Bermulanya kisah. Selepas grad dari UIA, April 2010 aku daftar kelas memandu. Mak yang sponsor 100%. Terima kasih bondaku yang tercinta. Sebelum dapat lesen ‘tiba-tiba’ bertunang (Jun 2010). ‘Tiba-tiba’ sebab tak jangka, tak kenal, tak bercinta (panjang ceritanya. Tapi bukan nak highlight pasal ni).
Dan masa bertunang tulah aku dapat lesen memandu. Masa tu, sekadar ada lesen, kereta tiada. Kemudian nikah pada tahun yang sama (Disember 2010). Still lesen tu diperam tak diguna. Walaupun ada lesen, penakut amat nak memandu. Tambahan pula tiada keperluan untuk memandu. Ke sana sini suami bawa. Bila suami di laut, ada orang lain yang boleh tolong tumpangkan.
Berlanjutan sehingga suami tak lagi belayar, ada anak seorang hingga tiga orang, masih tak berani nak memandu. Masih rasa tiada keperluan untuk memandu. Hanya memperbaharui lesen bila sampai masanya.
Sampailah satu saat bila anak sulung dah masuk sekolah tadika (2017), masih anak tiga, perlu beranikan diri untuk memandu untuk hantar dan ambil anak dari tadika yang jaraknya hanya lebih kurang 1km dari rumah. Biasalah pada permulaannya, bermacam rasa hadir. Takut dan teragak-agak. Tapi perlu paksa berani. Lama-kelamaan jadi biasa. Hantar dan ambil anak tadika menjadi rutinku tika suami di laut. 2 anak yang masih kecil jadi penumpang setia. Alah dekat je- 1km je. 4 trip je sehari (pergi dan balik). Tapi itulah permulaannya yang membawa kepada hari ini.
Dari hantar dan ambil yang sulung ke tadika, kemudian buat pertama kalinya memandu sendiri untuk check-up kandungan (2019, anak ke-4). Tak payah dah suami hantar ke klinik. Cuma bila suami tak ada, memang kena bawa sekali la anak-anak yang masih kecil tu ke klinik. Klinik pun tak jauh, dalam 1km juga.
Dari tadika, kemudian bersekolah rendah. Makin jauh pula jaraknya (7km). Kena paksa berani lagi. Tak ada siapa boleh ambil tugas. Hanya boleh ‘cuti’ memandu ketika suami ada di rumah. Ya, makin lama makin confident di jalan raya. Tapi tak pergi jauh la. Pergi balik sekolah saja. Atau beli barang keperluan di kedai/pasaraya berdekatan rumah.
Dan kemudian seorang demi seorang anak membesar dan masuk sekolah. Yang sulung, yang kedua, yang ketiga dan yang keempat. Sehingga tahun ini, 4 anak sudah bersekolah. Dari sekolah tadika hinggalah sekolah menengah. Pulak tu, keempatnya di sekolah yang berbeza, masuk dan balik sekolah pada waktu yang berbeza.
Dari takut-takut nak memandu, rupanya hari ini ia jadi rutin yang tak dapat dielakkan. Tahun ini, perlu menempuh 14 perjalanan (pergi dan balik) setiap hari. Syukurlah yang sulung dah bawa basikal ke sekolah sejak beberapa bulan lepas. Jika tidak, tripnya bertambah lagi.
Di samping jadi ‘driver’ anak-anak ke sekolah, pernah juga memandu lebih jauh dari rumah. Pernah memandu ke KLIA, pernah sampai Klang, dan paling jauh pernah sampai Bagan Datuk, bawa anak exam UKKM time suami kat laut. Dan itulah yang paling mencabar. Redah dalam takut. Berjaya sampai dan berjaya balik. Alhamdulillah. Itu jadi pengalaman yang tak mampu dilupakan, kerana sepanjang perjalanan pergi dan baliknya ada kisahnya yang tersendiri.
Ringkasnya dari coretan ini, tahun 2010 aku dapat lesen memandu, tahun 2017 baru betul-betul memanfaatkannya. Tahun ke tahun semakin sibuk, mengahantar anak-anak sekolah yang seorang demi seorang kian membesar. Dari takut jadi lebih yakin, walau skill memandu tidaklah setara mana lagi.
Namun Alhamdulillah. Berani kerana keadaan yang memaksa jadi berani. Kalau tak, sampai bila nak peram saja lesen memandu ni kan?
Terima kasih buat bondaku yang membiayai lesen memanduku, semoga jadi pahala jariah yang berpanjangan untuknya. Dengan lesen ini aku bergerak menghantar dan mengambil cucu-cucunya di sekolah untuk menuntut ilmu.
Dan Inilah kisahku. Ada ke yang sama macam aku? Semoga ada iktibar dari penyampaian ini.
0 comments:
Post a Comment