Saturday, 11 June 2022 0 comments By: Naemah

PULAU LANGKAWI: BERCUTI TANPA ABI (PART 4)

(6/6/2022) Pagi ini selepas breakfast, anak-anak mengisi masa dengan bermain di kolam renang yang terdapat di apartment ini. Mandi sepuasnya, kalau boleh tak nak tinggalkan kolam langsung. Tapi masih ada program lain di sini, takkanlah nak berendam dalam kolam saja. 


Dalam pukul 10 pagi, membeli belah di RAMS Home Decor dan HIG (aktiviti orang dewasa). Kanak-kanak tak berapa berminat, so tunggu jelah dalam kereta. Kat HIG semua turun sebab tempat ni lebih luas, tak risau sangat anak terlanggar barang ke apa. Anak-anak memilih coklat kesukaan mereka. Yang dewasa memilih peralatan dapur dan segala yang menarik minat mereka di sini. 


Selesai membeli belah, menuju ke sebuah restoren nasi campur untuk lunch. Lepas tu menuju ke jeti untuk aktiviti Kilim Mangrove tour. Solat siap-siap di masjid dalam perjalanan tadi, anak-anak tukar pakaian mandi dan satu keluarga menaiki bot yang telah ditempah. Di sini kami dibawa ke tempat peliharaan ikan, gua kelawar, gua buaya, habitat monyet dan helang, juga dapat mandi pantai. Lebih kurang 3 jam di sini, kemudian balik ke homestay. Satu hari lagi menempuh penat, tapi memuaskan dan berbaloi dengan kenangan yang diperoleh.


Malam just keluar makan dan balik berehat secukupnya. Hari ini adalah hari terakhir berjalan-jalan di Pulau Langkawi. Esok akan menempuh perjalanan balik pula. Ya, akan menempuh perjalanan panjang lagi. Maka perlu rehat dan tenaga secukupnya. 









































.

.

.V


Bersambung 


PULAU LANGKAWI: BERCUTI TANPA ABI (PART 3)

(5/6/2022) Hari ke-2 di Pulau Langkawi. Bangun pagi dengan semangat dan tenaga yang baru untuk menghadapi hari di sini. 


Lokasi pertama hari ini ialah Skycab Langkawi. Bertolak ke sana seawal jam 9 pagi. Lautan pengunjung sudah sedia berkumpul untuk beratur membeli tiket cable car. Biarpun kami sudah membeli tiket secara online, masih juga perlu beratur panjang untuk menunggu giliran naik cable car. 


Bersesak dengan pengunjung yang ramai, perlu beratur panjang, cuaca panas, anak-anak yang dah mula meragam dan serba tak kena, terasa mahu tinggalkan saja tempat ini. Namun Alhamdulillah bisa bertahan dan situasi menjadi lebih tenang setelah itu. 


Akhirnya tiba giliran kami pada pukul 12.30 untuk menaiki cable car. Alhamdulillah dapat memberikan anak-anak kenangan menaiki cable car sekali lagi. 


Jam 3 petang, meninggalkan lokasi skycab, singgah makan tengahari dan balik berehat di homestay.


Selepas asar mereka semua sekali lagi keluar menuju ke Pantai Chenang (ummi dan Suri tinggal di bilik). Satu petang di Pantai Chenang, anak-anak bermain pantai dan menaiki banana boat. Menjelang maghrib, pulang semula ke homestay. Seronok bercerita pengalaman pertama menaiki banana boat.


Malam hari hanya berehat di bilik dan makan maggie cup saja. Semua dah penat dan tak larat dan keluar makan dah.


Alhamdulillah untuk keseronokan hari ini. Esok masih ada aktiviti yang menanti anak-anak. Masa untuk rehat secukupnya.




Siap-siap nak naik cable car 



Berlatarkan pengunjung yang sudah ramai


3D Art Langkawi 



Muka yang penat menunggu



Sebelum tu enjoy 6d cinemotion





Akhirnya dapat naik cable car











Menikmati view dari puncak



Pantai Chenang 






.

.

.

V


Bersambung 

PULAU LANGKAWI: BERCUTI TANPA ABI (PART 2)

(4/6/2022) menaiki feri dan meninggalkan jeti Kuala Perlis pada jam 1.50 petang. Perjalanan mengambil masa sekitar 3 jam. Sampai ke destinasi jam 4.30 petang, dan terus menuju ke homestay (Perdana Serviced Apartment & Resort) yang letaknya di area Pantai Chenang. 


