Wednesday, 17 June 2020 0 comments By: Naemah

PKPP: BALIK KAMPUNG SELEPAS 3 BULAN



Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah bermula pada 18/3/2020 dan sepanjang tempoh itu seluruh rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk merentas negeri. Akhirnya pada 7/6/2020 diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10/6/2020 di mana semua orang dibenarkan untuk merentas negeri tanpa sekatan.


Alhamdulillah, syukur kerana Malaysia hampir memutuskan rantaian Covid-19 dengan mencatatkan penurunan bilangan kes setiap hari.Hari ni, 10 Jun 2020 hanya terdapat 2 kes baru. Insya Allah, jika rakyat Malaysia mengamalkan norma baru seperti yang disarankan dan sentiasa berjaga-jaga, tak mustahil negara ini akan pulih dan bebas covid-19 sepenuhnya. Mudah-mudahan.


Hampir 3 bulan tak balik kampung. Berpuasa dan berhari raya di perantauan, dan hanya berkurung sahaja di rumah selepas sekian lama, akhirnya dapat juga balik ke kampung berjumpa orang tua yang sangat dirindui.


Pagi ini, selepas selesaikan urusan menyerahkan borang permohonan Mussaab di SRAI Pekan Beranang, kami sekeluarga bersiap untuk balik kampung. Cadangnya nak bertolak malam, tapi oleh kerana Anas, Mussaab dan Miqdad dah tak sabar sangat nak balik dan tak henti bertanya bila nak balik kampung, maka abinya mengambil keputusan untuk bertolak pada siang hari ini juga. Kami meninggalkan rumah jam 12 tengahari.


Dalam perjalanan, sempat membeli nasi bungkus di gerai dan berhenti makan di tepi highway Karak (makan dalam kereta je). Tak seperti selalunya, mudah untuk mencari kedai makan dan makan di kedai, kali ni dah tak boleh lagi. Lepas makan, teruskan perjalanan ke kampung. Dalam perjalanan juga, susah nak cari tempat untuk solat. Pagar masjid terkunci rapat semuanya. Masih belum dibuka untuk musafir. Alhamdulillah, sempat tunaikan solat di masjid berdekatan jambatan setelu yang kebetulan dibuka ketika kami sampai.


Selesai bersolat, kami menyambung perjalanan ke destinasi yang sudah semakin hampir. Alhamdulillah tiba di jeli sekitar jam 8 malam. Perjalanan yang agak santai dan tak terlalu memenatkan. Anak-anak juga baik-baik saja di sepanjang perjalanan. Tak ada kecoh-kecoh macam selalu. 


Kini sudah berada di kampung halaman. Alhamdulillah. Saat yang ditunggu sekian lama. Allah menguji dengan kehadiran virus yang telah memberi kesan yang bukan sedikit pada kebanyakan kita. Masing-masing terkesan. Namun kerana ia dari Allah, yakin juga Allah mampu menghapuskannya bila-bila masa yang Allah kehendakkan. Ujian yang sarat terkandung hikmah dan pengajaran. 


Sabar, redha, syukur.

Allah sentiasa mendengar keluhan hambaNya

Allah tahu dan faham tiap kesukaran kita.

Allah jua yang mengeluarkan kita dari tiap beban dan belenggu.



Perjalanan Anas, Mussaab, Miqdad dan Suri











Saturday, 13 June 2020 0 comments By: Naemah

JODOH: PERKENALAN DAN PENYATUAN (FINAL PART)




Bersatu akhirnya


11/12/2010- Hari yang ditunggu dan dinantikan akhirnya tiba, iaitu hari penyatuan aku dan dia. Sehari/dua hari sebelum majlis, aku menerima kehadiran tetamu istimewa iaitu ex-roommate aku di UIA (kawan-kawan Yati juga). Zahra datang dari Putrajaya, Akma dari Petaling Jaya, dan Fizah dari Kedah. Mereka banyak tolong siapkan persediaan terakhir majlis, dan banyak hiburkan hati yang tengah tak keruan ni :D Tak sangka pula di antara kami, aku yang terawal bertemu jodoh. Aku tak lupakan kawan-kawan yang bersusah payah datang ke rumah, walaupun mereka tinggal jauh. Aku terharu dan berterima kasih sangat pada mereka. 


Tiba juga harinya, sama seperti insan lain juga barangkali, hari ni ditempuh dengan penuh debaran. Dari malam tadi tak berapa lena nak tidur. Dari semalam juga, jiran-jiran tak putus datang ke rumah membantu urusan untuk majlis perkahwinan. Biasalah kenduri di kampung tak pakai catering. Semua dibantu jiran-jiran dan saudara. Memang meriah...


