Wednesday, 12 June 2024 0 comments By: Naemah

DI SEKSYEN 6 INI


Actually ini catatan lama yang tergendala dan lupa nak pos kat blog :D 


Untuk merakam sejarah.

Semalam (1 November 2023) diadakan Mesyuarat Agung kali pertama-Persatuan Penduduk Kejiranan Seksyen 6 (Jiran Sempoi), Bandar Rinching. Suamiku antara ‘orang kuat’ yang terlibat dalam mesyuarat ini dari awal penubuhan persatuan (sebagai setiausaha sementara). Dia yang kukenal, yang sentiasa komited dengan segala amanah yang diberikan untuknya.


Semalam berlangsung Mesyuarat Agung. Dibubarkan jawatankuasa sementara, dan dilantik jawatankuasa baru. Sekali lagi, jawatan setiausaha adalah untuk suamiku. Pada mulanya, dicalonkan sebagai pengerusi, namun dia menolak dengan alasan yang wajar. Ya, sebagai seorang pelaut yang tak selalu ada, sukar untuknya menyandang jawatan itu. Dan aku juga mengharapkan dia tak berada di kerusi itu. 


Kini terbentuk sudah jawatankuasa yang baru nak bermula. Yang ingin menyumbang khidmat untuk kebaikan penduduk seksyen 6. Walaupun hakikatnya (semalam) tak seberapa juga yang hadir untuk memberi sokongan (tapi pendaftaran ahli secara online agak ramai juga). Hmm.. mungkin dibuat pada hari yang tak sesuai. Mungkin cuaca tak mengizinkan. Mungkin hanya tak mahu ambil peduli dan ikut saja. 


Namun harapannya dengan tertubuhnya persatuan penduduk dan jawatankuasa ini,akan ada lebih banyak program dan aktiviti yang memberikan kebaikan kepada penduduk seksyen 6 ini. Hampir 7 tahun kami menetap di sini, hanya mengikut program anjuran surau. Tak pernah join yang lain. Tak sampai maklumat mungkin!


Setiap kali ada program anjuran surau, suami minta anak isteri untuk join dan support. Contohnya Karnival Cinta Rasul yang diadakan saban tahun. Walaupun dia tak ada/ke laut, aku cuba untuk sertai bersama anak-anak sebagai tanda sokongan. 


Persatuan Penduduk yang sekarang, diharapkan dapat menjalankan tanggungjawab sebaik-baiknya untuk kebaikan bersama penduduk Seksyen 6 ini.


Dari pemerhatianku,  sudah ada ‘sesuatu’ yang dibuat. Sebelum tertubuh secara rasmi persatuan penduduk  yang baru ini lagi, sudah beberapa kali dianjurkan aktiviti yang terbuka kepada penduduk sini. Contohnya Fun Run Anak Merdeka, pertandingan futsal dan badminton, sepakan penalti, takraw, street soccer, dll. Ada di antaranya dianjurkan bersama dengan pihak surau. Dan dalam tempoh itu juga di seksyen 6 ni dah siap court takraw dan badminton yang dipohon dari majlis perbandaran. 


Update ( Jun 2024)

Sudah 7 bulan berlalu. Nak kata banyak perubahan tidak juga, tetapi aku jadi saksi melihat suamiku ‘bekerja’. Sebagai setiausaha, aku melihat banyak ‘surat’ yang dihantar ke sana dan ke sini, meng’usul’ itu dan ini, dan usai kerja di laut ber’meeting’ pula dengan yang seangkatan. 


Highlight: Salah satu yang sedang berjalan ialah kerja melapangkan tanah milik MPKj di Seksyen 6 untuk pembinaan dewan serbaguna dan padang bola. Itupun katanya ada banyak ‘suara’ yang kurang senang, sedangkan pembinaan itu untuk kegunaan bersama komuniti. Bukan untuk kepentingan individu. Masih dalam proses, dan mungkin ambil masa lama nak siap semua tu, diharapkan ianya berjalan lancar dan ‘menjadi’ seperti yang dirancang.


Bulan Jun ini,  akan dianjurkan kejohanan Futsal untuk kanak-kanak bawah 14 tahun. Selalunya yang melibatkan anak-anak, penyertaannya sangat menggalakkan. Kata suami, kat luar sana mungkin mereka tak berpeluang menyertai pertandingan melalui pemilihan dan persaingan,  kat sini anak-anak diberi peluang yang sama untuk tunjukkan skill masing-masing dalam bermain dan disediakan juga ‘ganjaran’ buat mereka. Akhirnya, anak-anak ini akan rasa seronok kerana diraikan. Manalah tahu, antara mereka ini akan menyerlah di suatu hari nanti dalam sukan yang mereka suka.


