Thursday, 23 April 2015 0 comments By: Naemah

PILIHAN PERTAMA: MEMASAK SENDIRI








Assalamualaikum :):):)



Masih lagi ingin menulis tentang bab makan makan dan masak masak :):):)


Sambungan kepada entri yang lepas juadah halal dan suci..


Kali ini ingin fokus pada pilihan untuk memasak sendiri di rumah. Aku tahu ramai di kalangan wanita hari ini bekerja dan hampir tiada masa untuk memasak sendiri di rumah. Barangkali tidak kerap masuk dapur seperti suri rumah, tapi sekurang kurangnya ada juga usaha untuk memasak sendiri dan tidak terlalu bergantung pada makanan luar. Paling tidak pun, di hujung minggu ada masa yang panjang di rumah dan tiada alasan untuk tidak memasak sendiri kan..


Berapa lama masa yang anda perlukan untuk berada di dapur ketika memasak ya? Pastinya kerja memasak bukan boleh dilakukan dalam masa yang sekejap atau segera. Kecuali kalau hanya untuk memasak mi segera dan yang sewaktu dengannya. Biasanya, untuk satu hidangan paling kurang pun kita perlu masak 2-3 jenis lauk dan sayur. Jadi, untuk masak nasi dan semua jenis lauk tersebut, rasanya tak kurang 30 minit kita perlu berada di dapur. Dalam proses memasak pula, banyak perkara yang perlu dibuat. Bukan sekadar buka gas letak kuali atau periuk, maka segalanya selesai. Sebelum memasak dah tentu kena siang dan bersihkan dulu ayam atau ikan, sayur juga perlu dibersih dan dipotong, bawang juga perlu dikopek dan dipotong atau kisar...dan banyak benda lagi lah. Semuanya memakan masa hingga tak sedar masa berlalu..


Aku ini, walaupun tak berapa pandai memasak seboleh bolehnya nak memasak sendiri untuk anak dan suami. Aku lebih suka mereka makan hasil air tangan aku sendiri. Kerana aku sebagai isteri dan ibu, sudah tentu memasak dengan penuh kasih sayang, dan sangat menjaga bab kebersihan dalam penyediaan makanan. Pendek kata, sedaya upaya mungkin untuk menjadikan makanan itu lazat dan berkhasiat. Suapan demi suapan yang masuk ke mulut suami dan anak anak, membuatkan aku rasa gembira, berpuas hati dan bersyukur...mereka mendapat hidangan yang terbaik untuk hari ini, meskipun masakan yang biasa biasa saja :)


Hakikatnya, aku pun bukanlah seorang yang pakar, mahir dan cekap di dapur.  selepas berkahwin baru nak cuba belajar memasak. Satu persatu resepi dicuba. Setelah 4tahun lebih di alam rumahtangga dan bergelar suri rumah ni, adalah sedikit kemahiran dalam bidang masakan ni. Kalau dulu tiap kali nak masak kena goggle resepi, sekarang dah jarang jarang :) kalau dulu slow sangat bila kat dapur, sekarang lajulah sikit. 


Bila cakap pasal masak sendiri, kalau boleh semua jenis masakan nak buat sendiri. Macam macam resepi yang berjaya dikumpul. Ada yang dah berjaya dibuat, dan banyak lagi yang belum dicuba. Kalau boleh biarlah semuanya homemade.  Tapi, adakalanya beli juga di luar. Memang tak dinafikan lah yang itu. Ada masa rasa nak bercuti dari masuk dapur. Suami yang prihatin, bawa isteri dan anak anak makan di luar. Adakalanya juga, rasa takde mood nak masak dan berlama lama di dapur, capai saja lah makanan segera yang cepat dimasak dan sedap dimakan tu seperti nugget, burger, ayam goreng, fries, Maggie dan yang sewaktu dengannya. Tapi seboleh bolehnya aku cuba mengelakkan semua itu. Cuba cuba jugalah buat nugget sendiri, sosej sendiri, pizza, lasagna, kiub ayam, roti canai, dan yang lain lain. Sesekali buat dan frozenkan. Alhamdulillah, sedikit usaha untuk menjauhi makanan proses di luar, dan demi mengelakkan anak anak ketagih pada makanan segera. Insya Allah..


Aku sebagai ibu yang mempunyai anak kecil, kalau boleh tak nak masa dihabiskan di dapur saja dan membiarkan anak anak bermain sendiri, terutamanya ketika suami tiada. Kesian juga pada mereka. Kalau boleh nak layan je anak anak dan menemani mereka bermain atau menonton. Tapi mereka juga perlu makan dan ummi perlu masak. Jadi, adalah sedikit cara untuk menjimatkan masa di dapur.


Sedikit caraku yang boleh dikongsi bersama;



lauk: lauk seperti ayam dan ikan aku cucikan dan asingkan mengikut bahagian yang digunakan untuk sekali masak. Contoh, 4-5 ketul ayam untuk sekali masak. 3ekor ikan sekali masak. Masukkan dalam bekas/plastik kecil siap siap, bekukan. Nak masak, ambil je plastik tersebut. Tak perlu nak keluarkan semua sekali gus.




Sayur: untuk sayur yang cepat layu dan rosak seperti sawi dan daun sup, potong siap siap dan masukkan dalam bekas kedap udara, atau masukkan dalam plastik yang diikat kemas. Biasa kalau buat macam ni sayur boleh tahun lama sikit, dan nak memasak pun cepat je, tak payah potong potong dah.




