Friday, 17 April 2026 0 comments By: Naemah

SELAMAT BERHUJUNG MINGGU


Berhujung minggu lagi kita. Selepas 3 minggu menempuh sessi persekolahan (selepas raya). Hari ni dah menutup bulan Syawal. Sebulan 10 hari lagi kita bakal menyambut Aidiladha pula.


Hari ni masih ada yang buat open house. Ada 2 jemputan untuk hari ini, satu jemputan dari anak saudara di Teluk Panglima Garang (katanya buat kecil-kecilan saja), satu lagi jemputan dari sepupu suami di Shah Alam (katanya buat kesyukuran dan kenduri arwah). Namun keduanya tak dapat nak hadir, kerana suami hari ini masih berada di laut.


Maka hujung minggu ini, stay kat rumah jelah dengan anak-anak. Anas dah tamat ujian pertengahan tahunnya, yang lain-lain masih menunggu tarikh (bulan Mei). SKKR sibuk dengan persediaan sukan tahunan yang akan diadakan hujung minggu depan. SRAIPB pula baru selesai KESUSRAI, kini teruskan belajar macam biasa. 

 

Hari ni buat sajalah hal masing-masing. Esok pun mungkin sama juga, duduk rumah je. Tak tahu nak ke mana. Semalam janji dengan anak-anak nak ke The Parc, exercise sikit dan lepaskan anak main kat sana. Tapi malas pulak rasanya nak keluar. Tengoklah petang ni macamana. Kalau tak hujan dan tak ‘malas’, boleh la bawa anak keluar. Kalau ikutkan hati memang nak duduk rumah je. Dah hari-hari keluar hantar ambil anak sekolah, jadinya rasa nak rehat dan lepak saja kat rumah pada hari cuti. 


Apapun di hujung minggu ini, semoga tetap ada manfaatnya buat semua. Tadi dah ber’aktiviti’ sikit dengan Nuha. Abang-abang dah tolong kemas rumah, ber’exercise’ di luar, masak dan makan seadanya, cuma buku je tak sentuh semua ya! Ummi pun malas nak bising. Penat nak paksa. Buatlah sesuka hati. Asal tak melampaui batas. Asal tak bergaduh. Asal tak tinggal solat. Memang hari minggu untuk menikmati ‘cuti’ kan!




Aktiviti hujung minggu bersama Nuha








Saturday, 11 April 2026 0 comments By: Naemah

TENTANG WAKTU DAN DIRI



Masa terus berjalan tanpa pernah menoleh ke belakang.


Dan aku…

terus meniti usia yang kian menjauh dari usia muda.


Namun di sebalik langkah yang bertambah, aku sering tertanya; 




Apakah aku hari ini lebih baik dari aku yang semalam? Atau sekadar mengulang khilaf dalam wajah yang berbeza.


Ada sesal yang singgah di hati, ada insaf yang mengetuk perlahan, mengingatkan aku tentang langkah-langkah silam yang pernah tersasar tanpa sedar.


Dan aku perakui, aku masih hamba yang kadang hanyut dalam dunia, alpa dalam kesenangan, leka dalam keletihan hidup yang tak pernah benar-benar berhenti.


Aku hamba yang mengimpikan

sebuah pengakhiran yang indah, yang menjadi dambaan setiap jiwa.


Namun bila menilik diri, aku sedar…

aku bukan siapa-siapa, penuh noda dan kekurangan. Bukan layak untuk merasa yakin, hanya layak untuk terus berharap pada rahmat Tuhan yang tak pernah putus.


Ya Allah, biarpun dengan dosa hambaMu yang menggunung ini, ku mohon akan rahmatMu, moga Kau kurniakan buatku dan buat kami semua keampunan dan husnul khatimah. 


Ameen. 

OPEN HOUSE DI HUJUNG MINGGU

Sekadar catatan di hujung minggu. Masih lagi di bulan Syawal. Masih lagi ada yang buat open house. Jika minggu lepas sibuk memasak untuk open house taman ni, minggu ni just memenuhi jemputan. 


Lebih kurang jam 12.30 tengahari keluar rumah untuk ke majlis open house. Ummi, Suri dan Nuha penuhi jemputan open house Little Diamond Kindergarten (ex tadika anak-anak), manakala abi, Anas, Mussaab dan Miqdad ke majlis open house Sri Permata Nusaybah (sekolah Mussaab). Abi juga bawa anak-anak ke majlis open house Pertubuhan Sukarelawan Kasih. Alhamdulillah menjamu selera dengan segala hidangan yang tersedia. Sedap semuanya. Duit raya pun dapat. 


