Tuesday, 16 August 2022 By: Naemah

MELENCONG KE TEMERLOH



Kita merancang, Allah jua merancang. Sudah tentulah perancangan Allah itu yang terbaik. Begitulah kesimpulannya pada catatanku kali ini.


Pada awalnya suamiku merancang untuk balik kampung dengan Miqdad dan Suri pada hari Jumaat lepas (12/8/2022). Tapi pada hari tersebut, tukar plan, suami ajak semua balik sekali. Aku setuju saja walaupun berat hati juga nak balik sebab Isnin depan Anas nak exam, kononnya weekend ni nak suruh dia fokus pada ulangkaji. Tapi setuju jugalah nak balik kampung, sebab nak lepaskan suami balik dengan anak-anak je pun, berat hati juga. 


Suami decide nak bawa kereta ODC yang dah lama tersadai kat rumah ni (dah lama tak berjalan jauh sejak kereta buat hal). Dalam sebulan ni kereta tu elok je bergerak sana sini (tapi sekitar Semenyih ni je). Jadi suami confident la nak bawa balik kampung, walaupun aku tak berapa setuju.


Kami bertolak selepas ambil Anas di sekolah jam 12 tengahari, hari Jumaat. Dari sekolah, terus bertolak balik kampung. Anas dan Miqdad masih dengan pakaian sekolah. 


Mulanya perjalanan agak lancar. Menempuh kesesakan di KL pun tiada masalah. Sampailah masuk highway LPT, kereta dah mula buat hal. Dipendekkan cerita, sebab rasa dah tak boleh teruskan perjalanan, kami terpaksa berhenti di tepi jalan (pilih tempat yang selamat). Lagi 5km nak sampai ke R&R Genting Sempah. Matikan dulu enjin, beberapa kali hidupkan balik enjin, namun masih bermasalah dan tak dapat nak teruskan perjalanan. 


Akhirnya suami call trak penunda, untuk minta bantuan. Aku pula call anak saudara yang tinggal di Karak untuk minta tolong ambil kami. Lepas tu hidupkan kereta, nak cuba bawa ke R&R yang dah tak berapa jauh tu. Alhamdulillah boleh gerak, tapi malangnya tak sempat sampai ke R&R, enjin mati lagi di tengah jalan (lagi 2 km je nak sampai R&R). Kali ni agak cemas, sebab mati di selekoh yang agak berbahaya. Dengan kenderaan yang banyak, termasuk kenderaan berat yang memenuhi jalan. Agak menakutkan, setiap kali lori besar melintasi. Sementara menunggu bantuan, suami terpaksa keluar untuk mengawal trafik. At least kenderaan lain tahulah ada kereta rosak di depan.


Dalam penantian lebih kurang 1 jam lamanya, anak-anak yang tadi tenang mula tak senang duduk dalam keadaan panas. Bermandi peluh semuanya. Basah kuyup baju masing-masing. Ada yang hilang sabar, dah mula merungut. Ada pula yang dah mula menangis. Dalam keadaan panas dan sukar ini, bermacam rasa hadir. Mencuba untuk bersabar, dan yakin akan hadir pertolongan dari Allah. 


Lebih kurang jam 3.30, kereta penunda sampai. Kami dibawa ke R&R Genting Sempah, di mana di sini anak saudara (Zaid) dah menunggu kami. Aku dan anak-anak ikut Zaid balik ke rumahnya di Karak. Alhamdulillah syukur dan berterima kasih atas pertolongan ini. Ada juga saudara yang terdekat yang boleh kami hubungi dalam situasi cemas seperti ini. Suamiku naik trak penunda tadi, ikut hantar kereta di bengkel (di Port Klang). Malam ni aku dan anak-anak bermalam di Karak, sementara suami balik semula ke rumah. Menempuh hari yang mencemaskan dan memenatkan. Kami terima ujian ini dengan redha. 


