Sunday, 5 November 2023 By: Naemah

CATATAN KEHAMILAN: CABARAN YANG BERBEZA

Mengandungkan Anas (2011)

Mengandung kali ke-2 selepas keguguran yang pertama. Sangat berhati-hati dan berjaga-jaga, dengan harapan tak berlaku kehilangan lagi. Dan Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan mudah. Temujanji di klinik tak jadi masalah. Klinik dekat, masa ni tinggal kat kampung lagi. Abi pun banyak masa terluang lepas resign dari company lama. Tiada komitmen, segalanya senang dan mudah diharungi bersama. Sampai masanya, Anas selamat dilahirkan (12/1/2012).


Mengandungkan Mussaab (2013)

Ketika ini Anas dah berusia 1 tahun lebih. Tengah melasak, tapi Allah permudahkan kehamilan ini. Paling mudah, seingat ummi :) Masa ni dah tinggal di Melaka, jauh dari keluarga. Tapi dapat jumpa abi setiap hari sebab abi dah tak belayar. Temujanji klinik pun setiap kalinya, abi dapat teman sambil layan Anas. Sampai masanya, balik bersalin di kampung. Mussaab lahir pada usia Anas genap 2 tahun (19/1/2014)


Mengandungkan Miqdad (2016)

Sebelum Miqdad, sekali lagi keguguran. Dan selepas itu mengandungkan Miqdad. Masa ni sedikit mencabar sebab abi dah kerja dengan company baru yang perlukan abi selalu travel ke Sabah dan Sarawak. Masih Allah permudahkan, walaupun dalam keadaan mengandung perlu juga jaga Anas dan Mussaab yang tengah lasak membesar bersama. Temujanji di klinik pun rasanya agak mudah, biarpun masa tu ummi tak berani drive lagi. Time abi ada, abi bawa ke klinik. Bila abi terpaksa kerja, abi hantar dulu balik kampung dan buat check up di kampung. Nak balik kampung pun takde halangan sebab Anas dan Mussaab masih belum bersekolah. Tiba masanya, balik bersalin di kampung (13/10/2016).


Mengandungkan Suri (2019)

Lebih mencabar sebab masa ni Anas dan Mussaab dah bersekolah di sekolah yang berbeza. Yang mana ummi dah kena beranikan diri untuk drive, hantar anak-anak sekolah dan drive sendiri ke klinik bila ada temujanji. Ummi jadi lebih berdikari kali ini. Tak terlalu bergantung pada abi. Abi ada atau tiada, ummi perlu uruskan segalanya sendiri. Urus anak sekolah, jaga Miqdad yang masih kecil, dan hal-hal yang lain juga. Dah tak boleh nak balik kampung selalu, sebab bergantung pada cuti sekolah. Dah dekat due bersalin, balik kampung dan selamat bersalin di kampung (15/8/2019).


Mengandung kali ini (2023)

Lebih-lebih lagi mencabar, bila empat yang di atas juga dah masuk sekolah semuanya. Boleh kata setiap hari berperang dengan masa. Ada masa releks, ada masa berkejaran. Lebih berdikari, banyak bergerak sendiri untuk setiap temujanji, hingga temujanji di Hospital Kajang. Pendek kata, tempoh kehamilan kali ini lebih menguji diri. Namun syukurnya (biarpun bersama kencing manis ini), 6 bulan kehamilan ini boleh dikatakan sangat baik. Takde masalah pada kandungan, penat lelah ummi pun, masih boleh dihadap dengan baik. Lumrah orang mengandung, adalah penat, sakit kepala dan lemah badan sesekali. Alhamdulillah tak serius. Allah sebaik-baik yang menjaga dan melindungi. 


Begitulah pengalaman mengandung yang telah dilalui, dulu dan sekarang. Allah memberikan ummi pengalaman yang berbeza, tak mudah semua, malahan makin mencabar, tapi setiap kesukaran yang dilalui, tetap ada bersamanya kemudahan, dan keseluruhannya adalah kemanisan yang ummi percaya akan ummi rindukan di masa-masa akan datang. 


Untuk anak ummi yang sedang ummi kandungkan kali ini, ummi minta maaf kerana kurang memberi perhatian khusus pada kandungan ummi ini, lantaran sibuknya hari ummi dengan urusan harian. Terima kasih kerana terus kuat di sini. Melalui hari-hari bersama ummi. ‘Saksi’ pada ‘huru-hara’ dalam rumah ini setiap

kali berkumpulnya semua. Saksi pada saat tenang dan kusutnya ummi, pada saat gembira dan sedihnya ummi…


Semoga kita berdua dapat melepasi tempoh kehamilan ini dengan baik. Ummi tak sempurna menjaga. Namun Allah jualah tempat ummi bergantung dan berharap. Semoga sihat sentiasa anakku! Insya-Allah, tiba masanya kita pasti bersua di dunia nyata ini. 




zuriat; anugerah dan amanah Allah yang semakin menganjak besar dan dewasa.
Cepat masa berlalu kan??


0 comments:

Post a Comment