Monday, 27 March 2023 By: Naemah

RAMADAN DAN KEMBALI KE SEKOLAH



20-3-2023

Kembali ke sekolah



Alhamdulillah sudah masuk hari ke-5 berpuasa. Dan Alhamdulillah sudah masuk minggu ke-2 anak-anak bersekolah sessi baru. 


Bermula sessi persekolahan 2023/2024 pada 20 Mac 2023. Seminggu sebelumnya sudah kembali ke rumah, selepas berada di kampung selama lebih kurang 3 minggu. Balik semula ke rumah, untuk selesaikan hal sekolah. Lengkapkan keperluan yang mana belum cukup, settle hal yuran dan buku, dan hadir orientasi tahun 1 Miqdad di SRAIPB. Alhamdulillah Allah permudahkan segalanya. Sempat juga abi bawa anak-anak menonton Didi & Friends the movie di pawagam sebelum buka sekolah.


Beberapa hari sebelum tu agak sibuk juga, menerima tetamu nenek, mak de, mak andak, maksu dan family pak lang. Ulang alik KLIA hantar nenek, mak de, mak andak dan mak su yang nak tunaikan umrah, dan hantar family pak lang yang nak balik Sarawak. Kemudian anak-anak ikut pula abi hantar abang Muaz ke MRSM Jasin, Melaka. Agak padat masa, namun dalam masa yang sama anak-anak seronok dengan kunjungan sepupu mereka.


Kini dah kembali ke sekolah seperti biasa. Anas dah melangkah ke tahun 5. Berbaki 2 tahun saja lagi di sekolah rendah. Ummi harap Anas akan lebih fokus dan bersungguh belajar untuk dapat kecemerlangan. Anas boleh, insya Allah! Mussaab pula melangkah ke tahun 3. Masih meneruskan pengajian di SKKR dan SRIPN. Ummi juga harapkan Mussaab lebih serius belajar, dan kurangkan ‘main-main’. Mussaab juga akan cemerlang jika lebih berusaha, insya Allah! 


Miqdad pula melangkah ke tahun 1 di SRAIPB bersama Anas setelah 3 bulan ‘bercuti’. Masuk sekolah baru dan persekitaran baru. Sekolah kini tak sama dengan sekolah yang dulu, namun ummi percaya Miqdad akan suka dan akan biasa dengan sekolah baru. Miqdad yang baru bermula, semoga akan tekun belajar dan mendapat ilmu yang bermanfaat. Miqdad juga pasti akan cemerlang, insya Allah!


1 Ramadan jatuh pada hari ke-4 persekolahan. Anak-anak meneruskan persekolahan seperti biasa. Hari pertama puasa sudah pasti mencabar. Namun tahniah anak-anak kerana dapat melepasi cabaran hari pertama puasa. Sehingga hari ke-5 ini, anak-anak masih berpuasa penuh. Alhamdulillah. 


Dan bersyukur juga, abi ada bersama menyambut Ramadan kali ini setelah 2 tahun menyambut Ramadan tanpa abi. Ini juga anugerah dari Allah yang tak ternilai harganya.


Syukur anak-anak dah besar. Puasa atas kehendak sendiri. Setiap malam ke surau berjemaah terawih dan solat fardu. Dan  manisnya saat bersahur dan berbuka bersama, walau tetap ada ‘drama’nya sesekali. Itu semua akan kita ingat dan kita kenang.


Alhamdulillah dan bersyukur untuk Ramadan kali ini, yang di dalamnya terhimpun rahmat dan kasih Allah yang tak putus. Alhamdulillah kita menjalani hidup dengan sangat baik. Meskipun bersama ujian yang tetap mendatangi. 


Semoga bersama keberkatan Ramadan ini, dapat kita usahakan untuk memperbaiki diri menjadi insan dan hamba yang lebih baik. Insya Allah. 



Indahnya Ramadan








0 comments:

Post a Comment