Bawang, halia dan cili kering: bawang dikopek siap siap dalam kuantiti yang banyak, dan dikisar. Simpan di dalam bekas tertutup dan letak di dalam peti ais. Simpan sedikit yang tidak dikisar, kalau kalau tak nak pakai yang kisar boleh hiris je bawang tu. Yang penting kopek siap siap. Halia juga begitu. Cili kering juga dikisar siap dan disimpan di dalam peti. Nak masak,just ambil bahan tersebut dan proses memasak akan lebih cepat.




Menu: cuba ambil masa sekejap untuk rancang menu untuk seminggu, atau dua minggu, atau sebulan.. Boleh budget lauk apa yang nak dibeli, dan anggaran kos.lagi satu tak perlu fikir panjang dah esok nak masak apa. Lihat saja pada menu yang telah dirancang, just keluarkan lauk di dalam peti pada awal paginya untuk defrostkan ia. Menu itu sekadar guide saja, adakala tak ikut juga. Kalau rasa nak makan benda lain, cancel lah menu yang dirancang tu.hehe..takde salahnya pun. Sekadar nak membantu dan mengelakkan kebuntuan saja :):):)



Masak lebih: kadang kadang untuk sesetengah menu yang anak suka, dan sesuai disejukbekukan, aku akan masak dalam kuantiti yang banyak,  dan simpan lebihan lauk di dalam peti sejuk beku. Makanan ini akan dimasakkan semula di masa yang akan datang, ketika suami tiada di rumah, atau ketika kesuntukan masa untuk memasak. Buat untuk sekali makan saja, tak perlu disejuk beku semula. Biasa buat untuk masakan berkuah seperti kari, sup, singgang, sambal dan sebagainya.



Oklah...mungkin Sampai di sini saja dulu coret coret tentang masak memasak ni.Ada masa boleh sambung lagi.yalah, topik makan makan ni penting juga, tak boleh buat main main. Kita nak memasak dengan ikhlas dan penuh kasih sayang untuk suami dan anak anak. Kalau boleh, janganlah hadir rasa 'terpaksa' memasak, tapi hadirkanlah rasa seronok dan bahagia dapat memasak untuk suami dan anak anak..insya Allah. 

Tuesday, 21 April 2015 0 comments By: Naemah

JUADAH HALAL DAN SUCI



Hari ini nak bicarakan bab masak memasak.Hehe...bukan nak share resepi pun, just tentang masakan. 

Bab memasak ni dah tentu berkait rapat dengan makan makan. Bab makan makan ni, tak siapa terkecuali kan. Semua orang perlu makan untuk meneruskan hidup, dan hari hari kita makan, kan. Jadi bab makanan ni sangatlah penting pada aku untuk disentuh dan dibincangkan.

Sebagai orang Islam, dalam bab makan, kita sangat menitikberatkan soal halal dan haram. Kita memilih yang halal, dan menolak yang haram. Kita tahu apa itu halal dan apa itu haram. Tak dinafikan.. 

Namun adakalanya kita terlupa, makanan yang baik itu perlulah halal dan suci. Jangan memilih sesuatu makanan itu hanya kerana ia halal dimakan, sedang kita abaikan sejauh mana kesucian makanan itu dari segi penyediaannya.. 

Berapa ramai di antara kita yang rajin memasak di rumah setiap hari? Aku sebagai suri rumah, hampir setiap hari memasak sendiri untuk menjamu suami dan anak anak. Alhamdulillah...namun sesekali malah kerapkali juga aku cuti memasak dan menikmati makanan di luar.  

Kalau ditanya yang mana lebih baik, dah tentu jawapanku memasak sendiri jauh lebih baik, walaupun masakan kita biasa biasa saja berbanding masakan di kedai. Namun kerana masakan itu kita yang masak sendiri, dah tentu kita yakin makanan itu disediakan dengan baik dan terjaga dari aspek kebersihannya.  Yalah, takkan kita tergamak nak masak ayam yang tak dicuci dengan baik, telur dan Sayur yang tak dibasuh, dan segala macam yang mengundang loya di tekak. Sudah tentu kita memasak dengan sebaiknya dan mementingkan kebersihan dalam penyediaannya,kan...



Tapi...sekiranya makan di luar, susah kita nak menjamin semua itu. Ya, kita boleh cakap makanan itu sedap, tapi ada tak terfikir bagaimana penyediaannya?  Alhamdulillah sekiranya ia disediakan oleh tukang masak yang pembersih. Yalah, nak memasak dalam kuantiti yang banyak bukan mudah. Memerlukan bahan yang banyak, dan banyak pula kerja kerja mencuci dan membersih yang perlu dilakukan. Sekiranya aspek kebersihan diabaikan, Habislah!!

Belum masuk bab akhlak, aurat dan amal tukang masak tersebut. Kalau kita jenis yang menjaga solat dan aurat, tergamak ke kita nak makan masakan orang yang tidak solat dan tidak menutup aurat? Maaflah... Aku bukan merendahkan dia, cuma aku kurang berselera untuk menjamah hasil air tangan orang yang menjauhkan dirinya dari Allah. Dan kerana ia bukan hidangan untuk aku seorang, tapi juga untuk suami dan anak anak ku yang sangat aku jaga bab makan mereka meskipun aku bukanlah yang terbaik pun...

Bab makan minum ini, janganlah dipandang sebelah mata saja. Selain mahukan yang halal, kita juga mahukan yang suci dan bersih serta memberi kebaikan pada tubuh badan kita. Makanan di kedai belum tentu menjaminkan semua itu. Apa yang dirasakan sedap, belum tentu baik untuk kesihatan. Boleh jadi, kerana ia terlalu bergantung kepada serbuk perasa yang kita tahu kandungannya yang tidak baik untuk kesihatan. Begitu juga dalam pengambilan makanan segera seperti sosej, nuget, ayam goreng frozen, meatball, dan sebagainya yang di dalam kategori makanan proses, sepatutnya kita kurangkan pengambilannya, atau tinggalkan terus di samping berusaha buat sendiri di rumah demi untuk menjaga kesihatan setiap anggota keluarga. Insya Allah.. 

