Sesekali membaca coretan lama. Mengimbas balik kenangan-kenangan lama. Coretan ketika anak masih tak ramai, dan masih kecil.
Coretan tentang aktiviti bersama mereka, alangkah seronoknya. Banyaknya masa pada ketika itu, dapat fokus pada setiap mereka.
Tapi lama kelamaan masa seakan dirampas. Aktiviti bersama si kecil semakin berkurang. Anak makin bertambah, yang besar dan yang kecil semuanya perlu diberi perhatian.
Dulu-dulu, ketika anak dua dan tiga, banyak juga keluhan dan luahan rasa ‘sukar’ menjalankan peranan seorang ibu. Cerita ‘struggle’ ibu muda yang mempunyai anak kecil.
Kini kisah ‘struggle’ itu masih bersambung-sambung. Makin mencabar bila anak makin ramai, dari usia remaja, kanak-kanak hingga baby. Jika dulu sukar sebagai ibu yang baru nak belajar jadi ibu, kini bentuk kesukarannya berbeza, bagaimana nak handle anak-anak di peringkat umur yang berbeza, dengan cabaran yang berbeza berbanding dulu.
Dulu catatan balik kampung sentiasa ada dan kerap pula, sebab anak masih belum bersekolah dan boleh balik bila-bila masa (time abi cuti). Balik kampung sentiasa jadi cerita yang menyeronokkan.
Kini masa untuk balik kampung kian terbatas bila semua dah bersekolah. Namun masih ada cerita balik kampung sesekali. Alhamdulillah, masih boleh bercerita tentang mek dan nenek yang setia menanti kepulangan di kampung, walau semakin lama semakin singkat waktu bertemu mereka.
Dulu rajin menulis tentang ‘diari anakku’. Cerita tentang aktiviti seharian mereka yang masih kecil di rumah. Apa mereka buat, apa mereka main, apa mereka makan, dan sebagainya.
Kini tiada lagi catatan seperti itu. Tak terkejar nak mencatat semuanya. 5 anak dengan 5 cerita, sudah tentu panjang ‘diari’nya.
Dulu juga ada perkongsian resepi dan aktiviti homeschooling. Walaupun tak pandai sangat masak, sesekali share juga resepi apa yang dimasak. Dan sebab rajin buat aktiviti dan mengajar anak-anak, berkongsi juga tentang pembelajaran di rumah.
Kini tak ada resepi lagi, dan tak ada perkongsian aktiviti tertentu bersama anak-anak lagi. Entahlah.. dah tiada minat nak menulis tentangnya. Dan kesuntukan masa untuk semua itu. Kadang kesian pada adik-adik yang kecil ini, ummi seperti tak punya masa untuk mereka.
Dulu juga sering menulis nukilan bersempena hari lahir dan hari ulangtahun perkahwinan. Sebagai ingatan dan kenangan dengan bahasa kasih buat insan tercinta.
Dan kini masih lagi. Tak ku lupa catatan istimewa di setiap hari lahir anak-anakku saban tahun, dan catatan penuh cinta dan ikhlas di hari ulangtahun perkahwinan yang sudah lebih sedekad ini.
Dan catatan tentang aktiviti jalan-jalan, pun sering juga ditulis suatu masa dulu. Takdelah banyak berjalan sangat. Cuti-cuti Malaysia saja. Tapi rugilah kalau tak catat kan.
Kini juga masih menulis tentang tempat-tempat bercuti untuk kenangan bersama. Sayang rasanya jika tak dicatat. Itu kenangan berharga bersama yang tercinta. Selagi masih ada kesempatan bersama-sama.
Dan masa akan terus berjalan lagi. Entah bentuk cerita yang bagaimana lagi akan tercatat di sini. Semua tentang perjalanan ‘kita’. Ketika anak kecil, lain kisahnya. Bila anak dah besar, berbeza ceritanya. Dulu cabaran sebagai ibu muda, lain bentuknya. Kini menjadi ibu yang dah makin berusia, lain pula bentuk cabarannya.
Tapi selagi ummi ini masih sihat dan mampu menulis, di sinilah akan tercurah segala cerita dan isi hati. Ya, tak mungkin semua dapat dicatat. Selebihnya hanya mampu tersimpan di hati.
Dan tulisan ini bukan saja untuk menyimpan memori, tetapi untuk jadikan rujukan memperbaiki diri.

0 comments:
Post a Comment