Ok, ada satu benda lagi nak highlight, iaitu pasal anjing yang makin bermaharajalela di Seksyen 6 ini (ada banyak faktor yang mengundang pertambahan anjing liar di sini). Makin lama, makin meriah dengan anjing liar di kawasan penempatan Seksyen 6 ini. Makin tak selamat nak lepaskan anak-anak bermain di luar. 


Bukan tak dibuat aduan. Bukan tak ada tindakan. Cumanya belum berkesan menghalau anjing-anjing tersebut. Dalam group whatsaap penduduk ni, paling meriah bila masuk bab ‘anjing’. Dah ramai penduduk membuat aduan ke pihak berwajib, namun setakat ini masalah ‘anjing’ ini masih kekal sebagai masalah di sini. Dan ya, jangan kata Persatuan Penduduk  tak buat apa-apa. Turun naik bangunan MPKJ pun sudah (aku tahu sebab suami aku pun ikut sekali). 


Ok dah panjang benar menulis. Siapalah yang nak baca kan? Yang pastinya, besar  sungguh harapan agar barisan jawatankuasa Persatuan Penduduk Seksyen 6 yang baru dilantik beberapa bulan ini, mampu melakukan tugas masing-masing dengan penuh bertanggungjawab. Baik suamiku, baik yang lain-lainnya, mereka pun tahu tanggungjawab ini tak mudah. Namun aku percaya mereka sedang berusaha sebaiknya.


Aku ini sebagai isteri ‘introvert’, tak banyak kenal orang dan tak pandai bergaul, tak begitu gembira bila suami diberi ‘jawatan’. Tapi aku tahu suamiku punya ‘hikmah’ dalam berurusan, suamiku seorang yang komited dalam urusan kerja dan tanggungjawab, dan insya Allah ada ‘ikhlas’ yang mendorong dia untuk bersama-sama yang lain bekerja untuk kebaikan penduduk Seksyen 6 ini.


Lagipun jawatan ini bukanlah untuk selamanya. Cukup tempohnya, akan dibuat pemilihan lagi. Sesiapa pun layak untuk ‘naik’ dan menggantikan, menurut siapa yang dirasakan lebih sesuai dan berkemampuan untuk menjaga kepentingan dan keharmonian bersama penduduk sini.


Dalam situasi semasa, pada pengamatan aku, kesatuan sesama penduduk masih belum dapat dibanggakan lagi. Mungkin perlu perbanyakkan lagi program menarik yang melibatkan semua penduduk dan semua kaum. Aku percaya, semua itu ada dalam perbincangan dan perancangan. Mudah-mudahan, dipermudahkan semuanya. 


Cukup setakat ini coretanku, penduduk biasa yang hanya duduk mendengar dan memerhati. Mungkin ada tersilap fakta dan maklumat pada penulisan di atas. Mohon maaf untuk segalanya. (Tak layak nak menulis pasal ni, tapi nak tulis juga)


Akhir kata, majulah Seksyen 6 untuk keharmonian bersama! Dan semoga masalah ‘anjing liar’ selesai juga nanti. 


Dan kita sekeluarga ini, apakah akan selamanya menetap di sini?


Wallahu a’lam.



Antara program yang pernah dianjurkan persatuan ‘Jiran Sempoi’













Tuesday, 11 June 2024 0 comments By: Naemah

LD NIGHT CAMP: PENGALAMAN BARU SURI


Pada 7/6/2024 diadakan program Hajj simulation di tadika Little Diamond. Pada hari tersebut, anak-anak berpakaian yang bersesuaian sebagaimana ditetapkan.


Pada petang hari pula sekali lagi Suri ke tadika untuk menyertai LD night camp yang julung kalinya diadakan di tadika ini. Penyertaan melibatkan anak-anak 5 tahun (optional) dan 6 tahun. 


Beberapa minggu sebelum, Teacher Zeeda maklumkan tentang program ni dalam group whatsapp. Suri excited nak join program ‘tidur di sekolah’. Abi pun izinkan, jadi ummi daftarkan terus nama Suri dengan bayaran sebanyak rm10. 


Tibalah harinya (7/6/2024), pada sessi pagi diadakan program simulasi haji (yang diadakan setiap tahun), dan Suri balik seperti biasa pada jam 12 tengahari. Balik rehat dan tidur dulu, dah tak sabar-sabar dia nak tidur kat sekolah malam ni.


Lebih kurang jam 6.15 petang ummi hantar Suri ke tadika, ditemani Miqdad (juga ex student LD). Miqdad jelouse Suri boleh tidur kat sekolah. Time dia dulu takde program macam ni. Miqdad minta nak  join sekali, tapi tak bolehlah…


Ummi tinggalkan Suri dalam jagaan teacher dan dalam jagaan Allah sudah tentunya, bersama doa dan harapan program kali ini memberi kebaikan dan kenangan manis buat Suri.


