Saturday, 12 January 2019 By: Naemah

BINGKISAN DI HARI LAHIR ANAS ZAYDAN




12.01.19



Assalamualaikum kesayangan ummi


Bingkisan ini untuk Anas, anak sulung ummi bersempena hari kelahiran Anas yang je 7 tahun.


Mengimbas kembali 7 tahun yang lalu iaitu pada 12.1.12, ummi selamat melahirkan Anas setelah berjuang dengan sesungguhnya. Perjuangan yang diiringi keringat dan air mata, yang disusuli dengan kesyukuran dan kebahagiaan. Anak yang ummi kandung akhirnya berada di dalam dakapan ummi.


Hari ini genap sudah usia Anas 7 tahun. Alhamdulillah. Masa berlalu begitu pantas, tak terkejar. Anas semakin membesar, Alhamdulillah sihat dan cerdas. 


Tahun ini Anas sudah melangkah ke tahun satu. Sudah bertukar uniform, bukan budak Kindergarten lagi. Apa saja pengalaman pertama yang Anas tempuh, segalanya mengujakan buat ummi. Maklum saja anak sulung, pengalaman pertama Anas juga bermakna pengalaman pertama buat ummi. Saat mengandungkan Anas, melahirkan, melihat Anas pertama kali bangun dan berjalan, bercakap, membaca dan mengira, menulis dan melukis, melangkah ke alam persekolahan, segalanya adalah detik yang bermakna dan terakam rapi dalam ingatan dan tulisan ummi.


Anas kini bukan anak kecil lagi. Anas juga merupakan abang kepada adik-adik, yang wajar menjadi contoh terbaik untuk mereka. 


Ketahuilah bahawa ummi sangat bersyukur dan bahagia di atas kehadiran Anas di dalam kehidupan ini. Kebahagiaan yang sukar untuk ummi gambarkan. Bahagia sejak mula mengandungkan Anas, hingga kini dapat menjaga dan melihat wajah Anas saban hari. Bahagia melihat banyak perkembangan baik Anas, di samping cuba bersabar di atas setiap kekurangan Anas yang hakikatnya sedang belajar untuk menjadi insan yang lebih baik setiap hari. Segala salah dan silap itu biasa, moga Anas akan terus belajar saban masa, menjadi insan yang lebih baik dan berakhlak terpuji.


Di kesempatan yang ada juga, ummi ingin memohon maaf di atas banyaknya kekurangan, salah dan silap ummi pada Anas dalam menjaga dan membesarkan Anas selama ini. Ummi tahu, silap ummi sangat banyak. Kesabaran ummi tak cukup kuat. Sering ada yang tidak kena dalam usaha mendidik dan memberi yang terbaik. Maafkan ummi ya sayang.


Di akhir baris kata ini, ummi ingin nyatakan bahawa ummi sentiasa redha pada Anas dengan keredhaan yang sepenuhnya. Moga redha Allah akan sentiasa mengiringi hidup Anas bersama redhanya ummi. 


Masih jauh perjalanan Anas. Semoga sentiasa diterangi dan dilapangkan hati Anas dalam menuntut ilmu. Semoga dikurniakan ilmu sebanyaknya buat Anas, dan dapat melakukan dan menjadi apa yang Anas suka. Moga sentiasa ditemani sahabat dan teman yang baik, jadi ‘abang long’ yang baik dan bertanggungjawab, jadi anak soleh ummi dan abi, dan yang paling penting jadi hamba Allah yang bertaqwa dan memberi manfaat untuk Agama dan ummah. Insya Allah. 


Untuk kesekian kalinya, ummi ingin nyatakan sekali lagi bahawa ummi sangat sayangkan Anas. Terlalu sayangkan Anas, permata hati ummi selamanya. 


Anas, Mussaab dan Miqdad, 

(Dan abi juga)

Selamanya ummi sayang dan cinta

Moga bersatu dan bersama hingga syurga


آمين



Anas request nak makan lasagna di hari lahirnya 






Petang hari spend masa bersama di Adventure Park














0 comments:

Post a Comment