Aku bersiap dengan pakaian khas pengantin yang dijahit kakakku. Tak ada jurusolek khas, anak saudara dan sepupu yang tolong solekkan muka. Tak harap nak bercantik sangat pun, cukup nampak berseri sikit di hari bahagia ni. Tapi entahlah, aku pun bukan rupawan sangat. Bersolek pun, tetap kelihatan biasa-biasa sajalah kot.


Akad nikah kami di masjid yang berdekatan dengan rumah. Banyak kali juga suami aku terpaksa ulang lafaz akad. Aku tahu dia gementar. Aku yang mendengar pun mengucap tak henti. Berpeluh tunggu akad selesai. Alhamdulillah sah juga akhirnya menjadi isteri dia. Lega, bahagia (ya, bahagia) aku kini bergelar isteri. Selepas akad, aku terus balik ke rumah. Tak ada upacara/adat batalkan air sembahyang (atas permintaan aku sendiri sebelum majlis), aku juga dah pesan tak perlu cincin nikah,atau gelang, cukuplah cincin bertunang yang satu ni. Dan dia ikut permintaan aku. Selamat, tak perlu bergambar untuk upacara yang aku kurang berminat tu. Entahlah, aku rasa malu sangat nak duduk di depan khalayak sambil menyarung cincin, bersalaman semua tu. Tak wajib, dan tak perlu untuk kami. 


Kemudian rombongan pengantin lelaki berarak dari masjid ke rumah. Aku menunggu di rumah untuk menyambut kedatangan mereka. Debaran masih terasa walaupun akad dah selesai. Tadi hanya lihat dia dari jauh. Langsung tak bertentang mata. Kini nak ‘sambut’ dia. Semakin dekat, tapi langsung tak memandang. Aku tahu dia sangat pemalu. Aku masih ingat, mak saudara dia yang tolong tautkan tangan kami (macam pasangan pengantin baru tu). Aku dapat dengar kalimah ‘istighfar’ dia yang berulangkali bila jari dah bersentuhan. Aku juga, kencang betul debaran di dada ni. Maklumlah, first time bersentuhan dengan lelaki kan. Kami masih tak saling memandang dan menatap wajah. Malu masih memuncak. Walaupun dah jadi pasangan suami dan isteri. Hakikatnya, kita dua masih ‘asing’ dan tak saling mengenali. Kan?


Di rumah juga tak ada pelamin. Just hiaskan bilik pengantin. Kat bilik ni la, bergambar sesama ahli keluarga dan kenalan yang datang. Ramai juga kawan yang datang hari ni. Ada kawan sekolah rendah, kawan sekolah menengah dan kawan-kawan UIA termasuk ex-roommate yang tinggal di Kelantan. Penat juga jadi raja sehari ni. Tetamu yang datang perlu dilayan sebaiknya. Senyum tak putus. Dalam hati masih ada gelora, malu pada dia masih tak hilang lagi. Tapi beransur pergi, bila dah seharian dia di samping. Masa ni la juga time berdua (masa tetamu tak menjenguk ke bilik), boleh bercakap sikit-sikit bersuai kenal dengan suami sendiri. 


Cukuplah ceritanya sampai di sini. Dah selesai dan selamat jadi isteri dia, yang aku tak pernah kenal pun selama ni. Dari hari itu, hingga lah sampai ke hari ini, sudah hampir 10 tahun tempoh perkenalan kami. Kenal sedikit demi sedikit. Kenal baik buruk masing-masing. Saling terima kekurangan masing-masing. 10 tahun ini yang terlalu banyak mengajar. Tempuh suka duka bersama. Hadapi cabaran dan gelombang di alam perkahwinan bersama-sama. Bertolak ansur dengan perangai masing-masing yang bukan baik semua. Menerima ketidaksempurnaan yang hakikatnya menyempurnakan. 


Aku sayang suami aku kerana Allah. Dari saat aku katakan ‘YA’ untuk menerima dia sebagai suami, aku sudah yakinkan diri bahawa dia memang jodoh yang Allah dah takdirkan untuk aku. Yang akan bersama-sama dengan aku, membina bahagia yang sebelum ini aku hanya mampu bermimpi. 


Seluruh kesyukuran aku panjatkan kepada Allah. Kerana TakdirNya sentiasa yang terindah dalam hidup ini. 


