Wednesday, 4 May 2022 By: Naemah

NOSTALGIA AIDILFITRI ENDEMIK (2022)




3 April yang lalu kita mula berpuasa. Menyambut 1 Ramadan dengan penuh kesyukuran, biarpun Ramadan kita lalui tanpa abi pada kebanyakan harinya. Namun tetap bersyukur, bertemu lagi kita dengan Ramadan tahun ini. 


Setelah 3 tahun kita ‘berperang’ dengan virus covid-19 yang tak terlihat, syukur kita masih di kalangan yang ‘terselamat’ dari kekejamannya. Ya, meskipun kita satu keluarga juga tak terlepas dari diserang virus itu hampir 2 bulan yang lalu. Sekali lagi syukur, hari ini kita sekeluarga berada dalam keadaan baik-baik saja, beraya di kampung dengan kemeriahan yang sudah lama tidak kita rasakan.


2 Aidilfitri yang lepas kita raikan di perantauan, jauh dari keluarga. Tahun ini special, sebab tiada lagi halangan untuk beraya di kampung halaman. Tapi raya kali ini juga menjadi raya yang tak terjangka, bila diumumkan hari raya Aidilfitri jatuh pada 2 Mei 2022, di mana ia tak seperti yang tercatat di dalam takwim (3 Mei). Boleh dikatakan semua orang mengalami ‘kejutan’ dan kurang persediaan untuk menyambut Aidilfitri. Ya, agak sedih juga la seakan Ramadan pergi dengan tiba-tiba saja.


Namun dalam ‘terkejut’, kita tetap terima dengan lapang dada. Beraya seadanya sajalah. Syukur di rumah ini, segala keperluan untuk memasak hidangan raya dah lengkap. Tinggal nak masak je! Tengok orang lain kalut tak tahu nak masak apa, kita tenang-tenang saja, cuma perlu kumpul semangat untuk terus ‘bersilat’ di dapur selepas mendengar pengumuman ‘esok raya’!


Sebab apa semua dah cukup lengkap? Sebab tahun ini ditakdirkan abi perlu berkuarantin dan bertugas di hari raya. Semuanya abi cukupkan demi nak anak-anak menikmati raya walaupun dia tiada bersama. Nak ummi masak sedap-sedap, nak bagi feel raya semua. Lagipun rumah ni jadi tumpuan anak cucu mek selepas solat hari raya, rumah mek akan penuh dengan anak cucu. Jadi, biarlah ada hidangan istimewa untuk semua.


Kita merancang, Allah jua merancang. Sudah tentulah perancangan Dia yang terbaik. Dalam tak seronok beraya sebab abi tak ada, tiba-tiba abi muncul di rumah. Ya, seperti tiba-tiba esok raya, begitu juga tiba-tiba abi balik nak raya bersama. Sekejap cuma, tapi penuh bermakna. Terasa raya lebih lengkap dengan kehadiran abi. 


Hari raya ni memang rasa sangat luar biasa. Tak terjangka dan tak terduga. Kerana sudah 2 tahun tak beraya bersama, sudah pasti semua mengharapkan raya yang meriah, dengan juadah yang istimewa di pagi raya. Tapi bila ditakdirkan kita perlu beraya awal sehari dari tarikh yang kita jangka, semua jadi kelam kabut. Raya dah jadi berbeza sedikit dari yang dirancang. Ada yang tak sempat ambil baju raya, ada yang perlu beraya di jalan raya ( dalam perjalanan balik kampung), ada yang tak sempat ambil tempahan makanan, dan lain-lain lagi. Maka jadilah raya kali ini seadanya dan kekadarnya saja. Namun moga kita tetap bersyukur, kerana syukur menjadikan segalanya indah.


Begitu juga buat keluarga kita. Kita jangka raya kita kurang seronok sebab 2 tahun berturut abi perlu jalani kuarantin di hari raya. Tapi Allah Maha Baik, hadirkan abi untuk raikan raya ini bersama kita. Raya kita jadi lebih bermakna. 


Pada ummi, raya ini sudah cukup sempurna. Dapat beraya di kampung, sempat sediakan juadah raya seperti yang dirancang, dapat jumpa ahli keluarga yang dah lama tak jumpa, anak-anak seronok ada ramai kawan di kampung dan dapat duit raya, dan paling best abi ada di hari raya, menjadikan ia raya yang tak seperti kita jangka. Kita terima akan takdirNya yang abi tak dapat beraya bersama, tetapi Allah takdirkan hal dan situasi yang tak terjangka. Dan takdir itu sangat membahagiakan. 


Oleh itu, ayuhlah kita bersyukur sebanyaknya untuk sambutan Aidilfitri ini. Kita masih dikurniakan kesihatan yang baik, dapat berkumpul dengan ahli keluarga yang ramai, dalam suasana yang meriah. Kerana dalam kita gembira ini sudah pasti ada yang sedang berduka kerana telah kehilangan ahli keluarga kerana covid-19 dan sebab yang lain. Syukur dapat menikmati juadah raya dan berpakaian baru, kerana dalam masa yang sama ada yang tidak dapat menikmati semua ini kerana kurang kemampuan. 


Terima kasih ya Allah. Segalanya cukup Kau kurniakan buat kami. Cukup dan sempurna. Aku sentiasa merasakan takdir dan aturanMu sentiasa yang terbaik dan terindah. Meski dalam bentuk yang kami tidak mahu, tetap ianya yang terbaik dan menjanjikan indah. 


Alhamdulillah. 

Selayaknya puji-pujian hanya untukMu ya Allah.


Selamat hari raya Aidilfiti buat seluruh dunia!!



** Tahniah anak-anak (Anas, Mussaab dan Miqdad) kerana berjaya sempurnakan puasa sebulan. Especially Miqdad yang tahun ini mula belajar berpuasa. Pastinya Raya ini memberi kegembiraan luar biasa buat semua. Alhamdulillah **









0 comments:

Post a Comment