai pula menyusul. Semoga kita dapat jalaninya lebih baik, lebih bersemangat, lebih bahagia dan dilapangkan hati dan jalan yang kita bakal lalui. Ameen. 





[Julai 2025]

Julai pun berakhir jua. Alhamdulillah untuk hari-hari yang telah kita lalui bersama.

Anak-anak meneruskan persekolahan seperti biasa. Day by day, week by week, tak ada cuti langsung. Nak curi-curi balik kampung pun tak sempat. 

Kesihatan baik, sedikit ujian batuk selesema, hidung berdarah dan gastrik, Alhamdulillah tak melarat dan mudarat.

Abi yang separuh bulan ini di laut, dan separuh lagi di rumah- lebih masa di rumah bulan ni berbanding Jun lepas. Ringan sikit tugas ummi di rumah dan boleh rehat dari ulang alik sekolah.

Ada perjumpaan dengan guru kelas Anas (SEMEKAR) dan Miqdad (SRAIPB). Alhamdulillah dari segi result tak mengecewakan, namun perlu lebih berusaha untuk lebih cemerlang, insya Allah. Mussaab pula sibuk dengan latihan sukan dan sertai kem jati diri (SRIPN) di Batang Kali. Selebihnya belajar dan aktiviti sekolah. 

Bulan ini Anas mula bercermin mata dan mula berbasikal ke sekolah, dan Suri menutup iqra’ dan mula membaca Al-Quran. Alhamdulillah. 

Menutup Julai tanpa abi yang sudah 5 hari turun ke laut.Insya Allah bakal bersua di bulan Ogos nanti. Semoga dalam keadaan sihat sejahtera dan dilindungi Allah sentiasa. Semoga bersua dan bersatu kembali keluarga ini, dalam keadaan baik, sihat, cukup segalanya, dan diredai Allah sentiasa. Ameen.




[Ogos 2025]

Ogos berlalu jua. Alhamdulillah untuk segala kisahnya.

Ogos yang tak banyak beza dengan Julai. Meneruskan sessi persekolahan yang masih berbaki. Mussaab dah mula ikut kelas tambahan UPKK. Yang lain pergi dan balik seperti biasa. 

Abi pula, tak terlalu sibuk, tapi macam biasalah, sekejap ada sekejap tiada. Weekend yang lepas, sempat abi bawa makan angin di Pantai Pengkalan Balak, Melaka. Dapatlah keluar sekejap dari Semenyih. 

Ada juga diuji tak sihat badan, namun tetap baik-baik semua. Semoga Allah kurniakan sihat dan sembuh buat keluarga ini, ameen. 

Ogos ini, sudah tentu ada program, aktiviti dan pertandingan di sekolah-sekolah berkaitan kemerdekaan.

Bulan ini genap usia Suri 6 tahun, dan genap usia Nuha setahun setengah. Betapa cepat masa berjalan. Puteri ummi pun dah membesar tanpa sedar. Baby pun dah tak baby lagi dah.

Menutup Ogos tanpa abi di sisi. Sudah seminggu ‘sangkut’ di laut dek cuaca yang kurang baik. Plan nak balik kampung cuti merdeka pun terpaksa dibatalkan nampaknya. Apapun, semoga abi di sana sihat dan dapat sempurnakan kerja dengan baik, dan dapat balik cepat, insya Allah. 

Terima kasih ya Allah atas segala nikmat, kesihatan, dan kecukupan. Rahmatilah keluarga kami ini. Pimpinlah langkah kami, bimbinglah hati kami, benarkanlah tindakakan kami. Moga redaMu sentiasa ada buat kami. Ameen. 





[September 2025]

September sampai ke penutupnya. Satu bulan yang punya cerita pahit dan manisnya.

Bermula September di rumah dan sekolah. Mussaab ada exam pra percubaan UPKK, dan Suri ada hari sukan tahunan sekolah. Disusuli pula dengan cuti penggal ke-2 selama 1 minggu. Balik kampung dan raikan hari keluarga di kampung. Meriah sungguh, dan sekali lagi mencipta kenangan manis bersama keluarga besar mek.

Cuti hampir berakhir, dan kita kembali ke rumah. Anak- anak perlu kembali ke sekolah. Exam akhir tahun dan percubaan UPKK juga semakin hampir (next month). Tak boleh main-main sangat dah. 

Ummi pula diuji dengan masalah kesihatan. Untuk beberapa hari, tak mampu tunaikan tanggungjawab seperti biasa. Syukur abi masih ada di rumah, banyak hal tergalas di bahu abi seorang. Alhamdulillah ummi semakin baik dan pulih. Semoga terus sihat dan tak berulang sakit lagi. Ameen.

Menutup September dalam keadaan baik semua. Alhamdulillah. Abi juga masih di sisi. Juga menanti saat kembali bekerja. Semoga dapat abi tinggalkan kita nanti dalam keadaan yang baik semua. Insya Allah. 

Oktober akan terisi lebih baik, insya Allah!