Namun taklah pula aku katakan semua makanan di kedai tak bagus. Aku percaya masih ramai yang ikhlas berniaga, bukan semata mencari keuntungan. Masih ada yang sudi memasak dari hati untuk kepuasan pelanggan, dan menjaga kebersihan dalam penyediaannya. Pastinya ada, dan kita sangat mengharapkan apa yang kita makan dari luar, terjaga dari segi halal dan kebersihannya. Insya Allah.. 

Dan aku juga tahu, di zaman ini ramai ibu yang berkerjaya hingga tak sampat nak masak hari hari. Jadi, pilihan yang ada adalah makan atau beli makanan di luar. Dan ada juga yang susah payah memasak juga untuk ahli keluarga setelah pulang dari kerja meskipun dalam keadaan penat. Alhamdulillah sangat beruntungnya..

Apapun pilihan yang kita ada, sama ada untuk memasak sendiri atau membelinya di luar, semoga kita tidak lupa untuk menitikberatkan soal kebersihan makanan itu sendiri. Kita mungkin tak tahu hakikat sebenar,  tapi mungkin boleh agak agak sendiri. Kalau dah nampak dari awal restoren itu kotor dan tak terjaga kebersihannya, tak perlulah nak masuk lagi. Perhatikan juga setiap pekerja di situ, bagaimana penampilan dan percakapan mereka, adakah jenis manusia yang 'menjaga' Allah atau sebaliknya.. Kalau boleh dinampak, intai intai jugalah dapurnya, bagaimana keadaannya. Bersih ke, kotor ke,jijik ke..kalau rasa semua ok, takde masalah, takde keraguan bolehlah membeli dan menjamu selera dengan tenang :):):)

Akhir kata, kita perlu mengambil berat tentang bab makan minum kita seharian. Makan bukan sekadar untuk kenyang,  kerana makanan itu sendiri memainkan peranan penting untuk kesihatan rohani dan jasmani kita. Kita tidak mahu makanan yang kotor dan tidak berkhasiat. Tubuh badan kita hanya memerlukan makanan yang bersih dan berkhasiat demi kesihatan dan kecerdasan fizikal dan mental.

Insya Allah sama sama kita usahakan untuk menjaga pemakanan kita dan seluruh ahli keluarga dengan memasak sendiri atau memilih makanan yang diyakini halal dan bersih..



Monday, 20 April 2015 0 comments By: Naemah

CINTA ALLAH: SUMBER KEBAHAGIAAN RUMAHTANGGA



Setiap pasangan yang berkahwin pasti mengharapkan kebahagiaan dalam rumahtangganya. Sama ada berkahwin atas dasar cinta ataupun tidak,  harapannya tetap sama yakni ingin menikmati kebahagiaan di alam rumahtangga.

Namun tak semua yang berjaya mengekalkan kebahagiaan rumahtangga seperti di awal perkahwinan. Saban hari kita mendengar tentang kes perceraian dan pengaduan tentang rumahtangga yang tidak bahagia, retak menunggu belah. Boleh jadi dia orang yang jauh dari kita, boleh jadi juga orang yang dekat dengan kita. Mungkin kawan sekerja,atau sahabat baik, atau jiran sekampung,  atau saudara atau mungkin ahli keluarga terdekat.  

Mengapa pasangan yang suatu ketika dulu dilihat sangat bahagia dan saling mencintai,  akhirnya berubah dan tidak saling mencintai lagi..mengapakah...

Alhamdulillah untuk diriku dan semua pasangan yang masih bahagia bersama pasangan dan anak anak. Namun, sedikit sebanyak cerita dan berita tentang perceraian dan keruntuhan rumahtangga orang lain menghadirkan kerisauan di hati, dan membuatkan diri tertanya, apakah puncanya, hingga pengakhirannya seperti itu. Bukankah mereka pernah menikmati bahagia sepertiku dan pasangan pasangan lain juga...

Jika ingin melihat pada punca perceraian dan keretakan, kita akan temui terlalu banyak puncanya dari sebesar besar punca hingga sekecil kecilnya.  Ada yang kerana pasangannya curang, ada juga yang katanya sudah tidak sehaluan, atau mungkin pasangannya terlalu kuat cemburu,sehingga terlalu mengongkong dan menyekat.  Ada pula kes suami yang kaki games, dan isteri yang 24jam melayan Internet. Macam macam.... Akhirnya rumah tangga jauh dari kebahagiaan yang diharapkan..nau'zubillah...

Walau apapun punca dan akibat, aku ingin mengajak semua untuk bertanya pada diri. Mengapa kita mencintai pasangan kita,kerana apa, sehingga kita akhirnya mengambil keputusan untuk menikahinya dan menjadi pasangan hidupnya. Apakah yang ada padanya, dan apa yang kita harapkan darinya. Apakah berbekalkan rasa cinta semata mata??

Atau barangkali perkahwinan bukan di atas dasar cinta, cuma kerana menjaga hati orang tua, atau hanya kerana perkahwinan itu sebagai satu kemestian buat insan bernama manusia. Bernikah dan memiliki anak adalah fitrah dan lumrah... Cukupkah sekadar itu?tidak wujudkah harapan dan impian yang lebih besar dan lebih jauh??

Yang aku maksudkan ialah menyimpan impian untuk berbahagia bersama pasangan dan zuriat seluruhnya di dunia dan akhirat yang kekal abadi. Wujudkah di hati harapan dan cita cita seperti ini? Mengapa tidak... Sesungguhnya pernikahan itu merupakan sunnah dan ibadah juga jika kita lakukannya kerana Allah.