Teacher update gambar hampir setiap masa, dari awal hingga ke penutup acara. Berkeping foto masuk untuk memaklumkan ibubapa tentang aktiviti anak-anak di sana. Kelihatannya lancar dan menyeronokkan. Setiap slot terisi dengan aktiviti yang bermanfaat. Terselit gambar Suri di celahan anak-anak yang menyertai. Ummi senang melihatnya. Ummi percaya Suri baik-baik saja di sana.


Jam 1 petang (8/6/2024), anak-anak dilepaskan balik. Abi jemput Suri di sekolah. Balik rumah, ummi bertanyakan tentang night camp Suri. Suri seronok bercerita, walaupun bukan secara keseluruhan. Katanya penat nak cerita semua :D Tapi yang pasti Suri seronok dan tanya bila lagi nak ada program tidur kat sekolah macam semalam? Hmm.. susah ummi nak jawab tu. Next year mungkin! 


Alhamdulillah. Suri dapat pengalaman baru. Sebagai pelajar half day (masuk sekolah 8.30 pagi hingga 12 tengahari), Suri tak ada pengalaman stay lama-lama kat sekolah. Itupun dia seronok bila ummi datang ambik lambat sikit sesekali (contoh bila ummi ada temujanji hospital). Kali ni excited benar bila boleh tidur kat sekolah. 


Bagi ummi sendiri, ummi tak risau sangat nak lepaskan Suri bermalam di sekolah. Pertamanya, sudah tentu atas rasa yakin dan percaya yang pihak sekolah (teacher semua) dapat menjaga Suri dengan baik sepanjang di sana. Lagipun tak jauh, apa-apa boleh bersegera ke sana.


Kedua, Suri dah biasa tidur tanpa ummi. Bila balik kampung, Suri selalu ikut tidur rumah cik (mak saudara). Jadi ummi yakin Suri takde masalah nak bermalam dengan teacher dan kawan-kawan. Sikit sebanyak, Suri boleh berdikari tanpa ummi. Suri pun dah bebas pampers sepenuhnya. 


Dan ini mengingatkan ummi pada satu ‘insiden’ yang mana itulah kali pertama Suri terpaksa berpisah dengan ummi. Iaitu pada Jun 2022 (usia Suri masa tu 2 tahun 10 bulan dan masih menyusu badan), bilamana ummi terpaksa ditahan di wad hampir 2 minggu (di KPJ Kajang dan HUKM), dan itulah kali pertama Suri berjauhan dengan ummi. Agak perit waktu tu kerana ‘pertama kali’ dan ia juga ‘asbab’ Suri tak lagi menyusu badan. Dan lepas tu jugalah Suri selalu ikut tidur rumah cik bila balik kampung. Lama-lama dah jadi ‘biasa’ Suri tak tidur malam dengan ummi. 


Ok, balik pada cerita night camp Suri tadi, Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Suri seronok, kawan-kawan Suri pun seronok macam Suri juga agaknya, dan selesailah sudah. 


Terima kasih teacher, adakan program yang lain sikit dari kebiasaan, yang memberi pengisian yang baik untuk anak-anak kecil ini, yang buat mereka seronok dan nak lagi, dan sudah tentu ia menjadi kenangan yang manis untuk mereka kenang bila dah makin besar dan beralih tempat belajar nanti. Seperti Anas, Mussaab, dan Miqdad, ada saja cerita yang mereka ‘petik’ merujuk kepada zaman tadika mereka dulu. 


Semoga ada lagi di masa akan datang.

Yang menjanjikan seronok dan manfaat kepada semua. Insya Allah. 




Sebahagian gambar yang dikongsikan.

Ada yang ummi edit dan ‘cerah’kan dari gambar asal whatsaap.




Simulasi haji pada sessi pagi





6.30 ‘check-in’










Malam













Hari ke-2 sebelum balik





Tuesday, 4 June 2024 0 comments By: Naemah

CUTI SEMINGGU DAH TAMAT

Cuti sekolah: 24/5/24 hingga 3/6/2024


Cuti seminggu dah tamat. Alhamdulillah sempat balik kampung selama 4 hari. Sekejap je, sebab abi perlu ke Miri. Sudah perlu kembali bertugas. Dalam berat, anak-anak akur untuk balik ke rumah dan spend hari cuti yang berbaki kat rumah je. Frust juga la, dapat jumpa sekejap je dengan sepupu.


2 hari di rumah mek. Dapat juga main dengan Hafiz. Tapi tak ke mana-mana. Di rumah mek semata.


