Monday, 20 April 2015 By: Naemah

CINTA ALLAH: SUMBER KEBAHAGIAAN RUMAHTANGGA



Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengharapkan kebahagiaan dalam rumahtangganya. Sama ada berkahwin atas dasar cinta ataupun tidak,  harapannya tetap sama yakni ingin menikmati kebahagiaan di alam rumahtangga.

Namun tak semua yang berjaya mengekalkan kebahagiaan rumahtangga seperti di awal perkahwinan. Saban hari kita mendengar tentang kes perceraian dan pengaduan tentang rumahtangga yang tidak bahagia, retak menunggu belah. Boleh jadi dia orang yang jauh dari kita, boleh jadi juga orang yang dekat dengan kita. Mungkin kawan sekerja,atau sahabat baik, atau jiran sekampung,  atau saudara atau mungkin ahli keluarga terdekat.  

Mengapa pasangan yang suatu ketika dulu dilihat sangat bahagia dan saling mencintai,  akhirnya berubah dan tidak saling mencintai lagi..mengapakah...

Alhamdulillah untuk diriku dan semua pasangan yang masih bahagia bersama pasangan dan anak anak. Namun, sedikit sebanyak cerita dan berita tentang perceraian dan keruntuhan rumahtangga orang lain menghadirkan kerisauan di hati, dan membuatkan diri tertanya, apakah puncanya, hingga pengakhirannya seperti itu. Bukankah mereka pernah menikmati bahagia sepertiku dan pasangan pasangan lain juga...

Jika ingin melihat pada punca perceraian dan keretakan, kita akan temui terlalu banyak puncanya dari sebesar besar punca hingga sekecil kecilnya.  Ada yang kerana pasangannya curang, ada juga yang katanya sudah tidak sehaluan, atau mungkin pasangannya terlalu kuat cemburu,sehingga terlalu mengongkong dan menyekat.  Ada pula kes suami yang kaki games, dan isteri yang 24jam melayan Internet. Macam macam.... Akhirnya rumah tangga jauh dari kebahagiaan yang diharapkan..nau'zubillah...

Walau apapun punca dan akibat, aku ingin mengajak semua untuk bertanya pada diri. Mengapa kita mencintai pasangan kita,kerana apa, sehingga kita akhirnya mengambil keputusan untuk menikahinya dan menjadi pasangan hidupnya. Apakah yang ada padanya, dan apa yang kita harapkan darinya. Apakah berbekalkan rasa cinta semata mata??

Atau barangkali perkahwinan bukan di atas dasar cinta, cuma kerana menjaga hati orang tua, atau hanya kerana perkahwinan itu sebagai satu kemestian buat insan bernama manusia. Bernikah dan memiliki anak adalah fitrah dan lumrah... Cukupkah sekadar itu?tidak wujudkah harapan dan impian yang lebih besar dan lebih jauh??

Yang aku maksudkan ialah menyimpan impian untuk berbahagia bersama pasangan dan zuriat seluruhnya di dunia dan akhirat yang kekal abadi. Wujudkah di hati harapan dan cita cita seperti ini? Mengapa tidak... Sesungguhnya pernikahan itu merupakan sunnah dan ibadah juga jika kita lakukannya kerana Allah.

Pernikahan yang diikat atas dasar cinta kepada Allah pasti akan diberkati dan beroleh bahagia yang sejati. Percayalah, kerana dalam apa jua keadaan dan situasi, dalam perhubungan dan cinta sesama makhluk, cinta Allah tetap perlu menjadi yang pertama dan utama.

Ya, kita sayang suami. Sangat sayang...tapi jika kita tidak meletakkan cinta Allah yang pertama, tetap tiada maknanya. Halatuju cinta akan terpesong, dan membawa hubungan jauh dari kebahagiaan yang sebenar. Begitu juga kasih dan sayang pada orang tua dan anak anak, tetap tidak boleh mendahului cinta terhadap Allah, Pemilik cinta yang sebenar. 

Renungkan perhubungan kita seharian bersama pasangan dan anak anak, apakah hubungan itu telah membuahkan kebahagiaan dan ketenangan yang seperti kita harapkan. Bagaimana pula hubungan kita dan seluruh ahli keluarga dengan Pencipta. Apakah tertegak solat lama waktu, tertunaikah zakat dan puasa, masing masing bercakap benar dan jujurkah, aurat terjagakah, al Quran dibaca dan dihayatikah...

Bagaimana pula topik perbualan kita suami isteri..di samping hal kerja, kewangan,  persekolahan anak anak, percutian,  apakah kita juga saling mengingatkan tentang solat, sedekah, amal soleh, dosa pahala, kematian, syurga neraka, dan apakah ada sesekali kita menghadiri majlis ilmu bersama??  Masa untuk merenung dan memikirkan tentang bentuk perhubungan ini...ya, sama sama kita fikirkan..

Percayalah,  semakin kita mendekati cinta Allah, semakin hubungan kita suami isteri menjadi semakin dekat dan erat. Rumahtangga sejahtera,  beroleh bahagia dan dilimpahkan rahmat dan berkat. Kasih sayang bertambah, anak anak membesar dengan baik dan mendengar kata, rezeki mencukupi, hati juga tenang..insya Allah.

Namun bukan bermakna,  rumahtangga itu tidak akan diuji..badai pasti akan datang, ujian pula boleh datang dalam berbagai bentuk dan rupa. Yang berbeza adalah cara kita menghadapinya.  Kalau kepercayaan dan keyakinan kita terhadap Allah teguh dan kuat, segalanya dapat dihadapi dengan tenang, sabar dan redha. Sehingga kemudian Allah tunjukkan jalan keluar dari segala musibah.  Sebaliknya, jika hubungan kita dengan Allah sudah goyah, sedikit ujian yang datang pun dirasakan sangat sakit dan menyesakkan.  Lantas, akibatnya lebih buruk lagi. Hubungan suami isteri boleh retak, kasih sayang pudar, cinta kian menjauh... Dari situ berlaku perceraian,.pertengkaran dan kehidupan rumahtangga yang kucar kacir... 

Dari penjelasan di atas, tidaklah bermakna hubungan kami suami isteri sudah cukup sempurna dan tiada masalah. Tidak sekali kali. Kami sendiri masih mencuba terbaik untuk mendekati cinta Allah dan memperbaiki hubungan sesama kami. Banyak perkara yang perlu dipelajari dari kesilapan yang lepas. Setiap kali merasakan perasaan dan hubungan ini 'bermasalah', kala itu hadir di fikiran tentang hubungan dengan Allah yang mungkin terlebih dahulu bermasalah. Maka tiada lafaz terbaik selain istighfar,  dan taubat yang keluar dari bibir. Secuba mungkin memohon keampunan Allah dan semoga Allah menunjukkan jalan keluar dari segala masalah dan pertelingkahan.. 

Marilah sama sama kita menjaga hubungan kita dengan Allah, dengan meletakkan cinta Allah yang pertama dan mendahului cinta yang lain. Percayalah, sekiranya cinta Allah berjaya kita raih, tak mustahil cinta yang lain akan turut hadir mewarnai hidup kita..oh indahnya cinta sang Kekasih ;):):)

Ayuhlah... Kita bercinta kerana Allah



0 comments:

Post a Comment