Wednesday, 14 October 2020 By: Naemah

PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB) KEMBALI









Negara mencatat kes terbaharu Covid-19 sebanyak 691 kes pada 6/10/2020 iaitu kes yang tertinggi semenjak Covid-19 melanda negara dan dunia. 


Pada Jun 2020, bermula Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dan ketika itu kes sudah mula menurun ke satu angka kes harian. Rasa lega dan bersyukur sangat masa tu sebab mula diberi 'kebebasan' setelah sekian lama berkurung di rumah. Dah boleh keluar berjalan, dah boleh balik kampung, dan anak-anak pun dah boleh kembali bersekolah. Walaupun perlu hidup dengan normal baru, namun ia tetap memberi rasa yang lega dan syukur tak terkata. Alhamdulillah. 


Namun barangkali kerana alpa dan atas asbab yang lain, kes kembali mencanak naik hingga ke angka yang tak terjangkau banyaknya. Bermacam nama kluster baru yang timbul, menghadirkan kebimbangan hari demi hari. Nak hantar anak ke sekolah pun dah mula risau. Suami pula, perlu menjalani kuarantin yang panjang setiap kali ingin bertugas. Masa bersama semakin terhad. 


Seperti yang dijangka, Selangor kembali menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerana kes yang meningkat di sekitar Selangor saban hari. Kali ini bukan seluruh negara yang dikenakan perintah berkurung, tapi hanya sebahagian- Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Sabah yang kini mencatat angka harian tertinggi setiap hari. Maka bermulalah PKPB berkuatkuasa pada 14/10/2020.


Aku sendiri, sejujurnya lebih bersedia untuk menempuh tempoh PKPB kali ini. Kerana ianya perintah bersasar untuk sebahagian negeri sahaja, pada aku 'taklah teruk sangat' - Insya Allah. Tambahan pula tengah dalam keadaan serba salah nak hantar anak sekolah, bila dah PKPB ni bermakna memang sekolah pun ditutuplah. 


Namun tak dinafikan, tetap ada banyak pihak yang terkesan dengan arahan PKPB ini, seperti peniaga-peniaga kecil yang tak dapat berjualan seperti biasa, ada pula ibubapa bekerja yang buntu nak hantar anak ke mana bila mereka keluar bekerja, dan tak boleh nak balik jumpa parents yang tinggal di daerah dan negeri yang berbeza. Namun kita harap semua ini tidak lama. Tak lama seperti episod PKP yang lepas, insya Allah. Mudah-mudahan langkah ini mampu untuk mengurangkan kembali kes harian covid-19. Insya Allah. 


Suami juga dah kembali bertugas selepas seminggu balik dari Terengganu. Kali ini bertugas di Miri, Sarawak. Perlu menjalani kuarantin 14 hari di hotel, turun ke laut dan Insya Allah kan bersua lagi bulan depan. Allah.. Anak-anak terpaksa berpisah lama lagi dengan abi mereka. Aku kembali perlu berdiri sendiri uruskan segalanya di rumah. Alhamdulillah, suami dah cukup kan semua keperluan sebelum pergi. Semoga dipermudahkan urusan dia, dan juga aku bersama anak-anak. 


Di rumah, tetap dengan aktiviti yang biasa. Kembali belajar di rumah, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru, dan bermain sesama sendiri. 


Setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya. Pasti akan berakhir, pasti akan hadir episod kehidupan yang lebih indah, meski bersama ujian ini. Perancangan Allah.. Tak siapa tahu. 



0 comments:

Post a Comment