Monday, 21 November 2016 0 comments By: Naemah

ABANG DIN DALAM KENANGAN

Sekadar catatan; sedikit cebisan kenangan sepanjang mengenali arwah abang iparku Mohd Fazarudin b. Abdullah. 

Dia yang aku kenal, bukan jenis yang banyak cakap. Apatah lagi denganku yang sememangnya pendiam ini :) Namun aku tahu dia seorang anak dan abang yang baik, dan dia memang seorang yang baik. Insya Allah.

Abang Din, aku mengenalinya di hari yang sama aku mengenali suamiku (di hari merisik/mei 2010). Dia abang yang sulung, dia abang yang banyak menolong urusan adik-adik, termasuk suamiku. Semoga setiap pertolongannya dikira kebajikan di sisi Allah.

Buat anak-anakku, abang Din dikenal sebagai pak ngah. Pak ngah yang sering menegur dan bergurau di kala berjumpa, meski hakikatnya jarang bersua. Dialah pak ngah, gelaran yang sudah mendapat tempat di hati Anas dan Mussaab. 

Miqdad pula, hanya sekali bersua dengan pak ngah, iaitu pada hari kedua Miqdad dilahirkan. Di usia Miqdad 40 hari, pak ngah akhirnya pergi menemui Pencipta. Lahirnya Miqdad ke dunia, mengiringi pemergian pak ngah.

Hanya sedikit saja kenangan aku bersama abang Din, tapi tiada yang buruk dan tiada juga yang menyakitkan hati. Maka padaku, dia tak pernah berhutang apa-apa, insya Allah.

Yang pasti dirindui, ialah lemang hasil tangan abang Din yang dinikmati saban tahun, di hari terakhir puasa dan di pagi Aidilfitri. Sangat sedap. Namun kini ia hanya sekadar kenangan. 

Semoga arwah tenang di sana, bersama cinta Ilahi. Cepat atau lambat, kita semua juga akan menyusul.


Anas, Mussaab, Miqdad, Umar, Uwais dan Urwah di hari pemergian pak ngah



PERGI JUGA

22 November 2016

Abang iparku Mohd Fazarudin b. Abdullah, akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 3.15 pagi di HUSM. 

Abang ipar yang menghidap kanser kulit, akhirnya pergi juga ke pangkuan Ilahi. Semoga tenang abang Din di sana. Semoga diampunkan segala dosa dan diterima segala amalan. Allah lebih menyayangi abang Din. 

Alhamdulillah, seluruh isi keluarga menerima dengan hati yang redha di atas pemergian abang Din. 

Kami semua juga akan menyusuli abang Din. PASTI..


إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ...
أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّار
Saturday, 19 November 2016 0 comments By: Naemah

HABIS PANTANG 40 HARI



13/10/16-21/11/16

Genap 40 hari berpantang. 40 hari juga usia anakku, Ilham Miqdad. Alhamdulillah.

Kesihatanku dan anakku agak baik. Miqdad juga sudah menerima suntikan di usia sebulannya. Aku pula  perlu penuhi temujanji untuk minum air gula pada minggu hadapan. Semoga tiada masalah. 

Sepanjang tempoh berpantang, nak kata pantang sangat tu tak juga. Bab makan, semua telan. Kecuali, certain makanan yang ditegah oleh ibu/ibu mertua. (Mereka pun tak tegas sangat bab pantang). Cuma tak buat kerja sangat, terutama yang memerlukan tenaga. Cuma akhir- akhir ini, bila suami dah habis cuti, aku perlu buat sendiri kerja-kerja tertentu. Terutamanya yang melibatkan anak-anak. Oleh kerana masih di kampung, aku tidak terlalu dibebankan dengan kerja rumah kerana ada saja yang sudi membantu terutama ibu dan ibu mertuaku.

Hari ini, hari ke-40, rasa kehidupan dah back to the normal. Tapi masih di peringkat permulaan. Agak kelam kabut dan tak terurus lagi. Aku masih di rumah mertua, tapi hari ini tinggal aku dan anak anak je kat rumah. Suami masih di laut. Insya Allah esok akan balik. 