Pukul 2.30, hadir open house jiran dalam taman Seksyen 6 pula. Hanya ummi, abi, Suri dan Nuha saja yang hadir. Sekali lagi menjamu selera dengan aneka hidangan yang sedap-sedap. Alhamdulillah. Rezeki dari Allah.


Selepas Asar pula ada jemputan untuk abi dalam taman ni juga (sekali majlis doa selamat). Sekali lagi abi hadir, penuhi jemputan yang seterusnya untuk hari ini.


Di rumah, dapur dah tak berasap (breakfast tadi abi masak nasi lemak). Untuk makan malam, makan jelah apa yang ada. Nak masak megi ke, masaklah anak-anak! Esok pulalah ummi/abi masuk dapur. 


Sabtu menutup tirainya. Alhamdulillah atas nikmat dan rezekiNya. Terima kasih atas jemputan semua. Terima kasih berkongsi rezeki. Semoga Allah membalas dengan rezeki yang lebih melimpah.


Rumah kita tak buat open house tahun ni, atas sebab-sebab yang tertentu. Abi pun dah nak kembali bekerja. Memang tak sempatlah. Lelah masak nasi mandy minggu lepas pun tak hilang lagi. Hehe. 










Monday, 6 April 2026 0 comments By: Naemah

NASI MANDY UNTUK JAMUAN RAYA SEKSYEN 6



Lamb mandy & Chicken mandy untuk jamuan raya (wow sangat bunyinya!)


Sekadar nak cerita jamuan raya-anjuran persatuan penduduk Seksyen 6 yang diadakan pada 5 April 2026/16 Syawal 1447H (di Surau Istiqamah).


Untuk jamuan ni, abi perlu masak nasi mandy kambing sekali lagi (tahun lepas dah buat tapi dalam kuantiti tak banyak sangatlah). Tahun ni nasi mandy jadi menu utama, maka nak kena masak dalam jumlah yang lebih banyak. 


Sehari sebelumnya, semua bahan untuk masak dah siap dibeli. Kambing seekor, beras 20kg, serta bahan-bahan yang lain. 


Pada malam harinya, ummi siapkan bahan acar dulu (potong-potong timun, carrot, bawang, dll). Abi rebus kambing (entah pukul berapa abi tidur  nak tunggu daging masak). Pukul 5 pagi dah dengar abi sibuk-sibuk kat dapur. Ummi pun bangun juga, tolong apa yang patut. Jam 5.30 masak nasi untuk 5kg beras dulu. Pukul 6 dah masak. 


Lepas Subuh abi keluar beli ayam (rasa macam tak cukup kambing seekor ni). Ummi siapkan sambal untuk nasi mandy. Abi balik, ummi terus cuci ayam, dah siap terus rebus. Abi pula masak nasi kali kedua (lebih kurang jam 8 pagi). 10 kg beras/nasi dan sambal dah beres. 


Dalam pukul 10 pagi masak round ketiga pula (mandy ayam pula). Acar pun siapkan juga. Hampir jam 11 pagi, kawan abi datang rumah dan bawa dulu mandy kambing (10 kg beras), acar dan sambal yang dah siap. Mandy ayam tinggal dulu kat rumah.


Dah masak yang ketiga, sambung yang keempat pula (pukul 11 lebih). Abi hantar dulu yang dah masak tadi ke surau. Jamuan dah mula pukul

12 tengahari. Alhamdulillah sebelum pukul 12 dah ready semua. Ummi dan anak-anak pun boleh bersiap ke surau juga untuk beraya. 


Dalam pukul 12.30, menuju ke surau untuk menjamu selera. Alhamdulillah, banyak juga menu yang tersedia. Di samping nasi mandy, ada bihun sup, lemang dan rendang, ayam gunting, char kue teow, aneka pilihan air dan ais krim, roti jala, cheese tart, buah dan lain-lain lagi. 


Dalam pukul 1.30 macam tu, abi cakap lauk dah nak habis. Daging dan ayam, berbaki tak banyak. Maknanya portion lauk tak sepadan dengan nasi yang dimasak (maklumlah tak pernah masak untuk ‘sekampung’ macam ni). Mujurlah ada wakil (kawan abi juga) yang tolong keluar belikan ayam kat luar (ayam baker,s cottage)-lupa dah berapa ekor yang dibeli. Sempatlah top up, cukuplah untuk orang yang masih tak putus datang beraya.


Hampir pukul 2, ummi ready nak balik rumah dah. Anas, Mussaab dan Miqdad dah balik dulu. Ummi bawa balik Nuha (Suri masih nak stay kat surau). Ummi balik sekali dengan mak Aireen (kawan Suri), tadi pun datang sekali.


