Tuesday, 24 November 2020 0 comments By: Naemah

DIARI ANAKKU: 241120



Hari ni masih di dalam tempoh PKPB (minggu ke-6 rasanya). Alhamdulillah lengkap keluarga kita, abi dah 2 hari berada di rumah selepas balik dari Bintulu. 


Pagi ni bangun awal seperti biasa, solat subuh berjemaah dan breakfast bersama. Hari ni abi beli nasi lemak di luar. Lepas makan dan kemas (sekitar jam 8 pagi), mula ‘masuk kelas’ seperti biasa. Anas menyiapkan tugasan matematik dan Tauhid, Mussaab siapkan latihan english dan Sains, Miqdad pula melukis. Suri ummi tinggalkan menonton video omar dan hana, sebab ummi perlu beri perhatian pada abang-abang. Abi juga sibuk dengan kerjanya.


Dah selesai homework, masing-masing duduk di depan tv dan menonton video kegemaran (dan main game sama-sama di iPad). Suri dah mula mengantuk. Jam 9, ummi bawa Suri naik, susukan dan akhirnya tertidur. Jam 10 pagi abi ke KL (masuk ofis hari ni). Ummi rehat bersama Suri, biarkan abang-abang Suri dengan hal masing-masing.


Jam 11 pagi turun ke bawah bersama Suri. Anas, Mussaab dan Miqdad masih di depan tv. Ummi minta tengokkan Suri, sebab masa untuk ummi memasak. Setengah jam kemudian selesai masak, makan sama-sama. Hanya Mussaab yang tak join, kenyang katanya. Lepas makan lepak depan tv lagi. Abi balik sekitar jam 12.15. Keluar sekejap bermain basikal di halaman. Abi makan dan sambung kerja di depan laptop lagi. Suri menonton video Didi&Friends pula. 


Jam 1 naik ke atas untuk solat Zohor. Selesai solat, turun semua sebab it’s time to ‘play game’. Itu memang saat ditunggu-tunggu. Ummi rehat dan tidur bersama Suri. Abi masih dengan kerja yang belum selesai (di bawah bersama anak-anak).


Jam 3.30, ummi dan Suri bangun. Abi baru nak tido. Abang-abang Suri masih leka bermain di bawah. Jam 4 ummi dan Suri turun ke bawah. Suri menonton video Omar dan Hana dan duduk bersama abang-abang. Masuk asar, semua naik ke atas dan solat. Lepas solat turun semula ke bawah. Abi keluar beli pizza untuk makan malam. Makan sama-sama, lepas tu keluar berbasikal di luar ditemani abi.


Hampir masuk waktu maghrib, naik mandi dan solat berjemaah. Lepas maghrib lipat kain baju masing-masing bersama-sama (cuti baca al-Quran malam ni). Dah selesai, main sekejap, solat isyak dan ready untuk tidur. Alhamdulillah jam 9 malam, sudah lena semuanya.


Semoga lena tidur semua. Moga bermimpi indah semua. Dan moga esok akan menjanjikan yang lebih baik untuk Anas, Mussaab,  Miqdad dan Suri.


Love you all


Nota kaki: hari ni kes harian COVID-19 mencatat angka tertinggi (2188 kes)



Friday, 20 November 2020 0 comments By: Naemah

PKPB: BELAJAR DI RUMAH



Sudah 5 minggu Selangor menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat-PKPB (kali yang kedua). Masih belum ada tanda untuk berakhir kerana kes harian COVID-19 masih tinggi.

Semenjak PKPB diumumkan (bermula 14 Oktober 2020), anak-anak kembali ‘bercuti’ sekolah, atau dengan kata lain kembali belajar di rumah. Oleh kerana masih dalam sessi persekolahan, anak-anak masih perlu belajar dan membuat latihan yang disediakan oleh guru.

Anas dan Mussaab tak terkecuali, perlu ‘masuk kelas’ setiap hari. Anas menerima tugasan melalui whatsapp group (2 subjek setiap hari). Tempoh yang diberikan untuk siapkan setiapnya adalah selama seminggu. Dah siap, perlu informkan pada guru untuk mereka record. 

Mussaab juga sama, setiap hari akan siapkan worksheet yang diberikan oleh guru. Di samping tu latihan dan video disediakan juga di google classroom, dan yang terbaru Mussaab juga belajar secara online melalui google meet. 