Petang hingga maghrib, hanya berehat di bilik. Leganya dapat rebahkan badan ke katil selepas satu hari tak jumpa katil dan tidur ala kadar saja. 


Selepas solat jamak maghrib dan isyak, menuju ke rumah sepupu (anak saudara mak mertua yang tinggal di sini). Di sini kami makan malam dan beramah mesra dengan tuan rumah. Malam masih muda, namun semua orang sudah sangat kepenatan. Yang dewasa masih boleh bertahan. Kanak-kanak, seorang demi seorang rebah (tidur) di rumah sepupu. Satu kerja pula nak kejutkan sorang demi sorang, dalam keadaan sangat penat dan mengantuk, memang menguji sangat. Ada pula anak yang dah mula meragam dan menangis. Lebih menguji sabar.


Tiba di apartment jam 11 malam. Masa untuk rehat dan tidur. Anak-anak sudah lena dibuai mimpi. Satu hari lagi menjalani hari yang memenatkan. Untuk mereka, pastinya hari ini adalah hari yang sangat menggembirakan. Dapat jumpa sepupu, dapat juga sampai ke Langkawi yang mereka impikan. Alhamdulillah.


Untuk ummi, penat dan sukar rasanya bila abi tak ada bersama. Dan rindu nak abi ada bersama kita melalui hari-hari penuh bermakna di sini bersama keluarga yang hadir bersama. Tapi apakan daya, Allah mentakdirkan yang seperti ini. 


Esok hari akan penuh dengan aktiviti lagi. Berehat dengan secukupnya, moga esok akan lebih bertenaga untuk meneruskan hari di sini.


 




Suri dan Sumayyah



Beratur menaiki feri



Sudah berada di dalam feri




Bergambar kenangan di atas feri







Pemandangan dari apartment 



Senja di Pulau Langkawi 



.

.

.

V


Bersambung 

PULAU LANGKAWI: BERCUTI TANPA ABI (PART 1)

Perancangan awal: nak bawa anak-anak ke Pulau Perhentian pada cuti sekolah. Berpakat dengan Azim (adik ipar) and family untuk bercuti di sana. Lagipun belum pernah sampai sana.


Tapi akhirnya (sebab) chalet di sana sudah fully booked terpaksa la tukar ke destinasi lain, iaitu Pulau Langkawi. Di samping 2 keluarga kami, ahli keluarga yang lain juga dipelawa untuk sertai percutian ini. Tapi ramai yang ada komitmen lain, akhirnya yang dapat join ialah mak mertua, 2 adik ipar yang belum kawin dan seorang anak saudara. Tarikh 4/6-7/6 menjadi pilihan untuk bercuti bersama. Anak-anak sudah tentu excited, sebab dapat bercuti dengan sepupu. Suami pun dah plan cantik waktu perjalanan kami sekeluarga untuk tiba di jeti Kuala Perlis pada hari tersebut. Oh ya, kami semua akan bawa kereta sekali hingga ke Langkawi. Bayaran feri, homestay semua adik ipar dah uruskan.


Namun kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Hampir tiba harinya untuk ke Pulau Langkawi, suami terpaksa menggantikan rakan sekerja yang dijangkiti covid-19. Terpaksa ke Kemaman dengan kadar segera. Seluruh ahli keluarga menanggung rasa kecewa tak terkata. Anak-anak dah mula sedih, impian mereka nak berseronok dengan sepupu hancur berderai.


Last minute, ambil keputusan untuk ikut serta percutian dengan anak-anak, tanpa suami. Ya Allah, berat sungguh nak buat keputusan ni. Kalau ikutkan hati sendiri memang tak nak. Dapat bayangkan betapa mencabarnya nak uruskan anak-anak tanpa suami nanti. Tapi demi anak-anak, ummi rela untuk tempuh semua. Dan kesian pada adik ipar yang dah booking dan plan aktiviti semua, last-last tak ramai dapat join.


Maka pada harinya (3/6/2022), dipendekkan cerita, adik ipar ambil kami sekeluarga di Semenyih (lepas dia berkursus di KL), dan kami menuju ke Kuala Krai untuk ambil isteri dan anak-anaknya pula (3 orang anak mereka yang lain dah ikut mak sedara mereka bertolak terlebih dahulu).


