Wednesday, 10 December 2025 0 comments By: Naemah

15 TAHUN





 11 Disember 2025


Pukul 1 pagi, menaiki keretapi dari Gemas ke Pantai Timur. Sebelum itu menaiki ETS dari Hentian Kajang ke Gemas. 2 jam perjalanan, ada yang sudah ketiduran, dan ada yang masih aktif, termasuk si kecil Nuha yang paling perlu diberi perhatian. 


Sampai di Gemas, keretapi ke pantai timur sudah pun sampai. Masing-masing mengambil tempat (katil). Mussaab dan Miqdad di katil atas, manakala yang lain di katil bawah. Sempat lagi ke kantin membeli nasi goreng. Menjamu selera di jam 1 pagi. Kemudian bersedia untuk rehat dan tidur. Nuha yang masih aktif dan tak duduk diam, puas dipujuk untuk tidur. Meronta, menangis, masih nak main. Akhirnya hampir jam 2 pagi, tidur juga.


Subuh di atas keretapi. Sempat pula abi berlari turun beli nasi berlauk di perhentian Gua Musang tadi. Alhamdulillah breakfast nasi berlauk di samping bekalan yang dibawa. Anak-anak masih menyambung lena, Miqdad dan Nuha yang terawal bangun. 


Perjalanan masih jauh (lebih kurang 4 jam lagi nak sampai di Hentian Tanah Merah). Insya Allah akan sampai dengan selamat.


Tapi balik kampung tak lama. Kemudian kita akan berpecah tiga. Ummi, Miqdad,  Suri dan Nuha akan kembali ke Semenyih esok. Abi juga esok akan ke Terengganu untuk bekerja. Dan Anas dan Mussaab akan stay kat rumah nenek di Kota Bharu. Buat pertama kali, berpisah jauh dan entah untuk berapa lama. Belum pasti.


Dan hari ini (11 Disember 2025) genaplah 15 tahun usia perkahwinan ummi dan abi. Alhamdulillah syukur padaNya atas nikmat kerukunan yang dikecapi bersama. 


Alhamdulillah untuk hari ini yang Allah masih takdirkan kita hidup bersama-sama. 


Hari ini, sekali lagi mencipta kenangan pulang ke kampung menaiki keretapi. Kali pertama buat Nuha, dan kali yang ketiga buat anak-anak yang lain. Dan kali ini lebih mencabar, dari satu stesen ke satu stesen, dan di dalam train juga, asyik berkejaran dengan Nuha yang sangat tak boleh duduk diam. Mujurlah abang-abang dah besar boleh jadi bodyguard jaga adik. 


Apapun syukur untuk pengalaman hari ini. Dan syukur Allah permudahkan perjalanan kita. Semoga selamanya kita di dalam rahmat dan kasih sayang Allah.


Selamat ulangtahun perkahwinan buat ummi dan abi.

Dan selamat hari lahir buat abi. 

Alhamdulillah atas seluruh nikmatNya. 




Memori yang kita cipta bersama;
















 



BUKAN YANG KAU PILIH


Ketika banyaknya pasangan bernikah kerana ‘cinta’, ketika bahagianya mereka dapat memiliki insan yang dicintainya melalui pernikahan, sebaliknya cerita kita berbeza jalannya.


Hadirnya aku dalam hidupmu 15 tahun dahulu tika kau meletakkan sepenuhnya tawakkalmu pada soal jodoh. Maka aku hadir sebagai insan yang bukan kau kenal dan cinta. Kita menyatu atas dasar pasrah, tawakkal dan sepenuhnya berserah, bahawa ‘dia’ inilah jodoh yang Allah tetapkan buat dirimu, dan diriku. 


Aku percaya dan yakin sekali, semua lelaki mengimpikan wanita cantik, solehah, lemah lembut dan bijaksana. Dan kau bagai tak memiliki wanita yang seperti itu. Jika awal perkahwinanmu kau masih boleh berharap, namun setelah lebih sedekad berlalu, impianmu hanya tinggal impian.