Alhamdulillah setakat ini pembelajaran Anas dan Mussaab berjalan dengan baik. Untuk Anas, memang perlu usahakan untuk siapkan latihan yang diberi pada hari yang sama, atau paling lambat pun keesokan harinya, demi untuk elakkan kerja tertangguh banyak, nanti tak terkejar pula nak siapkan semua sekali dalam satu masa. Dahlah memang nak kena ada sekali untuk ajar, pantau dan pastikan betul dan lengkap. 

Begitu juga Mussaab, selalunya akan pastikan semua tugasan diselesaikan pada hari yang sama, atas alasan yang sama juga. Mussaab ni lagilah nak kena ada sebelah dia, kalau tak mengelamun je lebih.

Tak dinafikan, bila anak-anak perlu belajar di rumah terasa bagaikan makin bertambah tanggungjawab. Di samping tanggungjawab yang sedia ada, dan sekarang perlu jadi ‘cikgu’ pula, memang kadang-kadang rasa tak terkejar juga. Tapi tak adalah sampai menyusahkan sangat pun, cuma kena pandai uruskan masa dengan sebaiknya.

Sedikit saja masa lagi perlu bertahan. Dah tak sampai sebulan dah, sekolah akan bercuti panjang. Cuti akhir tahun, sebelum bermulanya sessi persekolahan tahun 2021. Ummi perlu sabar mengajar, anak-anak perlu sabar hadap guru yang garang kat rumah ni, dan guru-guru juga perlu sabar untuk memberi dan mencuba sehabis baik dalam suasana mendidik yang tak seperti dulu, bahkan semua perlu bersabar. Kerana hakikatnya kita semua sedang diuji.

Ya, dah tak lama. Lepas cuti nanti insya Allah akan kembali bersekolah untuk sessi baru. Anas masuk darjah 3, Mussaab pula bakal melangkah ke tahun satu. Semua mengharapkan dan mendoakan situasi akan lebih baik. Semua punya harapan yang sama, akan berkurangan wabak ini, akan beransur baik, akan baik segala-galanya. 

Insya Allah.
Thursday, 19 November 2020 0 comments By: Naemah

20 HARI PKPB YANG SEMPURNA




 

Selepas 20 hari berada di rumah, suamiku kembali menyambung tugasnya. Alhamdulillah, kali ini agak lama dia di rumah. Macam mimpi. Sebab selalunya rumah jadi tempat transit untuk beberapa hari je, sebelum menyambung tugas demi tugas, dan kuarantin demi kuarantin. Mungkin juga ini hikmah di sebalik PKPB, yang mana suami tak perlu menjalani kuarantin di hotel (kira dah berkuarantin di rumah barangkali, sebab tak boleh ke mana-mana juga di musim PKPB ni).


Kali ni suamiku ke Bintulu, Sarawak. Aku tenang melepaskan dia pergi. Rasa ‘dicukupkan’ masa bersama dia, selama dia ada. Cukup cover masa berpisah lama sebelum ini. Terima kasih ya Allah.


Dia ada dan dia tiada, tetap ada bezanya. Tapi ini hakikat dan realiti kehidupan kami sekeluarga yang perlu ditempuh. Bertemu dan berpisah, seperti selalunya.


20 hari bersama, syukur terasa amat lengkap keluarga ini. Walaupun tak dapat nak ke mana-mana, di rumah pun cukup membahagiakan. 24 jam lalui kehidupan bersama satu keluarga. Tak dinafikan, bukan suasananya tenang dan baik setiap masa. Konflik itu juga lumrah. Dengan urusan rumahtangga yang tak berkesudahan, anak-anak yang bermacam ragamnya, suami isteri yang bukan sependapat dan sehaluan setiap masa, tapi Alhamdulillah, semua itu hakikatnya untuk meng’utuh’kan lagi cinta. Dalam gembira, sedih, marah, geram.. hakikatnya kita tetap cinta. Setia  bersama-sama.


Insya Allah perginya kali ini juga tidak lama. Walaupun sentiasa ada kebimbangan, namun doa sentiasa akan mengiringi. Seperti selalunya juga pada setiap perpisahan, kami mendoakan pertemuan yang indah. Insya Allah.


Selamat kembali bertugas suamiku. Moga Allah sentiasa menjagamu dan menjaga kami yang menanti kepulanganmu.












Tuesday, 10 November 2020 0 comments By: Naemah

MENDEKAT SATU DEKAD

 


Menghitung hari. 

Sebulan lagi genaplah 10 tahun usia perkahwinan kami.