Moga bahagia hendaknya hingga ke syurga

Ameen




Jiwaku

Thursday, 11 June 2020 0 comments By: Naemah

JODOH: PERKENALAN DAN PENYATUAN (PART 6)





E-mel bertanya khabar


Beberapa lama kemudian aku menerima e-mel kedua daripada tunangku, yang aku dah tak harap dah masa tu untuk menerima salam dari dia. Tapi rupanya dia ‘berusaha’ juga untuk menulis e-mel pada aku dan sedikit sebanyak memulakan perkenalan (sebenarnya tak berkenalan sangat pun) Dia maklumkan yang dia busy, tak sempat nak hantar e-mel. E-mel biasa-biasa je. Dia ucap terima kasih sebab sudi terima dia, doakan kesihatan untuk semua, dan yang lain-lain. Aku pun reply biasa-biasa juga. Lepas tu habis sampai di situ. Kiranya masing-masing dah yakin untuk saling menerima satu sama lain, dan terserah pada takdir bila akan disatukan. Masa ni katanya ada kemungkinan dia akan belayar selama 6 bulan. So kira-kira, mungkin tahun depan (2011) baru boleh kahwin. 


Aku juga lupa berapa kali berbalas e-mel. Dua atau tiga kali sahaja agaknya. Sekadar bertanya khabar, dan sedikit sebanyak dia ceritakan kesibukannya di atas kapal. 


Lepas jadi tunang, ada sekali family aku ke rumah dia di Kg Kijang, Jalan PCB, Kota Bharu. Datang untuk kenal rumah dan bersilaturrahim lah kiranya. First time datang rumah dia. Dia memang la tak ada, yang ada hanya mak dia dan adik beradik yang tinggal sekali dengan mak dia kat rumah tu. Kebetulan musim buah, kami bawa sekali durian, rambutan dan petai dari kebun. Banyak..


Tak lama kemudian pada bulan Oktober, aku menghadiri majlis konvokesyen aku di UIA. Hari pertama -2/10/2010 untuk Course IRK, dan pada hari kedua- 3/10/2010 untuk course Ekonomi. Aku stay di hostel bersama kawan aku-bakal adik ipar, dan kawan-kawan yang lain. Pada hari kedua tu sebab kawan aku tu pun konvo sekali, so dapat la jumpa dengan bakal mak mertua dan ahli keluarga tunang yang lain (abang sulung dan abang no.2, kak ipar dan 2 anak, dan adik bongsu dia). Tunang tak adalah, sebab masih belayar di laut. 




Dia kembali & tarikh nikah ditetapkan 


Tak lama lepas tu, dalam bulan 10 juga, lepas dah lama tak terima e-mel dari dia (masa ni aku kat Kota Bharu ikut family abang sulung yang stay kat hotel di sini)aku terima satu e-mel dari dia. Katanya dia sekarang berada di rumah (Kota Bharu). Agak terkejut juga la aku. Tak disangka-sangka yang dia dah kembali. Kembali berdebar rasa di hati. Yelah, orang tu dah balik. Maknanya, 4 bulan sahajalah dia di laut ye? Maknanya, bila-bila masa jelah kitorang akan berkahwin kan?


Berlalu hari, debaran pun kian terasa sebab tunang sekarang dah ada ‘dekat’. Lepas dipertimbangkan sebaik-baiknya, akhirnya tarikh pernikahan ditetapkan pada 11/12/2010- tarikh birthday dia yang ke-28. Lepas dah tetapkan tarikh nilah baru kerap kami berbalas e-mel dan sms sebab nak bincang pasal majlis. Ada sekali tu aku janji dengan dia jumpa di Kota Bharu nak ambil ukuran baju Melayu dia (kakak aku yang jahit baju pengantin). Kami jumpa kat depan Mydin KB, dia datang dengan mak dan anak saudara dia, aku pula dengan kakak, datang KB nak cari kain untuk jahit baju untuk majlis nanti. Jumpa kali ni pun aku tak bersua muka dengan dia, salam dan ambil baju dengan mak dia, then kami berpisah. Nampak je dia yang berdiri jauh sikit, sambil dukung anak saudara dia. Pemalu sangat rupanya tunang aku ni.


Dan sekali lagi aku dan family ke rumah dia (kali kedua) sebab ikut adat konon-konon nak menjemput keluarga mereka ke majlis nanti. Datang kali kedua ni dia dah ada kat rumah. Tapi, punyalah susah dia nak munculkan diri. Dia memang mengelak nak jumpa aku. Dia ‘bersembunyi’ pun sebab aku ada sekali. Eh. Eh. Dia ni.


Settle bab tentukan tarikh dan persediaan majlis, kini menanti debaran untuk hari besar tersebut. Debaran kian memuncak. Mana taknya, tak lama lagi aku akan jadi isteri kepada seseorang yang aku tak pernah kenal, apa lagi cinta. Hanya berbekalkan pasrah dan yakin bahawa dia jodoh yang Allah dah tulis untuk aku. Melalui cara dan jalan yang begini. Yang aku sendiri tak pernah sangka. 