Pernikahan yang diikat atas dasar cinta kepada Allah pasti akan diberkati dan beroleh bahagia yang sejati. Percayalah, kerana dalam apa jua keadaan dan situasi, dalam perhubungan dan cinta sesama makhluk, cinta Allah tetap perlu menjadi yang pertama dan utama.

Ya, kita sayang suami. Sangat sayang...tapi jika kita tidak meletakkan cinta Allah yang pertama, tetap tiada maknanya. Halatuju cinta akan terpesong, dan membawa hubungan jauh dari kebahagiaan yang sebenar. Begitu juga kasih dan sayang pada orang tua dan anak anak, tetap tidak boleh mendahului cinta terhadap Allah, Pemilik cinta yang sebenar. 

Renungkan perhubungan kita seharian bersama pasangan dan anak anak, apakah hubungan itu telah membuahkan kebahagiaan dan ketenangan yang seperti kita harapkan. Bagaimana pula hubungan kita dan seluruh ahli keluarga dengan Pencipta. Apakah tertegak solat lama waktu, tertunaikah zakat dan puasa, masing masing bercakap benar dan jujurkah, aurat terjagakah, al Quran dibaca dan dihayatikah...

Bagaimana pula topik perbualan kita suami isteri..di samping hal kerja, kewangan,  persekolahan anak anak, percutian,  apakah kita juga saling mengingatkan tentang solat, sedekah, amal soleh, dosa pahala, kematian, syurga neraka, dan apakah ada sesekali kita menghadiri majlis ilmu bersama??  Masa untuk merenung dan memikirkan tentang bentuk perhubungan ini...ya, sama sama kita fikirkan..

Percayalah,  semakin kita mendekati cinta Allah, semakin hubungan kita suami isteri menjadi semakin dekat dan erat. Rumahtangga sejahtera,  beroleh bahagia dan dilimpahkan rahmat dan berkat. Kasih sayang bertambah, anak anak membesar dengan baik dan mendengar kata, rezeki mencukupi, hati juga tenang..insya Allah.

Namun bukan bermakna,  rumahtangga itu tidak akan diuji..badai pasti akan datang, ujian pula boleh datang dalam berbagai bentuk dan rupa. Yang berbeza adalah cara kita menghadapinya.  Kalau kepercayaan dan keyakinan kita terhadap Allah teguh dan kuat, segalanya dapat dihadapi dengan tenang, sabar dan redha. Sehingga kemudian Allah tunjukkan jalan keluar dari segala musibah.  Sebaliknya, jika hubungan kita dengan Allah sudah goyah, sedikit ujian yang datang pun dirasakan sangat sakit dan menyesakkan.  Lantas, akibatnya lebih buruk lagi. Hubungan suami isteri boleh retak, kasih sayang pudar, cinta kian menjauh... Dari situ berlaku perceraian,.pertengkaran dan kehidupan rumahtangga yang kucar kacir... 

Dari penjelasan di atas, tidaklah bermakna hubungan kami suami isteri sudah cukup sempurna dan tiada masalah. Tidak sekali kali. Kami sendiri masih mencuba terbaik untuk mendekati cinta Allah dan memperbaiki hubungan sesama kami. Banyak perkara yang perlu dipelajari dari kesilapan yang lepas. Setiap kali merasakan perasaan dan hubungan ini 'bermasalah', kala itu hadir di fikiran tentang hubungan dengan Allah yang mungkin terlebih dahulu bermasalah. Maka tiada lafaz terbaik selain istighfar,  dan taubat yang keluar dari bibir. Secuba mungkin memohon keampunan Allah dan semoga Allah menunjukkan jalan keluar dari segala masalah dan pertelingkahan.. 

Marilah sama sama kita menjaga hubungan kita dengan Allah, dengan meletakkan cinta Allah yang pertama dan mendahului cinta yang lain. Percayalah, sekiranya cinta Allah berjaya kita raih, tak mustahil cinta yang lain akan turut hadir mewarnai hidup kita..oh indahnya cinta sang Kekasih ;):):)

Ayuhlah... Kita bercinta kerana Allah



Wednesday, 15 April 2015 0 comments By: Naemah

UMMI DAN ABI:KEDUANYA DIPERLUKAN

Assalamualaikum untuk semua...

Di entri yang lepas aku highlight kan watak ibu, sebagai sekolah pertama anak anak, tempat anak mula belajar tentang kehidupan, dan daripada ibu juga anak belajar tentang banyak perkara. Ibu, sebagai watak utama dalam proses pendidikan anak anak.
 Boleh baca di sini---->IBU:SEKOLAH PERTAMA ANAK ANAK

Namun begitu, aku tidak juga menafikan kepentingan watak dan peranan seorang ayah, dalam pembentukan anak anak dalam segala aspek. Sekali kali tidak... Peranan ayah tetap penting, tetap menjadi keutamaan, kerana ibu seorang, belum cukup sempurna. Di samping kelebihan yang Allah kurniakan pada seorang ibu, tetap ada kekurangannya. Maka ayah hadir sebagai pelengkapnya :):):)

Mana mungkin, tugas mendidik anak itu mampu dilakukan oleh ibu seorang tanpa bantuan ayah. Kemampuan ibu tetap terbatas. Ibu juga tidak sempurna. Ibu tidak punya segalanya. 