Masya Allah. Tak tahu bagaimana untuk menggambarkan rasa. Sampai juga kita ke hari ni ye? 


10 tahun - Allah pinjamkan dia untukku.

Bersamanya juga lahir putera dan puteri kami. 10 tahun yang bukan sekejap. Banyak yang dah ditempuh bersama. Banyak asam garam dan rencah rumahtangga yang dah dirasa bersama. 


10 tahun juga usia perkenalan. Dari tak kenal langsung, sekarang dah kenal sangat perangai masing-masing :D baik buruk terserlah, tapi masih mahu kenal dan kenal lagi. Moga Allah masih izinkan. 


10 tahun, kerap melalui episod bertemu dan berpisah. Tak sama dengan pasangan lain yang hampir setiap hari ada bersama. Pasrah, kerana ramai juga yang senasib, malah diuji lebih lagi. Tiap perpisahan diiring dengan doa agar sentiasa sihat, selamat dan dipertemukan kembali. Tiap pertemuan, sentiasa membahagiakan kerana detik itu sentiasa ditunggu-tunggu.


10 tahun bersama, hubungan tetap ada pasang surutnya. Tapi Alhamdulillah tak pernah bergaduh besar. Allah sentiasa lorongkan pada perdamaian. Allah sangat menjaga ikatan ini. Rugi yang amat besar, sudahlah sering jauh, dah jumpa asyik nak cari pasal saja. Hanya mengundang sesal. 


Tiada kata yang lebih layak. Alhamdulillah untuk ikatan yang terjalin bersama restu ini. Restu orang tua dan keluarga, aku percaya ia mengundang restu Allah bersama. Aku percaya ikatan ini terpelihara oleh kasihNya. Ikhlas aku mencintainya. Dan yakin pada Ikhlasnya dia. 


Semoga Allah pimpin langkah bersama sampai syurga. Ameen

Saturday, 7 November 2020 0 comments By: Naemah

SESEKALI DIUJI SAKIT



 

Diuji dengan 'sakit' yang dah lama aku tak rasa. Tak ingat bila kali terakhir demam, Allah je yang tahu betapa lemahnya diri bila diuji dengan demam. Baring saja yang termampu.


5/11/2020 bermula sakit di bahagian payudara sebelah kiri. Membengkak dan sakit teruk, memang tak boleh sentuh. Teringat dulu sebelum dapat tahu mengandungkan Suri, diuji sakit yang seperti ini juga. 2 minggu lamanya menanggung sakit. Tapi kali ni bukan sebab mengandung (tengah period takkan mengandung kan). 


6/11/2020 sakit makin kuat. Badan rasa lemah, rasa nak demam. Tak termampu nak buat kerja dan layan anak-anak. Alhamdulillah, Allah uji time suami ada kat rumah. Terfikir juga aku, kalau suami takde, macam mana agaknya. Lihatlah betapa percaturan Allah itu baik dan bijaksana. 


Sekitar jam 9 pagi suami ajak aku ke klinik. Kami menuju ke klinik pakar keluarga dan wanita asyfa yang letaknya di Taman Pelangi Semenyih 2. Lepas doktor cek semua, doktor cakap just bengkak disebabkan oleh infection. Sebab sekarang ni tengah menyusukan anak yang berusia 15 bulan, dengan suka gigitnya, dengan macam-macam style menyusunya, mana tak kena infectionnya? Demam ni pula memang normal kata doktor, tanda tindakbalas dari infection tersebut. Sedikit sebanyak lega, walaupun ada gusar dan takut pada mulanya. Tapi seksa dan sakitnya ni, Allah sajalah yang tahu. Umpama bengkak susu, tapi bukan. Doktor berikan ubat surut bengkak dan antibiotic. 


Hari ni di rumah aku banyak rehat, baring, tidur, suami uruskan segalanya termasuk memasak. Kalau ikutkan food panda pun boleh, tapi suamiku memang jenis yang suka makan masakan di rumah. Aku memang tak berdaya sangat dah. Mata mengantuk sepanjang hari, mata berair dek kerap menguap, bernafas pun tak selesa, sakit kepala lagi.. Alah simpton demam, semua orang pernah rasa kan? Tambah lagi dengan sakit di bahagian payudara tu, berganda ujian. Walaupun sakit, masih perlu meneruskan penyusuan anak. Bertahan sajalah. Tapi aku tetap bersyukur, ia tak lebih dari yang mampu aku tanggung. Insya Allah, tak lama sakit ni. Moga Allah hapuskan dosaku bersama kesakitan yang aku tanggung ini. 


