Thursday, 16 November 2023 By: Naemah

DEWASA KERANA PENGALAMAN HIDUP

38 tahun lebih sudah hidup di dunia ini. Tak sedar pun masa itu berlalu. Hanya bila direnung sejenak, banyak sudah ‘zaman’ yang sudah dilalui. Setiapnya punya kisah dan cerita sendiri. Punya 1001 rasa yang tak mampu diterjemahkan.


Dari saat lahirnya ke dunia-ketika tidak mengerti dan tak mampu mengingati apa-apa. Malahan aku tiada kenangan berbentuk gambar atau tulisan. Hanya sedikit cerita dari orang tua, yang ada tersimpan dalam memori. Biarpun tak banyak, aku percaya waktu kecilku juga dililimpahi dengan cinta dan kasih sayang ibubapa dan ahli keluarga. 


Melangkah ke zaman kanak-kanak, ada juga memori yang aku ingat, ada juga yang tidak. Dan ketika itu, tak banyak juga momen berbentuk gambar yang dirakam. Maklumlah, zaman 80-90an. Orang kampung pula. Tak ada kelebihan di situ. Tapi zaman kanak-kanakku juga penuh ceria, biarpun bergelar yatim pada usia 3 tahun. Yalah, zaman tak memikirkan masalah dan kekurangan diri. Hanya mahu seronok-seronok saja. Ada sedih pun tak lama, sedih budak-budak, kerana hal-hal yang kecil saja. Syukurlah, kekurangan tak menjadikan zaman kanak-kanakku suram.


Melangkah pula ke zaman remaja. Zaman ‘berperang’ dengan segala rasa. Terbit rasa cemburu pada kelebihan orang, zaman ingin mencuba sesuatu yang baru tanpa mengimbangi baik dan buruk, zaman memilih-milih kawan dan sahabat yang serasi, dan zaman bergolaknya jiwa dan raga atas pelbagai alasan. 


Aku tetap aku yang sejenis ‘diam’ dan kurang bergaul. Namun pada ketika ini aku masih mampu membina persahabatan dan menjalani zaman remaja yang sederhana. Banyak buat silap juga, namun Allah tetap menjaga sebaiknya. Pelajaran masih yang utama. Maruah diri masih terpelihara. Bab cinta, memang aku tak mampu saingi yang lain. Tak ada apa yang menarik tentang aku untuk terjerumus dalam cinta monyet seperti kawan-kawan yang lain. Aku tak berpengalaman menikmati ‘sweet’nya bercinta ketika itu.


Sampai ke peringkat pengajian lebih tinggi pun, aku masih tetap aku. Sukar untuk aku menjadi orang lain yang lebih pandai bergaul dan bergaya, yang bijak bertutur dan berpenampilan, dan yang menyerlah di mata sesiapa. Gambaran tentang aku, hanya ‘gadis terpinggir’ yang sibuk dengan buku dan dunia sendiri. Ada atau tiada, tak siapa pun kisah kot!


Tapi zaman belajar ini juga zaman yang bebas dan enjoy! Hanya fikirkan diri sendiri dan belajar sahaja. Aku yang sentiasa selesa biarpun tika bersendiri. Ke kelas, library, cafe, outing, dan segalanya. Jika tak ada sesiapa untuk menemani, aku boleh saja bersendirian untuk semua itu. Dan aku juga tetap punya sahabat yang ikhlas mendekati. Ya, biaprpun tak ramai. Zaman remaja ku masih penuh dengan warna warni dan gelak tawa dengan kehadiran mereka. Cerita sedih dan kecewa tetap juga ada. Senyum, tawa dan tangis itu juga sebahagian dari kisah hidup. Itukan sudah lumrah.


Zaman remaja semakin meninggalkan. Tak sempat aku melangkah ke alam kerjaya, kerana jodoh terlebih dahulu menyapa. Zaman solo berakhir, masuk pula ke alam rumahtangga. Tak lagi bersendirian. Sudah ada teman sejati di sisi. Kalau boleh diulang, zaman awal perkenalan dan pernikahan inilah yang ingin aku ulang kembali. Zaman ber’dua’ yang belum puas dinikmati. Ketika inilah buat pertama kalinya merasakan manisnya bercinta. Syukurlah Allah tak izinkan aku bercinta di zaman remaja dulu. Tak ada peluang untuk aku membandingkan. Menikmati cinta seadanya, dengan hanya dia satu-satunya. Salam pertama yang dihulur, juga senyum manis yang menyapa suatu ketika dulu, menjadi kenangan terindah dalam hidup ini.


Alam perkahwinan ini juga melalui banyak fasa, dan dah tentu banyak kisah dan cerita juga. Saat berdua yang lebih tenang tanpa komitmen yang banyak, beransur menjadi lebih berat dengan kehadiran satu persatu cahaya mata, amanah dari Allah. 


Zaman anak seorang, situasinya lain, hadirnya yang kedua dan seterusnya, juga lain situasi dan keadaannya. Hampir 13 tahun usia pernikahan, menyaksikan banyak cerita hidup yang tak mampu ditulis dan dicatat semuanya. Ada jatuh bangun. Ada bahagia dan kecewa. Ada gembira dan sedih. Ada tawa dan tangis. Semua itu berlalu dan menjadi kenangan bersama menitinya hari. Yang berlalu biarkan ia berlalu. Kerana masih Allah pinjamkan usia, langkah ini perlu diteruskan jua. 


Masa lalu banyak mengajar erti kehidupan. Bukan sekadar untuk dilalui dan ditinggalkan. Yang baik jadi tauladan, yang tidak baik jadikan sempadan. Pengalaman lalu membina kematangan diri. Diri ini yang sekarang, banyak berbeza dengan yang terdahulu. Mudah-mudahan, semakin baik di sisiNya, bukan sebaliknya. 


Benarlah hidup ini tak lama. 38 tahun ini, hakikatnya sebentar cuma. Tak sedar pun masa berlalu. Sedar-sedar dah tua. Anak-anak makin membesar dewasa. Kalau masih dipanjangkan usia, sempatlah bergelar ‘nenek’ pula. Insya-Allah, mudah-mudahan kesihatan yang baik juga Allah bekalkan untuk meniti hari-hari yang berbaki. 


Semakin ke penghujung usia, tak lain yang  diharapkan melainkan keampunan dan keredaan Allah semata. Dah banyak berbuat dosa. Dah banyak mempersiakan waktu. Berulang taubat dan dosa. Turun naik iman, begitulah hakikatnya hamba yang hina ini. 


Moga di hujungnya nanti, seluruh dosa diampunkanNya. Biar penutupnya bersama taubat. Biar titik noktahnya usia ini adalah Husnul Khatimah!


AMeen ya Allah…



Satu-satunya gambar kenangan bersama ‘ayah’.

(Kalau tak silap tahun 1988- dan ayah ‘pergi’ juga tahun 1988)

Gambar kenangan bersama mek dan ayah & abang sulung dan isteri dan anak sulungnya

0 comments:

Post a Comment