Hari ini, dari pagi perlu siapkan sendiri anak-anak dan memasak. Miqdad, ketika tidurnya ok, ketika jaganya adakala ok adakala menangis minta susu atau dilayan. Anas dan Mussaab, ada ketika ok bermain sama-sama. Ada ketika gamat suara berebut mainan dan menangis. Anas pula sibuk minta nak buat aktiviti itu dan ini bersamanya. Berlarian memasak dan menyahut panggilan anak dan tangisan si kecil. Hidangkan makan dan suap makan, sapu yang tertumpah, menjemur kain, dan lain-lain. Fuh. Ini baru sedikit. 

Memandangkan tempoh berpantang sudah tamat, rasa tak risau sangat nak kembali aktif. Tak boleh asyik duduk dan baring saja. Lagipun rasa dah tak sabar nak kembali ke rumah sendiri. Kesian juga pada Anas dan Mussaab yang macam tak dapat layanan yang sepatutnya dari umminya ini. Mereka juga dah rindu nak kembali ke rumah. Asyik sebut mainan dan apa yang ada di rumah :)

Semoga segalanya baik-baik. Sebenarnya, keadaan tak mengizinkan kami sekeluarga balik ke rumah lagi. Keadaan abang iparku yang tenat di hospital menghalang kami untuk balik. Semoga Allah mentakdirkan yang terbaik untuk keluarga ini. Semoga Allah beri kekuatan pada semua, terutama mak dan kak za, isteri abang iparku. Allah sayang keluarga ini. Semoga sesudah kesulitan ini akn ada kemanisan. 
Monday, 14 November 2016 0 comments By: Naemah

TERIMA KASIH MISI SEMALAYSIA!!

Sepanjang mengandung, ketika melahirkan anak, sesudah melahirkan dan sehingga hari ini (hari ke-34 selepas bersalin), aku banyak berurusan dengan para jururawat yang bertukar ganti. Di KD Rinching Tengah, KK Beranang, KD Legeh, KK Ayer Lanas, KK Kijang, KK Badang, dan HRPZ, urusanku banyak dipermudahkan dengan pertolongan misi yang bertugas. Tujuan post ini adalah untuk menyatakan rasa terima kasih dan penuh penghargaan buat para misi sekalian :)

Bukan apa, banyak sangat aku membaca dan mendengar komen-komen yang tidak baik tentang misi. Misi biadaplah, misi tak buat kerjalah, misi tak hormat oranglah, misi garang dan suka membebellah, dan macam-macam lagi. Biasalah orang sekarang, sikit-sikit nak viral kan? Walau seorang dua yang berperangai bagai dikata, habis misi lain turut tercalit dan rasa terhina. Bila sudah viral, orang mulalah berpandangan negatif. Walhal, yang salahnya seorang dua saja. Majoriti yang lain, ok je! 

Aku dari mengandung anak pertama, kedua dan ketiga, dari buka buku mengandung hingga bersalin dan berpantang, tak terkira dah berapa ramai misi yang handle aku dan anak-anak. Semuanya ok, semuanya baik, semuanya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab. Bukan tak pernah jumpa yang tak berapa baik tu, tapi seperti yang aku katakan, hanya seorang dua. Maka aku memilih untuk memaafkan, dan melupakan.

Sekiranya benar, ada yang 'melampau' dan tidak professional dalam menjalankan tugas, mungkin ada saluran lain yang boleh digunakan untuk menyatakan rasa tidak puas hati. Berbanding meluahkan di media sosial, memviralkan, memalukan, dan yang sewaktu dengannya. Yang bersalah cuma seorang, terus yang lain-lain juga dipandang serong. Sedangkan di luar sana, ramai lagi yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Maka, fikir dululah sebelum bertindak.

Akhir kata, jutaan terima kasih aku ucapkan pada semua jururawat yang pernah memberikan khidmat padaku dan anak-anak, dari awal mengandung hingga sekarang. Tak lupa juga terima kasih kepada semua jururawat seluruh malaysia, di mana jua. Special thanks to nurses at KD legeh, KK Ayer Lanas, KK Kijang, KK Badang, KD Bertam Ulu, KK Cheng, KD Rinching Tengah, KK Beranang, HRPZ dan HUSM. Terima kasih di atas perkhidmatan terbaik yang pernah diberikan, dan semoga terus ikhlas dan dedikasi dalam menjalankan tugas kalian. Allah saja yang dapat membalasnya :)

DIARI ANAKKU: 151116





Anas, Mussaab dan Miqdad masih di kampung. Sudah 2 bulan setengah di kampung. Miqdad pula masuk hari ke-34 hari ini. Semalam dah pergi klinik untuk check up dan suntikan 1 bulan :) Alhamdulillah.