Teringat tentang diriku yang kehilangan ayah ketika di usia 3 tahun. Sangat kecil ketika itu, membesar dalam jagaan ibu seorang.. Ya, ibu tak mampu melakukan segalanya untuk anak, tapi tetap mencuba memberikan segalanya yang termampu. Alhamdulillah, tetap aku bersyukur kerana takdir Allah tetap yang terbaik untukku. Dan alhamdulillah, Masih Ada abang abang sebagai pengganti ayah, memainkan peranan yang terbaik sebagai pengganti ayah...

Namun tetap aku ingin tekankan bahawa ibu dan ayah perlu sama sama hadir dalam kehidupan anak anak, mendidik mereka bersama sama, mencurahkan sepenuh kasih sayang dan menampilkan akhlak yang baik untuk menjadi ikutan anak anak.

Tugas utama ayah adalah mencari rezeki halal untuk keluarga. Kerana itu, ayah jarang ada di rumah. Ketika ayah tiada, ibulah segalanya... Ibu melakukan apa saja mengikut kemampuannya yang terbatas. Namun sudah pasti ibu mengharapkan kehadiran ayah untuk menyempurnakan segala yang ibu tidak mampu. 


Aku sendiri sangat perlukan kehadiran suami dan pertolongannya dalam banyak hal yang berkaitan dengan anak anak. Saat aku sibuk dengan urusan memasak dan mengemas, aku perlu kan dia untuk menemani anak anak dan bermain dengannya. Kalau tidak, anak asyik memanggil ummi, atau sebagai langkah mudah, buka saja video untuk melekakan mereka sebentar. Tapi kalau hari hari begitu, rasa tak best juga, bimbang anak akan ketagih pada video saja. Maka kehadiran suami sangat membantu. Begitu juga dalam banyak aktiviti, bukan semua perkara yang aku boleh ajar mereka. Aku boleh duduk mengajar mereka membaca, menulis atau mewarna. Tapi untuk aktiviti fizikal seperti melompat, berlari, bermain bola dan yang sewaktu dengannya, hanya suami yang boleh melakukannya. Tambahan pula, anak lelaki. Lebih lebih lagi lah memerlukan tunjuk ajar abinya.

Bab akhlak pun begitu juga... Banyak perkara yang aku sendiri fail, tapi mengharapkan anak menjadi lebih baik. Pada sesuatu yang tiada padaku, insya Allah ada pada suamiku yang aku harapkan dapat dicontohi anak anak...Dan aku juga...perlu ada usaha untuk memperbaiki diri.

Namun tak semua anak yang diberi kesempatan untuk hidup dalam sebuah keluarga yang lengkap sempurna (sepertiku). Barangkali ibu ayah bercerai, atau mungkin ibu/ayah meninggal dunia. Pertamanya wahai ibu/ayah, terimalah takdir Allah ini dengan hati yang penuh redha. Kerana Allah hanya menguji hambaNya yang layak. Seterusnya tanamkan tekad dan azam untuk mendidik dan memberikan yang terbaik buat anak syurga itu, dengan segala kemampuan dan kudrat yang ada. Dan usah jemu berdoa agar pertolongan Allah sentiasa ada dan agar Dia memudahkan segalanya. 

Bila aku fikir kembali, aku melihat ibuku sebagai seorang insan yang sangat kuat. Dia besar kan aku saat ayah sudah pergi bertemu Allah. Ibu bekerja mencari rezeki, menanggung segala perbelanjaan pengajianku...di samping aku tak lupa pada abang abang dan kakak yang banyak berjasa untukku..mereka mengerti bagaimana sikapku, dan bagaimana susahnya menjaga ku suatu ketika dulu :):):)

Kepada ibubapa yang bekerja keduanya, pasti masa bersama anak anak agak terbatas. Namun tetap ada jalan dan cara untuk sama sama melibatkan diri dalam proses pembentukan dan pendidikan anak anak. Pilihlah pengasuh atau penjaga yang diyakini baik dan bagus akhlaknya, juga tutur katanya...agar hari hari yang dilalui anak anak dipenuhi dengan kebaikan juga, yang turut membantu dia menjadi manusia yang baik. Dan di saat bersama anak anak, jadikan masa itu emas, yang sangat berharga dan diisi dengan sebaik baiknya...insya Allah.



Akhir kalam, tak kira ibu, tak kira ayah, keduanya penting dan sangat diperlukan dalam kehidupan anak anak. Sudah Allah ciptakan kita berpasangan, untuk hidup bersama dan saling melengkapi...maka hal yang berkaitan dengan anak anak, keduanya ada peranan penting...tiada terkecuali...sekian.



Tuesday, 14 April 2015 0 comments By: Naemah

IBU: SEKOLAH PERTAMA ANAK-ANAK

Assalamualaikum pembuka bicara malam ini. Semoga kita semua di dalam rahmat dan berkat Allah sentiasa...insya Allah.

Lihat pada tajuk di atas, adakah anda faham maksud yang ingin disampaikan? Alhamdulillah, pasti ramai yang dapat mengagaknya. Tak susah pun untuk faham kan :):):)

Ya, pasti ramai yang bersetuju dengan kenyataan bahawa ibu adalah madrasah/sekolah pertama anak anak. Sudah pastinya ibu, kerana ibu yang melahirkan dan menjadi insan pertama yang mendakap dan membelai si anak. Ibu melahirkan, menyusukan, menjaga hampir setiap hari dari usia si anak masih bayi hingga menjadi kanak kanak, remaja dan seterusnya dewasa...benarkan?? Maka sudah tentu anak anak banyak belajar sesuatu dari ibunya... Baik yang ibu ajar dan tunjukkan, maka baik yang anak dapat..begitu juga sebaliknya.