Pada esok harinya suami datang menjemput kami di Karak. Dah tak sempat nak balik kampung nampaknya. Suami bawa kami ke Temerloh. Katanya nak bawa makan patin tempoyak kesukaan Anas. Oleh sebab masih awal pagi, kami bersantai dulu di tepian sungai di Esplanade Temerloh. Tiba waktu makan tengahari, kami menuju ke Restoren Go’Bang Maju untuk menikmati hidangan patin tempoyak. Restoren ni agak famous juga. Kami pernah datang sekali (sebelum dia tukar ke lokasi yang sekarang). Di samping patin tempoyak, banyak lagi lauk pauk yang lain yang disediakan seperti asam pedas, masak lemak salai, mi udang, dll. Kami menikmati hidangan tengahari di sini dengan berselera sekali. Alhamdulillah atas nikmat ini. 


Lepas makan ingatkan suami nak terus balik, tapi rupanya dia dah book hotel di Bandar Temerloh ni. Alang-alang sampai sini, berehat dululah semalaman kan? Sebelum check in hotel, suami bawa anak-anak main air di Kubang Gajah Waterpark. Main redah je pakai Google, mana tempat menarik yang boleh dituju di sini. Maklumlah, tak pernah sampai sini sebelum ni. Anak-anak seronok dapat main air di waterpark. Kami berada di sini selama lebih kurang 3 jam. Anak-anak dilepaskan bermain sepuasnya. Agak berbaloi juga dengan bayaran rm 10 (kanak-kanak) dan rm 12 (dewasa) untuk berada di sini tanpa had masa. Walaupun dalam cuaca agak panas, anak-anak tetap enjoy main air di sini.


Jam 3 petang, check in hotel, berehat sekejap, kemudian keluar makan malam di kedai makan berdekatan. Malam suami keluar lagi bawa anak-anak ke car boot sale. Lepas tu balik tidur dan berehat secukupnya. Siapa sangka, dari plan asal nak balik kampung, akhirnya melencong ke Temerloh. 


Pada esok harinya, bersiap nak balik semula ke Semenyih. Breakfast di kedai makan yang berdekatan, lepas tu ke pasar pagi di Esplanade (tempat lepak semalam). Besar pasarnya, dan macam-macam orang jual kat sini. Kat sini kami beli ikan patin, kuih muih, petai, kacang rebus dan pakaian juga. Selesai membeli terus bertolak untuk balik. 


Perjalanan kami santai-santai saja. Ikut jalan lama, tak masuk highway. Masuk kampung, felda semua la. Betul-betul menikmati pemandangan hijau di sepanjang perjalanan. Alhamdulillah lancar saja perjalanan, dan tak terlalu mengejar masa. 


Akhirnya tiba di rumah pada jam 3 petang. Alhamdulillah dah ‘kembali ke sarang’. Dalam sukar tetap ada senangnya. Meski Allah menguji, bersamanya juga ada pertolongan. Dan segalanya dalam kemampuan kita semua untuk menghadapinya. Akhirnya yang berat menjadi ringan, dan kita mampu bernafas lega dan jangan lupa untuk ingatkan hati agar sentiasa bersyukur. Syukur dengan ujian dan syukur atas pertolonganNya jua dapat kita tempuh semua. 


Alhamdulillah. Perancangan Allah lah yang terbaik. 



Saat bertolak 

Semuanya girang gembira sebab nak balik kampung






Call towing untuk dapatkan bantuan. Dah tak dapat nak teruskan perjalanan.







Cuba untuk berhenti di R&R. Tapi tak sempat sampai.



Bermandi peluh





Trak penunda sampai akhirnya 

Turun di R&R dan dibawa ke rumah anak saudara di Karak. Bermalam di Karak.



Esok harinya menuju ke Temerloh











Lunch di Go’Bang Maju Patin Tempoyak



Kubang Gajah Waterpark 





Dinner 



Bermalam di OYO Hotel


Dalam perjalanan balik. Santai seadanya. 










0 comments:

Post a Comment