Isterimu yang bukan rupawan ini, kekurangannya bukan hanya sekadar itu. Banyak kurang yang aku sendiri sedar, dan hanya kau sendiri simpan tanpa mengungkapkan padaku. 


Kata orang, aku kuat menjadi isteri yang sering ditinggalkan kerana kerjayamu yang seperti itu. Tapi bersama kekuatan ini aku adalah isteri dan ibu yang banyak tempang. Aku ibu yang ‘keras’, bukan bersifat keibuan yang disangka orang, atau yang kamu harapkan dariku. Aku percaya, banyak yang kau kesal dari sikapku sebagai seorang ibu terhadap anak-anakkmu. Aku gagal mendidik dan membentuk mereka lebih baik.  Ya, aku kesal. 


Isterimu ini, si bongsu yang tak pandai apa-apa. Tak pandai masak, tak pandai berkemas, tak pandai deko-deko, banyaklah tak pandai. Semua buat ala kadar atau asal jadi saja. Kerana anak bongsu ini, dulunya membesar sendiri, tak ada pengalaman mengurus rumah. Jadinya serba tak pandai. Tak tahu skill apa yang boleh aku tonjolkan untuk menunjukkan aku juga ada kelebihan.


Isterimu ini, yang introvert terlampau dan tak pandai bergaul, tentunya kau mengharapkan aku menjadi yang lebih baik dari ini. Jadi peramah, mudah bergaul, dan hidup bermasyarakat. Tetapi tetap jua aku tak mampu. Hanya mampu terperuk di rumah, hanya keluar ketika perlu. Sukar menambah kenalan, hanya yang sedia ada sahaja.


İsterimu ini yang tak pandai melayan dan memuliakanmu selayaknya. Tak pandai berdandan cantik, tak pandai menghadiahkan senyum, tak pandai bermanja dan bergurau, tak pandai bertutur manis dan mengungkapkan tenang, hanya insan kaku dan sering dingin. Bahkan sesimple ucapan terima kasih, maaf dan ‘i love you’ juga amat berat bibirku untuk melafazkan. Harap difaham-faham sendiri. Kesiannya kamu yang ‘memiliki’ aku. Isteri yang tak mampu mencipta tenang, damai dan manis dalam hatimu. 


Aku yang terlalu banyak kurang, bagai tak mampu mengimbangi betapa baiknya dirimu terhadapku. Barangkali banyak kau memendam rasa, kurang senang dengan sikapku yang tertentu, menyampah, fed up pasti semua ada, pada waktu-waktu tertentu..


Namun biar aku nyatakan begini; bersama banyaknya kurangku, aku tetap merasakan ikhlasnya dirimu dalam menjaga ikatan ini. Kau suami yang terlalu baik dan amanah dalam menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan ayah. 


Kau cukupkan segala, hingga aku tak perlu meminta-minta. Kau sentiasa memulakan senyum, dan mengakhiri tiap pertelingkahan. Tutur katamu baik, tak pernah meninggikan suara padaku. Tak pernah sesekali. Kau ringan tulang membuat kerja di rumah, hatta memasak hidangan untuk seisi keluarga. Kau banyak memberi, sedang aku tiada apa untuk diberikan kepadamu. Dan aku sentiasa bangga denganmu yang sentiasa dekat hatimu dan dirimu dengan masjid dan ilmu. 


Suamiku, jika soal nafkah, kau dah cukupkan segalanya, malahan sudah lebih kau hulurkan. Jika soal kasih sayang, juga sudah kau berikan secukupnya, ikhlas aku merasakan, Jika tentang didikan dan agama, kau juga sentiasa ingatkan dan pesankan pada anak dan isterimu.


 Hakikatnya, tiada apa yang tak cukup darimu. Cuma sebagai insan, sentiasa kita punya kelebihan dan kekurangan. Tiada yang sempurna. Namun aku hanya ingin mengingatkan diriku pada kelebihanmu yang banyak, berbanding kekurangan yang tak seberapa. Jika ingin membilang kekuranganmu, cukuplah aku sedar bahawa kekuranganku lebih banyak! 