Siapa sangka, hari ini kami menempuh perjalanan yang sangat panjang, menguji sabar dan memenatkan. Perjalanan ke Kuala Krai yang sepatutnya 5-6 jam sahaja menjadi sehingga 11 jam (2.30 petang hingga 1.30 pagi) kerana kesesakan yang luar biasa. Kemudian jam 2 pagi terus bertolak ke Kuala Perlis untuk kejar feri keesokan harinya. Sungguh, penat sangat rasanya. Tapi syukurlah dalam perjalanan masih sempat lelapkan mata walaupun dalam keadaan kurang selesa (bersesak sikitlah sebab terpaksa menumpang kereta orang). 


Alhamdulilah tiba di jeti Kuala Perlis sekitar jam 8 pagi. Sempat berurusan yang sepatutnya, sebelum bertolak ke Pulau Langkawi dengan menaiki feri.




(3/6/2022) 

Dari semenyih ke Kuala Krai

Menempuh kesesakan luar biasa hari ni



(4/6/2022)

Tarikh dah bertukar, tapi masih dalam outfit yang sama.

Jam 8 pagi tiba di jeti Kuala Perlis 


.

.

.

V


Bersambung PART 2


Tuesday, 31 May 2022 0 comments By: Naemah

LITTLE DIAMOND KINDERGARTEN: MAJLIS HARI RAYA, HARI GURU DAN LAPORAN PRESTASI MIQDAD





Pada 21/5 yang lepas diadakan majlis sambutan hari raya juga majlis hari guru di Little Diamond Kindergarten. Pada hari tersebut juga menerima laporan prestasi Miqdad di sekolah. Setelah 2 tahun berturut tak diadakan majlis seperti ini, tahun ini diizinkan olehNya untuk raikan kemeriahan Syawal ini bersama-sama.


Tahun ni sambutan diadakan di lokasi yang baru (sebab Little Diamond dah berpindah tempat). Jauh sikit dari rumah, tapi taklah jauh sangat.


Ringkasnya, majlis ini terbahagi kepada dua sessi, pagi untuk student playschool dan 4 tahun, petang pula untuk student 5 dan 6 tahun (jam 12-12.30 ada persembahan dari anak-anak mengikut kelas). 


Jam 12 ummi, Miqdad dan Suri dah ada di sekolah Miqdad. Abi pula bawa Anas dan Mussaab ke kelas berenang dan datang ke majlis setelah selesai kelas. Miqdad tak ikut kelas berenang hari ni, takut rushing dan kejar masa nak ke majlis sekolah. 


Sebaik sampai, menjamu selera dulu dengan aneka juadah yang ada. Alhamdulillah, kenyang. Tak lupa hulurkan hadiah hari guru buat teacher. Kemudian tengok persembahan Miqdad dan kawan-kawan yang menghiburkan. Akhir sekali barulah jumpa teacher untuk dengar laporan prestasi Miqdad. Part ni memang paling ditunggu, sebab nak tahu progress Miqdad kat sekolah. 


Dari laporan Teacher Fatin, Alhamdulillah semuanya baik dan terbaik. Tak ada masalah tentang pembelajaran Miqdad di sekolah, cuma bab social involvement dia kurang sikit. Katanya pemalu sangat, suara pun perlahan amat. Hmm.. kat rumah bukan main kuat lagi suara tu kan? Harapnya Miqdad boleh perbaiki lagi, jadi lebih berani dan yakin diri lepas ni. Kan dah nak masuk darjah satu. Miqdad kenalah lebih berani. 


Lepas jumpa teacher, terus menuju balik ke rumah. Urusan dah selesai. Cuaca pun agak panas. Balik rumah, ready masak untuk majlis hari raya dengan jiran-jiran pula malam ni. Ummi masakkan nasi dagang untuk majlis malam nanti.


Lepas Maghrib berkumpul dengan jiran-jiran pula, makan-makan aneka juadah yang ada. Tapi tak lama, sebab lepas tu abi nak drive balik kampung untuk ziarah mak cik abi yang sedang sakit tenat. Abi balik dengan Mussaab.


Tamatlah program hari ni. Semua pun sudah kepenatan. Tinggal ummi, Anas, Miqdad dan Suri di rumah. Mendoakan perjalanan abi mudah dan selamat sampai.