Aku tak pernah terfikir langsung, kawan aku ‘Yati’ ni akan jadi adik ipar aku. Sebab rasanya aku  banyak ikut cerita abang dia Azim, dari zaman bujang sampai dah kawin. Dan aku tak tahu pula ada sorang lagi abang yang masih single. Tambahan pula Azim adalah adik kepada tunang aku ni. Aku ‘tak nampak’ watak dia dalam family kawan aku ni, sehinggalah datangnya risikan dan pertanyaan selepas sekian lama. Oh... ada abang yang tengah cari jodoh rupanya.....


Well. Kalau dia memang jodoh aku. Siapa nak menyangkal? Allah Maha Kuasa kan???


Bersambung.


FINAL PART

JODOH: PERKENALAN DAN PENYATUAN (PART 5)





Ikatan pertunangan 


Tanggal 11 Jun 2010, tarikh keramat yang aku tak lupakan (baru tanya dia ingat tak tarikh bertunang. Nasib baik dia jawab betul. Haha) iaitu hari pertunangan aku dan dia- sehari sebelum dia kembali belayar. 


Alhamdulillah majlis berjalan dengan sangat lancar sekali. Biasalah, ada debar, ada malu, ada bahagia juga. Kali ni mereka datang dengan jumlah ahli keluarga yang lebih ramai. Dari jauh aku mencuri pandang juga pada dia yang pada pandangan aku sangat pemalu. Banyak tertunduk, sesekali bersembang dengan orang di sebelahnya. Eh, kerap juga aku perhatikan dia rupanya. Yang pasti, tak sekali pun mata bertentang mata. Jadi tak adalah hati yang bergetar. Hehe. Kata dia (lepas dah kawin) dia memang tak pandang aku langsung. Huh! 


Selepas majlis, tetamu menjamu selera dan beransur meninggalkan rumah. Sekali lagi , legaaa. Alhamdulillah dah selesai dan aku kini dah bergelar tunang kepada Encik Mohd Suzainizam bin Abdullah. Ada bunga-bunga di hati. Tak berani aku nak kata cinta. Tapi aku rasa, aku dah mula ‘suka’.




Dia kembali belayar


Esoknya dia ke KL bersama abangnya, dan akan menaiki penerbangan ke Malta untuk menaiki kapal di sana. Aku sms ucapkan selamat jalan pada dia (lupalah dia reply ke tidak. Macam tak je), tapi yang pasti memang tak ada sms sweet-sweet antara kami. Aku pun, konon-kononnya nak tunjukkan concern seorang tunang. Tapi takde nye dia nak layan. 


Sehari selepas dia pergi, aku terima satu e-mel dari dia. Dia maklumkan Hp dia hilang, tak dapat contact family sebab tak ingat nombor. Yang dia ingat hanya alamat e-mel aku. Sebab tu dia hantar e-mel pada aku, dan minta maklumkan pada adiknya. Oh, begitu rupanya. Aku pun maklumkan pada adiknya, dan lepas tu kami tak berhubung lagi untuk beberapa ketika. Dia diam di sana. Aku pula, takkanlah nak mulakan perkenalan. Hanya mampu menunggu, kalau-kalau dia nak ‘tegur’ dulu. Aku kini tunang dia, tapi dalam masa yang sama aku macam tak tahu apa-apa tentang dia. Dia pun sama juga. Nak bertanya pada adiknya, apa yang penting nak ditanya? Pun tak tahu juga. Tambahan pula segan. Tanya lebih-lebih kan tak manis pula.


Lalu begitulah hari berlalu. Dia sibuk dengan kerjanya nun jauh di lautan. Aku meneruskan hari-hariku di kampung bersama keluarga. 


Tarikh pernikahan belum ditetapkan, bergantung berapa lama dia di laut, dan akan dibincangkan semula bila dia kembali. Cepat atau lambat, terserah pada takdirNya. Aku meneruskan hari seperti biasa. Dalam tahun ni aku dapatkan lesen memandu, dan memohon untuk menjadi guru J-QAF.


Bersambung .


PART 6

JODOH: PERKENALAN DAN PENYATUAN (PART 4)





Menetapkan tarikh pertunangan 


Selesai sudah sessi taaruf dua keluarga. Pada esok harinya, seperti yang telah dirancang, aku ikut anak saudara dan suaminya ke Sungkai, Perak (anak saudara aku yang sulung , yang dah kawin lebih awal dari aku walaupun dia muda setahun dari aku). Masa ni dia belum ada anak lagi. Mereka tinggal di sana sebab suaminya mengajar di MRSM kt situ. 