Terima kasih suamiku untuk 15 tahun mengenalimu dan hidup bersamamu. Terima kasih kerana sudah memberikan yang terbaik buatku, anak-anak dan rumahtangga ini. 


Maafkan aku kerana tak mampu menjadi isteri seperti yang pernah kau impikan. Terlalu banyak kurang yang masih tak mampu aku perbaiki. Maafkanlah aku.


Terima kasih kerana terus setia bersama insan yang tidak kau ‘pilih’ ini. Aku yang hadir dalam hidupmu kerana takdir, bukan kerana kamu yang memilihnya. Namun tetap terima kasih, kerana sentiasa menjadi yang terbaik, hingga aku merasakan tiada yang lain lagi yang mampu mengganti.


Doaku untukmu suamiku;

semoga Allah sentiasa merahmatimu. Semoga Allah sentiasa berbelas kasihan kepadamu. Semoga Allah kurniakanmu sihat dan sembuh. Semoga Allah panjangkan usiamu bersama kudrat dan kebaikan. Semoga Allah permudahkan segala urusanmu dunia dan akhirat. Semoga Allah memberi petunjuk buatmu untuk memimpin keluarga ini ke arah redaNya. Semoga Allah kurniakan syurga tanpa hisab buatmu yang baik dan budiman. Ameen ya Allah. 


Sungguh, aku menjadi saksi pada seluruh kebaikanmu sebagai suami dan ketua keluarga ini. 


15 tahun yang terindah bersamamu. 


Suamiku, aku mencintaimu kerana Allah. 


Suamiku, redalah sentiasa padaku, kerana aku juga seorang isteri dan ibu yang sedang ‘berjuang’ dan mengimpikan syurga. 

Thursday, 4 December 2025 0 comments By: Naemah

CAMERON HIGHLAND SEKALI LAGI

 

Membuka catatan Disember ini dengan cerita jalan-jalan makan angin di Cameron Highland.


Sampai lagi kita ke Cameron Highland. Kali yang ke-2 untuk tahun 2025. Yang terakhir, pada bulan Februari, dan hujung tahun ini sekali lagi. Ya, kali kedua juga Nuha mengunjungi Cameron Highland, dan entah berapa banyak kali dah untuk abang dan kakak Nuha. Yang pasti, Cameron Highland sentiasa jadi tempat pilihan untuk kita kunjungi walaupun dah seringkali sampai. 


Perancangan awal, abi nak balik kampung dengan anak-anak lelaki; Anas, Mussaab dan Miqdad. Tapi last minute, tukar plan bercuti ke Cameron Highland. Macam biasa, stay 2 hari 1 malam je. Tak pernah lebih. Dan macam biasa, tak berkejaran untuk mengunjungi tempat-tempat menarik di sana. Singgah mana yang sempat je. Lebih kepada nak menikmati pemandangan dan cuaca sejuk Cameron Highland je (walaupun waktu siangnya taklah sejuk sangat).


Ahad (30/11/2025) bertolak dari rumah jam 7 pagi. Singgah R&R Rawang, beli breakfast, ke toilet dan isi petrol. Sambung perjalanan, dan sampai di Tanah Rata, Cameron Highland sekitar jam 11.15 pagi. Yang pertama sekali, cari kedai makan dulu sebab masing-masing dah kelaparan. Kedai nasi kerabu Ayahman jadi pilihan kali ini. Anak-anak makan nasi lemak, dan ummi dan abi makan nasi kerabu. Cukuplah makan tengahari kita. 


Lepas tu singgah Mr Diy sekejap, kononnya nak cari selipar untuk Nuha (terlupa bawa), tapi tak ada. Sambung perjalanan lagi. Masih awal nak check in homestay (homestay pun baru book masa dalam perjalanan ke Cameron Highland tadi). Singgah di Big Red Strawberry Farm (tempat yang sering disinggah sebab anak-anak suka datang sini). Hampir 1 jam berada di sini, beli sedikit makanan, main, dan bergambar. 


