Tuesday, 16 April 2019 By: Naemah

WEEKEND: KE KUALA SELANGOR

Hari Sabtu (13/4/19) sebagaimana dirancang, kami sekeluarga bertolak ke Kuala Selangor sebaik selepas breakfast-sekitar jam 9 pagi. Asalnya, tujuan kami ke Kuala Selangor adalah untuk menghantar katil (yang kami tak pakai) ke rumah abang ipar di Sungai Besar. Itulah saja plan yang sebenarnya :)

Tapi bila dah sampai sana (jauh pula tu perjalanan), banyak pula persinggahannya. Selain ke rumah abang ipar, kami juga ke rumah anak saudaraku yang juga tidak jauh dari rumah abang ipar, kemudian kami ke Bukit Malawati, tapak sejarah yang agak terkenal juga di sìtu, dan akhir sekali mengunjungi Kampung Kuantan yang terkenal dengan kelip-kelipnya.


Mengunjungi rumah abang ipar dan anak saudara 

Kami tiba di rumah abang iparku sekitar jam 11 pagi (Mereka merupakan pasangan guru dan lecturer yang baru beberapa bulan berpindah dari Sarawak). Mereka juga sudah maklum akan kedatangan kami. Di sini anak-anak bermain dengan sepupu mereka Adib, Mustaqim, dan Muttaqin (seorang lagi sepupu tinggal di asrama). Di rumah abang ipar juga kami menikmati lunch bersama, solat zohor-asar, dan meninggalkan rumahnya jam 2 petang. 

Selepas itu kami ke rumah anak saudaraku pula di Kg Pasir Panjang, Sekinchan. Anak saudaraku merupakan seorang guru dan isterinya pula seorang doktor. Mereka baru dikurniakan seorang anak lelaki yang kini hampir berusia 4 bulan. Sekadar singgah sebentar, tengok baby dan berbual ringkas. Selepas itu kami juga meninggalkan rumahnya. Niat asalnya nak terus balik ke rumah, tapi Anas dan Mussaab pula buat permintaan nak ‘tengok monkey’ di Bukit Malawati. Maka bergeraklah kami ke sana.


Bersama sepupu mereka di rumah Pak Lang



Dengan anak sepupu pula-Abdul Basit


Bukit Malawati Kuala Selangor 

Ini merupakan kunjungan kali ke-3 kami ke sini. Pernah tulis pasal tempat ni di entri lepas:

WARISAN SEJARAH: BUKIT MALAWATI

Kali ini sekadar untuk memenuhi permintaan Anas dan Mussaab yang beriya mengajak untuk naik ke Bukit Malawati sekali lagi. Entah apa yang seronok sangat kat situ. Nak kata menghayati sejarah, tak juga :D

Sesampai di sana kami membeli tiket dan menaiki tram ke puncak bukit. Alhamdulillah kali ini pengunjung tak ramai sangat, kumpulan monyet juga tak menyerbu kami, berbeza dengan kunjungan kali ke-2 hari tu, ramai orang dan banyak sangat monyet (anak-anak ok je, aku je yang rasa seram semacam). 

Di puncak bukit ini kami bergambar seperti biasa, sambil menikmati pemandangan cantik dan menghirup udara segar di sini. Sampai tram seterusnya, kami meninggalkan puncak bukit dan kembali ke bawah semula. 

Jam sudah menunjukkan pukul 5 petang. Alang-alang dah hampir gelap, suami cadangkan kami ke Kg Kuantan yang masyhur dengan kelip-kelip. Tempat ini juga antara tempat yang menjadi tarikan pengunjung tempatan dan juga pelancong dari seluruh pelusuk dunia. 












Kelip-kelip Kg Kuantan 

Waktu operasi: 7.45 malam-9.30 malam

Selepas menikmati makan malam dan solat berjemaah di sebuah masjid, kami terus menuju ke Kg Kuantan yang letaknya tidak jauh dari Bukit Malawati. Kami tiba di sana sekitar jam 8 malam. Ingatkan tak ramai sangat pengunjung, rupanya ruang parking pun sudah hampir penuh. Kami perlu beratur panjang sementara menunggu giliran untuk menaiki perahu yang disediakan dengan bayaran sebanyak rm 50 untuk sebuah perahu.

Kebanyakan pengunjung pada malam ini adalah di kalangan pelancong asing. Dalam ramai-ramai tu, adalah terselit seorang dua penduduk tempatan, termasuk kami :) 

Sekitar jam 8.30, tibalah giliran kami menaiki perahu. Kami dibawa menyusur sungai sambil menikmati keindahan alam ciptaan Allah yang lain dari kebiasaan. Di sepanjang sungai, kami dapat melihat banyak kelip-kelip (pemandangannya seperti lampu yang berkelip yang biasa kita lihat di sepanjang bulan puasa dan raya). Pohon berembang menjadi habitat kelip-kelip dan pada pohon ini juga kelip-kelip mendapatkan sumber makanan.

Info lebih lanjut tentang kelip-kelip kg Kuantan boleh dibaca di sini: 

KELIP-KELIP KG. KUANTAN

Lebih kurang 20 minit menyusur sungai, kami balik semula ke jeti. Miqdad sudah pun lena di atas perahu sejak tadi. Anas, Mussaab dan Miqdad menikmati pemandangan kelip-kelip di waktu malam buat pertama kalinya. Semua berpuas hati, dan masing-masing juga dah mengantuk. Kami terus meninggalkan jeti, menaiki kereta dan terus meluncur balik ke Semenyih. Anas dan Mussaab juga terlena akhirnya di dalam perjalanan.











Tiba di rumah jam 11 malam. Penat yang amat rasanya. Dari pagi sampai ke tengah malam, akhirnya barulah dapat merebahkan badan dan tidur dengan lenanya.

Alhamdulillah untuk perjalanan dan pengalaman hari ini. Syukur Allah permudahkan semuanya . Walau musafir banyak cabarannya (bila bersama anak-anak yang masih kecil), tapi tetap ia menjanjikan pengalaman yang menyeronokkan buat semua. Sekurang-kurangnya untuk dikenang pada masa yang akan datang :) 

Hari ahad hanya habiskan masa di rumah. Buat aktiviti biasa. Dah penat berjalan semalam, hari ni berehat sajalah :)

0 comments:

Post a Comment