Masa nak balik ni, nasi dah tinggal tak banyak. Makanan sampingan lain pun dah tinggal sikit. Lepas ummi balik, abi pun balik juga untuk ambil seperiuk lagi nasi yang dimasak tadi. Alhamdulillah masih ada lagi. Risau pulak nasi tak cukup, sedangkan baru pukul 2 petang (jamuan raya sampai pukul 4 petang). 


Dah balik rumah, ummi dah tak ambil tahu apa cerita kat surau tu. Rehat dan tidur je dengan Nuha. Doa jugalah, semoga dipermudahkan urusan abi dan kawan-kawan abi di sana. Lagipun, rasanya dah makin kurang orang yang datang. Dah nak ‘tutup kedai’. 


Abi balik rumah hampir jam 4 petang. Abi bawa balik lebihan nasi (separuh periuk juga la). Itupun sebab lauk semua dah habis licin. Tinggal nasi ni jelah. Acar dan sambal pun habis. 


Alhamdulillah, walaupun tak sempurna, agak berpuas hati jugalah dapat sediakan hidangan istimewa ni pada penduduk Seksyen 6. Selalu masak sikit, ummi je yang masak. Untuk majlis besar ni, boleh dikatakan 90% abi yang buat dari awal hingga akhir part nasi dan lauk. Ummi tolong sikit-sikit je (acar dan sambal je bahagian ummi seorang). 


Abi cakap, anggaran tetamu yang datang lebih kurang 500 orang. Agak ramai juga. Alhamdulillah.


Ia jadi pengalaman berharga buat ummi dan abi. Bukan mudah ya, nak sediakan makan besar macam ni. Hanya masak berdua. Risau tak menjadi, dan tak sedap macam biasa masak dalam kuantiti kecil. Risau tak menepati selera orang, risau tak cukup (memang tak cukup lauknya), dan banyak lagi risau. Tapi tawakkal jelah. Buat saja, ikhlas kerana Allah. Nak jamu orang makan. Mana yang terkurang, insya Allah akan diperbaiki di masa akan datang. (Dah tak kisah kalau-kalau ada komen negatif di belakang, sebab kita dah buat dan beri yang terbaik). 


Jadi tamatlah cerita raya di Seksyen 6 tahun ini. Alhamdulillah, syukur atas nikmat dan rezeki dari Allah. Semua hidangan sedap dan menyelerakan. Terima kasih pada semua yang bertungkus lumus menyediakan juadah untuk jamuan besar ini. Ya, bukan kita saja yang penat, orang lain pun juga, sama penat nak menjayakan majlis jamuan raya tahun ini. 




Tak banyak ambik gambar.








Friday, 3 April 2026 0 comments By: Naemah

JAMUAN RAYA DI SEKOLAH (2026)

Selesai sudah anak-anak berhari raya di sekolah masing-masing. Anas di SEMEKAR, Mussaab dan Suri di SKKR, dan Miqdad di SRAIPB. Semuanya berjamuan hari raya pada hari yang sama iaitu pada hari Jumaat, 14 Syawal (3/4/2026). Serentak semua, dan selesailah semua. Sekali jalan je.


Pagi bermula dengan raya SKKR (Mussaab, tahun 6)-ummi buatkan roti sosej je dan SRAIPB (Miqdad, tahun 4)- kelas Miqdad kena bawa rendang, so berpakatlah mak-mak dalam kelas 4P keluarkan duit sikit sorang untuk tempah rendang (ada juga yang masing-masing buat sendiri). Alhamdulillah selesai untuk raya sessi pagi.


Untuk sessi petang pula, raya di SEMEKAR (Anas, ting 2)-pada mulanya dia suruh ummi buat roti sosej juga, tapi dah ada yang isi dulu dalam senarai kelas. Last-last pagi pada hari jamuan raya tu abi belikan sosej dan nuget, goreng dan bawa jelah menu tu ke sekolah. 


SKKR sessi petang pula (Suri, tahun 1)-just bawa vitagen. Senang, tak perlu masak dah. 


Alhamdulillah, masing-masing berkongsi rezeki dengan anak-anak dan guru sekolah. Meriah makanan di kelas masing-masing. Syukur pada Allah, nikmat beraya di tempat kita. Sentiasa penuh dengan warna-warni dan makanan yang cukup, malah berlebihan. 


Terima kasih pada pihak sekolah yang saban tahun menganjurkan jamuan raya untuk anak-anak. Tiada yang membebankan, bawa sekadar mampu. Tak mampu masak, tempah saja. Tak mampu sediakan apa-apa pun tak mengapa, tiada paksaan. Yang pasti anak-anak seronok meraikannya dengan cikgu dan kawan-kawan. Setahun sekali…


Tamatlah cerita raya di sekolah untuk tahun ini. Minggu depan ada jemputan rumah terbuka SRIPN (Mussaab), dan juga rumah terbuka LD (ex tadika anak-anak), insya Allah akan hadir jika ada kesempatan waktu. 