Kemudian menuju ke Masjid Kayangan di Brinchang dan solat jamak di sini sebelum ke homestay. Jalan ke homestay agak sesak (ramai sedang tertumpu di Kea Farm). Singgah juga di Kea Farm Market untuk beli jagung, strawberry, ubi keledek, scones dan makanan yang lain. Dah selesai terus ke homestay-Palas Horizan Residence (sekitar jam 4.15 petang).  Homestay agak selesa dan luas, ada 3 bilik, boleh masak, dan lengkap semua keperluan. Masuk homestay dan rehat sepuasnya. Dah tak plan nak ke mana dah petang ni.


Lepas Maghrib, keluar cari makan malam. Makan malam kami di restoren Nik Ikan Bakar,  berdekatan Masjid Kayangan. Lepas makan, terus balik, rehat dan tidur. Tamatlah sudah cerita hari pertama di Cameron Highland.


Hari kedua (1/12/2025), bangun pagi, solat subuh dan bersantai dulu di homestay. Makan apa yang ada je. Masih berbaki jagung dan ubi rebus semalam, strawberry dan scones pun ada. Tambah lagi dengan popcorn yang digoreng, di samping kopi dan milo panas, cukuplah dulu hidangan untuk pagi ni. 


Sekitar jam 10 pagi, siap untuk check out dari homestay. Lokasi pilihan pertama pagi ini ialah Zoo Mania -Butterfly Farm yang letaknya tak jauh dari homestay. Kat sini anak-anak seronok dapat tengok banyak haiwan, rama-rama dan boleh suap makan haiwan juga. 


Dah puas tengok haiwan, menuju pula ke lokasi seterusnya, juga yang terakhir untuk hari ini iaitu Tokyo Town Cameron. Kat sini banyak jualan makanan ala jepun, dan banyak juga makanan tempatan yang dijual. Datang sini just untuk makan, beli serba sikit nak rasa. Harga boleh tahan.


Lebih kurang 1 jam berada di sini, sekitar jam 12.15, bertolak turun dari Cameron Highland. Alhamdulillah 2 hari ni cuaca agak baik dan perjalanan juga lancar. 


Dalam perjalanan pulang, singgah solat dan makan di R&R Tapah. Sampai area KL, trafik dah perlahan, sebab bertembung dengan orang balik kerja. Melencong ke arah Nilai, solat jamak maghrib isyak di Masjid Nilai, dan makan malam di restoren Kencana Thai (milik suami Fyn Jamal). Alhamdulillah sedap dan puas hati makan kat situ. Licin segala lauk-pauk yang diorder. Dah habis, dah kenyang, teruskan perjalanan pulang. Dari 10 pagi turun keluar homestay, pukul 10 malam akhirnya sampai ke rumah. Alhamdulillah.


Syukur pada Allah atas perjalanan ini. Setiap perjalanan dan musafir sentiasa ada kisahnya yang tersendiri. Apa lagi bersama yang tercinta, segalanya manis biarpun tetap disulami pahit dan getir sekali sekala. Begitulah lumrahnya. Takkan semuanya manis kan? Tak dengar anak-anak bergaduh, usik mengusik, tak dengar ummi abi membebel, tak diselangi suara anak-anak mengadu lapar, penat, lambat nak sampai, memang tak sah la kan?


Apapun tetap bersyukur untuk segalanya. Atas rezekinNya, atas kesempatan masa, atas nilai kasih dan sayang, dan ruang yang ada untuk menikmati semua ini bersama-sama. Alhamdulillah. 


Terima kasih ya Allah. 

Terima kasih suami yang tercinta. 

Selamat kembali bertugas. 




Big Red Strawberry Farm









Homestay @Palas Horizon Residence















Zoo Mania Butterfly Farm













Tokyo Town Cameron








TAMAT