Yang sebenarnya aku nak ke UIA sebab ada urusan. Lupa dah urusan apa, tapi rasanya yang berkaitan dengan konvokesyen aku. Lupa jugak, macam mana boleh sampai ke Sungkai, sedangkan aku nak ke Gombak. Dari Sungkai tu aku ke Gombak dengan menaiki bas ditemani anak saudara yang seorang lagi yang muda 2 tahun dari aku. Mungkin sebab jarak rumah anak saudara dan Gombak tak jauh, so aku menumpang di rumah anak saudara untuk settlekan urusan aku tu. Dah selesai, balik semula ke Sungkai. 


Kat sana jugalah aku dapat call dari kawan aku, katanya nak tetapkan majlis pertunangan aku dan abang dia-kalau aku setuju nak terima abang dia. Allah, cepat pulak rasanya. Tapi aku masa tu memang positif, dan setulus hati, sudi menerima lamaran pihak di sana. Selain istikharah, respon ahli keluarga yang lain juga merupakan penyebab untuk aku terima dia. Aku katakan yang aku OK, keluarga juga OK. Sedia untuk bertunang dalam masa terdekat. Oh ya, perlu bertunang cepat sebab abang dia dah nak belayar balik.


Tarikh pertunangan ditetapkan pada 11 Jun 2010. Aku yang dah banyak hari berada di rumah anak saudara akhirnya balik dulu menaiki bas ke Jeli. Pada mulanya nak balik sekali dengan anak saudara, tapi memandangkan tarikh bertunang dah tak lama, dan aku belum buat apa-apa persediaan, akhirnya aku buat keputusan untuk balik dulu. 


Ingat lagi, masa kat rumah anak saudara ni banyak betul mereka petik nama ‘Pok su’ (refer pada bakal pak Su mereka). Bukan main puji dan mengusik semua. Aku pun sampai tak tahu nak respon macam mana. Malu dan segan sudah tentulah. Dalam hati ni, entah jadi entah tidak. Time ni juga mereka tolong carikan akaun Facebook dia yang aku tak terfikir pun nak buat. Tak susah pun nak jumpa sebab dia guna nama penuh, dan memang tak ada orang lain yang sama nama dengan dia. Hehe. Dan nak dijadikan cerita,  masa nilah aku baru ‘pandang’ muka dia yang sebetulnya-melalui akaun Facebook. Hmm... bukan rahsia dan tanda tanya lagi. Terus terang, aku senang dengan ‘rupa’ dia. Tapi dalam hati, dia senang tak dengan ‘rupa’ aku?? Cinta? Aku rasa ia belum hadir sepenuhnya, dalam keadaan aku masih ‘terkejut’ dengan situasi yang seperti ‘tiba-tiba’ ini.  Aku hanya percaya pada kata hati bahawa Allah sedang melorongkan aku ke jalan jodoh ketetapanNya buat aku. 


Akhirnya kembalilah aku ke rumah. Buat persediaan yang sepatutnya dan secukupnya untuk majlis pertunangan kami. Debaran tu sentiasa ada, setiap kali ingatkan majlis tu dah tak lama. Satu lagi sentiasa rasa macam sedang bermimpi sebab semua ni tiba-tiba saja. Aku baru habis belajar, dalam keadaan ‘single’ dan tak ada calon untuk berumahtangga. Tak sangka begini Allah plan jalan jodoh aku. Tapi selagi belum diijabkabulkan, aku masih berdebar dan takut. Tak lepas dari persoalan ‘betul ke dia jodoh aku?’. Aku sentiasa berdoa kalau memang dia, semoga Allah akan mempermudahkan, dan melapangkan hati.


Bersambung.


PART 5


Wednesday, 10 June 2020 0 comments By: Naemah

JODOH: PERKENALAN DAN PENYATUAN (PART 3)






Pertemuan pertama


Pada May 2010 (lupa tarikhnya tapi rasanya ada catat kat mana-mana ni) menjadikan pertemuan pertama aku dan dia (cewah). Masih ingat lagi, mereka datang dari Kota Bharu dengan sebuah kereta. Yang datang sekali dengan dia ialah adik dia (kawan aku), mak dia, abang sulung (arwah abang din), kakak ipar (isteri abang din), dan dua anak abangnya yang masih kecil.


Nak dijadikan cerita, pada hari tersebut aku ke rumah abang sulung untuk bantu mereka yang susah payah memasak hidangan istimewa untuk menerima tetamu (yang istimewa juga). Sebelum urusan memasak selesai, aku balik dulu ke rumah. Mana tahu, tetamu datang nanti tak sempat bersiap pulak. Nasib baiklah tudung dan jubah dah siap bergosok. Mujur jugalah bukan jenis bermekap, tak fikir dah bab nak bermekap semua tu. 