Alhamdulillah atas apa yang telah dilalui bersama hari ini. Syukur dapat berkumpul dengan meriah sekali. Perut kenyang, hati riang. 


Tahun terakhir Miqdad di Little Diamond Kindergarten. Tahun depan mungkin tak dapat rasa suasana seperti ini lagi sebab dah tukar sekolah.


Apapun syukur, berbanding tahun lepas, tahun ni keadaan hampir kembali normal. Miqdad dapat juga nikmati momen-momen seperti ini di tadika. 


Alhamdulillah. Syukur atas nikmat dan rezeki dariNya. 








BERAYA DI SRAIPB DAN SKKR





Pada hari Jumaat (20/5/2022) telah diadakan majlis sambutan hari raya di sekolah Anas (SRAI Pekan Beranang) dan sekolah Mussaab (SK Kampung Rinching). Setelah 2 tahun majlis seperti ini tidak diraikan, akhirnya tahun ini anak-anak dapat kembali meraikan kemeriahan Syawal bersama guru dan kawan-kawan. 


Hari tersebut anak-anak siap berpakaian raya (baju melayu lengkap dengan songkok dan sampin). Anas bawa nasi himpit dan biskut, Mussaab pula bawa kerepek dan hadiah untuk guru (sebab majlis ni juga sekali dengan sambutan hari guru). Seronok keduanya nak beraya di sekolah. 


Di sekolah, anak-anak meraikan hari raya dengan penuh kemeriahan. Menikmati hidangan dengan aneka juadah, lupakan buku dan pelajaran semua. Penuh dengan aktiviti makan dan bermain dengan kawan-kawan saja. 


Jam 12 balik dari sekolah. Ummi ambil Anas, abi pula ambil Mussaab (sebab balik pada waktu yang sama). Keduanya kepenatan setengah hari beraya di sekolah. Alhamdulillah majlis raya berjalan dengan baik dan anak-anak menikmati kemeriahan raya hari ini.


Ummi pun tak ada apa sangat nak cerita, just nak highlight hari-hari penting yang dilalui anak-anak di sekolah. Dah masuk sekolah rendah, dah besar dah keduanya. Hal-hal di sekolah, anak-anak lalui sendiri dengan rakan-rakan dan guru-guru. Ummi  hanya setia menanti di rumah. Mungkin ada cerita dan momen yang mahu dikongsi, ummi sedia mendengar.


Syawal pun dah berakhir. Alhamdulillah semua dapat raikan Syawal dengan lebih meriah berbanding tahun-tahun lepas (ketika covid masih mengganas). Syukur padaNya, Syawal kita tak lagi kelam.


Syawal tahun depan pasti akan lebih baik dan lebih meriah, insya Allah. 

Wednesday, 4 May 2022 0 comments By: Naemah

NOSTALGIA AIDILFITRI ENDEMIK (2022)




3 April yang lalu kita mula berpuasa. Menyambut 1 Ramadan dengan penuh kesyukuran, biarpun Ramadan kita lalui tanpa abi pada kebanyakan harinya. Namun tetap bersyukur, bertemu lagi kita dengan Ramadan tahun ini. 


Setelah 3 tahun kita ‘berperang’ dengan virus covid-19 yang tak terlihat, syukur kita masih di kalangan yang ‘terselamat’ dari kekejamannya. Ya, meskipun kita satu keluarga juga tak terlepas dari diserang virus itu hampir 2 bulan yang lalu. Sekali lagi syukur, hari ini kita sekeluarga berada dalam keadaan baik-baik saja, beraya di kampung dengan kemeriahan yang sudah lama tidak kita rasakan.


2 Aidilfitri yang lepas kita raikan di perantauan, jauh dari keluarga. Tahun ini special, sebab tiada lagi halangan untuk beraya di kampung halaman. Tapi raya kali ini juga menjadi raya yang tak terjangka, bila diumumkan hari raya Aidilfitri jatuh pada 2 Mei 2022, di mana ia tak seperti yang tercatat di dalam takwim (3 Mei). Boleh dikatakan semua orang mengalami ‘kejutan’ dan kurang persediaan untuk menyambut Aidilfitri. Ya, agak sedih juga la seakan Ramadan pergi dengan tiba-tiba saja.