Yang paling aku syukuri bersama ujian ini adalah kerana suami ada bersama. Boleh dikatakan sejak kebelakangan ini dia selalu tiada di rumah kerana menjalani kuarantin setiap kali perlu bertugas. Tapi ketika ini bersyukurnya aku bila dia ada di rumah saat aku diuji tak sihat badan. Padahal kalau ikutkan jadual kerja, sepatutnya dia perlu berkuarantin pada masa sekarang ni. Tapi takdir Allah tetap mengatasi segala. Siapa sangka, hingga ke hari ni dia masih ada bersama. 


7/11/2020 keadaanku makin baik. Masih kurang sihat, tapi jauh lebih baik dari semalam. Alhamdulillah. 


Terima kasih Allah. Sesekali aku diuji sakit. Aku terima semuanya dengan redha. Aku bersyukur sakitku masih bisa ditanggung, tidak berlarutan, malahan beransur baik dan sihat. 


Semoga kembali sihat seperti sediakala. Kembali menunaikan tangungjawab yang tertangguh. 



Monday, 2 November 2020 0 comments By: Naemah

NOVEMBER YANG TAK SERUPA

               


  


 Kini sudah berada di bulan November. 10 bulan dah berlalu, tak lama lagi 2020 akan tiba pada penghujungnya. 

Yang pasti tahun ini dilalui dalam situasi dan suasana yang berbeza. Sangat berbeza. Yang tak pernah terlintas akal sebelum ini. 


Ya, angkara Covid-19, aktiviti dan rutin seharian banyak berubah. Malahan tak menyangka, rupanya dah sampai ke penghujung tahun. 


Yalah, kalau sebelum ni anak-anak dah berkira-kira, berapa hari lagi nak cuti sekolah. Cuti akhir tahun, yang sangat ditunggu - tunggu. Boleh sertai aktiviti yang bermacam, boleh balik kampung jumpa saudara, atau boleh lepak di rumah main game sepuasnya. Dalam bulan ni juga, anak-anak dirai dengan majlis penyampaian hadiah, jamuan sekolah, atau hari graduasi sebagai penutup sessi persekolahan untuk tahun tersebut. 


Tapi tahun ni lain. Oleh sebab anak-anak pun banyak tak ke sekolah (sebab PKP), cuti sekolah tahun ni pun jadi dianjak ke hujung bulan depan (Disember). Sessi persekolahan seolah semakin panjang (yelah, sebab time PKP pun kerja sekolah kena buat hari-hari). Nasiblah anak-anak.. Perlu terima semua ni dengan rela. Insya Allah ada baiknya untuk semua. 


Di Selangor, tempoh PKPB masih berjalan sehingga hari ini (hingga 9/11/2020 atau mungkin dilanjutkan lagi, Wallahua'lam). Anas dan Mussaab tetap belajar di rumah setiap hari. Anas akan menerima WhatsApp dari guru subjek yang memberi latihan sepanjang minggu, Mussaab juga siapkan worksheet yang disediakan khas untuk tempoh PKPB ini. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya terisi juga masa mereka dengan aktiviti belajar walaupun hakikatnya tak sebanding dengan belajar di sekolah. 


Tahun ini, boleh dikatakan semua orang banyak menghabiskan masa di rumah. Tempoh PKP lepas yang lama, lepas tu reda sekejap Covid-19 boleh jalan-jalan lihat dunia, anak-anak pun boleh kembali ke sekolah, walaupun perlu jalan norma baru, sikit sebanyak lega dan lebih bebas rasanya. Tapi kini kembali lagi ke episod PKPB, kes pula mencanak naik sampai ke 4 angka, entah bila akan kembali menurun ke satu angka seperti sebelum ni. 


Apapun, ujian ini banyak mengajar. Ujian yang pasti terkandung hikmah yang banyak. Tak mahu meratapi takdir, sentiasa mencari sebab untuk sabar dan syukur. 


Ujian ini, tak siapa tahu bila akan temui penghujungnya. Untuk yang sekarang, berdamai saja dengan takdir ini biarpun masih pahit dan kelat untuk telan semua. Ajarkan hati untuk sepenuhnya redha, mencari kebaikan di sebalik ujian, sinar di sebalik kelam, Insya Allah akan temukannya, akan merasakannya.


November, Moga jalanmu terang tersuluh. Membawa kami menemukan indah, biarpun disulami musibah.