Sebaik sampai di rumah, kawan call katanya dah nak sampai. Tengah cari rumah. Ya Allah, cepatnya! Kalut aku jadinya. Dah la masa tu semua masih kat rumah abang (Mek je ada kat rumah). Aku cepat-cepat menyarung jubah dan tudung (ingat lagi, jubah hitam dan tudung purple). Muka memang asli, tak letak apa-apa. Dalam hati ni berdebar sakan. Maklumlah, ada orang nak datang ‘tengok’. Dalam berdebar, aku maklumkan pada kakak dan yang lain agar segera datang sebab tetamu dah nak sampai.


Alhamdulilah kakak aku balik dulu, sampai serentak dengan tetamu. Tetamu disambut dan dijemput masuk ke rumah. Aku masih kat bilik, segannya ya Allah, walaupun kat luar tu ‘kawan’ aku je. Tapi sebab dia datang dengan hajat lain, dah tentu seram sejuk rasanya seluruh badan aku. 


Dan tak lama kemudian, abang sulung dan family dia pun sampai. Bersalaman dan berkenalanlah semuanya. Kakak aku pun panggil aku keluar. Dengan segan silu, tebal muka, tak tahu nak describe, aku pun keluar la. Salam dengan kawan, mak dia dan kakak ipar. Senyum simpul, malu tak terkata. Ya Allah...


Nun di satu sudut ‘si dia’ tunduk saja. Banyak merenung lantai. Langsung tak pandang ke arah kumpulan perempuan. Aku pun sekilas dua mencuri pandang. Tapi serius, aku tak dapat tengok pun muka dia. Ah, biarlah. Dia pun tak sudi nampaknya nak pandang aku. 


Maka hari tu keluarga kami berkenal-kenalan. Makan tengahari, solat zohor, kemudian mereka meminta diri untuk balik ke Kota Bharu. Bila tetamu dah balik, aku pun kelegaan sangat. Oh ya, dapat sepasang kain warna purple. Bagi aku, cantik sangat! Ataukah sebab datang dari dia?? Hehe. Entahlah.




Semua memberi respon positif 


Lepas tetamu dah balik, kami satu keluarga pun berbincanglah. Nampaknya semua suka. Dah datang pun dengan cara baik, keluarga pun nampaknya baik-baik. Si dia pun nampak baikkk sangat. Macam satu keluarga dah ‘jatuh hati’ kat dia. Dah lulus dah nampaknya calon yang ini. Kala tu juga, hati aku dah berbunga. Opps.. yang pasti sampai ke sudah, aku langsung tak dapat tengok muka sebenar dia. 


Tapi itu dari pihak keluarga akulah. Keluarga dia (atau dia sendiri) aku tak pasti lagi. Bagi aku, ada kemungkinan untuk dia tak suka, walaupun sebenarnya risikan tu dari pihak dia. Aku pasrah dan tawakal saja. Kalau memang dia jodoh aku, aku harap Allah permudahkan untuk kami. 


Dah settle bab taaruf. Debaran pertama dah berakhir. Tunggu langkah seterusnya. Selepas pertemuan ini, aku masih tak cam muka dia, dia pun langsung tak pandang aku masa datang hari tu. Tapi tak tahulah kalau dia dah tengok gambar aku (banyak je gambar aku dengan adik dia). Aku bukan apa, aku sedar aku ni bukan dalam kategori cantik, risau orang tu tak boleh terima. Nak sedapkan hati, yang penting adik dia kenal aku. Bertahun dah jadi kawan aku. Aku anggap, keluarga mereka jenis tak memandang pada rupa. Sebab tu aku boleh jadi antara ‘calon’ untuk abang dia kan?




Memandangnya kali pertama (baju merah)

Foto dari akaun Facebook- di Korea katanya 

Banyak lagi gambar tapi dah tak ada gambar-gambar semua ni sebab dah di’set’ privacy



Bersambung




JODOH: PERKENALAN DAN PENYATUAN (PART 2)




Ketenangan itu mungkin jawapannya


Keesokan paginya yang indah dan damai, hatiku juga merasa setenang-tenangnya. Tiada sebarang tanda yang lain, melainkan ‘rasa’ yang ini. Barangkali, ini jawapan kepada istikharah ku. Semalam aku resah dan banyak fikir. Aku gementar, takut dan menangis tersedu-sedan tanpa sebab (sebab orang tanya tu je kot! Menangis macam baru lepas kena marah. Haish)




Ke pengetahuan ahli keluarga


Next, masa untuk memberitahu mek. Allah, untuk aku yang belum pernah bercerita soal hati dengan ibu sendiri (dan dengan orang lain juga), terasa amat payah dan berat untuk memulakan. 


Masa tu mek tengah bersihkan ayam kat pintu dapur. Aku menghampirinya. Tapi tak terluah apa yang nak diungkap. Aku masuk kembali. Ke dapur lagi. Keluar balik. Begitulah situasinya entah mungkin lebih 10 kali agaknya. Mek pun perasan (tapi dia tak cakap apa-apa masa tu. Dia cakap bila kejadian tu dah lama berlalu. Alamak, Malunya aku!)