Dan 2 hari di rumah nenek. Kat sini lagi seronok sebab ramai sepupu (tapi tak semua ada juga). Yang penting ada Umar and siblings kan? Sepupu rapat sejak kecil. Seronok dapat spend masa sama-sama. Selain main game, sempat juga keluar main bowling dan mandi pantai dengan sebahagian family yang ada. Alhamdulillah. 


Tiba masanya kena balik ke rumah (29/5/2024). Bertolak seawal 3.30 pagi dari rumah nenek dan sampai di rumah jam 11.30 pagi. Berbaki 5 hari lagi cuti sekolah. Esoknya abi ke Miri. Anak-anak habiskan masa dan hari cuti dengan game, video, dan sempat juga la ummi uji hafazan dan sifir. 


Suri sepatutnya ke sekolah hari Khamis dan Jumaat (sebab tadika Suri tak cuti) tapi hari Khamis tu ummi terlupa yang Suri sekolah, then hari Jumaat ummi rasa tak larat nak berurusan di waktu pagi. Makanya Suri pun cuti panjang juga la dengan abang-abang.


Mussaab pula sempat join program SRIPN (Khamis dan Jumaat) dan ikut latihan WIRA. Anas dan Miqdad, di rumah saja. Habiskan baki cuti sekolah di rumah. 24 jam bersama 5 beradik. Adalah macam-macam ceritanya. Keadaan rumah biasalah, kemas sekejap je. Ada ketika tenang, ada ketika ribut. 


Hari ni semua kembali ke sekolah. Alhamdulillah semuanya sihat saja. 


Anas, takde banyak karenah. Dah besar kan. Bangun, solat, bersiap dan settle segalanya sendiri. Homework pun Alhamdulillah tak perlu bersuruh. Awal cuti sekolah hari tu dah siap.


Mussaab, selalu banyak ambik masa kat dia. Nak kena perhati dari bangun, mandi, bersiap, solat dan seterusnyq. Tapi hari ni, oklah! Ummi tak perlu ‘bising’ kat dia sebab cepat siap.


Miqdad, pagi-pagi dah monyok sebab buku teks BM dan Feqah hilang. Geramnya ummi.. cuti seminggu takde rasa nak cari pun. Bukan sekali dua kes buku hilang, dah berkali. Lepas tu jumpa je. Yang ni pun sama la juga ceritanya ni. Tertinggal kat sekolah ke, kawan terambik ke.. dia paling lambat bersiap. Kurang happy pergi sekolah. 


Suri, siap sekali dengan abang-abang. Boleh la ummi hantar satu jalan je. Selesai abang-abang, giliran Suri pula. Eh, tak pakai selipar pula dia. Terpaksa la singgah rumah kejap semata nak ambik selipar dia. Nasib baiklah sekolah tak jauh. 


Alhamdulillah settle urusan pagi bersama anak-anak. Tinggal Nuha saja dengan ummi. Tapi pqgi ni Nuha pula tak bagi kerjasama. Nangis saja, pantang ummi letak. Berkeadaan begitu untuk beberapa jam. Ambik Mussaab dari SKKR pun menangis panjang dan tak henti. Dah agak, perut meragam. Selepas ‘membuang’ terus ok dan ceria muka tu. Ummi letak pun dah tak ‘bunyi’. Boleh la ummi buat kerja sikit.


Sampai masanya, ambik anak sekolah seorang demi seorang. Jam 6 trip terakhir. Alhamdulillah semuanya baik-baik saja. Anas happy kembali sekolah. Ada juga cerita tentang sessi persekolahan hari ni. Miqdad, dah jumpa buku BM, katanya kawan bawa balik. Dah agak dah. Cuma buku Feqah masih misteri. Mussaab, tamat exam hari pertama di sekolah agama. Macam biasa, boleh jawab! Always confident. Dan tak sabar nak tunggu hari esok sebab ada acara rentas desa di SKKR (esok baru pengenalan trek). Suri pun ok, Alhamdulillah. Ada juga ceritanya. 


Alhamdulillah semua kembali ke rumah dalam keadaan ceria dan punya cerita, meskipum penat. Balik rumah, kumpul semula dengan adik beradik. Tetap ada part riuh rendah, jangan harap nak tenang-tenang saja. Dah tidur semua barulah sunyi dan sepi rumah. 


Terima kasih ya Allah, hari ini dilalui baik. Biar bersama kesalan yang tetap ada dalam hati seorang ibu ini kerana masih tak mampu menjadi yang terbaik untuk mereka. Sepanjang hari yang telah dilalui bersama anak- anak, ada saja yang tak kena. Ummi gagal mendidik lebih baik. Maafkan ummi. Ummi pasti akan cuba lagi. Insya Allah. 


-catatan semalam (4/6/2024)-




Kenangan cuti sekolah;