[Oktober 2025]

Oktober sampai ke penutupnya. Permulaan Oktober di rumah, dalam keadaan ummi yang masih belum sihat sepenuhnya, dan abi pula perlu kembali ke laut untuk bekerja. Tawakkal pada Allah, Alhamdulillah menjalani hari yang baik dan dipermudahkan olehNya. Kesihatan ummi juga bertambah baik. Alhamdulillah.

Bulan ni anak-anak menempuh UASA. Bermula dengan Miqdad, disusuli Mussaab dan Anas. Bulan ni juga Mussaab berdepan dengan ujian lisan (tilawah dan hafazan) UPKK dan juga percubaan UPKK. Dan bulan ni genap usia Miqdad 9 tahun. Alhamdulillah.

Cuti Deepavali, sempat berjalan di Melaka. Percutian singkat saja, selebihnya spend masa kat rumah je. Tak dapat balik kampung kerana abi perlu bekerja. Beberapa hari lepas tu demam pula, bersambung-sambung sorang demi sorang. Semua merasa. Alhamdulillah semakin baik dan semakin sembuh. Walau masih diiringi batuk-batuk kecil sesekali.

Menutup Oktober tanpa abi di sisi. Abi di sana juga khabarnya demam, semoga Allah sembuhkan dan dapat bekerja dengan baik. Dan semoga bersua kembali. 

Begitulah cerita Oktober kita. Cukup rencahnya, secukup rasanya. Allah kuniakan nikmat dan ujian, Allah berikan sakit dan sembuh, Allah hadirkan sempit dan lapang, dan segalanya bersama rahmat dan kasih sayangNya. Alhamdulillah untuk segalanya.

Melangkah pula kita di bulan November. Semoga segalanya akan lebih baik, bersinar, bercahaya, dan bersyukurlah kita sebanyaknya, insya Allah. 






[November 2025]

November pun berakhir jua. November, pasca UASA dan sebulan lagi perlu meneruskan hari persekolahan dengan aktiviti-aktiviti yang diaturkan pihak sekolah.

Bulan ini Mussaab berdepan dengan UPKK yang sebenar. Semoga keputusannya nanti adalah yang terbaik dan menggembirakan hati, insya Allah.

Result UASA pun semua dah dapat. Ada ok, ada kurang. Tapi tak ada yang ‘teruk’ sangat. Sederhana dan tetap perlu berusaha lebih lagi tahun depan. Syukur seadanya. 

Alhamdulillah sempat pulang ke kampung sekejap, dan abi pun tak sibuk sangat bulan ni. Banyak masa di rumah, hantar ambik anak sekolah. Ummi banyak masa free.

Tetap menjalani hari yang biasa dan sederhana bersama kecukupan dariNya. Kesihatan juga baik semua. Alhamdulillah.

Sebulan lagi berbaki tahun ini. Sebulan yang kita harapkan akan terus menjalani hari yang lebih baik. Cuti sekolah yang bakal tiba, semoga dapat luang masa lebih kat kampung. Insya Allah.

Disember bakal kita tempuh. Insya Allah  dengan langkah lebih baik, dan cerita lebih baik. 



[Disember 2025]

Bermula Disember kita di Cameron Higland, percutian keluarga yang singkat tapi tetap bermakna.


3 minggu meneruskan persekolahan, kecuali Anas dan Mussaab yang cuti seminggu lebih awal. 


Berkesempatan balik kampung menaiki tren, kemudian berpisah sementara, Anas dan Mussaab di KB, Abi ke Kerteh, dan ummi bersama adik-adik di Semenyih. Pengalaman pertama Nuha bermusafir jauh, naik bas dan keretapi. 


Anniversary ummi dan abi yang ke-15. Alhamdulillah syukur untuk 15 tahun membina kehidupan bersama. Alhamdulillah, kehidupan kita baik bersama anak-anak amanah Ilahi. 


Bulan ini Suri bergraduasi, tamat sudah di tadika, dan bakal melangkah ke tahun 1. 


20/12 bermula cuti akhir tahun. Dengan ini tamatlah Anas di tingkatan 1, tamatlah Mussaab di tahun 6, dan tamatlah Miqdad di tahun 3. Berehatlah dulu semua.


Menutup Disember di kampung. Alhamdulillah dalam keadaan baik semua. Abi juga dah sampai balik, selepas 9 hari perpisahan. Syukur padaNya, kini kita bersatu kembali.


Kini berakhir sudah tahun 2025. Kita tutupnya dengan penuh rasa syukur atas segala nikmat Allah yang tak pernah putus dan tak terhitung banyaknya buat kita. 2026 yang bakal menyusul, semoga kita dapat jalani kehidupan yang lebih baik, dilimpahi rahmat dan kasihNya, dimurahkan rezeki, dilapangkan urusan, dikurnia kesihatan dan kesembuhan, dan sentiasa menjadi hambaNya yang taat. 





0 comments:

Post a Comment