Dan akhirnya terluah juga apa yang aku nak luahkan. Guna ayat paling ringkas dan padat. Yang penting, masej sampai. Mek pun terkejut agaknya sebab takde angin takde ribut, tiba-tiba je keluar topik tu. Mek tanya siapa dia? Tiga maklumat je aku mampu sampaikan. Abang kawan, kerja belayar (tak tau pun kerja bahagian mana), umur 30an (teka sendiri, padahal tak sampai 30 lagi). Lepas tu, lega. Serah pada mek. Dah tentu la dia akan bincang dengan abang aku.


Pada malam harinya, dengan kadar segera berkumpul dua abangku di rumah. Mek yang suruh datang, nak bincang hal penting katanya. Segan dan malu rasanya aku bila mereka datang sebab nak bincang pasal aku. Lepas mereka tahu hal sebenar, respon mereka pada masa tu agak kurang menyenangkan hati aku. Mungkin sebab ‘tiba-tiba’ dan ia datang macam tu je. Antara nak percaya dengan tak nak percaya. Mereka pun tak tahu nak respon apa agaknya.


Abang sulung aku just cakap macam ni. Ajak dia jumpa dulu. Baru tahu serius tak serius. Sama ada dia datang rumah, atau janji jumpa di mana-mana dengan dia dan wakil keluarga. Aku pun diam je dan iyekan saja. 


Aku dah lupa,  pada esok harinya atau beberapa hari selepas tu, aku sampaikan pada kawan cadangan abang sulungku itu. Dan kawanku itu maklumkan pada keluarganya. 




Bakal bertandang ke rumah


Tak lama lepas tu, kawan aku maklumkan yang family dia akan datang ke rumah. Allah.. terus berdebar. Aku jadi sangat segan, malu, entah tak tahu nak cerita macam mana. Dah la tak kenal langsung ‘lelaki’ tu. Cuma aku tahu dia dari keluarga yang baik-baik. Sebab adik dia kawan aku kan. Mak dia pun aku pernah jumpa sekali masa belajar dulu. Pernah salam cium tangan dengan ‘mak cik’ tu masa dia datang ke mahallah dulu :) pada aku, aku dah cukup ‘senang’ dengan background keluarga dia (ayah dia dah meninggal masa kami di tahun pertama UIA)


Aku maklumkan pada keluargaku. Mereka menyambut baik dan mengalukan kedatangan mereka ke rumah. Dah nampak kan mereka serius? Bukan saja-saja tanya.


Tarikh dan hari untuk mereka datang berkunjung ke rumah ditetapkan. Dalam debaran, aku menghitung hari. Macam tak percaya pun ada. Semuanya tiba-tiba. Macam mimpi. Macam ni ke Allah tetapkan jodoh aku? Segala rasa ada. Yang pasti, aku masih belum kenal dia. Masih tak terbayang rupa dia. Tak tahu macam mana perangai dan akhlak dia . Tapi hati aku seakan berbisik, dialah orangnya. Dalam gelisah ada bahagia sebenarnya. Hehe..


Bersambung.


PART 3

JODOH: PERKENALAN DAN PENYATUAN (PART 1)





Hari ni 11 Jun 2020


Genap 10 tahun yang lepas (11 Jun 2010) adalah merupakan hari pertunangan aku dan suami. 6 bulan kemudian (11 Disember 2010) aku sah menjadi isterinya. Alhamdulillah.


Mendekati 10 tahun usia perkahwinan ini, aku ingin nukilkan tentang perjalanan ‘jodoh’ aturan Allah buatku dan suami. Mungkin tak seindah mana jalan ceritanya pada orang lain, namun untuk aku, inilah kisah cinta yang paling indah dan paling membahagiakan :)

  


Kisahnya bermula...


Tamat degree dan masa membuat pilihan; sambung belajar atau bekerja


Sekitar April 2010 (10 tahun yang lalu) aku akhirnya berjaya menamatkan pengajian di UIA, mengambil ijazah berkembar Ekonomi dan Ilmu Wahyu. Syukur tak terkata, gembira dan bahagia tak tergambar setelah 2 tahun di matrik UIA, dan 4 tahun di kampus utama UIA. Perjuangan yang bukan sedikit, akhirnya membuahkan hasil. 


