Tuesday, 9 April 2019 By: Naemah

WEEKEND: PBAKL DAN UPIN DAN IPIN MOVIE


Weekend pertama untuk bulan ini (6&7 April 2019), Alhamdulillah suamiku ada di rumah selepas 4 hari di Bintulu. Bermakna, boleh ‘keluar’ rumah la hari minggu ni :)




Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 

(6/4/19)


Hari ini bertolak dari rumah sekitar jam 8.30 pagi menuju ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC yang sudah lama berlangsung, dan akan berakhir pada esok hari. 


Sebenarnya tak plan pun untuk ke sini memandangkan tahun lepas dah pernah bawa anak-anak ke sini untuk pertama kali. Keadaannya yang sesak dan ruang yang sangat besar dan bertingkat (tak seperti Pesta buku Big bad wolf) sangat tak sesuai untuk membawa anak-anak kecil (pada pendapat akulah. Orang lain mungkin ok je kot).


Last minute, tengah breakfast suami ajak ke sana. Lepas berfikir panjang, aku pun setuju nak pergi. Lagipun suamiku siap plan nak pergi tengok movie upin dan upin yang terbaru di pawagam (upin dan upin: keris siamang tunggal). Lepas baca review dari banyak orang yang dah menonton, rasa tertarik juga nak pergi bersama anak-anak (yang sebenarnya tak pernah jejak pawagam pun kami anak beranak, kecuali suami masa muda-mudi dulu).


Maka berangkatlah kami ke PWTC. Tiba di sana sekitar jam 9 pagi. Dah ramai juga orang, tapi belum sesak lagi. Aku dan suami berpecah. Aku bersama Anas, suamiku bersama Mussaab dan Miqdad. Anas kurang berminat nak round booth yang semakin lama semakin sesak dengan pengunjung. Lagipun buku yang dia nak tak jumpa. Setakat tingkat satu saja, terus turun ke bawah dan menunggu suamiku di cafe. Suamiku sempat membeli beberapa buah buku bersama Mussaab dan Miqdad. Tapi katanya susah juga, terpaksa bersesak dengan ramai orang. Lepas tu suami tinggalkan anak-anak denganku di bawah, dan dia naik sekali lagi membeli buku. Di cafe, sempat mengisi perut anak-anak dengan sepinggan nasi goreng dan aiskrim. 


Akhirnya dapat buku aktiviti Boboiboy untuk Mussaab, buku mewarna dinosaur untuk Miqdad, buku resepi untuk Anas, dan buku-buku lain termasuk yang dipesan oleh Faiz, anak saudara suamiku. 


Bila pengunjung juga sudah semakin melaut, kami beransur meninggalkan tempat itu. Jalan raya di Kuala Lumpur tak kurang sesaknya hari ni. Kami singgah di Taman Botani Perdana, atas permintaan anak-anak untuk bermain playground di sini. Oh ya, hajat nak menonton upin dan Ipin terpaksa dibatalkan sebab semua seat penuh untuk hari ni. Tapi sempat tempah tiket (online) untuk hari esok. 


Di Taman Botani Perdana juga tak lama. Oleh kerana jam pun sudah pukul 12 lebih, cuaca agak panas terik, tak sesuai nak lepaskan anak-anak bermain. Biarkan mereka main sekejap, dan lepas tu bertolak balik ke rumah. Mussaab dan Miqdad yang kepenatan lena di perjalanan, tinggal Anas yang memang ‘susah’ nak tidur siang sampai ke rumah. Tiba di rumah hampir jam 3 petang.


 Alhamdulillah :)




























Upin & Upin: Keris Siamang Tunggal

(7/4/19)


Hari ini seperti yang dirancang, kami meninggalkan rumah sebaik selesai menunaikan solat zohor. Kami menuju ke MBO cinema, Atria Shopping Gallery, Petaling Jaya. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam. Tiba di sana hampir jam 3 petang. Sementara menunggu waktu tayangan (jam 3.50 petang), Anas dan Mussaab mengisi perut di cafe, dan bermain di playground yang disediakan. Miqdad lena sejak di dalam perjalanan lagi. 


Kami memilih pakej KECIL (2 seat) yang dikhaskan untuk ibubapa yang bersama anak kecil dengan bayaran sebanyak rm 82. Seat yang sangat selesa, dan hanya terdapat di pawagam yang tertentu sahaja. Dan ini merupakan pengalaman pertama buat aku dan anak-anak, menjejakkan kaki ke pawagam. 


Tayangan mengambil masa hampir 2 jam. Hanya Mussaab yang tetap di kerusi menonton dan menghayati cerita, sementara Anas dan Miqdad asyik turun naik bermain di playground yang disediakan (juga di dalam pawagam tersebut). 


Secara ringkasnya, cerita ini sangat menarik dan tak membosankan. Ia sebuah cerita ‘aksi’, namun sarat dengan pengajaran; kasih sayang, kemaafan, kejujuran dan kesetiaan. Untuk ‘orang lama’ macam aku dan suami, cerita ini memberi imbasan secara tak langsung pada kisah dongeng dahulukala seperti kisah Mat Jenin, Bawang Putih Bawang Merah, Raja Bersiong, Nujum Pak Belalang, dll dalam olahan cerita yang sangat menarik :) 


Itulah serba sedikit ‘review’ ringkas dariku yang pertama kali masuk pawagam ni :DTak pernah terdetik pun dalam hati nak masuk pawagam. Suami yang beriya nak bawa anak tengok upin dan ipin. Tapi oklah, puas hati. Dapat beri anak-anak (dan aku juga) pengalaman baru :)


Selesai menonton di pawagam, terus bertolak balik. Singgah solat asar dan Maghrib, dan makan malam di Restoren KFC Kajang. Lepas tu terus balik rumah, anak-anak semua dah penat dan mengantuk :)


Alhamdulillah untuk pengalaman hari ini. Segalanya Allah permudahkan.





















0 comments:

Post a Comment