Namun dalam ‘terkejut’, kita tetap terima dengan lapang dada. Beraya seadanya sajalah. Syukur di rumah ini, segala keperluan untuk memasak hidangan raya dah lengkap. Tinggal nak masak je! Tengok orang lain kalut tak tahu nak masak apa, kita tenang-tenang saja, cuma perlu kumpul semangat untuk terus ‘bersilat’ di dapur selepas mendengar pengumuman ‘esok raya’!


Sebab apa semua dah cukup lengkap? Sebab tahun ini ditakdirkan abi perlu berkuarantin dan bertugas di hari raya. Semuanya abi cukupkan demi nak anak-anak menikmati raya walaupun dia tiada bersama. Nak ummi masak sedap-sedap, nak bagi feel raya semua. Lagipun rumah ni jadi tumpuan anak cucu mek selepas solat hari raya, rumah mek akan penuh dengan anak cucu. Jadi, biarlah ada hidangan istimewa untuk semua.


Kita merancang, Allah jua merancang. Sudah tentulah perancangan Dia yang terbaik. Dalam tak seronok beraya sebab abi tak ada, tiba-tiba abi muncul di rumah. Ya, seperti tiba-tiba esok raya, begitu juga tiba-tiba abi balik nak raya bersama. Sekejap cuma, tapi penuh bermakna. Terasa raya lebih lengkap dengan kehadiran abi. 


Hari raya ni memang rasa sangat luar biasa. Tak terjangka dan tak terduga. Kerana sudah 2 tahun tak beraya bersama, sudah pasti semua mengharapkan raya yang meriah, dengan juadah yang istimewa di pagi raya. Tapi bila ditakdirkan kita perlu beraya awal sehari dari tarikh yang kita jangka, semua jadi kelam kabut. Raya dah jadi berbeza sedikit dari yang dirancang. Ada yang tak sempat ambil baju raya, ada yang perlu beraya di jalan raya ( dalam perjalanan balik kampung), ada yang tak sempat ambil tempahan makanan, dan lain-lain lagi. Maka jadilah raya kali ini seadanya dan kekadarnya saja. Namun moga kita tetap bersyukur, kerana syukur menjadikan segalanya indah.


Begitu juga buat keluarga kita. Kita jangka raya kita kurang seronok sebab 2 tahun berturut abi perlu jalani kuarantin di hari raya. Tapi Allah Maha Baik, hadirkan abi untuk raikan raya ini bersama kita. Raya kita jadi lebih bermakna. 


Pada ummi, raya ini sudah cukup sempurna. Dapat beraya di kampung, sempat sediakan juadah raya seperti yang dirancang, dapat jumpa ahli keluarga yang dah lama tak jumpa, anak-anak seronok ada ramai kawan di kampung dan dapat duit raya, dan paling best abi ada di hari raya, menjadikan ia raya yang tak seperti kita jangka. Kita terima akan takdirNya yang abi tak dapat beraya bersama, tetapi Allah takdirkan hal dan situasi yang tak terjangka. Dan takdir itu sangat membahagiakan. 


Oleh itu, ayuhlah kita bersyukur sebanyaknya untuk sambutan Aidilfitri ini. Kita masih dikurniakan kesihatan yang baik, dapat berkumpul dengan ahli keluarga yang ramai, dalam suasana yang meriah. Kerana dalam kita gembira ini sudah pasti ada yang sedang berduka kerana telah kehilangan ahli keluarga kerana covid-19 dan sebab yang lain. Syukur dapat menikmati juadah raya dan berpakaian baru, kerana dalam masa yang sama ada yang tidak dapat menikmati semua ini kerana kurang kemampuan. 


Terima kasih ya Allah. Segalanya cukup Kau kurniakan buat kami. Cukup dan sempurna. Aku sentiasa merasakan takdir dan aturanMu sentiasa yang terbaik dan terindah. Meski dalam bentuk yang kami tidak mahu, tetap ianya yang terbaik dan menjanjikan indah. 


Alhamdulillah. 

Selayaknya puji-pujian hanya untukMu ya Allah.


Selamat hari raya Aidilfiti buat seluruh dunia!!



** Tahniah anak-anak (Anas, Mussaab dan Miqdad) kerana berjaya sempurnakan puasa sebulan. Especially Miqdad yang tahun ini mula belajar berpuasa. Pastinya Raya ini memberi kegembiraan luar biasa buat semua. Alhamdulillah **