Wednesday, 18 March 2020 By: Naemah

COVID-19 DAN CUTI SEKOLAH



Cuti semester pertama persekolahan sudah pun bermula (14/3/20-22/3/20). Kami tak merancang sebarang percutian, sekadar plan balik kampung macam biasa. Tapi walaupun cuti sekolah seminggu, kami tak dapat balik lama juga sebab suamiku tak boleh cuti lama. Ada meeting, dan lepas tu perlu ke Kerteh untuk bertugas pula. 


Semalam (14/3/20) sebaik suamiku sampai dari Kerteh, dan mengambil sedikit masa untuk berehat, kami kemudian bertolak balik kampung jam 10 malam. Kereta agak banyak juga di sepanjang perjalanan, namun Alhamdulillah perjalanan lancar. Anak-anak tidur lena sehingga sampai ke destinasi. Suamiku berhenti dan tidur sebentar di Masjid Gua Musang, dan kemudian singgah solat subuh di Masjid Muhammadi Kota Bharu sebelum sampai ke rumah mak mertua di jalan Pantai Cahaya Bulan.


Di rumah nenek, anak-anak seronok bermain dengan sepupu mereka yang balik dari Sabah. Mereka balik pun tak lama. Sempatlah 2 hari main bersama-sama. Hari pertama ikut Pak cu dan Mak cu mereka ke pameran 3D di Muzium Negeri Kelantan, hari kedua abinya bawa ke Pantai Sri Nipah, main pantai dan makan-makan. 


Seperti yang kita semua maklum, wabak covid-19 sehingga kini masih menyerang dunia. Kes meningkat setiap hari. Banyak negara dah kuatkuasakan perintah berkurung. Malaysia tak terkecuali, dengan kes yang meningkat saban hari, tak mustahil jika satu masa berdepan dengan situasi yang sama (perintah berkurung) untuk mengawal wabak ini dari terus merebak.


Kami sekeluarga juga tak terlepas dari rasa risau dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti tidak mengunjungi tempat yang menjadi tumpuan orang ramai, dan sentiasa bawa bersama hand sanitizer untuk kegunaan keluarga. 


Cuti kali ini juga kami tak lama di kampung. Esok akan ke rumah ibuku di Jeli, dan lusa akan balik ke Semenyih. Anak-anak akan menghabiskan baki cuti sekolah di rumah pula. 


Alhamdulillah, Sekurang-kurangnya anak-anak dah dapat spend masa dengan sepupu mereka di kampung, walaupun tak lama. Dah banyak main, dan berseronok. Dan anak-anak juga faham, dalam situasi sekarang mereka perlu habiskan masa di rumah, tak boleh banyak berjalan dan mengunjungi tempat yang tak sepatutnya. 


Dalam situasi sekarang ini, moga kita semua boleh bertenang dan banyakkan berdoa, di samping mengambil langkah berjaga-jaga dan mengikut sarĂ nan para doktor dan pakar. Semua ini adalah petunjuk dan ujian dari Allah. Allah yang hadirkan wabak ini, dan Allah jua yang mampu menghilangkannya. Moga Allah melindungi kita dan ahli keluarga kita semuanya. 

Ameen


Kemaskini: terpaksa balik ke Semenyih lebih awal (17/3/20) selepas dikuatkuasakan perintah ‘kawalan pergerakan’ yang bermula 18/3/20 hingga 31/3/20. 



Di kampung bersama sepupu 

(Sebelum kawalan pergerakan)

Di Muzium lengang 

Di pantai juga tiada pengunjung lain

Ya, cuba mengelakkan diri dari tempat yang sesak untuk perlindungan diri.























0 comments:

Post a Comment