Thursday, 25 December 2025 By: Naemah

2025: ALHAMDULILLAH SESEDERHANANYA

 Beberapa hari lagi Disember bakal menutup tirainya. Setahun 2025 telah pun kita lalui.


Setahun yang punya kisah tersendiri. Ada ujian dan cabaran yang perlu kita tempuh. Ada rahmat dan nikmat yang tak terhitung banyak. Lumrahnya kehidupan.


2025, ada insan yang menemukan sesuatu yang terhebat dalam hidupnya. Contohnya ada yang bertemu jodoh, ada yang menimang cahaya mata, ada yang dikurnia anugerah pekerja atau pelajar terbaik, ada yang memiliki rumah pertama, ada yang dapat melunaskan segala hutang, ada yang menerima jemputan haji, dan sebagainya, kisah kejayaan besar dalam hidup yang tak mungkin dilupakan.


2025, ada juga yang berdepan dengan ujian besar dalam hidupnya. Contohnya kehilangan insan tersayang, ditimpa kemalangan dan terlantar sakit, perceraian, dikhianati orang yang dipercayai, rumah ditenggelami banjir besar, dan lain-lain bentuk ujian lagi.


Buat keluargaku ini, Alhamadulillah sesederhananya melalui setahun 2025 ini. Ada nikmat, ada ujian, namun tiada cerita yang terlalu besar, melainkan hanya kisah-kisah biasa, namun tetap memberi makna pada kehidupan ini.


Syukur, atas nikmat dan rezeki yang Allah sentiasa cukupkan sepanjang tahun ini. Makan pakai yang cukup, malahan sudah berlebihan. Masih ada percutian keluarga, meskipun tak jauh. Masih dapat spend masa berkualiti bersama, dan yang penting,  masih dapat bersama-sama. 


Alhamdulillah, suami yang masih dengan pekerjaannya, bersama kudrat mencari nafkah, dan memainkan peranan besar sebagai ketua keluarga. Keluar bekerja dan masih kembali kepada keluarga yang menantinya. Sepanjang tahun, kisah perpisahan dan pertemuan, tetap itulah kisah kita.


Dalam bab kesihatan, Alhamdulillah baik semua. Tetap diuji tak sihat sesekali, namun akhirnya sembuh jua. 


Tentang pelajaran anak-anak, juga sesederhananya, yang nyata perlu lebih ditekankan dan diperbaiki lagi tahun depan. Tak boleh terlalu selesa dengan pencapaian semasa. Tiada anugerah cemerlang, tetapi tidak juga mengecewakan. Cuma yang pasti, sikap, minat dan usaha yang perlu diperhatikan pada diri masing-masing. 


Bab balik kampung, Alhamdulillah masih tetap mencuba untuk pulang meskipun dalam keterbatasan masa. Masih diberi kesempatan untuk pulang menjenguk orang tua yang sudah sangat uzur, biarpun pulang kita tak mampu lama. Itu juga satu bentuk nikmat dan kesyukuran. Kerana di kampung, masih ada orang tua yang setia menanti dan sering mengirimkan doa. 


Syukur pada Allah untuk segalanya yang kita lalui sepanjang tahun ini. Sepanjang tahun yang penuh dengan rahmat dan kasih sayangNya. Mungkin tiada cerita kejayaan yang terlalu besar, namun setiap hari yang berjaya ditempuh, itu tetaplah jua kejayaan yang perlu disyukuri.


2026 yang bakal tiba, mengimpikan kehidupan yang lebih baik lagi. Banyak lagi urusan hidup ini yang perlu diperbaiki. Perlu sentiasa ingatkan diri ke mana tujuan hidup ini. Perlu fahami akan makna kehidupan ini yang sebenar. Agar tiada sia-sia menjalani hidup. Sungguh, kita bukan sedang berlumba dengan sesiapa, untuk membuktikan hidup kita lebih baik, dan kita lebih berjaya dan lebih bahagia. Kita adalah hambaNya yang perlu berusaha menjadi yang lebih baik dari hari semalam. Mudah-mudahan Allah tunjukkan kita jalan, dan memberikan kebaikan buat kita dunia dan akhirat.Ameen. 





0 comments:

Post a Comment