Sudah di pertengahan Syawal. Esok ada jamuan raya Seksyen 6, ummi abi akan sibuk nak sediakan hidangan utama buat pertama kalinya. Semoga Allah permudahkan.


Syawal diraikan dengan penuh kesyukuran. Syukur atas nikmatNya, rezeki dan keamanan. Terima kasih ya Allah. 





Gambar yang dikongsi dari kelas Suri



Gambar yang dikongsi dari kelas Anas



Gambar yang dikongsi dari kelas Mussaab


(Gambar Miqdad belum/tidak dikongsi)

Wednesday, 1 April 2026 0 comments By: Naemah

BELAJARLAH DARI KISAH ORANG YANG BERJAYA



Keputusan SPM 2025 telah pun diumumkan semalam (31/3/2026). Seronok tengok perkongsian result yang berderetan di media sosial. Bersusun ‘A’. Tahniah pada yang cemerlang. Usah bersedih pada yang kurang cemerlang, kerana SPM bukanlah penamat segalanya.


2 tahun lepas anak saudara (Husna) dapat straight A (9A) dalam SPMnya. Kini di USM dalam bidang perubatan. Bakal doktor, insya Allah! 


Tahun ni anak saudara seorang lagi (Farzana) juga dapat straigt A (9A) dalam keputusan yang diumumkan semalam. Alhamdulillah. Semoga dapat tawaran di universiti pilihan, dalam bidang yang diminati, insya Allah. 


(Dah ramai anak saudara yang dah tamat SPM sebenarnya. Alhamdulillah terbaik semua, sebagaimana yang Allah dah rezekikan)


Terimbas kembali keputusan SPM sendiri (calon 2003). Alhamdulillah, tak semua A tapi cemerlanglah juga dengan keputusan 9A2B. Sebagai seorang pelajar yang bersekolah di kawasan pedalaman, yang bergantung pada sekolah semata, takde tuisyen, hanya ikut kelas tambahan cikgu je, result tu rasanya boleh untuk dibanggakan, walaupun akhirnya pada hari ini, result tu tak ke mana pun. Akhirnya duduk rumah mengasuh anak je. Hehe.


Namun diri ini tetap bersyukur seadanya. Tak pernah jelouse dengan mereka yang direzekikan dengan kerjaya hebat, dan pendapatan lumayan di luar sana. Rezeki masing-masing kan. Semua Allah dah tentukan. Yang penting kita kekal sebagai insan yang berilmu dan beradab, walau di mana duduknya kita. 


Masa pun terus berlalu. Sedar tak sedar, anak-anak pula nanti yang akan menempuh SPM. Hai.. dalam hati ada debaran juga, walaupun lambat lagi. Lambat tak lambat, anak sulung sudah di tingkatan 2. Dah lepas exam besar UPKK (7A1B) dan PSRA (Mumtaz). Anak kedua pula dah lepas UPKK (9A). Itupun berdebar sakan time nak semak keputusan masing-masing. SPM apatah lagi. Membayangkan pun, dah buat hati berdebar. Over ke ummi ni?


Apapun sebagai ibu, sangat-sangat mengharapkan anak-anakku juga menjadi antara yang cemerlang dalam exam mereka. Ibubapa mana tak bangga bila anak cemerlang. Namun tujuanku bukan untuk berbangga-bangga, cukup rasa ‘bangga dan syukur’ apabila usaha si anak, yang diiringi restu dan doa ibu ayah membuahkan hasil yang manis. 


Namun akhirnya terserah pada anak-anak itu sendiri. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Dan sesiapa yang berusaha, Allah pasti membawanya kepada kejayaaan. 


Begitulah jua anak-anakku. Ummi hanya mampu mendorong dan terus berdoa. Segalanya akan terserah pada kamu sendiri. Bagaimana tekad dan usaha kamu. Sekuat mana keinginan kamu untuk menjadi orang berjaya. Sejauh mana kamu rasa bersemangat dan bermotivasi untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.


Moga anak-anakku dapat melihat orang-orang yang berjaya di sekelilingnya, membaca/mendengar kisah-kisah mereka, dan menjadikan mereka contoh dan tauladan untuk turut sama menggapai kejayaan. 


Buat anak-anaku, semoga suatu hari, giliran ummi dan abi pula melihat kalian menggenggam kejayaan demi kejayaan dalam hidup ini. Semoga Allah izinkan, ameen.