Mussaab seperti biasa semalam tidur di rumah cik. Jam 8 pagi, ayah cik hantar balik rumah mek. Anas pula dah bangun lebih awal. Ummi uruskan Miqdad yang menangis minta ditukarkan pampers. Abi di Bintulu, akan menaiki penerbangan jam 11.15 pagi, ke Klia. Insya Allah esok akan jumpa abi.

Pagi ni breakfast dengan burger saja. Itu yang paling cepat yang ummi dapat buat, memandangkan Miqdad tak boleh ditinggal lama. Lepas brekfast, Anas dan Mussaab bermain mainan aeroplane dan ipad. Kemudian buka laptop dan menonton video chuggington dan aeroplanes. Sambil menonton, sambil main juga. Ummi selesaikan sedikit kerja rumah dan mandikan Miqdad. Miqdad tidur sekejap. Dapat ummi menjemur kain. Anas ajak ummi baca buku umizoomi. Dapat jugalah baca sekejap, sementara Miqdad tidur. 

Jam 11 pagi, masih menonton video aeroplane. Masing-masing macam dah boring sangat. Selalunya masa ni pergi ke rumah cik. Tapi hari ni tak dapat pergi kerana cik menoreh. Miqdad pula hanya mahu dipangku ummi. 

Bila Miqdad dah tidur, ummi masuk ke dapur dan masak untuk makan tengahari Anas dan Mussaab. Goreng ayam je, makan dengan gulai daging yang mek dah masak. Berselera Anas makan. Mussaab hanya makan ayam. Ummi layan Anas dan Mussaab makan sambil menyusukan Miqdad yang dah bangun dari tidur. Lepas tu ummi tinggalkan miqdad pada mek. Anas dan Mussaab buat bising pula dekat adik. Miqdad perhatikan saja abang-abang yang riang bergurau senda.

Pukul 1 petang, cik datang ke rumah. Lepas tu Anas dan Mussaab ikut cik balik. Tinggal ummi dan Miqdad. Abi juga dah selamat sampai di klia. Alhamdulillah. Ummi cuba untuk tidur dengan Miqdad. Teringatkan Anas, yang tadi ada berkelakuan yang membuatkan ummi marah. Tapi ummi sepatutnya lebih sabar, dari bertindak tidak matang. Im sorry Anas. Ummi rasa bersalah dan berdosa. Hati ummi merindu tika jauh dengan anak-anak.

Pukul 4, cik hantar gambar whatsapp Anas dan Mussaab tengah tidur. Hai, sempat lagi tidur. Anas yang jarang tidur petang pun tidur jugak. Mungkin sebab pagi tadi bangun awal. Hujan pun turun dengan lebatnya. Lagi best tidur :) 

Pukul 5 petang, ummi bawa Miqdad masuk ke dapur. Mek jaga Miqdad, ummi makan roti dan minum air. Anas dan Mussaab masih di rumah cik. Tengah menonton tv, kata cik. Hujan pun masih turun. Tak dapat balik rumah mek lagi. Abi pula di low yatt, insya Allah akan naik bas malam ni ke kampung. 

Anas dan Mussaab balik jam 5.30 petang menaiki motor cik. Cik masak donat dan nasi goreng. Anas dan Mussaab kenyang makan donat. Lepas makan, main dan menonton video. Cik kat rumah mek sehingga isyak. Lepas isyak, Mussaab ikut cik balik. Malam ni tidur di rumah cik lagi nampaknya. Miqdad sudah lena tidur. Anas sambung menonton video dan melukis. 

Pukul 10 malam, Anas dah lena. Ummi yang mengantuk juga ikut lena bersama Anas dan Miqdad. Entah Mussaab pukul berapa tidurnya di rumah cik. Semoga baik-baik Mussaab di sana. Semoga Allah menjaga anak-anak ummi. Semoga perjalanan abi malam ini selamat. Semoga Allah menyatukan kita sekeluarga pada esok hari. Insya Allah

MUSSAAB SAYANG UMMI KAN??

Sejak suamiku kembali bekerja (selepas bercuti panjang), aku kini tinggal bersama anak-anak di kampung. Selepas sebulan bersalin, masih di kampung.

