Sunday, 4 June 2017 By: Naemah

DI KESUNYIAN PAGI INI

 

10 Ramadhan 1438H
(Masih di kampung)

Saat ummi menunaikan solat subuh, anak-anak ummi masih hanyut dibuai mimpi. Sayu hati ummi mamandang anak-anak ummi. Sedih dan kesal, segala rasa ada.

Maafkan ummi, di siang hari ummi marah-marah, ummi kurang sabar, ummi tak berjaya memenuhi segala kehendak anak-anak ummi. 

Anas dan Mussaab yang kian membesar, banyak akal, banyak benda yang nak dilakukan. Ummi mungkin kurang mengerti, dan selalu sibuk untuk duduk sama-sama, mendorong dan menyokong. Maafkan ummi sayang.

Miqdad juga, hampir 8 bulan usianya. Masih memerlukan sepenuh perhatian. Adakala ummi terpaksa biarkan Miqdad sendirian, kerana ada tugasan yang menuntut. 

Semalam jam 3.15 pagi Miqdad bangun menangis dan muntah. Risau ummi dibuatnya. Pasti ada yang tak kena. Mungkin tersalah makan. Barangkali ada yang disuap tak sesuai dengan perut Miqdad, mungkin juga Miqdad ada mengutip sesuatu tika ummi tinggalkan Miqdad di lantai. Allah, sungguh ummi risau dan rasa berdosa. 

Ummi sapukan minyak ke badan Miqdad. Ummi dukung Miqdad hingga ketiduran. Susu juga tidak mahu. Setengah jam kemudian menyambung lena. Alhamdulillah. 

Ummi bangun sahur dalam keadaan Miqdad lena tidur. Anas, Mussaab dan Miqdad semuanya masih lena. Suasana sunyi, sepi dan tenang. 

Sebentar lagi ketiga hero ummi akan bangun, meneruskan hari. Suasana akan kembali riuh dan meriah. Insya Allah, semuanya akan sihat dan aktif seperti biasa. 

Ummi cuba, insya Allah. Untuk jadi ummi yang lebih baik untuk anak-anak ummi. Baik-baiklah semua ya. Tanpa kalian, sunyinya hidup ummi seperti inilah.. seperti saat kalian sedang lena begini. 

Love u All. Semoga Anas, Mussaab dan Miqdad dikurniakan kesihatan dan kebaikan dalam hidup ini. Aameen

0 comments:

Post a Comment