Aku sendiri sebagai seorang suri rumahtangga sepenuh masa, banyak masa dihabiskan dengan anak anak setiap hari. Boleh dikatakan aku tak pernah berpisah dengan anak dalam tempoh yang lama. Setiap hari anak anak ada bersama. Mereka dalam jagaanku setiap masa. Aku memasak dan menyuapkan mereka makan. Memandikan mereka, menidurkan mereka, bermain bersama mereka dan menjadi guru yang mengajar mereka juga. Mengajar mereka tentang banyak perkara....

Kerana banyaknya masa anak anak bersama si ibu, berbanding dengan ayah, maka sudah tentu anak anak banyak belajar dari ibu. kata kata ibu, tingkahlaku ibu, cara ibu bercakap, bahasa yang ibu gunakan, tingkat kesabaran ibu, sejauh mana kelembutan ibu, cara ibu bertindak dalam menghadapi sesuatu situasi, cara ibu melayan orang, dan sebagainya... Menjadi perhatian si anak dan menjadi contoh buat mereka. Kalau cara dan tindakan ibu itu baik, maka tak mustahil anak anak terbentuk dengan acuan yang baik itu juga...insya Allah.

Aku menyedari hakikat ini, namun seringkali juga dikecewakan diri sendiri yang gagal menunjukkan akhlak yang baik dan terpuji pada anak anak. Mulut sering berpesan agar anak menjadi baik dan berakhlak mulia..anak perlu begitu dan begini...tapi yang kita pesan pada anak itu, kita sendiri gagal melakukannya..jadi bagaimana nak mengharapkan anak anak menjadi yang baik itu jika contoh di depan mata menunjukkan yang sebaliknya..

Hakikatnya, anak anak lebih terpengaruh dengan apa yang dilihatnya, berbanding yang kita ungkapkan padanya. Seandainya nasihat tersebut diiringi pula dengan contoh yang baik di depan mata, itu adalah yang terbaik dan lebih cepat mempengaruhi si anak. 

Seringkali, melihat tingkah si anak yang kurang menyenangkan, hati jadi marah dan geram... Dimarah, ditengking... Kononnya ingin membetulkan sikap si anak... Hakikatnya kita tidak sedar, sikap anak itu adalah reflects kepada sikap kita sendiri. Sebelum marah si anak, ada baiknya kita renung sejenak, mengapa anak bersikap demikian...mungkin salah kita.. Mungkin ada silapnya kita dalam mendidik mereka.

Aku ingin mengajak semua orang berfikir dan merenung diri sendiri... Apakah kita sebagai ibu, insan yang paling dekat dan rapat dengan si anak, sudah berusaha sebaik mungkin untuk menjadi contoh dan model yang terbaik untuk anak anak. Aku sendiri, sejujurnya mengakui masih gagal.. Masih belum menjadi yang terbaik, meski pun sering mencuba untuk berubah menjadi yang lebih baik. Dan sejujurnya, masih perlu belajar banyak lagi.... Segala kekurangan dan kegagalan ini amat amat aku kesali. Tak kurang rasa berdosa pada Allah, suami dan anak anak itu sendiri...kerana gagal menjadi seorang ibu yang boleh dibanggakan..sangat sedih :'(

Ibu...madrasah dan sekolah pertama anak anak. Tempat mereka belajar akhlak, dan membentuk peribadi diri...bukan sekadar untuk mengenal huruf dan belajar membaca dan mengira...

Aku dan kalian harus sedar akan hakikat ini... Sama sama kita bertekad dan berusaha untuk berubah dan menjadi yang lebih baik demi untuk anak anak...insya Allah.

AURAT DIJAGA, MARUAH TERPELIHARA




........“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An Nur:31)

Aurat... Bukan tujuan ku untuk menyampaikan syarahan panjang lebar tentang aurat kerana sudah terlalu banyak perbincangan dan huraian demi huraian mengenai aurat wanita juga lelaki. Dalil di atas bukan satu satunya petunjuk dan rujukan. Aku percaya sejak dibangku sekolah lagi kita semua diajar tentang aurat dan batasan aurat. Cuma barangkali pengertiannya tidak begitu mendalam, dan ada pula yang salah pengertiannya... Buktinya, begitu ramai yang gagal menutup aurat dengan sempurna, sehingga ada pula yang mengatakan bertudung itu tidak wajib ke atas wanita muslimah...hish..macam macam... Rasa takut dan bimbang pun ada, apabila ajaran Islam disalahfaham Dan disalah tafsirkan...

Mengikut kefahaman yang sangat aku yakini, bahawa sesungguhnya aurat wanita itu adalah seluruh anggota badannya, kecuali muka dan telapak tangan, dan hukum menutupinya adalah wajib ke atas semua wanita Muslimah yang baligh. Boleh faham kan...makanya, bertudung itu merupakan satu kewajipan, bukannya pilihan, kerana setiap helaian rambut itu adalah aurat wanita. 

Perlu juga difahami dengan sejelasnya bahawa menutup aurat itu bukanlah ertinya menutup rambut. Ya, rambut salah satunya, tetapi bukan hanya sekadar rambut. Sekiranya anda atau saya memakai tudung, tetapi berpakaian ketat,  atau sekiranya bertudung tetapi memakai t shirt berlengan pendek, atau bertudung tetapi berjubah jarang dan tidak berstokin, adakah itu dinamakan menutup aurat dengan sempurna???
Jawapannya, TIDAK...sesungguhnya ia belum sempurna. Aurat bukan hanya pada rambut...baguslah pakai tudung, tapi jangan dilupa pada anggota badan yang lain juga ya. Ciri ciri pakaian Muslimah itu perlulah TIDAK KETAT, TIDAK SINGKAT DAN TIDAK JARANG... 