Ketika ini aku buntu mahu menyambung pengajian ke peringkat master, atau terus bekerja. Sebelum tamat belajar, aku bersama kawan cuba survey dan cari maklumat untuk menyambung master, dan ketika itu memang ‘ada hati’ nak sambung belajar di ISTAC atas sebab tertentu. Dan sebab tak ada langsung pengalaman bekerja, tak rasa teringin langsung nak bekerja. Tapi kalau nanti tak ada pilihan lain, terpaksa la cari kerja juga :)


Ok takpelah, balik rumah rehat cukup-cukup dulu. Banyak masa untuk fikir dan buat pilihan lagi. Resume pun dah siap dah sebenarnya. Konvo pun lambat lagi (bulan Oktober). Maka baliklah aku ke kampung, stay dengan mek yang memang tinggal seorang diri.




Kawan merisik khabar


Tak lama kemudian, mungkin dalam 2 minggu lepas tu (dalam bukan April juga) lepas dah lama tak contact kawan-kawan UIA, adalah seorang ‘kawan’ ni (perempuan) sms bertanyakan khabar. Masa ni aku ada kat Gerik, ikut family abang yang ada urusan kat sana. Sms biasa-biasa je. Lagipun ‘kawan’ ni boleh dikatakan agak rapat. Kenal sejak zaman matrik, kemudian di main campus (tahun ke-3 rasanya) kitorang bilik bersebelahan. Agak rapat dan mesra jugalah sebab selalu jumpa dan borak. Aku pun sangat menyenangi dia (dia muda setahun), hubungan kami baik. Boleh dikatakan sangat baik.


Kembali ke sms tadi, ia berakhir setakat itu. Dan tak lama kemudiannya (masa ni kat rumah), ‘kawan’ sms lagi. Kali ni menyatakan tujuan penting iaitu nak ‘merisik khabar’. Dia dan emaknya sedang usaha nak carikan jodoh untuk abangnya.


Masa tu aku agak konfius, abang yang mana satu (dia ada 5 abang), aku kurang pasti mana lagi yang masih single. Yang selalu aku dengar cerita ialah pasal abang dia yang doktor tu (tapi dah kawin), yang lain-lain aku kurang ingat. Dia kemudian bagitau, abangnya yang belayar. Oh.. aku ingat-ingat lupa. Dalam ingatan aku, ada juga sekali dua aku dengar dia menyebut tentang abang yang ini. Tapi langsung tak ada detail tentangnya. Maklumat tentang dia boleh dikatakan ‘zero’. Dalam sms tu pun aku tak tahu nak tanya lebih-lebih, umur pun aku tak tahu. Tapi aku minta masa untuk istikharah dan bincang dengan family. Tapi ‘kawan’ ini yakinkan aku tentang ‘agama’nya yang mana aku rasa ia penyebab yang kuat untuk aku pertimbangkan dengan sebaiknya. Rupa dia? Memang langsung tak terbayang! Yelah, tak pernah jumpa depan-depan. Dalam gambar pun mungkin pernah tengok gambar family ramai-ramai, memang tak mampulah nak teka dia yang mana satu.


Oh ya, pernah sekali kawan aku bercerita dulu ada abangnya yang eksiden. Rupanya abangnya yang ini. Abang dia masa ni tengah sambung study di Akademi Laut Malaysia (ALAM). Inilah antara cerita tentang ‘dia’ yang ada dalam ingatan aku.


Berbalik pada sms tadi, malam itu juga, aku rasa gementar dan berpeluh seluruh badan. Betul, tak tipu! Sebab rasa macam... kenapa tiba-tiba? Aku tak terfikir langsung untuk bertemu jodoh dalam masa yang terdekat, sebab memang tak ada calon! Yelah, siapalah aku ni. Rupa biasa-biasa, kat kampus pun macam kera sumbang je. Kawan lelaki memang tak ada. Kawan perempuan pun taklah ramai sangat. Hmm..


Dan pada malam yang penuh debaran itu, aku jadi tak keruan. Serba tak kena dibuatnya. Tapi aku diam-diam seorang saja. Tak ada sesiapa untuk berkongsi rasa dan cerita. Malam itu, menyaksikan betapa sukarnya untuk aku lelapkan mata. Malam itu juga menyaksikan betapa sayunya hati aku hingga hanya mampu menangis semahunya. Entahlah.. kenapa sampai macam tu sekali ye?


Malam itu juga tanpa berlengah aku sujud dan bermunajat kepada Allah agar diberi petunjuk dan ketetapan rasa yang mendorong aku untuk membuat pilihan yang tepat. Memang aku tak tahu apa-apa tentang dia, tapi aku dapat rasa pertanyaan yang datang itu ‘serius’ dan perlukan jawapan pasti dari pihak di sana. 


Sekarang aku rasakan datang persoalan yang sangat besar dalam hidup aku iaitu tentang jodoh. Aku perlu beristikharah. Aku perlu mencari jawapan dari Tuhanku. Aku tidak boleh silap dalam membuat pertimbangan.


Bersambung.


PART 2