Mussaab, anak keduaku kini setiap malam tidur di rumah ciknya (kakakku). Pada malam pertama dia tidak bermalam bersamaku, hati ini terasa sayu sangat. Dan berbagai persoalan datang. Mungkin dia rasa aku tak sayang dia, lepas lahir adiknya. Mungkin dia rasa layananku tak seperti dulu, dan segalanya mungkin.. hati sedih tak terkata. Tak pernah dia berjauhan denganku.

Namun kini bila setiap malam dia tiada, perasaan sedih semakin kurang. Aku lepaskan dengan rela, setiap kali dia ingin pergi. Mungkin ada baiknya juga, kerana cik melayannya dengan baik. 

Bila dia balik ke rumah, aku cuba melayaninya dengan baik. Cuba menjadi yang lebih baik, untuk anakku yang seorang ini. Biar dia tahu aku sayangkan dia. Biar dia tahu, aku tetap adalah umminya.

Pada kakakku, aku juga sangat terhutang budi kerana banyak membantu, terutama dalam menjaga Mussaab dan melayan karenahnya yang adakala tak terlayan olehku. Oleh itu aku mengerti, kenapa Mussaab selesa bersama cik. 

Namun Mussaab, ummi tetap sayang Mussaab. Sayang dan rindu sangat. Semoga hati Mussaab juga tidak semakin jauh dengan ummi. Mussaab sayang ummi kan?? :')
Sunday, 13 November 2016 0 comments By: Naemah

AKU INGIN LAHIRKAN ZURIAT LAGI

Hari ke-32 berpantang selepas melahirkan anak ketigaku. Masih belum sihat sepenuhnya. Masih belum dapat menjalani kehidupan seperti biasa lagi. Masih seperti 'bermimpi' dengan kehadiran ahli baru dalam keluarga ini.

Namun Alhamdulillah, syukur kupanjatkan pada Dia yang Maha Memberi. Aku bersyukur atas kehadiran zuriatku ini.

Alhamdulillah, dalam usia perkahwinan yang sudah hampir 6 tahun, kami dikurniakan 3 cahaya mata yang memang diharapkan dan dinantikan. Tak ku lupa bagaimana sakit dan peritnya saat berjuang melahirkan setiap anakku. Namun sakit itu bagai tak terasa, dek kemanisan yang mengatasi rasa sakit itu saat melihat anak-anak membesar di depan mata. 

Di kala ini, kerana masih baru melepasi saat getir itu, hati masih gerun untuk mengingati kembali kesakitan ketika berjuang melahirkan anak. Namun jika ditanya apakah aku masih mahu mengandung dan melahirkan anak lagi, jawapanku ialah YA, aku masih mahu melahirkan zuriat lagi. 

Aku sedar perjalanan sepanjang mengandung dan sehingga saat melahirkan tak semudah yang difikir. Aku pernah dua kali keguguran. Ditambah pula dengan masalah kencing manis yang dihadapi setiap kali mengandung, kesakitan bersalin, kesukaran sepanjang tempoh berpantang, dan macam-macam lagi. Setiap orang pasti ada cabaran tersendiri. Malah ada insan yang lebih hebat menerima ujian. 

Namun aku, sedari awal, mengimpikan untuk mempunyai ramai zuriat. Tapi memikirkan umur pun dah banyak, tak pastilah berapa ramai yang aku mampu. Sampai masanya mungkin mengandung menjadi perkara yang 'berisiko' buatku. Maka tawakkalku hanya pada Dia.

Merancang tu merancang juga. Cuma buat masa ini hanya merancang sendiri (tidak mengambil ubatan atau suntikan). Kalau boleh, tak nak terlalu rapat umur anak-anak. 2 tahun tu rasanya dah ok. Tapi selepas yang ketiga ni suami kata nak jarakkan sampai selesai ibadah haji (insya Allah tahun 2022). Alasannya, kesian nak tinggal anak masih kecil waktu tu. (atau mungkin kesian pada isterinya, selepas berpengalaman tiga kali menemani isteri di labour room?? Tak pastilah tu :))

Apapun, jika bertanya serik atau tidak melahirkan anak, jawapanku adalah tidak. Aku percaya walau sukar dan payah sekalipun Allah pasti membantu. Aku juga percaya, dosa-dosaku turut gugur bersama kasakitan yang kutanggung itu. Malah, melihat anak-anak yang kian hari membesar di depan mata, langsung kesakitan itu lenyap dari ingatanku. Aku bahagia dengan kehadiran zuriatku. Alhamdulillah :)