Bercakap pasal tudung, pastinya ramai yang tahu dan sedar betapa banyaknya fesyen tudung yang timbul sekarang ni.macam macam fesyen...tak terkejar dibuatnya...sejujurnya aku tak ambil kisah sangat dengan segala fesyen dan style tudung tersebut. Lebih selesa dengan gaya lama yang begini. Tak mengapalah tak up to date yang penting Allah redha dengan niat semata mata mengikut perintah Allah. Bukan untuk ikut trend, bukan untuk kelihatan cantik dan menyerlah. Maaflah, aku juga kurang bersetuju dengan sesetengah fesyen tudung yang pada pandanganku sangat berlebih lebihan. Dengan warna yang terang dan striking, dengan manik dan labuci yang mengerlip, dengan saiznya pula yang tidak mencukupi syarat menutup aurat, sekadar menutup rambut, tapi dada dibiarkan terdedah. Sangat menyedihkan.... Namun masing masing punya pandangan tersendiri...terserahlah...aku juga tidak layak untuk menilai hati dan niat orang lain. Bagi aku simple...kita berpakaian menutup aurat untuk menghindari diri dari pandangan ajnabi. Tetapi sekiranya pakaian kita lebih menarik lebih banyak pandangan mata orang terutamanya lelaki, maka apa maknanya menutup aurat di situ?? Fikirkanlah...

Ya... Yang bertutup litup itu adakalanya lebih menarik perhatian mata mata orang. Tapi pada aku bukan kerana dia berpakaian untuk kelihatan menarik, tetapi pandangan orang lebih kepada  pakaian itu kelihatan 'pelik' dan 'janggal' atau senang cakap, tak serupa orang kebanyakan...maka padaku itu bukanlah salah si pemakai kerana dia secubanya mungkin, untuk berpakaian menutup aurat dengan sempurna. Meskipun dia dipandang pelik dan ketinggalan fesyen...dia tak ambil peduli...

Sesungguhnya orang yang menjaga Aurat itu, dia takut pada kemurkaan dan azab Allah. Dia sayang kan bapa dan suaminya..kerana apa?? Kerana dia tahu, bapa bertanggungjawab pada hal aurat anak  gadisnya, Dan suami bertanggungjawab pada Hal aurat isterinya. Kelak di akhirat, dia perlu menjawab di hadapan Allah. Nampak tak urusan aurat itu sangat berat? Tidak kasihankah pada ayah dan suami yang perlu menanggungnya? Maka sekali lagi, fikir fikirkanlah...

Untuk kesekian kalinya, aku bersyukur dikurniakan suami yang amat memandang serious  dan menjaga urusan auratku. Dia teliti tentang labuh atau singkatnya tudungku. Dia perasan aku pakai hand sock atau tidak. Nak berseluar panjang pun perlu baju labuh bawah lutut..pendek kata, nak berpakaian ke luar rumah perlu mendapat kelulusannya dulu. Dia kata ok, maka oklah....diri pun dah terbiasa begini, maka tak mengapalah...yang penting suami redha, dan mudah mudahan Allah juga redha...jika tanpa pantauan suami, bimbang juga akan berlebih lebihan dalam berpakaian...maklumlah perempuan...

Untuk yang terakhir kalinya, aku ingin mengajak kalian dan diriku sendiri untuk sama sama menjaga aurat dengan sempurna yang mungkin, demi maruah kita sebagai seorang wanita Muslimah, dan maruah ayah/suami kita. Juga demi patuh dan taat dengan segala perintah Allah yang pastinya terbaik untuk menjaga dan melindungi kita...percayalah... 

Thursday, 9 April 2015 0 comments By: Naemah

MEMIKIRKAN DOSA



Sedang duduk termenung berfikir, hati disapa tentang dosa. Ya..dosa yang terlalu banyak. Dosa sendiri, bukan dosa orang lain. Dosa yang sangat diharapkan keampunan...dosa yang diharapkan tidak diulang kembali. Dosa pada Allah, dosa pada insan insan lain, jauh dan dekat. Sungguh, setiap anak Adam itu tak lepas dari melakukan dosa... Ada yang terus hanyut bersama dosa itu, ada yang berpeluang untuk sedar dan bertaubat....

Sahabat dan saudara... Bagaimana rasamu saat dibayangi dosa. Apa rasamu... Apa tindakanmu... Perasaan berdosa yang menghambat... Sakit untuk ditanggung. Pedih di seluruh pelusuk jiwa.. Hati bagai dihiris, pilu.....

Tiada siapa yang tidak melakukan dosa, kerana kita tak seperti Rasul yang maksum. Allah tak suka orang yang melakukan dosa, tapi Allah suka andai kita bertaubat dari segala dosa. Allah sentiasa bersedia untuk memberi keampunan, asal saja kita ikhlas dan sungguh sungguh bertaubat...tak kira dosa besar, tak kira dosa kecil...sentiasa ada ruang untuk bertaubat dan kembali kepadaNya...

Bagaimana pula dosa sesama manusia?? Dosa kita kepada seseorang, tak mungkin dapat Allah ampuni, melainkan insan itu sendiri yang bersedia untuk memaafkan.... Allah..jangan sampai ada dosaku terhadap insan lain yang terpendam di hatinya tanpa dimaafkan...aku takut, kerana aku sememangnya manusia berdosa....

Setiap hari mendengarkan kematian, kecelakaan, kehilangan, dan segala berita sedih dan memilukan... Yang mampu aku ungkapkan adalah ALHAMDULILLAH... Kerana ia tak terjadi padaku.. Kerana Allah masih menjagaku dan keluargaku...TETAPI... Jiwa pendosa ini tetap diragut rasa pilu dan sedih.... Bagaimana sekiranya aku di tempat itu...mati dengan dosa yang tak terpikul di bahu.. Bagaimana kematianku...insan sepertiku layakkah untuk mati mulia :'(:'(:'( 
Allahu...berat untuk aku fikir kan... Bagaimana pula saat menerima kematian insan insan kesayanganku... Yang dekat dengan ku,yang banyak dan sering pula aku sakiti...tak tertanggung aku untuk menanggung rasa berdosa yang berpanjangan....

Tidak tahu untuk meluahkan apa lagi... Untuk berkata apa lagi.... Benar Benar mengharapkan segala dosa akan diampunkan...Dari Allah yang Maha Pengampun, juga dari semua insan yang pernah aku sakiti, dalam sedar atau pun tidak...jangan lah sehingga dosa dosa ini terus kupikul sehingga saat bertemu Tuhan...aku terlalu takut dan gementar...

Hingga saat dan ketika ini aku sedar, Allah masih memberi aku peluang.... Untuk bertaubat, untuk menjadi Hamba yang lebih baik, untuk berbakti kepada yang memerlukan, untuk membahagiakan insan insan di sekelilingku, untuk memberi sesuatu untuk Agama..

Ya Allah...terlalu baiknya Allah...buat si pendosa ini....tak tahu bagaimana nak diluahkan rasa ini...hati ini... Hanya Allah dapat membacanya....

Bertaubatlah wahai semua yang berdosa......
Bertaubatlah dengan sesungguhnya.......
Bertaubatlah dan usah mengulangi dosa itu......
Allah dekat dan sangat Penyayang.......
Keampunan Allah luas...kasih sayang Allah tiada bertepi...

😭😭😭😭
Wednesday, 8 April 2015 0 comments By: Naemah

MASA EMAS BERSAMA


Alhamdulillah kembali lagi setelah seminggu meninggalkan dunia blog ini. Seminggu yang sibuk, hingga tiada masa untuk blog. Suamiku balik bercuti selama 6 hari. Bila dia ada, selalunya kami tak lekat kat rumah :) maklum saja, bila dia tiada kami tiga beranak hanya terkurung di dalam sangkar batu ini... Nak keluar pun tiada arah tuju. Lagi pun, rasa lebih selamat diam di rumah saja semasa ketiadaan suami..tiada sebarang kepentingan untuk keluar. 

Bila dia balik, hmmm...sana sini dia bawa anak isterinya ini. Kesian agaknya... Lebih lebih lagi pada anak anak. Biar mereka keluar melihat dunia. Baru mata dan Minda lebih terbuka luas.. 

Minggu lepas kami pulang ke kampung, meskipun baru 2 minggu lepas dah balik. Kajang-kelantan agak jauh Dan memenatkan juga, tapi bila suami ajak balik, tak pernah aku tolak. Aku juga rindu pada kampung dan keluarga. Walaupun hanya untuk 4hari sahaja, namun ia cukup untuk lepaskan rindu. Kampung halaman, siapa tak rindu...orang tua yang melahirkan dan membesarkan, kenapa tak mahu dikenang...sekali kita rindu, dia berkali kali rindu meski tidak terluah.. Kepulangan anak anak sangat diharapkannya, meski dia tak pernah merayu kita untuk pulang. Wahai anak anak yang jauh..pulang lah... ;'( rawat dan sahut rindu ayah dan ibu.... ;'( :'(

Sebelum pulang ke kampung, sampat kami singgah bermalam di Cameron Highland. Ingat nak singgah sekejap saja, tapi kerana kepenatan, kami mengambil keputusan untuk menyewa hotel untuk satu Malam. Seronok tengok anak anak excited bercuti walaupun tak dirancang. Lagipun ini bukan Kali pertama kami ke Cameron highland, entah yang ke berapa Kali... Dan ini juga lokasi bulan madu kami dahulu :) 

kami hanya mengunjungi tempat tempat biasa yang pernah kami kunjungi. Minum kopi strawberi dan ke Taman rama-rama, di hari pertama. Hari kedua pula ke Taman Agrotechnology Mardi dan membeli sedikit barang di pasar. Hari kedua tu juga mak mertua dan adik ipar turut serta makan angin di Cameron highland, jadi ahli group kami bertambah meriah. Banyak masa dihabiskan di Taman agrotechnology Mardi, kerana tempatnya yang luas, Dan terdapat bermacam tanaman di situ. bermacam jenis bunga, herba, dan Pokok strawberi juga.. Puas hati juga la berada di situ...

Lepas makan makan dan shopping shopping sikit, kami pulang ke kampung... kemudian balik semula ke kajang...begitulah... Percutian tanpa dirancang, namun tetap memberi kesan di hati. Bahagia dapat berkumpul bersama satu keluarga. Menghabiskan masa bersama, benar benar menjadikan ia detik emas yang sukar dijual beli. Kerana aku tahu, betapa ramai yang kehilangan detik emas ini. Dek kerana sibuk, dek kerana tidak endah akan kepentingan masa emas ini. Sedang ia benar benar membantu mengukuhkan hubungan kasih sayang dalam sebuah keluarga. Ingat masa bergurau dan ketawa bersama, juga saat kita saling bercerita dan meluahkan perasaan, hatta saat rajuk dan pujuk, ia sangat sangat memberi erti dan nilai yang besar dalam ikatan kekeluargaan. 

Cukup hanya di sini...pengajarannya, bukan untuk mewajibkan percutian, tetapi kepentingan masa bersama setiap ahli keluarga.. Tak kira di mana, sesekali berkumpullah, makan bersama, beraktiviti bersama, gelak dan tawa bersama...pasti ia menjadi kenangan terindah yang akan tetap terpatri di hati..